Cerpen : Salah Siapa?




Zohriah melangkah masuk ke dalam bilik guru dengan laju. Mukanya tidak tenang seperti biasa. Dengan segera dia menghampiri mejanya lalu meletakkan buku-bukunya.

"Hai cikgu, lain macam je ni. Ada masalah ke?" Sapa Cikgu Salim yang kebetulan melewati mejanya. Pertanyaannya acuh tak acuh.

Zohriah sebaliknya hanya tersenyum segaris. Sebetulnya memaksakan dirinya untuk tersenyum. Melihatkan kelainan dirinya itu, Salwa mendekatinya.

"Zoh, dah lunch? Jom makan dengan aku?"

"Takpelah Sal, aku tak lapar."

"Aik..takkan diet kut. Biasanya kalau bab makan ni kau laju je. Kenapanya ni..muka macam mati laki je."

"Mati laki apenye..kawin pun belum." Jawabnya bersahaja. Tiada mood untuk bergurau. Masalahnya yang baru dihadapi di kelas tadi amat merunsingkannya. Dia serba salah.

*****


“Lan, mari sini sekejap.” Zohriah memanggil Azlan ke hadapan kelas.

Azlan yang sedang bergurau senda dengan rakan sebelah mejanya itu terhenti. Dengan wajah yang masih ceria dia mendapatkan gurunya itu.

"Betul ke Lan jual bateri ni kat kawan-kawan?" Zohriah bertanya kepada Azlan sambil menunjukkan sebiji bateri eveready bersaiz D. Nadanya agak tinggi.



Azlan hanya mengangguk. Menelan air liur. Air mukanya berubah. Tiada lagi raut ceria di wajahnya. Mungkin nada tinggi gurunya itu mengejutkannya.

Hati Zohriah mula dilanda gelisah. Khabar angin yang didengarnya selama ini bermain-main di fikirannya. Fikirannya kembali ke mesyuarat tergempar yang diadakan seminggu lalu.

"Ada ibubapa yang mengadu, anak mereka meminta duit lebih. Katanya ada orang suruh. Ibubapa mereka mengesyaki anak mereka dibuli. Saya minta cikgu-cikgu lebih peka dengan keadaan anak-anak murid masing-masing. Jangan biarkan gejala tidak sihat ini berterusan. Kita tak mahu nama baik sekolah rendah kita ni tercemar." Kata-kata pengetua terngiang-ngiang di telinganya.

'Ni mesti kerja pelajar-pelajar tahun 4 ni. Batch diorang ni memang banyak buat hal.' Zohriah berfikir. Dan begitu juga fikiran para guru yang pernah mengajar pelajar tahun 4. Hampir semua menganggap ulah ini berpunca daripada pelajar tahun 4.

Namun pagi itu persepsinya berubah. Ketika mengajar matematik di dalam kelas 1 Uthman, sebiji bateri yang diletakkan di atas meja anak muridnya menarik perhatiannya.

"Sakinah, kenapa bawak bateri ni? Awak nak pasang kat jam kelas ke? Tapi bateri ni besar sangat, tak muat untuk jam tu."

"Taklah cikgu. Saya beli daripada Lan. RM1 jer."

"Beli? Azlan jual?"

Sakinah mengangguk.

"Kenapa Lan jual bateri ni? Dahlah bateri lama. Entah boleh guna lagi ke tidak ni. Jual pada kawan-kawan pulak." Suaranya makin mininggi. Beremosi.

'Aku tak sangka Azlan yang sebenarnya buat hal. Anak murid kelas aku pulak tu! Apa aku nak jawab dengan pengetua nanti?' Zohriah mula berfikir macam-macam.

Azlan hanya mendiamkan diri. Dia amat takut kerana cikgunya sedang marah. Dia merasakan dia telah melakukan kesalahan yang amat besar.

"Kenapa diam? Lan jual kat siapa lagi bateri ni?" Tanyanya lagi. Masih dengan emosi. Suaranya makin meninggi. Kelas menjadi sepi. Semua murid terhenti daripada pekerjaan masing-masing. Semua mata tertumpu kepada 'drama' yang baru sahaja bermula di hadapan kelas itu. Masing-masing tertanya-tanya.

"Siapa lagi yang ada beli bateri daripada Azlan?" Zohriah bertanya kepada pelajar-pelajar yang lain.

Lima orang pelajar mengangkat tangan. Firasat Zohriah semakin kuat mengatakan yang memang Azlanlah dalangnya. Matanya kembali menatap tajam wajah Azlan yang masih tertunduk.

"Apa lagi yang Lan jual?"

"Dia ada jual bateri lain cikgu. Dia kata bateri tu bateri mahal, dia jual RM5. Boleh caj dia kata." Sampuk Sakinah.

Semakin tersirap darahnya. Anak murid di hadapannya ini membuatkannya sangat tidak keruan. Tanpa berfikir panjang, dia memulas telinga Azlan sekuat-kuat hatinya.

"Kamu ni dah melampau. Jual bateri buruk pada kawan-kawan. Paksa mereka beli. Menyusahkan cikgu je. Cikgu akan beritahu mak bapak kamu!" Kecamnya.

Zohriah lalu bergerak ke meja Azlan. Dia mengasingkan meja Azlan daripada rakan-rakannya. Azlan dibiarkan berseorang dalam lajurnya tanpa teman sebelah.

“Kamu semua jangan tegur Azlan. Biar dia seorang-seorang macam ni. Jangan ubah balik meja ni sampai cikgu beritahu. Ini denda bagi orang yang nakal.” Zohriah memberi arahan kepada anak-anak muridnya.

Murid-murid lain terpinga-pinga.

Nakal? Apa yang Azlan dah buat?’ Fikir mereka.

“Azlan, kamu duduk sini!” Arah Zohriah. Separuh menjerit. Emosinya sudah tidak terkawal lagi.


Azlan lalu begerak ke mejanya yang telah diasingkan. Dia dipulaukan. Anak kecil itu hanya terdiam seribu bahasa. Sebaik sahaja Azlan duduk, Zohriah mengambil buku-bukunya di atas meja dan melangkah keluar.

*****

“Eh, Zoh, termenung apanya kau ni?”

Suara Salwa mengembalikannya ke alam nyata.

“Takde la. Kau ingat kes buli yang pengetua cakap masa meeting hari tu?”

“Ingat. Kenapa?”

“Aku rasa anak murid aku yang buat. Habislah aku. Apa aku nak jawab dengan pengetua nanti.”

“Apa yang kau cakap ni Zoh? Kes tu kan dah selesai. Memang kerja budak-budak darjah 4. Kumar and The Gang. Apa kena mengena dengan anak murid kau pulak?”

Zohriah terkejut bukan kepalang.

“Hah, betul ke apa yang kau cakap ni? Tadi aku baru dapat tau, Azlan tu paksa kawan-kawan beli bateri terpakai dia. Aku ingat dialah dalang semua ni.”

“Azlan? Budak yang Happy-Go-Lucky tu? Dia jual bateri? Kau biar betul Zoh?”

“Betul la. Aku dah tanya dia tadi. Memang muka bersalah habis. Aku pun terus denda dia kat situ juga.”

Zohriah menceritakan apa yang dilakukannya satu-persatu kepada Salwa.

“Aku rasa baik kau check betul-betul Zoh. Kau pun tahu, Lan tu budak baik. Takkanlah dia paksa kawan-kawan dia. Aku rasa ada salah faham ni.”

Zohriah hanya terdiam.



Di kelas 1 Uthman...

Sebaik sahaja Zohriah keluar dari kelas, Azlan dikerumuni oleh rakan-rakannya.

“Apa kau dah buat ni. Kau ni tak habis-habis buat hal. Kau ni memang budak nakal  Aku taknak kawan dengan kau lagi!” Ramli bersuara.

“Bagi balik duit aku. Ambil bateri buruk kau ni. Taknak aku bersubahat.” Jamil meminta kembali wangnya.

“Wek..wek...budak jahat...” Kamil turut mengambil peluang mengutuk.

Azlan tidak berkata apa-apa sebaliknya menekupkan wajahnya ke meja. Dia tidak mampu menahan sedihnya lagi. Air matanya berhamburan. Menangis tidak berlagu. Sedih kerana dimarahi cikgunya belum reda, ditambah dengan kutukan daripada kawan-kawan sekelas. Padahal mereka sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku, cuma terikut-ikutkan tindakan guru mereka. Anak-anak tahun 1, apalah yang difahami mereka.

Kenapa Cikgu Zohriah marah aku? Salah ke jual bateri? Aku bukannya paksa diorang beli pun. Aku jual baik-baik. Sampai hati diorang buat macam ni kat aku. Abah...’ Azlan menangis di dalam hatinya. Teringat akan abahnya yang disayangi.

Tidak lama kemudian loceng berbunyi tanda waktu rehat bermula. Semua pelajar pergi ke kantin untuk makan. Azlan masih kekal di mejanya. Tidak terfikir langsung untuk makan. Dia merasakan dunia amat sempit baginya. Perasaan gembiranya yang dilaluinya setelah mengumpulkan hampir sepuluh ringgit sebagai duit poket tambahan sejak Isnin kelmarin tiba-tiba bertukar menjadi sesuatu yang amat menyedihkan di pagi Khamis itu. Pelbagai kekhuatiran bermain di mindanya.

‘Macam mana kalau Cikgu Zoriah beritahu Mak? Mesti aku kena marah teruk teruk. Mak pun mesti lagi sedih sebab aku buat hal. Apa aku nak buat ni?’ Azlan terus berfikir dalam kesedihannya.



Di bilik guru...

Zohriah termenung di mejanya. Dia masih memikirkan tentang Azlan dan kes buli yang berlaku.

‘Kalau betul bukan Azlan yang buat semua ni, kenapa pula Azlan nak jual bateri di sekolah? Dia tak cukup duit? Baik aku telefon maknya terus. Selesai masalah.’

Lalu dicapainya telefon bimbit di dalam beg tangannya sambil tangan kanannya membuka senarai daftar pelajar kelasnya. Setelah mendapatkan nombor telefon rumah Azlan, dia segera mendail.

“Assalamu’alaikum, boleh saya cakap dengan penjaga Azlan bin Baharuddin? Saya guru kelasnya, Cikgu Zohriah.”

“Wa’alaikumussalam, ya, saya ibunya. Kenapa cikgu? Ada apa dengan Azlan?” Suara ibu Azlan agak cemas, merisaukan apa-apa terjadi kepada anaknya.

“Tenang puan, saya cuma ingin bertanya sesuatu. Berkenaan Azlan.”

“Kenapa dengan anak saya cikgu?”

“Baru-baru ni Azlan jual bateri terpakai di sekolah. Puan tahu apa-apa? Selama ini dia tak pernah buat hal-hal macam ni.”

“Maafkan saya cikgu. Saya rasa dia buat macam tu sebab dia taknak susahkan saya. Saya tak dapat nak beri duit belanja lagi untuk minggu ini. Ayah Azlan baru je meninggal Jumaat lepas. Kemalangan. Rasanya Azlan cuba cari duit belanja sendiri. Dia memang jenis yang berdikari. Maaflah jika tindakannya menyusahkan cikgu. Er, Azlan tak beritahu cikgu tentang ayahnya?”

Jantung Zohriah hampir berhenti berdetak. Perasaan berdosa menjalar ke seluruh jiwanya.

‘Ya-Allah...apa yang aku dah buat?’

“Er, hello, cikgu ada kat situ?” Suara ibu Azlan menyedarkannya.

“Hello, ada. Maaf. Ada gangguan sedikit tadi. Baiklah puan. Tiada apa-apa. Saya cuma nak tanya itu je. Maaf mengganggu. Assalamu’alaikmum.”

“Wa’alaikumussalam.”

Zohriah tersandar di kerusinya. Rasa bersalah yang amat. Dia telah menzalimi seorang anak yatim yang cuba berdikari. Usahanya sepatunya dihargai, tetapi dia telah menghancurkan harapan anak kecil itu. Tanpa disedari air matanya mengalir.



“Hah, ni apasal menangis pulak ni?” Cikgu Salim bertanya. Seperti biasa, acuh tak acuh.

“Eh, takdelah. Mata masuk habuk.” Zohriah mengesat airmatanya.

Dengan segera dia bangkit daripada mejanya dan meluru keluar daripada bilik guru. Langkahnya laju. Kelas 1 Uthman menjadi destinasi. Dalam langkahannya terdengar bunyi loceng tanda masa persekolahan sudah tamat.

Janganlah Azlan balik dulu. Aku mesti jumpa dia,' bisik hatinya. Dia amat berharap Azlan masih belum pulang.

Sesampainya di kelas, kelihatan Azlan sudah menggalas begnya, bersedia untuk pulang. Dengan segera Zohriah memeluk Azlan sepenuh hati.

“Maafkan cikgu...Cikgu yang salah..” Ucapnya dalam linangan air mata.



Pengajaran yang amat bermakna buat dirinya di hari tu. Pepatah Melayu itu terngiang-ngiang di telinganya:
"Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan"






0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^