Cerpen: Tiada Henti

“Akhi, boleh tak kalau kita berhenti daripada ikut halaqoh sekejap?”

Darah saya menyirap.

‘Dia nak keluar halaqoh ke?’


Macam tidak percaya

Saya menyangka perjalanan hari ini cukup dengan masalah menguruskan penyelesaian borang ‘Submission of Progress Report’ dan ‘Submision for Symposium’ untuk evaluasi master saya sahaja. Setiap semester pelajar pascasiswazah di UTP akan dievaluasi melalui sesi simposium. Simposium adalah suatu sesi di mana seluruh perkembangan sepanjang semester akan dibentangkan dan dievaluasi oleh dua orang, seorang pensyarah sebagai pemeriksa dan seorang lagi adalah penyelia pelajar pascasiswazah tersebut.


Rupanya Allah SWT berkehendak supaya saya memikirkan sesuatu perkara yang lebih besar pada tengah hari ini.

“Biar betul dia cakap macam itu?”

“Betullah, dia tanya pada ana dalam dua hari lepas.”

Berhenti daripada halaqoh. Buat seketika? Itu bermaksud tidak hadir ke halaqoh. Dan ketika tidak hadir, saat itu seseorang tidak diperingatkan dengan ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis yang kembali menyuburkan keinginan kita untuk terus beriman. Untuk terus dekat dengan Allah SWT.

“Jadi, apa yang antum jawab?”

“Ana tanya dia semula, kenapa dia cakap macam itu?”

“Dia rasa berat?” Saya menduga.

Dan ikhwah yang seorang ini mengangguk. Dan saya kembali memuhasabah. Nampaknya saya perlu lebih mengenali mad’u-mad’u saya. Mungkin saya masih belum cukup memberi pemahaman kepadanya tentang bagaimana kita perlu menyikapi perjalanan dakwah ini.


“Mungkin antum terlalu cepat memberi beban kepadanya? Sekarang dia sudah mula menguruskan beberapa lajnah.”

“Wallahua’lam akh. Ana perlu lebih bermuhasabah. Kita Cuma mahukan yang terbaik daripada ikhwah-ikhwah yang kita tarbiyah. Pertimbangan kita, jika dia diberi tugasan-tugasan yang ringan seperti itu, mula dilibatkan dalam gerak kerja dakwah, dia akan semakin merasa memiliki dan merasakan kebersamaannya dengan dakwah ini.”

“Ya, mungkin ringan dalam pandangan kita, tapi belum tentu ringan dalam pandangan dia. Fiqh dakwah itukan salah satunya bertahap dalam memberi beban. Tapi, bukan semua orang sama. Lain orang, lain kemampuannya.”

“Betul. Jadi, apa yang antum sampaikan kepadanya?”

“Ana cuma kata, jalan dakwah ini memang penuh cabaran. Macam expedisi mendaki gunung. Mula-mula ramai-ramai seronok hendak mendaki. Semua tidak sabar-sabar. Segala beg dan peralatan lain tidak terasa beratnya. Bila mula mendaki, badan akan menjadi semakin letih, stamina pun semakin berkurang. Beban yang dipikul tadi sudah semakin terasa beratnya. Semua akan mula tertanya-tanya, bila kita akan sampai di puncak? Jauh lagikah? Di saat ini akan semakin ramai orang yang merasakan dirinya tidak mampu dan ramai yang tidak mahu meneruskan perjalanan. Hanya orang yang sabar sahaja akan mampu bertahan.”

“Macam pernah dengar sahaja perumpamaan ini?” Saya senyum senget.

“Memanglah, antum yang cerita dalam halaqoh dulu.” Dia kembali membalas senyuman.

“Jadi, dia faham?”

“Insya-Allah. Ana ingatkan dia supaya dekatkan diri dengan Allah. Bila ingat Allah, hati tenang. Ana beri surah Ar-Ra’du ayat 28.”

“Bagus. Harapnya dia stabil sekarang. Insya-Allah ana akan cuba berikan pemahaman dalam halaqoh minggu ini. Tolong doakan ya akh.”

“Insya-Allah. Cuma akh, ana tengok fenomena ini bukan hanya berlaku kepada orang yang baru-baru ikut dakwah.”

“Maksud antum?”

“Baru-baru inikan ada seorang akhwat minta berehat daripada dakwah. Dengarnya sebelum kejadian, dia memang bersemangat dalam gerak kerja dakwahnya.”

“Oh, cerita itu? Terbaru, dia meminta untuk berehat lebih lama. Dulunya niat hendak berehat seketika untuk menajamkan kapak. Supaya bila kapak dah tajam, boleh menebang pokok dengan lebih mudah, bekerja dengan lebih baik. Tapi ana nampak itu silap.”


“Silap?”

“Kalau memang kita merasakan dakwah yang kita buat ini berat, itu memang wajar. Terasa kita seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu memikul kerja-kerja dakwah yang diamanahkan kepada kita ini. Namun, penyelesaiannya bukan dengan menyindiri tidak datang halaqoh dan tidak berdakwah. ‘An idle mind is the devil’s workshop.’

“Dah keluar proverb pula ikhwah master kita ini. “ Nadanya mengusik. Saya hanya tersengih.

"Apabila kita tidak menyibukkan akal fikiran kita dengan kebaikan, ia pasti akan disibukkan oleh syaitan untuk memikirkan apa sahaja alasan supaya kita selepas ini tidak lagi bersama dengan dakwah. Syaitan akan kata,

‘Lebih baik kau fokus belajar. Pencapaian yang cemerlang juga dakwah.’

‘Sebagai pelajar, tanggungjawab utama kau adalah belajar dan cemerlang dalam pelajaran. Kalau tidak akan jadi fitnah. Tercemar nama Islam.’

“Dan macam-macam lagi. Semuanya terdengar seperti alasan yang munasabah, tetapi natijahnya tetap buruk.”

“Jadi, antum hendak katakan yang perumpamaan menajamkan kapak itu tidak boleh dipakailah?”

“Perumpamaan itu betul, cuma si akhwat ini salah dalam mengaplikasikannya.”


“Maksud antum?” si ikhwah bertanya dengan wajah berkerut.

“Si penebang pokok itu berhenti sebentar untuk menajamkan kapak. Bukannya dia berhenti menebang pokok. Ketika berhenti, dia masih ‘bekerja’. Kerjanya adalah menajamkan kapak. Supaya momentumnya untuk menebang pokok selepas ini akan semakin besar.”

Saya menghela nafas. Dia kelihatan menanti-nanti kata-kata saya yang seterusnya.

“Untuk kes tadi, sepatutnya dia berbincang dengan murobbiyah, kongsikan apa yang sebenarnya dia alami dan cuba mencari penyelesaian bersama-sama. Bukan terus membuat keputusan, meminta untuk berehat. Masalah merasa berat dan terbeban ini, bukan kita sahaja yang hadapi. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya juga mengalami. Ujian mereka jauh lebih dahsyat. Sehingga Allah menukilkan penyataan mereka,

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:214]

“Tetapi mereka mengambil langkah yang benar. Mereka menajamkan 'kapak' mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mencari Allah. Dengan Allah di sisi, tiada apa yang berat. Bilal sanggup disiksa sehingga hampir mati. Khabbab bin Arrat sanggup diseret di atas bara api. Kerana mereka ada Allah. Mereka yakin yang pertolongan Allah itu dekat. Mereka yakin yang mereka bukan hanya hidup di dunia. Mereka yakin, tempat berehat itu adalah di syurga kelak.”

“Betul. Antum betul. Doakan ana juga agar ana tetap kekal di atas jalan ini akh. Ana pun kena banyak memuhasabah diri.”

“Sama-samalah kita mendoakan. Ana yang lebih tua ini, tentu lebih perlu bermuhasabah.”

Dakwah dan tarbiyah.
Sama ada kita berjaya melihat puncaknya, atau kita mati dalam perjalanan menujunya.
Dan tiada kata henti sebelum menemui salah satu daripada keduanya.
Baik seketika apatah lagi untuk selamanya.


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^