Cerpen : Hikmah
Hampir seminggu Shoutul Ikhwah menyepi.
Jadi hari ini saya bawakan sebuah cerpen pendek.
Berkisar tentang dakwah.
Semoga bermanfaat buat semua.
Terimalah:
Hikmah
Hujung minggu yang tenang. Hafiz melangkahkan kaki ke ke kamar Rasyid, seorang ikhwah yang sama-sama ditarbiyah bersamanya. Pintu bilik diketuk. Salam diberi. Tiada jawapan. Sekali lagi diketuk dan salam diberi. Juga tiada jawapan.
'Mana dia ni? Tidur ke?'
Hafiz menguak pintu bilik. Lalu terlihat Rasyid sedang asyik menghadap desktop. Telinganya ditutupi headphone. Tangan kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Jemari kirinya pula menekan-nekat papan kekunci. Matanya difokuskan ke arah skrin. Sedikitpun tidak beralih. Skrin menunjukkan gambaran sepasang tangan yang sedang memegang senapang jenis rifle. Sesekali muncung senapang itu mengeluarkan cahaya ketika butang tetikus ditekan.
Hafiz menggeleng-gelengkan kepala. Rasyid dihampiri. Salam diberikan sekali lagi betul-betul di sebelah telinga Rasyid. Kekhusyukkan Rasyid yang tiada taranya itu menyebabkan dia langsung tidak menyedari kehadiran Hafiz di sebelahnya. Hafiz semakin geram. Diangkatnya sedikit headphone yang menutupi telinga kanan Rasyid lalu memekik,
"Woi! Khusyuknya!!!"
Rasyid sedikit terlompat. Terkejut. Segera menoleh ke arah Hafiz.
"Hisyh! Mung nih! Masuk bilik orang berilah salam!" Loghat Terengganunya masih memekat.
"Salam apekebendanya lagi. Aku bagi salam sebelah telinga kau pun kau tak dengar! Khusyuk mengalahkan orang solat!"
Rasyid hanya mendengus. Kembali menatap dekstop. Permainan Counter Strike diteruskan. Hafiz semakin berang dengan tindakan Rasyid. Namanya sahaja ikhwah yang ditarbiyah. Tapi main game tak pernah lekang. Asal hujung minggu sahaja mesti main game. Bukan hanya hujung minggu, malam-malam biasa pun kadang-kadang Rasyid tidur lewat dengan alasan yang sama. Movie, anime dan game. Hafiz tidak boleh menerima.
'Aku pun dulu gila game, komik dan movie juga. Tapi dah lama aku tinggalkan. Dia ni bukannya tak faham. Tiap-tiap minggu pergi halaqoh, apa yang didengarnya?' Getus hatinya.
5 minit kemudian, Rasyid masih di hadapan dekstopnya. Bilangan musuh yang 'dibunuh' semakin tinggi. Hafiz semakin hilang sabar.
"Rasyid! Sudah-sudahlah tu! Kau nak main game sampai bila? Kau bukan tak tahu apa yang kau buat ni membuang masa! Sia-sia! Ini bukan ciri-ciri orang beriman!" Suaranya ditinggikan.
Rasyid tetap seperti tadinya. Tidak ada tanda-tanda untuk merespon kata-kata Hafiz.
"Rasyid! Kau dengar tak ni? Cukup-cukuplah tu! Inikah sikap orang-orang yang ditarbiyah? Orang yang kononnya nak membela agama Allah. Nak memartabatkan kalimah Allah di muka bumi. Macam inikah sikapnya orang yang beriman? Buang masa depan dekstop sambil main game?"
"Aku tengah berlatih nak berjihad lawan musuh Islamlah ni. Ni belajar strategi lawan musuh. Nanti kalau pergi Palestin, boleh aku rancang strategi perang!" Rasyid menjawab dengan bersahaja.
Hafiz semakin pitam. Nasihat yang diberinya sepenuh hati dibalas dengan loyar buruk yang baginya cukup bodoh untuk diutarakan. Darah mudanya semakin membuak. Hendak sahaja Rasyid ditempelengnya atas jawapan bodohnya itu.
"Woi! Kau jangan buat lawak bodoh boleh tak!? Orang bagi nasihat betul-betul, kau balas mengarut-ngarut macam ni! Nak berjihad di Palestin konon. Takde mahunya tentera israel tu kau kalahkan dengan berlatih main Counter Strike macam ni. Setakat gerakkan 2-3 batang jari kau ingat kau larat kalahkan mereka? Nak lari keliling padang sekali pun tak larat. Nak berjihad konon. Sedarlah diri sikit!"
Sengaja disebutkannya tentang lari keliling padang. Ketika fitness test minggu lepas Rasyid hanya mampu menghabiskan larian satu pusingan padang, itu pun 10 minit lebih lambat daripada ikhwah-ikhwah yang lain.
"Yelah! Aku berhentilah! Bising betullah kau ni!" Sambil mendengus-dengus dia menutup tetingkap Counter Strike. Namun dibukanya pula tetingkap lain. Muncullah animasi jepun yang agak popular, Eye Shield 21.
"Pulak! Kau ni memang tak ada kerja lain ke? Tilawah quran kau dah selesai untuk hari ni?" Hafiz kembali bersuara.
"Dah, tadi sebelum main Counter Strike. Aku baca satu muka."
"Satu muka je? Itu tak sampai pun 5 minit. Kalau main game tadi berapa jam dah? Tak seimbanglah macam tu."
"Eh, Hafiz. Hari ni hari Sabtulah. Rehat-rehatlah dulu. Nanti aku buatlah benda lain. Sibuk betul kau ni. Dah, aku nak pergi tandas sekejap. Sakit pula perut ni."
'Rehat-rehat konon. Tiap-tiap hari macam ni. Kalau sibuk study tak apa juga. Ini buang masa.'
Hafiz termenung memandang skrin desktop ikhwahnya itu. Lalu muncullah sebuah idea yang menurutnya bergeliga.
'Lepas ni kau tak akan main game lagi!'
Lalu desktop Rasyid didekati dan tetikusnya digerakkan membuka berapa folder. Setelah menemui apa yang dicarinya, jejarinya menekan suatu butang di papan kekunci. Hafiz tersenyum lalu meninggalkan bilik tersebut.
Tidak lama kemudian Rasyid pulang ke bilik. Hajat di hati hendak menyambung menonton animasi Eye Shield 21. Namun dilihatnya tetingkap pemain videonya telah ditutup.
'Ini mesti kerja Hafiz.'
Lalu dia membuka folder yang menyimpan file-file animasinya. Namun, tidak berjumpa.
'Eh, mana folder tu? Takkan hilang? Tadi ada lagi.' Rasyid semakin tidak keruan.
Dicarinya pula folder-folder menyimpan game-game kesayangannya. Juga tiada! Semua sekali telah diuninstall tanpa kesan. Rasyid tidak dapat menyembunyikan resahnya lagi.
"Hafiiz!!!!"
Seminggu kemudian...
"Assalamu'alaikum Warahmatullah!"
"Wa'alaikumussalam Warahmatullah! Akh Adib, jemputlah masuk."
"Apa khabar iman? Sihat?"
"Alhamdulillah, sihatlah juga. Naik turun. Tapi insya-Allah akan sentiasa lebih banyak naiknya daripada turun."
"Insya-Allah, amiin. Akh, tau tak ada ikhwah batch antum dah keluar halaqoh?"
"Hah? Siapa?"
"Rasyid. Dia kata dia tak tahan dengan dakwah ni. Dia nak bebas."
Hafiz terkesima. Perlakuannya Sabtu lepas kembali bertamu di fikirannya.
"Ya-Allah...apa aku dah buat.." Tiba-tiba Hafiz bermonolog.
"Kenapa akh? Tiba-tiba muka bersalah semacam ni?"
Dengan suara yang lemah, Hafiz menceritakan apa yang telah berlaku antara dirinya dan Rasyid tempoh hari. Adib mendengar dengan saksama.
"Akhi, niat antum untuk menegur tu memang baik. Tetapi caranya kurang berhikmah dan maafkan ana, ianya tidak tepat."
"Ana fikirkan yang ana boleh tinggalkan semua jahiliyah-jahiliyah tu, kenapa dia tak boleh? Itu yang ana tegur dia habis-habisan, buang semua game dan movie dia. Biar dia tak sentuh lagi benda-benda tu semua."
"Kita tak boleh menganggap semua orang sama dengan diri kita. Setiap orang penerimaannya berbeza. Kita kena bijak mengadaptasi suasana. Kesilapannya memang perlu ditegur, tetapi perlulah dengan cara yang lebih tepat."
"Ana pun rasa macam tu. Silap ana tegur terlampau keras."
"Dan sebenarnya, antum tidak perlu menyusahkan diri mengubah dia sekeras itu. Cukup tugas antum dengan melaporkannya kepada ana, murobbinya. Di dalam halaqoh ana akan berikan pemahaman yang sesuai kepadanya. Di dalam halaqoh, itu saat yang terbaik untuk menegur, kerana di saat itu seseorang memang bersedia untuk mendengar dan membuka mindanya. Kalau antum paksakan dia mendengar ketika dia sedang seronok main game, tentu dia tidak akan mengambil pengajaran sama sekali."
"Afwan akh, ana khilaf. Ana tak tahu berdakwah dengan berhikmah."
"Tidak mengapa. Ini pengajaran untuk kita bersama. Tarbiyah langsung daripada Allah, buat kita jadikan pedoman dalam mengharungi jalan dakwah yang penuh liku ini. Semoga dakwah kita semakin berhikmah."
"Insya-Allah..."
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^