Cerpen : Menunggu Di Sayup Rindu
Cerpen yang panjang.
Namun ceritanya insya-Allah bermanfaat.
Banyak pengajaran yang boleh diambil.
Mari sama-sama kita ikhlaskan niat.
Terimalah :
Menunggu Di Sayup Rindu
“Im! Jom pergi Convo Square, kita makan tengah hari. Kau dah makan belum?” Malik tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Ibrahim tanpa sebarang signal.
“Hisyh kau ni. Kalau ye pun, bagilah salam dulu. Main sergah-sergah je. Nasib baik aku takde sengguggut, kalau tak pengsan aku!” Ibrahim yang ketika itu sedang membaca buku sambil berbaring di atas katil terus terduduk.
“Hahaha..senggugut ape kejadahnye kau ni Im. Kau ni lelaki ke prempuan. Orang yang terkejut-terkejut pastu pengsan ni setahu aku orang yang ade sakit jantung je. Dahla tu, jomla pergi.”
“Alah, penatlah. Malam nantilah aku turun. Tengah-tengah hari ni panas. Berbaring di atas katil sambil menghabiskan buku Sean Covey : 7 Habits of Highly Effective Teenagers ini jauh lebih bermakna daripada turun ke tapak convo yang panas terik lagi tidak menarik itu..hahaha..” Ibrahim tergelak sendirian. Dia menggunakan ayat baku yang dirasakannya melucukan. Perasan sendiri.
“Alahai Im, yelah, aku paham..aku belanja kau, amacam?”
“Ha..kalau begitu beta setuju! Jap ye, beta pergi menukar persalinan.”
“Huisy, pantang dengar makan free, laju je mamat nih. Cepat-cepat, aku tunggu kau kat bawah. Weh, kau dah solat zohor lum? Eh, lupa, kau senggugut kan? Takleh sembahyang. Haha..”
Mereka berdua tertawa bersama. Persahabatan mereka memang erat. Lagi-lagi mereka sudah ditarbiyah bersama. Cuma masih belum menggunakan kata ganti diri 'ana-anta' seperti mana ikhwah-ikhwah lain yang telah ditarbiyah kerana persahabatan sebelum ini sudah mengakar di dalam diri. Kekok rasanya jika ingin menukar kata ganti diri pertama itu. Namun mereka sering saling ingat mengingatkan antara satu sama lain agar sentiasa terpelihara peribadi muslim sejati yang menjadi impian setiap insan yang mengenal hakikat diri sebagai hamba kepada Allah.
*****
Suasana Convo Square agak padat petang itu. Ahli keluarga serta saudara-mara terdekat datang dengan hati yang berbunga-bunga untuk meraikan graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan kuliah di menara gading. Teriknya panas matahari seperti tidak memberi kesan kepada para pengunjung. Semua sibuk dengan hal masing-masing.
“Nak makan apa ni ye?” Malik bersuara.
“Makan Nasi Ayam jom. Aku sebenarnya apa-apa pun boleh, sebab ada orang nak belanja..”
“Yelah..jom-jom. Dah lapar betul nih. Nasi Ayam pun Nasi Ayamlah. Nanti kalau ada space lagi kita topup lagi..”
“Ceh, makan tu beringatla...orang beriman berhenti sebelum kenyang, makan tu bila lapar je. Bukan selagi leh sumbat, selagi tu tangan menyuap!”
“Ye ye...aku gurau je la. Jom.”
Nasi Ayam Kamal menjadi pilihan. Oleh kerana kelaparan, mereka makan tanpa bicara.
“Dahsyatla Nasi Ayam Kamal ni. Sedap hingga menjilat sudu!”
“Sudu apenye kau ni Im. Aku tengok kau makan guna tangan je, tiba-tiba jilat sudu la pulak.”
“Itulah tanda sedap. Sampai cari sudu nk jilat, sedap sangat. Kau mana paham peribahasa kaum istana ni..”
Malik menjuihkan bibir. Ibrahim meniru mimik Malik. Malik tertawa. Ibrahim memang lucu orangnya. Hanya mereka yang rapat dengannya sahaja yang tahu bagaimana peribadi dirinya. Mereka yang belum mengenalnya seringkali mengatakan Ibrahim seorang yang tegas dan garang daripada raut wajahnya. Terutamanya kaum wanita. Dalam mesyuarat kumpulan ataupun persatuan, Ibrahim sentiasa fokus kepada topik perbincangan.
“DeeJay Corner is on air again! Anybody who want to dedicate anything to anyone can do so at the DeeJay Corner, just beside the main stage!” Tiba-tiba kedengaran suara daripada pembesar suara.
“Eh, Im ade DeeJay Corner la. Jom wat ucapan untuk ikhwah-ikhwah kita nak? Kita mintak dia pasang lagu ‘menerobos’ kegemaran kau tu.”
“Menerobos la pulak kau ni. Tajuk dia ‘Gelombang Keadilan’ la.”
“Tak kisahlah ape pun tajuk dia, tapi lagu tu la. Amacam?”
“Okay gak tu. Biar bergema seruan jihad sikit tapak convo nih.” Ibrahim melirik senyum.
Mereka bergerak ke arah pentas utama. Menuju ke booth DeeJay Corner. Seorang perempuan berada di kaunter. Wajahnya terlindung komputer riba. Tangan kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Mungkin sedang mencari lagu yang dipinta oleh pelanggan. Seorang lelaki sedang mundar mandir di belakang, mengangkat kotak. Ibrahim mengenalnya. Razif. Teman satu kumpulannya ketika Minggu Orientasi dahulu.
“Assalamu’alaikum kak. Kami nak buat ucapan boleh?” Im bertanya.
“Wa’alaikumussalam...kenapalah korang panggil akak-akak ni. Saya ni baru 2nd Year la. Hah, ambil kertas ni, tulis ucapan dan penerima,” Sambil mukanya diangkat, menghulurkan sekeping kertas sebesar tapak tangan kepada Ibrahim.
Pandangan Ibrahim dan wanita itu bertembung. Ibrahim terpaku. Tiba-tiba diam.
“Anis..” Tiba-tiba sebuah nama terpacul dari bibirnya. Separuh berbisik. Fikirannya melayang mengimbau peristiwa lalu.
--------
Ibrahim memerhatikan novel-novel yang berada di atas rak. Mencari kalau-kalau ada novel yang menarik. Matanya tertuju kepada sebuah buku berwarna hitam.
‘Mandatori. Ramlee Awang Mursyid. Mesti best ni. Aku beli la buku ni.’
Sambil membelek-belek buku tersebut, Ibrahim berjalan menuju ke kaunter untuk membayar. Apabila melintasi sebuah rak buku, tiba-tiba, dia dilanggar dari tepi. Dia hanpir terjatuh. Nasib baik sempat berpaut pada rak buku di sebelahnya.
‘Ni anak siapa main kejar-kejar dalam kedai buku ni..’ Rungutnya hatinya.
“Erk, maafkan saya. Saya nak cepat tadi, terlanggar awak. Awak tak apa-apa?”
Ibrahim memandang ke arah suara itu. Milik seorang perempuan.
“Eh, saya tak apa-apa. Salah saya juga, keluar dari celah rak tiba-tiba. Jalan sambil baca buku pulak tu.”
Tiba-tiba mereka saling terpandang buku yang digenggam.
“Awak pun minat Ramlee Awang Mursyid?” Mereka berkata serentak. Lalu terdiam. Masing-masing mengukir senyum. Lalu mengangguk. Mereka menuju ke kaunter bersama sambil bercerita tentang penulis kegemaran mereka.
“Tak sangka boleh jumpa orang perempuan yang minat novel thriller.” Ibrahim menyuarakan.
“Awak ingat lelaki je ke yang minat cerita-cerita macam ni? Perempuan pun minat la. Eh, awak sekolah lagi? Tingkatan berapa?”
“Form 4. Sains Seremban, SASER. Awak?”
“Eh, berjiran rupanya kita. Saya Kolej Tunku Kurshiah, KTK. Nama glamournya TKC. Kenalkan, Ameerah Hanisah. Orang panggil Anis je. Form 4 juga.”
“Aik, kat seremban tak pernah bertemu, tiba-tiba kat MPH Time Square pulak kita buat drama. Macam lagu dalam iklan petronas, Seorang di SASER, Seorang di TKC, Dalam MPH, bikin drama.” Ibrahim meniru lagu iklan petronas.
Anis tergelak kecil. Manis.
“Awak ni kelakarlah. Eh, nama awak?”
“Ops, lupa perkenalkan. Muhammad Ibrahim. Panggil je Im.”
Sekali lagi mereka saling tersenyum.
--------
“Im, apasal kau tercegat je tu. Ambil la kertas tu tulis.” Malek menyiku Ibrahim. Kehairanan melihat tingkah laku sahabatnya itu.
“Eh, takde apa. Aku tengah fikir nak bagi lagu apa tadi.” Ibrahim berdalih.
“Bukan ke kau nak pasang lagu ‘menerobos’ tu tadi?”
“Haah la. Kak, lagu ‘menerobos’ ade tak?”
“Menerobos? Lagu ape tu? Tak pernah dengar pun. Dia ni kan...janganlah panggil saya kak. Saya ada nama la cik abang oi. Panggil saya Anis.”
Ibrahim sekali lagi tersentak. Nama itu lagi.
“Ameerah Hanisah?” Spontan dia bertanya.
“Tak. Nur Anis Emilia. Kenapa?” Pelik tiba-tiba ditanya. Malek turut kehairanan.
“Takde apa-apalah. Lagu tadi tu tajuknya Gelombang Keadilan, Shoutul Harokah, kumpulan nasyid Indonesia.”
“Er, maaflah. Kami tak ada lagu tu. Kami ada nasyid Malaysia aje.”
“Takpe, laptop awak ni ada bluetooth tak? Biar saya send guna handphone saya.”
“Okey. Kejap ye, Anis pasang bluetooth. Okey, hantarlah.”
“Kejap ye.”
“Okey, dah dapat. Nanti Anis mainkan lagu ni. Thanks for dedicating!”
“Your welcome.”
Lalu Ibrahim dan Malik pun beredar daripada booth tersebut.
“Kau kenal ke minah tadi tu?”
“Tak.”
“Habis tu, apasal kau tanya macam kenal?”
“Takde apa-apalah Malik. Eh, jom tengok kedai buku tu, entah-entah ada novel baru kut.” Ibrahim berjalan ke arah booth menjual buku-buku meninggalkan Malek di belakang. Malik semakin kehairanan.
‘Kenapa Im nih?’
*****
“Bling!” Laptopnya mengeluarkan suara. Menandakan ada mesej diterima di Yahoo! Messengger. ID yang tidak dikenali menyapanya. Cahaya_Nisa.
‘Siapa pulak ni?’ Lalu jemarinya menaip.
Ya?
Im, ni Anis. Ingat lagi tak?
‘Anis? Gulp!’ Mukanya memerah. Nasib baik hanya berseorangan di bilik ketika itu. Sesiapa yang ada di sekitarnya pasti perasan akan perubahan itu. Dia amat sensitif dengan nama itu. Setiap kali terdengar nama itu pasti kenangan silamnya kembali betamu di mindanya.
Hello, Im, ada kat situ tak?
Ada-ada. Er, Anis mana ye?
Alah, yang jadi DeeJay masa convo haritu. Anis dapat ID Im daripada Ajib. Maaflah mengganggu.
Tak apa. Kenapa Anis?
Tak, nak tanya sikit pasal agama. Ajib kata Im teror bab-bab agama ni.
‘Ni Ajib dah jual cerita apa pasal aku ni.’ Di benaknya terbayang wajah temannya itu tersengih. Memang dirinya sering dirujuk tentang bab-bab agama. Ibrahim merupakan salah seorang aktivis dakwah yang aktif di kampus mereka. Universiti Teknologi Petronas, UTP ataupun di kalangan aktivis dakwah lebih dikenali sebagai Universiti Tarbiyah Pendakwah. Ibrahimlah yang menamakannya. Bahkan dia dan Malik telah menggubah lagu universiti menjadi lagu universiti tarbiyah.
Tak adalah. Sikit-sikit boleh lah.
Bagus la Im ni kan, merendah diri. Ni nak tanya, ada tak ayat Al-Quran yang cerita tentang Teori Big Bang? Saya nak buat assignment Islamic Studies tentang Sains & Al-Quran.
Owh, ada. Surah Al-Anbiya’, surah ke 21, ayat ke 30.
Hah, senang tanya Im. Sekejap je dah dapat. Anis search kat internet tak jumpa-jumpa. Im hafal Quran ke?
Tak ada lah. Biasa baca je. Taulah sikit-sikit.
Thanks. Nanti kalau ada apa-apa nak tanya Anis contact Im lagi ye. Boleh kan?
Boleh je. Apa yang mampu la.
Ok. Bye. Salam.
Wa’alaikumussalam.
Hati Ibrahim bergetar hebat. Sekian lama tidak berinteraksi dengan wanita seperti itu. Dia kembali terbayang wajah Anis. Segera disingkirkannya.
“Astaghfirullah...kenapa aku asyik terfikir pasal dia ni?”
Ibrahim memuhasabah dirinya. Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Tanda mesej masuk. Dicapainya Sony Ericsson K800i itu. Nombor yang tidak dikenali. Lalu dibuka.
Im, sorry kacau lagi. Dah off YAHOO! MESSENGER. Nak tanya lagi ni. Pasal peredaran planet di orbitnya, ada ayat Al-Quran tak?
‘Aiseh, ni mesti Ajib pergi bagi nombor telefon aku sekali nih. Suka-suki dia je jual nombor aku.’
Ada, dalam Surah Yasin. Surah ke 36, ayat 38. Tu cerita pasal matahari beredar di garis edarnya. Nanti Saya bagi senarai-senarai ayat Al-Quran yang berkaitan pasal sains ye. Saya send kat email.
Ok, thanks.
Hari demi hari Anis semakin kerap menghubungi Ibrahim. Daripada bertanya masalah pelajaran, membawa kepada hal-hal yang umum. Daripada masalah fiqh hinggalah ke masalah peribadi. Keramahan Anis pada mulanya membuatkan Ibrahim gelisah. Namun setelah berbalasan berpuluh-puluh sms dan berjam-jam berbual di YAHOO! MESSENGER, Ibrahim sudahpun menganggapnya biasa. Terkadang, dia juga berlawak dengan Anis. Ketika terfikir apa yang dilakukannya salah, dia memujuk dirinya dengan berfikir,
‘Dia ni ada potensi untuk jadi lebih baik. Minatnya pada agama perlu dimanfaatkan sebaiknya. Aku perlu bimbing dia.’
Dan memang itulah yang terjadi. Ibrahim bijak mengatur arah perbincangan, menerangkan tentang hakikat kehidupan, siapakah sebenarnya diri kita, tujuan hidup dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Anis semakin banyak berubah. Penampilannya juga semakin baik. Mula memakai pakaian yang longgar. Ibrahim merasakan usahanya tidak sia-sia.
‘Aku akan bimbing dia betul-betul.’ Bisik hatinya.
Ibrahim bertambah ceria di hari-harinya. Dan Malik adalah orang yang paling menyedari perubahan itu. Dia amat mencurigai perubahan Ibrahim. Lalu tergerak hatinya untuk menziarahi bilik Ibrahim.
Pintu bilik diketuk. Tiada jawapan. Lalu tombol pintu dipulas. Ibrahim tiada. Laptop di atas meja menyala. Sebuah window Yahoo! Messengger kelihatan di skrin. ID : Cahaya_Nisa.
Im, hari ni Anis sedih betul. Kucing Anis, Shiro dah takde.
Im, ade tak tu?
BUZZ!!!
BUZZ!!!
BUZZ!!!
Im...
‘Aik, anis? Siapa ni? Nampak macam rapat betul dengan Im. Adik dia?’
Lalu Malik memberanikan diri untuk membaca recent messages. Ditelitinya satu demi satu.
‘Haih, sampai warna kegemaran dan makanan kegemaran pun nak cerita ni kenapa?’Malik semakin curiga. Terus membaca. Lalu terbaca gurau senda antara Im dan Anis. Tidak menggambarkan seorang aktivis dakwah. Malik seakan-akan tidak percaya.
‘Betulke apa yang aku tengok ni? Im bercinta?’ Duganya. Dia berharap apa yang difikirkannya itu tidak benar. Dia menutup kembali mesej-mesej tersebut lalu berbaring di atas katil Ibrahim. Terasa tubuhnya lemah tak bermaya. Tiba-tiba Ibrahim masuk.
“Eh, Lek, bila kau datang? Tiba-tiba dah ada atas katil aku.” Ibrahim segera ke komputer dan menutup window chat Anis.
“Baru je. Tengok kau takde, aku baringlah atas katil kau ni. Kau pergi mana?”
“Turun blok sebelah jap, jumpa Azman. Bayar hutang.”
“Im, aku tengok kau ceria semacam je kebelakangan ni.”
“Eh, tak adalah. Biasa je.”
“Aku tengok kau asyik-asyik dengan handset kau tu. Kau main SMS dengan siapa?”
“Mana ada orang lain. Aku SMS mad’u aku la.” Suaranya sedikit gugup.
“Im, aku kenal kau. Kalau SMS mad’u bukan macam ni rupanya. Ni dah macam orang tengah bercinta je aku tengok.”
“Apa yang kau cakap ni Lek..mana ada.”
“Afwan Im, aku dah terbaca chat kau dengan Anis.”
“Erk...”
“Im...” Malik bersuara lirih.
Im hanya tertunduk. Dia tidak mampu berdalih lagi di depan Malik.
“Im...aku hormat kau. Kau yang kenalkan aku dengan tarbiyah ni. Kau patut lebih faham tentang interaksi lelaki dan perempuan. Dulu kau yang terangkan kat aku. Sampai aku clash. Macam kau clash dulu. Tapi aku tak paham, kenapa kau kembali buat benda ni? Takkan kau nak jadi golongan yang Allah murkai? Tau cakap, tapi tak buat? ” Malik benar-benar tidak boleh menerima hakikat yang dihadapinya itu. Diungkapkan ayat 2 dan 3 daripada Surah As-Saaf.
Ibrahim hanya terdiam.
“Mana pemahaman kau tentang hadith Rasulullah yang kau bacakan dulu? Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti. Aku sampai hafal hadith ni sebab kau yang terang kat aku dulu.”
Ibrahim ditembak bertubi-tubi.
“Malik..biar aku jelaskan. Kau ingat masa aku cerita kat kau pasal aku clash tu, yang lepas tu kau pun clash gak? Kau ingat cerita tu?”
“Mestilah ingat. Kau mula sedar hakikat percintaan lepas ikut halaqoh kat sekolah dulu. Lepas tu jumpa awek kau, mintak clash. Cerita kau tu aku siap buat cerpen lagi kau tahu.”
“Aku tahu. Selalu aku baca blog kau. Tapi sebenarnya Lek, cerita tu tak habis.”
“Tak habis? Maksud kau?”
--------
Petang yang tenang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dataran Putrajaya dikunjungi pelbagai pelancong tidak kira usia dan bangsa. Kelihatan dua pasangan berjalan beriringan. Rapat, tetapi masih mempunyai jarak.
“Awak, jom kita pergi tepi tasik. Pemandangan kat sana cantik.” Anis mengajak. Ibrahim hanya mengikut tanpa kata-kata. Mukanya tidak ceria seperti biasa.
Mereka memerhatikan tasik yang terbentang luas. Indah. Ditambah dengan keunikan binaan jambatan serta bangunan yang berdiri megah. Sesiapa yang menghadiri pasti akan tertarik dengan keindahannya. Ibrahim dan Anis sepi tanpa bicara. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Awak kata ada benda nak cakap dengan saya petang ni. Apa dia?” Anis memecah kesunyian.
Ibrahim memandang wajah Anis seketika. Lalu kembali memandang ke arah tasik.
“Awak nak tahu ke?” Ibrahim bertanya.
“Mestilah nak. Awak dah ajak datang sampai sini, lepas tu taknak cakap pulak.”
“Saya takut awak tak boleh terima.” Suara Ibrahim bergetar.
“Im, kenapa ni..cakaplah.” Anis mula kehairanan.
“Anis, saya rasa lebih baik kita putuskan hubungan kita ni.”
“Kenapa!?” Suara Anis separuh menjerit. Dia amat terkejut dengan penyataan Ibrahim.
“Sebenarnya hubungan kita ini tidak dibenarkan dalam Islam. Selagi kita tiada apa-apa hubungan yang sah, kita tidak boleh bercinta seperti ini. Saya dah sedar. Selama ni kita silap. Apa yang kita buat ni menghampiri zina! Maksiat! Dosa!”
“Apa awak cakap ni!? Mana ada kita buat maksiat. Kita tak pernah bersentuhan pun. Ke ini cuma alasan awak? Awak dah ada yang lain?” Anis masih tidak percaya.
“Tidak Anis. Bukan sebab tu. Memang apa yang kita buat ni salah. Zina ni ada macam-macam. Ada zina betul. Itu memang kita tak buat. Tapi ada zina mata, zina telinga, zina lidah, zina kaki, zina tangan, dan zina hati. Semua itu yang kita dah terlanjur buat.”
“Jadi? Kita clash?”
“Itulah yang terbaik.”
Anis terdiam. Dia memahami hakikat yang Ibrahim memang ingin menamatkannya di situ. Tetapi dia tidak mampu menerima hakikat yang mereka perlu berpisah. Air matanya berguguran. Dia menekupkan mukanya menghadap ke tasik. Tangisnya mulai kedengaran.
“Maafkan saya Anis. Sampai di sini sahaja. Hari ni hari terakhir kita bersama. Saya harap lepas ni kita tak perlu berjumpa dan berhubung lagi.”
Anis terus menangis. Mukanya masih ditekupkan. Ibrahim tidak sanggup untuk terus melihat keadaan itu. Jiwa lelakinya terusik.
“Anis, saya tunggu awak kat kereta. Saya hantar awak balik.”
Ibrahim menuju ke arah kereta. Matanya turut berair. Jiwanya juga sukar untuk menerima hakikat itu. Berat sungguh hatinya untuk menyampaikan kebenaran, namun digagahi jua. Dia bersandar di but Honda Civic 1.6 milik ayahnya itu. Memori memutarkan saat-saat indah yang dilalui bersama Anis. Ibrahim menangis sendirian.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Mesej masuk. Anis.
Awak, terima kasih atas layanan awak selama ni. Saya minta maaf atas segala salah silap saya selama kita bersama. Namun saya masih tidak mampu menerima hakikat ini. Maafkan saya. Selamat tinggal Im.
‘Ni kenapa lain macam je mesej dia ni?’
Sudahlah tu, mari saya hantar awak balik.
Ibrahim terus menunggu Anis di kereta. Namun kelibat Anis tidak juga kelihatan. Tiba-tiba dia terdengar perbualan pemandu kereta di sebelahnya.
“Weh, ada orang terjun tasik. Gila agaknya.”
“Putus cinta kut. Mati ke?”
“Entah, tapi aku dengar siap berdarah lagi.”
Ibrahim amat terkejut mendengar perbualan itu. Dia berlari sekuat hati menuju ke arah tasik.
‘Anis, apa yang kau buat ni!? Janganlah kau yang dimaksudkan mereka. Ya-Allah, bantulah hambaMu ini.’ Desis hatinya.
Sesampainya di tepi tasik, kelihatan ramai orang sedang berkerumun di tebing. Ibrahim meluru masuk untuk melihat ke dalam tasik. Kelihatan seorang perempuan terapung di permukaan air. Baju putihnya telah memerah diwarnai darah.
“Anis!!!!!!!”
Kakinya dirasakan amat lemah sekali. Ibrahim terduduk. Langit seakan-akan runtuh menghempapnya.
--------
“Jadi awek kau tu bunuh diri?” Malik ingin kepastian.
“Ya. Kepala dia terhantuk ke batu sebelum masuk ke dalam air. Masa dia dikeluarkan dari air, dia dah tak bernyawa.” Ibrahim bersuara lemah. Matanya mengalirkan air mata.
“Sabar Im. Aku faham perasaan kau. Mungkin kau masih rasa bersalah. Tapi, aku tak paham, apa kaitan cerita lama kau ni dengan apa yang berlaku sekarang ni?” Malik masih cuba menyambung jalan cerita yang kelihatan tidak selari.
“Awek aku dulu tu nama dia pun Anis. Ameerah Hanisah. Muka dia pun memang sebijik dengan Nur Anis Emilia yang jadi DeeJay masa convo hari tu.”
Malik mengingat-ingat kelakuan Ibrahim kelmarin. Simpulan teka-teki yang bermain di fikirannya kini terurai.
“Jadi kau rasa Allah pertemukan kau dengan Nur Anis Emila untuk beri kau peluang kedua?”
“Lebih kurang macam tu lah. Aku tak bercinta dengan dia. Aku cuma nak bimbing dia je. Harap dia pun boleh jadi salah seorang pejuang Islam.”
“Im, niat kau memang baik. Tapi cara kau ni dah salah. Memang Anis tu boleh dibimbing. Tapi cara yang kau guna ni tak selari dengan syariat.”
“Maksud kau?”
“Cuba kau tanya balik hati kau. Masa kau berhubung dengan Anis, betul ke yang kau memang ikhlas nak bimbing dia kepada Allah?”
“Mestilah.”
“Setiap masa, saat dan ketika?”
Ibrahim terdiam dan berfikir.
‘Betul kata Malik. Hati aku tak ikhlas nak bimbing dia. Banyak masa yang aku dan Anis hanya berbual-bual kosong dan melayan perasaan je. Hati aku bermaksiat. Astaghfirullah..’
“Kita lelaki Im. Kita takkan mampu melawan fitrah. Allah dah menetapkan, nafsu manusia paling tertarik kepada lawan jenisnya. Lelaki amat tertarik kepada wanita.”
“Kau betul. Surah Ali ‘Imran ayat 14.”
“Hah, kau pun hafal. Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang dinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. Perempuan diletakkan di tempat yang pertama dalam senarai tu. Mesti ada sebabnya.” Malik menerangkan maksud ayat ke 14 daripada surah Ali-Imran.
“Jadi, macam mana nak buat?”
“Kita kan hidup berjemaah. Yang perempuan, kita mintak akhwat kita uruskan. Mereka lebih sesuai untuk membimbing Anis.”
“Em. Insya-Allah akan aku usahakan.” Suara Ibrahim lemah.
“Kau masih terkenang kisah lama ke?”
Ibrahim mengangguk.
“Jangan banyak fikir Im. Kau doakan semoga Allah mengampunkan dosa Anis kau tu. Mungkin masa tu dia tengah tak tenang. Fikiran dia bercelaru. Dia bunuh diri dalam keadaan tidak sedar. Allah tak hukum orang atas kesilapan yang tidak disengajakanya. Ingat ayat terakhir Surah Al-Baqarah, yang kita selalu baca dalam Al-Ma’thurat tu.”
“Em, tapi aku rasa bersalah. Dia bunuh diri sebab aku.”
“Tenang Im. Bukannya kau yang suruh dia bunuh diri. Kau tak pernah harap pun dia akan buat perkara bodoh macam tu. Banyakkan istighfar dan berdoa Im.”
“Insya-Allah.”
“Im.”
“Ya?”
Malik memeluk Ibrahim. Dakapannya kuat. Ibrahim turut memeluk Malik.
“Maafkan aku sebab meninggi suara pada kau tadi. Aku sayangkan Ikhwah aku. Aku taknak kau kembali ke lembah maksiat.”
“Aku paham Malik. Terima kasih atas teguran kau. Insya-Allah aku akan perbaiki diri. Memang sekarang ni aku rasa aku dah banyak lari daripada syariat. Aku akan kembali menjaga keaslian peribadi Da’i aku. Doakan aku Lek.”
“Setiap masa.”
“Im?”
“Ya?”
“Aku nak buat cerpen cerita kau ni boleh?”
“Tak boleh.”
“Kenapa?”
“Ayat kau tak best. Biar aku tulis sendiri.”
“Ceh.”
*****
“Tok tok tok” Bunyi Yahoo! Messenger menandakan ada rakan online. Ibrahim melihat ke bucu skrin. ID Anis menyala. Lalu dia membuka tetingkap untuk memulakan chat dengan Anis. Hatinya tekad.
Assalamu’alaikum...
Wa’alaikumussalam..Im, pekaba?
Sihat je, Alhamdulillah. Anis, try baca artikel ni.
Ibrahim menghantar file Microsoft Word Bertajuk ‘Ikhtilat.’
Ikhtilat? Apa tu?
Baca la dulu.
Anis tidak lagi membalas mesej. 10 minit berlalu.
Dah baca.
Faham?
Faham la juga. Ikhtilat ni percampuran antara lelaki dan perempuan. Dalam Islam pergaulan ini ada batas-batasnya.
Betul tu. Lelaki dan perempuan tidak patut berhubung melainkan ada hal yang benar-benar perlu. Kebersihan hati perlu dijaga.
Jadi...macam mana dengan kita ni? Anis rasa kita tersilap dalam berhubung selama ni. Banyak gurau-gurau je.
Em, kita tak sesuai nak berbincang-bincang banyak, sebab kita bukan mahram. Susah nak jaga hati.
Jadi? Lepas ni Anis tak boleh contact Im lagi? Pada siapa Anis nak tanya hal-hal agama lagi? Selama ni Im dah banyak bimbing Anis.
Im ada kawan usrah bahagian perempuan. Kalau Anis betul-betul perlukan bimbingan, Anis contact dia. Insya-Allah dia boleh membimbing Anis dengan lebih baik. Lagipun, perempuan lebih memahami perempuan.
Em, kalau macam tu baiklah. Bagilah no telefon dia.
Nanti Im hantar SMS.
Ok, thanks.
Your welcome. Semoga lepas ni Anis akan dibimbing dengan lebih baik. Assalamu’alaikum..
Wa’alaikumussalam.
Lalu Ibrahim membuang nama Anis daripada Friend’s List Yahoo! Mesessengernya. Dia tidak mahu kembali menghubungi Anis. Hatinya tidak kuat untuk bertahan sekiranya mereka terus berhubung dan berbual-bual.
‘Ya-Allah. Ampunkan aku atas keterlanjuranku ini. Aku telah mengunakan nama dakwah untuk memenuhi kehendak nafsu. Aku tidak ikhlas dalam membimbing Anis selama ini.Bantulah aku untuk memperbaiki diriku. Jadikanlah aku Da’i sejati.’ Ibrahim memanjatkan doa.
Malam itu sebelum tidur, Ibrahim menghabiskan bacaan Al-Qurannya. Smbil duduk di atas katilnya, dia masih meneruskan bacaannya. Namun dia tidak mampu melawan rasa mengantuk. Ibrahim tertidur. Al-Quran kecilnya terlepas daripada pengangannya.
Ibrahim terkejut melihat dua perempuan itu berdiri di hadapannya. Wajah mereka seiras. Hampir tidak dapat dibezakannya. Nur Anis Emilia dan Ameerah Hanisah masing-masing tersenyum kepadanya. Lalu Nur Anis Emilia melangkah ke hadapan dan menghulurkan Al-Quran kecilnya kepadanya.
Tiba-tiba Ibrahim tersedar. Jam menunjukkan 3.30 pagi.
“Astaghfirullah! Aku mimpi.” Ibrahim berkata kepada dirinya sendiri.
Lalu dia segera bangkit dan bergerak ke bilik air. Dia ingin solat malam. Dalam solatnya dia berdoa agar dosanya dan Anis yang telah membunuh diri 3 tahun yang lalu diampunkan. Dia juga mendoakan Anis yang baru dikenalinya itu dapat mengecap nikmat tarbiyah dan dibimbing menelusuri jalan dakwah. Dalam hatinya dia masih sukar melupakan kedua-dua Anis itu. Ibrahim terus berdoa. Memohon secebis kekuatan dan keteguhan bagi mengharungi cabaran kehidupan yang mendatang.
*****
Masa berlalu dengan pantas. Sudah hampir setahun Ibrahim tidak menghubungi Anis. Ibrahim sudah semakin matang dalam pergaulannya. Kini dia di tahun 3. Dia juga sudah mempunyai usrah-usrah yang dipimpinnya sendiri. Dia sentiasa menyibukkan dirinya dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah agar hatinya tidak terfikir akan Anis. Malik banyak membantunya.
Selepas sesi halaqohnya,
“Akh, ana ada benda sikit nak cakap dengan antum.” Ujar murobbi Ibrahim. Halaqoh malam itu di Tronoh, di rumah murobbinya.
“Kejap ye akh, ana beritahu Malik.”
“Lek, kau gerak dulu dengan Fazley ye. Aku ada hal sikit nak bincang dengan murobbi kita ni.”
“Hah, mesti kau ade wat masalah lagi ni. Siaplah kau kena marah.” Malik mengacah.
“Alah, takde apa-apalah. Dia nak mintak tolong je kut.”
“Okay, aku gerak dulu. Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumussalam. Jangan kunci pintu, aku terlupa bawak kunci.”
“Nak kunci juga!” Gurau Malik.
Ibrahim tersenyum melihat telatah Malik. Lalu dia kembali masuk ke dalam rumah.
“Kenapa akh? Apa yang antum nak bincangkan?”
“Macam ni. Ada akhwat khitbah antum.”
“Hah? Khitbah?” Jantung Ibrahim seperti berhenti berdegup. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang baru didengarinya.
“Haah, antum dah bersedia nak menikah?”
“Ana okay je. Masalahnya parent ana la. Diorang tak bagi. Dulu dah pernah mintak dah.”
“Berapa lama lagi?”
“Dua tahun lagi la kut. Lepas grad. Akh, ni betul-betul ke antum bergurau je ni akh?”
“Ya-Allah, antum ingat ana main-main ke? Ni ana tunjuk mesej akhwat tu.” Sambil mengeluarkan telefon bimbitnya daripada saku. Namun dimasukkannya semula.
“Nanti kantoi pulak siapa akhwat tu. Antum belum confirm lagi.” Kata murobbinya.
“Betul juga. Baik ana tak tahu dulu. Tapi ana memang tak kisah nak nikah, masalahnya Cuma parent ana je la.”
“Antum cuba tanya parent antum baik-baik dulu. Kalau memang tak boleh, ana beritahu akhwat tu.”
“Insya-Allah, nanti ana cuba. Ana balik dulu ye akh. Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikumussalam Warahmatullah.”
Ibrahim menghidupkan Honda Wavenya. Dia masih belum percaya akan berita yang didengarinya.
‘Ada akhwat yang nak nikah dengan aku? Biar betul? Siapa ya? Aku bukannya kenal mana-mana akhwat kat UTP tu. Macam mana tiba-tiba ada yang nak kat aku? Jangan-jangan Anis? Dia dah ikut halaqoh. Dia kut akhwat tu. Macam mana dia sekarang ya?’
“Astaghfirullah..” Spontan bibirnya mengucap istighfar. Dia tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan.
Motor terus dipecut memasuki universiti tercinta. Village 3 menjadi destinasi. Setibanya di bilik, Malek sudah lena di atas katil. Dia sudah berpindah ke bilik Malik. Mudah untuk belajar dan pergi ke kuliah bersama-sama. Dalam masa yang sama, dia lebih terjaga kerana ada yang dapan menasihatinya.
Dia kembali terfikir akan kata-kata murobbinya. Dia masih sukar untuk mempercayainya. Lalu dia menghantar SMS.
Akh, tolong foward mesej akhwat tu boleh?
Setelah beberapa ketika, mesej yang ditunggu sampai. Berdebar hatinya hendak membuka.
Salam akh. Untuk mengelakkan maksiat dan menjaga kesucian jalan dakwah ini, ana mengambil keputusan untuk bernikah. Dan ana mengkhitbah Akh Ibrahim. Maafkan ana jika cara ini salah dan jika belum sampai masanya, nasihatilah ana supaya bersabar dalam dalam keimanan dan ketaatan.
Ibrahim tersandar di kerusnya. Perasaannya menjadi tidak tentu hala. Dia sendiri tidak mengetahui apa yang sebenarnya yang sedang dirasakannya saat itu. Serba salah? Malu? Bahagia? Gembira?
‘Ya-Allah, bantulah aku untuk menghadapi semua ini.’
Wudhu’ diambil. Sejadah dihamparkan. Solat malam didirikan. Ibrahim mengadukan segalanya kepada Allah yang Maha Mendengar.
*****
Hujung minggu itu Ibrahim mengambil peluang untuk pulang ke rumahnya. Kebetulan hujung minggu itu tiada aktiviti dakwah yang disusun untuknya. Ada dauroh untuk ikhwah baru, tetapi dia telah meminta Malik untuk menguruskannya.
--------
“Lek, aku nak kena balik la hujung minggu ni. Aku nak jumpa mak aku.”
“Hah, kenapa? Nak mintak kahwin?”
“Aik, mana kau tahu?”
“Aku saje je teka. Betul ke?”
“Banyak la ko. Mak aku kan tak bagi lagi.”
“Mana tahu kalau kali ni dia bagi.”
“Kalau..”
“Doalah lebih-lebih sikit. Insya-Allah dapat.”
“Kau doakanlah. Doa orang terzalimi kan makbul.”
“Ceh, kau nak cakap kau makan aku punya roti tadi tu menzalimi aku la?”
“Tak, aku basuh baju guna 50 sen kau tadi, tak cakap kat kau lagi.”
“Weh, tak guna punya Im. Dahlah aku kumpul lama duit tu. Sekali kau guna pulak. Ni memang terzalimi nih. Ni yang aku nak doa nih. Ya-Allah, cepatkanlah sahabatku Muhammad Ibrahim ni bernikah.”
“Amin..”
Mereka tertawa bersama. Namun hanya Ibrahim yang mengetahui apa yang sebenarnya sedang dihadapinya. Pinangan daripada akhwat yang tidak diketahui identitinya. Namun dirinya kuat merasakan yang itu adalah Anis. Dia tidak pernah menghubungi Anis sejak kali terakhir berhubung menggunakan Yahoo! Messenger setahun lalu. Dirinya resah untuk menghadapi ibunya. Berkali-kali sudah dia melakukan solat hajat dan istikharah. Lalu minggu itu dia mengambil keputusan untuk menemui ibunya juga.
--------
“Ibu, tengah buat apa tu?”
“Menanda buku anak-anak murid ni ha. Kenapa?” sambil tangan kanan ibunya yang memegang pen merah itu bergerak-gerak di atas buku tulis di atas meja. Sesekali dia membetulkan letak kaca matanya.
“Banyak lagi ke?”
“Dah nak habis dah ni. Kenapanya kamu nih?”
“Takpelah bu, ibu habiskan tanda dulu, nanti Im datang balik.”
“Tak payah. Dah habis dah ni. Apa yang kamu nak cakap ni Im? Serius betul gayanya?” Kata ibu Im sambil melucutkan kaca matanya. Diletakkan di dalam kotak cermin mata.
“Macam ni ibu.”
Im terdiam sebentar. Dia memilih kata-kata yang sesuai untuk memulakan. Hatinya sedikit resah.
‘Macam mana nak cakap ni. Boleh ke dia terima? Takpelah, tanya je. Bukan mati pun. Aku dah prepare lama dah ni.’
“Mula-mula, Im mintak ibu tenang-tenang dulu ye. Kurangkan beremosi. Nabi kata, sabar itu sebahagian daripada iman.”
“Yelah, Ibu tenanglah ni. Apanya yang kamu nak cerita sebenarnya ni..?”
“Ibu, Im rasa Im nak menikahlah ibu.”
“Itu lagi. Kan ibu dah kata, lepas grad nanti kamu nikahlah.”
“Cabaran hidup kat universiti tu kuat ibu, Im tak kuat. Nyaris Im bercouple semula. Nasib baik Malik sempat tegur, kalau tak Im hanyut lagi.”
Ibu Im tahu tentang anaknya itu pernah bercinta dan meninggalkan dunia itu. Sebabnya juga dia tahu, kerana agama, kerana anaknya itu tidak mahu menghampiri zina. Namun ibunya tidak mengetahui kisah kematian Anis. Bahkan tidak mengenali Anis. Yang mengetahui kisah itu hanyalah Malik dan mereka yang berada di sekitar tasik itu pada hari kejadian. Surat khabar turun menyembunyikan kisah itu bagi mengelakkan kekurangan pengunjung dan menjaga nama baik tempat rekreasi tersebut.
“Hah, dengan siapa pula kamu kali ni? Dah ikut usrah pun boleh nak bercinta lagi? Mesti budak perempuan tu cantik kan?”
“Cantik tu boleh tahan lah. Itulah Im kata, susah nak hadapi cabaran hidup zaman remaja kat universiti tu.”
“Kamu dah ada duit ke? Nak kahwin ni banyak guna duit.”
‘Hah, macam ada peluang.’
“Duit Im bisnes-bisnes Al-Quran dan jual lencana Brotherhood Arts tu campur dengan duit simpanan adalah dalam RM7,000. Rasanya cukup.”
“Mana cukup tu Im. Kurang-kurang kena RM10,000 lebih. Nak kenduri, hantaran lagi.”
“Im rancang macam ni ibu. Nikah dulu. Buat majlis kecil-kecil. Kami terus belajar macam biasa. Hidup guna duit biasiswa. Im akan beri nafkah semampu Im. Pasal anak, insya-Allah kami merancang semampu kami. Banyak cara yang boleh diguna untuk merancang kehamilan. Sementara habiskan kuliah kami akan kumpul duit sama-sama. Nanti lepas grad bolehlah buat kenduri, insya-Allah.”
“Hah, kamu ni cakap macam dah ada calon je? Ye ke?”
“Ini yang ibu nak kena dengar ni. Anak ibu ni dah ada orang yang minat.”
“Maksud kamu?”
“Ada kawan yang ikut usrah dah merisik dengan Im. Dia SMS pada naqib Im, cakap dia nak pinang Im.”
“Hah? Siapa dia?”
“Entah, tak kenal lagi.”
“Lah..kamu ni betul-betul ke main-main.”
“Betullah ibu. Im taknak kenal lagi sebab Im belum boleh dapat nikah lagi. Im tak beri jawapan lagi pada dia. Ni yang balik jumpa Ibu ni.”
“Patutnya kamu tanyalah dulu siapa orangnya.”
“Im tak berani ibu. Kalaulah tak jadi, kan huru-hara jadinya. Lagi tak tenang hati Im, tau ada orang yang minat pada Im. Kalau terjumpa nanti lagilah pening kepala. Baik tak payah tahu.”
Ibu Ibrahim terdiam. Lama juga diamnya. Kelihatan berfikir. Ibrahim berdebar menunggu. Setelah seketika barulah ibunya bersuara.
“Nantilah ibu bincang dengan ayah kamu.”
Setelah meminta izin daripada ibunya, Ibrahim meninggalkan ibunya lalu pergi ke biliknya di tingkat atas. Usaha telah diletakkan. Doa sudah berkali-kali dipanjatkan. Kini hanya tawakkal menjadi pilihan. Hatinya dipasrahkan sepenuhnya kepada Allah penguasa sekalian alam.
*****
Telefon bimbit Sony Ericsson K800i memainkan lagu Khilafah Islamiyyah dendangan kumpulan IRA, sebuah kumpulan nasyid Indonesia. Ibrahim tersedar lalu mematikan loceng telefon bimbitnya. Jam menunjukkan 4.35 pagi. Dia segera bangkit menuju ke kamar mandi untuk berwudhuk. Pagi itu terasa amat nyaman. Seakan-akan pagi itu ingin mengkhabarkannya berita gembira yang ditunggu-tunggunya. Sejadah dihamparkan. Ibrahim menunaikan solat tahajjud, taubat dah hajat. Dia berdoa agar Allah memberikannya kemudahan dalam setiap urusannya.
‘Ya-Allah, seandainya pernikahan itu adalah jalan yang terbaik buat iman dan taqwa serta dakwahku, maka permudahkanlah aku kepadanya. Namun seandainya ia bukanlah yang terbaik buatku, aku tahu bahawa sesunggunya Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaMu, maka tabahkanlah hatiku dalam menempuh apa sahaja yang Engkau telah taqdirkan untukku.’
Ibrahim larut dalam munajatnya.
Selepas solat subuh dan membaca Al-Ma’thurat, Ibrahim kelihatan lebih tenang. Wajahnya kelihatan yakin. Dia percaya yang perbincangan antara ibu dan ayahnya pasti membuahkan keputusan yang terbaik. Dan buat dirinya, dia amat yakin bahawa pernikahan merupakan solusi terbaik bagi masalah zaman remaja yang dihadapinya. Mata yang sukar ditundukkan, keinginan diri yang sukar dibalikkan, dan gelora hati yang sukar ditenangkan. Semua itu bakal diselesaikan melalui pernikahan. Bukankah itu sabda nabi akhir zaman :
"Wahai generasi muda ! Bila diantaramu sudah mampu menikah hendaklah ia nikah, karena mata akan lebih terjaga, kemaluan akan lebih terpelihara." (HR. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas'ud).
‘Insya-Allah, Allah akan membantuku. Allah itu mengikut persangkaan hambaNya. Fikirkan yang positif.’
Ibrahim mengulang-ulang kalimat itu dalam benaknya. Dia membayangkan yang ibu dan ayahnya tersenyum sambil memberi keizinan kepadanya untuk menyempurnakan sebahagian daripada agama. Dia membayangkannya berkali-kali.
“Abang Im! Maharaja dan Maharani panggil menghadap!” Suara Uzair menghentikan lamunannya.
“Maharaja? Maharani? Ni mesti dah ketagih tengok cerita cina petang-petang ni. Panggil ke mana?” Ibrahim tersentak, namun cuba mengawal dirinya.
“Baginda menunggu di bilik tidur.”
“Ha, lain kali nak guna bahasa istana, belajar dulu. Orang tak pakai bilik tidur. Kamar peraduan!” Ibrahim kembali mengenakan adik bongsunya.
“Peraduan? Tu bukan pertandingan ke?”
“Pergi tengok kamus.” Sambil tersenyum Ibrahim meninggalkan adik bongsunya terpinga-pinga sendirian.
Hatinya kembali berdebar. Umpama berjalan ke mahkamah. Persidangan kes permohonan pernikahan Muhammad Ibrahim bin Badiuzzaman. Hakimnya adalah Encik Badiuzzaman dan jurinya Puan Halimah. Ibrahim cuba menenangkan dirinya dengan istighfar dan berselawat. Ibrahim berdiri di hadapan pintu bilik tidur ibu dan ayahnya.
‘Ya-Allah, permudahkanlah urusanku. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapinya.’
Ibrahim memulas tombol dan melangkah masuk. Terlihat ibu dan ayahnya sedang duduk bersila bersebelahan di atas lantai. Dia mengambil kedudukan di hadapan mereka.
“Ibu kamu dah cerita semuanya pada ayah semalam. Kami pun dah bincang panjang lebar tentang hal ini.” Encik Badiuzzaman memulakan bicara. Suaranya serius.
Ibrahim meneguk air liur.
“Kamu sanggup menikah dengan seorang yang kamu tidak pernah kenal?” Ayahnya melontarkan persoalan.
‘Huh? Ni macam ada harapan.’ Ibrahim umpama melihat sinar cerah di hujung terowong.
“Im yakin dengan Allah. Allah telah berfirman dalam Surah An-Nuur, ayat ke 26, wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik. Im dah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi lelaki yang baik dan taat kepada Allah. Insya-Allah, perempuan tu juga wanita yang baik dan taat kepada Allah.” Im menjawab. Mantap.
Encik Badiuzzaman dan Puan Halimah berpandangan sesama sendiri. Ibrahim hanya terdiam melihat.
“Macam mana dengan soal nafkah? Lepas nikah, kamu kena tanggung isteri.” Giliran Puan Halimah menyoal.
“Soal nafkah, macam yang Im cerita semalam. Insya-Allah kami akan teruskan hidup dengan duit biasiswa yang sedia ada. Im akan beri tambahan semampu Im. Im akan cuba kembangkan bisnes Al-Quran yang Im tengah buat ni. Insya-Allah lepas ni lagi banyak pelanggan, dan keuntungan akan lebih besar.”
Im terdiam sebentar. Menarik nafas dan meneruskan bicara.
“Kalau terpaksa bersusah, itukan lumrah kehidupan orang yang ingin mencari redha Allah, akan diuji dan diuji. Im yakin dengan hadith nabi yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi:
“Ada tiga orang yang pasti (berhak) mendapat pertolongan Allah SWT: al-mukatab (hamba yang berupaya memerdekakan diri) yang hendak menunaikan tebusan dirinya, Lelaki yang bernikah kerana ingin menjaga kesucian dan kehormatan dirinya, dan mujahid (pejuang) di jalan Allah.”
Im kelihatan amat yakin. Dia telah bersedia bagi menjawab semua soalan yang bakal dilontarkan. Sekali lagi ibu dan ayahnya saling berpandangan. Buat seketika, mereka tidak berbicara apa-apa. Hanya bunyi putaran kipas siling kedengaran.
“Ayah dan Ibu dah bincang. Kami nampak kamu memang dah bersedia untuk bernikah. Kamu yakin dengan kata-kata kamu. Kamu pun dah bersedia dengan perancangan-perancangan kamu. Kamu boleh berdikari.” Encik Baduizzaman memecah suasana. Kata-katanya membawa sinar harapan.
‘Nampak macam boleh ni! Tolonglah kata boleh.’
“Jadi kami bersetuju untuk membenarkan kamu bernikah Im.” Ujar ayahnya.
Hati Ibrahim kembang berbunga-bunga mendengar kata-kata itu. Lidahnya ingin mengucapkan hamdallah.
“Tetapi selepas kamu tamat kuliah nanti.”
Belum sempat kalimah Alhamdulillah terpacul daripada mulutnya, ayahnya telah memutuskan semua harapannya. Rasa kecewa tiba-tiba bertandang di hatinya. Segala rasa optimisnya hilang begitu sahaja. Ingin sahaja dia menangis di situ, tetapi dia menahan dirinya. Sedaya upaya dia memaksa dirinya untuk berlagak tenang.
“Bukannya kami tidak mahu beri kami nikah sekarang Im. Kami tahu kamu memang dah bersedia. Tapi ibu dan ayah yang tidak bersedia. Kami tidak bersedia untuk menghadapi pandangan nenek dan atuk kamu serta saudara-mara kamu yang lain. Belum pernah dalam sejarah keluarga kita ada yang menikah ketika masih kuliah.” Ibunya menyambung.
“Lagipun Im, ayah dan ibu sebenarnya merancang untuk menunaikan haji tahun ini. Banyak duit nak pakai. Kami harap kamu bersabarlah dulu. Insya-Allah lepas kamu grad nanti kamu akan nikah dan terus buat walimah. Bersabarlah Im. Dua tahun tu tak lama mana.”
Ibrahim hanya terdiam. Dia cuba menerima hakikat. Keyakinannya sedari pagi tadi telah hilang entah ke mana, diganti dengan kekecewaan dan kehampaan. Kini dia hanya berfikir untuk meninggalkan bilik itu secepatnya.
“Kalau macam tu, Im terima dengan hati terbuka. Im dah bersedia dengan segala kemungkinan. Insya-Allah nanti Im akan sampaikan pada naqib Im supaya boleh beritahu pada kawan tu. Im minta maaf kalau menyusahkan Ibu dan Ayah untuk memikirkan masalah ni. Terima kasih kerana mempercayai Im.” Ibrahim berkata lirih. Pasrah. Apa yang diucapnya itu amat berbeza dengan isi hatinya. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya di saat itu.
*****
Ibrahim termenung di mejanya. Tangannya menongkat dagu. Pandangannya dilontarkan ke luar tingkap. Fikirannya masih berlegar di sekitar peristiwa pagi tadi. Sepanjang perjalanannya di dalam komuter matanya basah. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu kecewa atas penolakan itu.
“Weh, apasal muka kau monyok semacam nih. Macam mati bini.” Malik menepuk belakangnya. Ibrahim terkejut.
“Lebih kurang macam tu la.” Ibrahim menjawab lemah.
“Aik? Pelik kau ni. Biasanya kau melatah bila aku buat macam ni.” Malik bersuara dengan nada tanya.
Ibrahim hanya terdiam. Tidak menjawab. Menoleh juga tidak. Malik semakin pelik. Dia menarik kerusinya dan duduk di sebelah Ibrahim.
“Bro, ada prob story la kat aku. Apa guna kawan kalau tak digunakan. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?”
Ibrahim tersenyum mendengar peribahasa Malik yang tidak kena pada tempatnya. Hendak tertawa, belum sampai seru.
“Hah, senyum pun. Tenang friend, tenang. Masalah semua leh selesai kalau kena caranya. Ceritalah kat aku.”
Malik memautkan lengannya di bahu Ibrahim. Kepalanya didekatkan dengan kepala Ibrahim. Mereka kelihatan seperti adik beradik. Ibrahim pula memautkan lengan ke bahu Malik.
“Aku kena reject lagi la Malik.”
“Reject? Dengan siapa?”
“Mak bapak aku.”
“Hah? Ape kes?” Malik semakin kehairanan.
“Aku balik ni mintak nikah la. Kena reject. Paham?”
“Owh, cakaplah terang-terang. Kau memang balik tu semata-mata nak mintak nikah ke? Apasal semangat sangat kau? Tiba-tiba je?”
Ibrahim lalu menceritakan segala-galanya. Daripada pinangan Si Akhwat misteri hinggalah kepada peristiwa pagi tadi. Malik mendengarkan dengan saksama.
“Habis tu, lepas grad jugalah nampaknya ye?”
“Gitulah gamaknye.”
“Sabarlah Im. Kita menikah bukan sebab ada orang dah berkenan kat kita.”
“Apa maksud kau?”
“Maksud aku, kita kena ikhlaskan niat. Tanya balik diri kau. Sebenarnya kenapa kau nak nikah? Entah kenapa, aku rasa niat kau tak cukup ikhlaslah Im. Sorry, aku nak tanya sikit, kau rasa kau kenal akhwat tu?”
Ibrahim terdiam. Dia tidak mahu menyebut nama itu. Wajahnya semakin suram.
“Biar aku teka. Kau rasa akhwat tu Anis. Betul tak?”
Im terus terdiam.
“Im, Im…kita kena ikhlaskan niat. Kita nak buat apa-apa pun, tujuan kena betul, nak cari redha Allah. Bukan sebab mahklukNya. Cuba kau X-Ray sikit hati kau tu. Pastikan betul-betul apa niat kau.”
Ibrahim mula berfikir. Kata-kata Malik dirasakan benar. Bukan redha Allah yang sebenar-benarnya yang dicarinya. Bukan redha Allah yang mendorongnya untuk pulang ke rumah memohon izin daripada ibu dan ayahnya untuk menikah. Tetapi atas sebuah naluri bahawa akhwat yang menginginkannya itu adalah Anis. Sekali lagi, hatinya tidak ikhlas.
“Betul kut cakap kau. Aku asyik terfikir pasal dia. Teruk betul aku ni kan Lek?”
“Itu manusiawi Im. Bukan senang nak hadapi. Orang yang kau sayang separuh mati tiba-tiba muncul semula selepas kematiannya. Kalau aku, rasanya tak sanggup. Tapi masih ada ruang untuk perbaiki diri. Semua yang berlaku mesti ada hikmahnya.”
“Betul cakap kau. Entahlah, aku masih susah nak terima hakikat yang mak bapak aku tak bagi kebenaran lagi. Terasa macam Allah tak tolong aku.”
“Istighfar Im. Istighfar. Bila kau mohon pada Allah sesuatu, Allah pasti dengar. Dan Allah pasti makbulkan. Itukan yang difirmankanNya : Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Surah Al-Mu’min ayat 60.”
Ibrahim terdiam. Matanya memandang tepat anak mata Malik. Menunggu ayat seterusnya.
“Tapi kita kena ingat, Allah juga berfirman dalam ayat 216 Surah Al-Baqarah : Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
“Jadi, belum sampai masanya untuk aku menikah?” Im cuba membuat kesimpulan.
“Bila kita memohon kepada Allah sesuatu yang kita mahu, Allah sebaliknya memberikan kepada kita apa yang kita perlu. Kan kau dah dapat pass nak kahwin lepas grad. Confirm dah tu. Bersyukurlah. Anggaplah dalam masa 2 tahun ni, Allah nak kau bersedia secukupnya. Nak kau jadi makin beriman dan bertakwa. Makin ikhlas.”
“Betul cakap kau. Aku ni tak bersyukur pulak kan. Ada ikhwah tu dah grad, mak dia tak bagi-bagi lagi nikah. Aku ni dah confirm lagi 2 tahun, tapi tak sabar. Betul kata orang, kita tak selalu dapat apa yang kita suka, jadi kita kena belajar untuk suka apa yang kita dapat.”
Malik memandang Ibrahim sambil tersenyum. Ibrahim cuba untuk tersenyum. Senyumnya tawar.
“Aku ada satu lagu yang sesuai untuk kau. Menunggu Di Sayup Rindu. Kumpulan Maidany. Dengar ye.”
Menunggu Di Sayup Rindu
Maidany
ooo... burungpun bernyanyi
melepas sgala rindu
yang terendam malu
di balik qolbu
ooo...anginpun menari
mencari arti
apakah ini fitrah
ataukah hiasan nafsu
didalam sepi ia selalu hadir
didalam sendiri ia selalu menyindir
kadang meronta bersama air mata
seolah tak kuasa menahan duka
biarlah semua mengalir
berikanlah kepada ikhtiar dan sabar
untuk mengejar...
sabarlah menunggu
janji ALLAh kan pasti
hadir tuk datang
menjemput hatimu
sabarlah menanti
usahlah ragu
kekasihkan datang sesuai
dengan iman di hati
bila di dunia ia tiada
moga di syrga ia telah menanti
bila di dunia ia tiada
moga di syurga ia telah menunggu
Ibrahim mengalirkan air mata. Bait-bait lagu itu benar-benar menusuk hatinya.
“Jazakallah Khair Lek. Uhibbukafillah!”
“Wa iyya ka. Uhibbukafillah Aidhan.”
Mereka berpelukan. Kehangatan ukhuwah islamiyyah mengubati luka di hati.
*****
Dua tahun berlalu dengan pantas. Ibrahim benar-benar membaiki dirinya. Dia hampir tidak pernah memikirkan langsung soal perempuan. Apatahlagi soal nikah. Dia sentiasa menyibukkan diri dengan urusan pelajaran dan dakwahnya. Sehingga dia berjaya meraih Dean’s List dua semester berturut-turut. Ibu dan ayahnya amat berbangga dengan prestasinya itu. Adik-adik halaqohnya pula sudah tahu mencari mad’u sendiri. Hampir semua binaannya berjaya menjadi da’i yang cemerlang. Dalam hampir setiap pengisiannya pasti Ibrahim menyelitkan sebuah kata-kata azimat, ‘Campus Life Is All About Dakwah & Study. There’s no time to be wasted!’Kata-katanya itu dihafal oleh hampir setiap Ikhwah UTP.
“Im, kamu dah grad pun. Bolehlah kamu menikah tak lama lagi.” Ibunya tiba-tiba bersuara.
Ibrahim jadi teringat janji ibu dan ayahnya dua tahun lalu, membenarkannya nikah setelah tamat pengajian. Tidak semena-mena nama Anis kembali ke dalam fikirannya. Lantas hatinya beristighfar.
‘Balik-balik dia. Bukannya betul pun dia akhwat yang cuba khitbah aku dulu. Aku je yang perasan lebih-lebih. Entah-entah dia tu ikut halaqoh pun tidak.’
Itulah yang cuba difikirkannya setiap kali teringat akan Anis. Namun, jauh di sudut hatinya, dia masih berharap kalau akhwat yang mengkhitbahnya dahulu adalah Anis. Kini dia berpeluang untuk mengetahui.
“Aik, senyum-senyum pulak. Teringat dekat siapa tu?”
“Tak adalah ibu. Teringat kat ibu la.”
‘Erk, apa aku jawab ni? Aiseh…”
“Dah-dah. Mengarut pula kamu ni. Kawan kamu dulu tu macam mana? Masih setia menanti?” Nadanya sedikit mengusik. Muka Ibrahim memerah.
“Eh, ibu ni. Entahlah. Dia tunggu lagi ke tak. Dua tahun dah.”
“Tanyalah.”
“Nanti Im tanya.”
Malam itu Ibrahim menghubungi murobbinya. Dia ingin mengkhitbah kembali si akhwat misteri itu.
“Assalamu’alaikum ya akhi.”
“Wa’alaikumussalam Warahmatullah. Apa khabar antum? Dah grad tak dengar cerita.” Kedengaran suara murobbinya di hujung talian.
“Baik-baik je. Sibuk sikit kat rumah ni. Afwan akh, ana ada benda nak mintak tolong antum.”
“Apa dia?”
“Alhamdulillah, parent ana dah izinkan ana untuk bernikah.”
“Alhamdulillah.”
“Jadi ana nak kembali mengkhitbah Ukhti Anis yang mengkhitbah ana dulu.”
“Hah? Macam mana antum tahu nama akhwat tu Anis?”
Barulah Ibrahim tersedar dia sudah tersasul menyebut nama Anis sebagai akhwat tersebut. Terkejut bercampur gembira berbaur di hatinya. Berbunga-bunga umpama musim semi.
‘Akhwat tu memang Anis! Subhanallah, percaturanMu begitu indah Ya-Allah..’
“Akh, apasal diam? Mana antum kenal akhwat tu?”
“Takdelah akh. Ana tersasul je. Anis tu nama Ex ana dulu. Hahaha..”
Ibrahim dan murobbinya saling tertawa. Yang tertawa bahagia pastilah Ibrahim.
“Boleh sama pulak nama diorang ye? Tapi akh, afwan.”
“Kenapa akh?”
“Akhwat tu dah setuju untuk bernikah dengan pilihan keluarganya.”
Jantung Ibrahim berdegup kencang. Telefon bimbit yang dipegangnya hampir terlepas dari genggaman. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Atau sebetulnya, tidak mahu mempercayai. Harapannya sebentar tadi hancur berkecai seperti kaca yang dihempas ke lantai. Dia terdiam seketika.
“Akh? Antum ada tak tu?”
“Ada. Afwan. Gangguan sikit tadi. Em, takpelah kalau macam tu akh.”
“Aik, kenapa nada macam frust je nih. Jangan sedih akh. Akhwat ada berlori-lori lagi untuk dikhitbah tu.. Kalau nak ana carikan akhwat yang available, insya-Allah ada.” Mereka tertawa seketika.
“Em, ok je tu. Cubalah carikan.”
“Insya-Allah. Nanti ada berita ana beritahu antum.”
“Jazakallah Khair. Assalamu’alaikum.”
“Wa iyya ka. Wa’alaikumussalam.”
‘Ya-Allah, berat sungguh ujianmu ini Ya-Allah. Aku hanya manusia yang lemah. Aku masih mendamba cinta makhlukMu. Aku masih tidak mampu menerima yang aku memang ditakdirkan untuk tidak dijodohkan dengan Anis. Ampunkan aku Ya-Allah. Aku mohon, redhakanlah hatiku untuk menghadapi semua ini.’
Tsunami yang melanda kali ini dirasakan meranapkan seluruh kekuatannya. Bahkan semangatnya. Dia mengakui kelemahannya. Airmatanya telah banyak yang tumpah. Dia tidak mampu menahannya. Hatinya cuba dipujuk dengan tilawah Al-Quran dan solat malam. Ibrahim pasrah.
Akhirnya setelah mengumpul kekuatan, Ibrahim menerangkan kepada Puan Halimah segalanya.
“Sabarlah Im. Jodoh untuk kamu pasti ada. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik kan?”
“Em..” Ibrahim hanya menjawab lemah.
“Janganlah buat muka monyok macam tu. Hilang handsome anak ibu ni. Im, ibu ada berita buat kamu, nak dengar?”
“Hm..?” Nadanya masih lemah.
“Kawan ibu, makcik Dibah tu nak kahwinkan anak dia. Ibu dah pernah jumpa anak dia Im. Cantik, sopan, solehah pulak tu. Pakai tudung labuh lagi. Keluarga pun baik-baik.”
“Jadi?” Ibrahim buat-buat bertanya.
“Sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu lagi mau tanya.” Puan Halimah sedikit bercanda.
“Apa-apalah ibu. Im ikut je. Tapi tak tentu lagi ye ibu. Im ingat nak cari sendiri.”
“Kamu tengok dulu orangnya. Tentu kamu setuju punya.”
Lalu pertemuan pun diaturkan. Ibrahim hanya mengikut. Namun hatinya masih belum pulih sepenuhnya. Dia masih sukar untuk menerima hakikat. Dia tidak mampu menceritakannya kepada sesiapa pun. Tidak juga Malik. Biarlah dia menyimpannya sendiri. Kisah Anis biarlah terkubur di lubuk hatinya. Tidak perlu disingkap kembali.
*****
“Tak sangka kita ni bakal berbesan ye Limah.” ujar Puan Aidbah.
“Insya-Allah. Tapi semuanya bergantung kepada Im. Dia yang menentukannya.” Puan Halimah kembali membalas.
“Alah, Im setuju punya. Dari pagi tadi senyum aje.” Sampuk Encik Badiuzzaman.
“Harapnya mudahlah perjalanannya ye.” Encik Khairul pula bersuara.
Ibrahim tersenyum mendengarnya. Dia telah kembali menguasai dirinya. Dibuang nama Anis jauh-jauh dari relung hatinya. Bagi menghibur hatinya, dia sering menganggap bahawa takdir Allah menentukan Anis akan bernikah dengan pilihan keluarga adalah kemerdekaan buat dirinya. Merdeka daripada bayang-bayang Anis. Merdeka daripada gelisah dan kecewa mengharapkan seseorang yang tidak pernah menjanjikan apa-apa buat dirinya.
Kini dia berada di rumah yang bakal menjadi mertuanya. Dia pasrah untuk menerima siapapun yang bakal menjadi isterinya. Kata-kata ibunya sedikit sebanyak menenangkan hatinya.
“Dia ni solehah, cantik, keluarga baik-baik.”
‘Kalau dah solehah cantik, keluarga pun baik, apa lagi yang perlu dikesalkan? Ini bidadari dunia buatku!’ Hatinya bersuara. Im kembali mengukir senyum.
“Dibah, mana anak kamu tu? Im ni dah tak sabar nak tengok bakal pasangan hidupnya ni.” Kata Puan Halimah sambil mencuit bahu Ibrahim.
Ibrahim hanya tersenyum melayan telatah ibunya.
“Ada kat dalam tu ha. Tengah bancuh air. Sekejap lagi dia keluarlah. Nur, cepat sikit. Tetamu dah haus ni!” Puan Adibah melaung ke dapur.
‘Nama dia Nur ke?’ Ibrahim berfikir sendirian. Seperti apakah rupanya Nur itu? Dia jadi malu akan dirinya sendiri.
Lalu kedengaran bunyi tapak kaki mendekati ruang tamu. Bunyi cawan dan piring bergetaran di atas dulang kedengaran.
“Lah, kenapa menggeletar kamu ni? Malu ke?” Puan Adibah mengusik anaknya.
“Tak adalah mak. Biasa je.” Jawabnya selamba. Dia meletakkan dulang ke atas meja.
Ibrahim menundukkan muka. Dia amat malu untuk memandang ke arah suara itu. Matanya ditujukan ke arah meja di hadapannya. Anak matanya mencuri-curi pandang tangan yang memegang dulang.
“Pakcik, makcik, jemputlah minum. Eh, Im!?”
Ibrahim terkejut kerana namanya diseru dengan agak kuat. Dia mengangkat mukanya.
Pandangan mereka menyatu. Persis perjumpaan pertama kalinya tiga tahun yang lalu.
“Eh, Anis? Apa Anis buat kat sini?”
“Ini rumah Anislah. Im pulak?”
“Im datang sebab..” Im tidak mampu meneruskan kata-kata.
Mereka yang lain di ruangan tersebut terpinga-pinga. Drama yang baru sahaja dilakonkan di hadapan mereka menimbulkan tanda tanya.
MUHAMMAD IBRAHIM BIN BADIUZZAMAN dan NUR ANIS EMILIA BINTI KAHIRUL masing-masing tersenyum sendiri. Semua mata tertuju ke arah mereka. Mereka hanya diam dan membiarkan, sementara mata tertunduk dan bibir terus mengukir senyum. Hati mereka bertabih dan bertahmid memuji kebesaran Allah yang menemukan mereka dalam keadaan yang amat tidak disangka-sangkakan itu.
“Nampaknya kita dah terlepas beberapa scene ni.” Encik Badiuzzaman bersuara.
“Cerita dah lama mula nampaknya.” Puan Adibah pula mencelah.
Ibrahim dan Anis terus tersenyum.
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^