Royal Plural - Suatu Kaedah Bahasa Arab Yang Perlu Difahami




"Assalamu'alaikum saudara. Saya nak tegur sikit. Saudara telah menggunakan tatabahasa Arab yang salah dalam menulis cerpen saudara."

"Wa'alaikumussalam. Hah, yang mana salahnya?" Sengaja bertanya walaupun telah mengagak apa yang ingin disampaikannya.

"Penggunaan kata ganti diri antum kepada seorang individu. Sepatutnya untuk bercakap dengan seorang, kita akan menggunakan perkataan anta, jika kita sedang bercakap dengan lelaki. Jika dengan perempuan pula, anti. Manakala apabila bercakap dengan lelaki yang ramai pula, barulah kita akan menggunakan antum, untuk perempuan pula antunna," ceritanya panjang lebar.



'Tepat sekali!' jerit hati kecil saya.

"Owh. Itu rupanya, sebenarnya..." saya merespon.

"Jadi harapnya saudara segera membetulkan kesalahan-kesalahan itu, nanti ramai pula kawan-kawan kita yang salah faham dengan penggunaan kata ganti diri Bahasa Arab ini," terangnya terus, sebelum saya sempat meneruskan bicara. Katanya dengan begitu yakin sekali.

"Baik, pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas keperihatinan saudara. Juga ini membuktikan yang saudara membaca cerpen dan artikel-artikel saya. Diharap jika sudah membaca, tinggalkanlah komen. Cikgu saya kata, siapa yang baca blog orang lepas tu tak tinggalkan komen, macam orang buang air besar, tapi tak flush! Haha..tapi itu tiada kaitannya dengan apa yang kita bincangkan sekarang. Kalau saudara nak tahu, saudara adalah orang yang ke-9 yang bertanyakan saya tentang hal ini." Dan kini saya terpaksa menulisnya di dalam salah satu entry blog saya untuk menerangkan kepada semua agar saya tidak perlu lagi menerangkan kepada yang lain tentang hal yang sama. (^_^)

"Hah, kenapa? Salah ke apa yang saya cakap ni? Inilah yang saya belajar di sekolah dulu."



"Ya, apa yang saudara katakan itu ada benarnya. Tetapi jika kita mungkin tidak pernah mendengar tentang Royal Plural."

"Royal Plural? Apa tu? Tak pernah dengar pun?"

"Memang tatabahasa ini jarang dibahaskan oleh orang ramai. Ini merupakan suatu tahap dalam keindahan bahasa-bahasa yang ada dalam dunia ini. Begini. Penggunaan kata jamak ada dua jenis. Plural biasa yang memberi maksud jamak dan Royal Plural yang digunakan untuk menunjukkan pangkat kebesaran seseorang yang dipakai sebagai kata ganti diri bagi mereka-mereka yang berpangkat serta dimuliakan dan mempunyai kebesaran. Konsep ini yang selalu kita baca dalam Al-Quran apabila ada tempat yang Allah membahasakan diriNya sebagai Nahnu yang membawa maksud Kami. Tetapi 'Kami' yang dimaksudkan di situ bukanlah Allah itu ada banyak, tetapi menunjukkan KebesaranNya dan KehebatanNya. Sebab itu ketika Al-Quran ini diturunkan kepada masyarakat Arab, mereka tidak pernah merasa keliru dengan perkara ini kerana memang mereka sudah sedia maklum dalam tatabahasa mereka adanya dua jenis jamak."


"Owh, macam tu ke...tapi tu untuk Allah, macam mana pula dengan kes ini?" Tanyanya kembali.

"Sama juga, kerana bahasa kita agak 'miskin' perbendaharaan kata. Banyak perkataan-perkataan yang menggunakan tatabahasa peringkat tinggi dalam bahasa-bahasa lain yang tidak kita gunakan. Contohnya dalam Bahasa Inggeris, Queen Elizabeth iaitu Ratu United Kingdom juga menggunakan kata ganti diri bagi namanya dengan perkataan 'we' dalam ucapan rasminya yang menunjukkan kebesaran kuasanya dan bukan membawa maksud dia menjadi wakil kepada beberapa raja dan ratu. Untuk pengunaan kata ganti diri kedua yang sama kes dengan penggunaan antum untuk satu individu ini, Bahasa Perancis telah menunjukkan contoh yang baik."

"Oh ya, saya pun pernah ambil Bahasa Perancis. Saya tahu apa yang awak cuba maksudkan. Perkataan 'you' dalam bahasa perancis adalah 'tu'. Tetapi ketika bercakap dengan seseorang yang kita hormat atau orang-orang yang terhormat, kita akan menggunakan 'plural you' iaitu 'vous'. Betulkan apa yang saya cakap ni?"

"Hah..pandai pun. Itulah yang saya cuba maksudkan. Jadi, kesimpulan yang boleh kita bawa di sini adalah, mari belajar Bahasa Arab! Haiyya bil Arabiyah!"

"Betul tu, banyak lagi yang kita perlu pelajari kan? Terima kasih. Pelajaran yang sangat bermakna hari ini. Jazakumullah Khairan Katsiro!"

"Wa-iyya-kum!" Kami bersalaman dan meneruskan urusan masing-masing.




0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^