Bersediakah Kita?


Banyak di antara kita seringkali tidak menghargai masa. Banyak sekali masa yang dibiarkan begitu sahaja. Melakukan persediaan hanya apabila waktu telah hampir tamat.

Persediaan untuk final exam dilakukan ketika study week. Dalam seminggu itulah segala nota dibelek, segala rujukan dicari, segala fakta dihafal, segala tips diselidik. Dan peristiwa yang paling menyanyat hati adalah apabila ada yang sanggup tidak makan dan tidur kerana mahu meng'cover' semua yang dirasakan perlu untuk menjawab soalan peperiksaan yang bakal menjelang. Inilah yang dikatakan 'melakukan persediaan'.


Ini semua masih boleh dilakukan dengan syarat kita tahu bila 'dateline' untuk sesuatu perkara itu. Lalu kita masih boleh berlengah-lengah dengan alasan,

"Lama lagi, relax dululah..nanti dah nak dekat tarikh barulah sedia.."
Tapi adakah kita bersedia tatkala tiba-tiba diadakan pop quiz? Ramai kawan-kawan memberi alasan,

"Alah, quiz je, tak banyak pun carry marks dia, paling-paling pun 1%-2%. Yang penting test dan final exam."
Amboi..sedap demo royak..koya blanar!* Nasib baiklah pensyarah tak pernah buat pop test. Kalau ada, mesti ramai kantoi.

*(sila tanya kawan-kawan dari kelantan apakah maksudnya)

Tetapi saudara-saudaraku...

Pernahkah kita terfikir akan sesuatu keaadaan yang tidak diberitahu bila 'dateline'nya? Sesuatu yang pasti akan hadir tetapi tidak ada sesiapa pun yang tahu bila ia akan berlaku. Setiap daripada kita pasti akan menghadapinya. Apakah itu?

Ya, itulah mati.

Kematian itu akan kunjung tiba.

Kematian itu pasti.

Kematian itu tiba-tiba.

Tiada siapa yang tahu bilakah akhir waktunya.

Tiada siapa yang tahu bagaimanakah keadaan akhirnya.


Kematian itu boleh hadir bila-bila sahaja. Tidak kira kita tua atau muda, kaya atau miskin, ketika dalam keadaan beribadah dengan amalan ahli syurga, ataupun bermaksiat bak ahli neraka.

Jika kematian itu akhir segalanya, maka kita boleh bersahaja dan duduk berpangku tangan menggoyang kaki. Namun hakikatnya tidak begitu.


Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati.
Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.
[23:15-16]

Sekarang bayangkan, jika Allah membukakan rahsia kematian, dan diketahui tarikh mati kita adalah esok, tepat jam 1:30pm. Apa yang akan kita lakukan?

Cepat-cepat cari sejadah, berdoa sebanyak-banyaknya, solat sebanyak-banyaknya, minta ampun daripada Allah agar segala dosa diampuni dan berharap diganjari syurga. Sepanjang malam akan didirikan ibadah qiamullail. Mata yang tidak pernah basah mengingati dosa bercucuran dengan air mata. Segala kenikmatan dunia yang dibangga-banggakan terasa langsung tidak bererti.

Harta, pangkat, kemahsyuran, teman, kekasih...semuanya sirna begitu sahaja.

Apa gunanya memiliki semua itu sedangkan di akhirat kita tidak kembali kepada Allah dengan hati yang bersih?

(yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna,kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,
[26:88-89]

Namun begitu, tiada di antara kita yang akan mengetahui bilakah masanya kita akan pergi.
Bagaimana rasanya apabila kita dihadapkan ke mizan lalu dikatakan kepada kita :


"Maaf, timbangan amal anda tidak cukup untuk ke syurga."


Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam.
[23:103]


Maksudnya sudah pasti kita akan ke neraka! Na'uzubillah min zalik!





Sanggupkah kita menghadapinya? Kenyataan apabila kita sesungguhnya bakal dihadapkan ke neraka yang amat mengerikan. Keadaan yang tidak sanggup dihadapi oleh sesiapapun. Allah menggambarkan kengerian yang dialami bagi mereka yang dihadapkan ke neraka dalam firmannya:
Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin".
[32:12]
Ketika itu baru hendak bertaubat, ingin mengerjakan amal soleh, ingin dikembalikan ke dunia. Sesungguhnya semuanya telah terlambat. Segala dosa maksiat yang dipandang remeh di dunia berubah menjadi sesuatu yang amat menakutkan di sana. Mereka akan dibakar berterusan sehingga hangus, lalu digantikan dengan kulit yang lain.
Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
[4:56]
Bayangkan bertapa dahsyatnya azab itu. Sedangkan api di dunia inipun kita tidak tertahan akan panasnya, inikan pula api neraka, yang panasnya 70 kali ganda!


Jangan sehingga kita menjadi seperti golongan ini:


Dan orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, memperoleh azab Jahanam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.


Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak,
hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir). Penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?"


Mereka menjawab: "Benar ada, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan (nya) dan kami katakan: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar".


Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala".


Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.
[67:7-11]
Tatkala menghadapi azab, barulah menyesali perbuatan. Ketika itulah menyakini segala perintah Allah itu wajib diikuti, setiap laranganganNya wajib ditinggalkan. Di saat itulah beru hendak berasa rugi kerana tidak mendengar nasihat mereka yang memberi peringatan dan menyesal kerana mempermainkan peringatan-peringatan.





Mari kita kembali. Kembalilah kepada Allah sebelum segalanya terlambat. Masih ada masa untuk kita. Pintu taubat masih terbuka. Berusahalah sehabis baik untuk menggapai syurga, paling tidak pun, berusahalah menjauhi neraka. Sungguh, tiada siapa yang mampu untuk menghadapinya. Sedangkan syurga itu penuh kenikmatan dan kebahagiaan. Biarkan diri kita tersiksa dan merana di dunia kerana ingin menjadi hamba Allah yang taat, kerana semuanya akan sirna dengan kenikmatan syurga yang bakal dimiliki.





Semoga kita akan mendengar panggilan rahmat ini kelak :
Hai jiwa yang tenang.
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridai-Nya.
Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku,
dan masuklah ke dalam surga-Ku.
[89:27-30]
"Ya Allah, ampunilah hamba-hambaMu ini. Seringkali kami melupakanMu. Seringkali kami bermaksiat kepadaMu. Kami lebih mencintai dunia daripada diriMu. Namun jauh di sudut hati sebenarnya kami mengharapkan cintaMu. Cintailah kami Ya-Rabb."


Sebuah Pengakuan


Tuhanku... aku tidak layak memasuki syurga Firdaus
Dan aku pun tak mampu menahan siksa api Neraka

Terimalah taubatku dan ampunilah dosa-dosaku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar


Dosa-dosaku amatlah banyak bagai butiran pasir
Terimalah taubatku, wahai Yang Maha Agung


Umurku berkurang setiap hari, sedang dosa-dosaku terus bertambah
Bagaimana aku sanggup menanggungnya?


Tuhanku... hamba-Mu yg durhaka ini datang bersimpuh menghadap-Mu
Mengakui dosa-dosa dan menyeru memohon kepada-Mu


Bila Kau mengampuni, Engkaulah Sang Pemilik Ampunan
Bila Kau campakkan aku, kepada siapa aku mesti berharap selain dari-Mu?

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^