Tazkirah: Mampu Bayar Semula?

Saya pinjam kereta kawan. Honda City tahun 2010. Baru lagi. Harga pun tinggi. Saya pinjam untuk pergi KL. Bukan Kuala Lipis, tapi Kuala Lumpur. Mula-mula semua elok, saya bertolak daripada Tronoh dan sampai di KL dalam masa 2 jam 35 minit, kelajuan purata 145 km/j. Dalam tidak sedar hati berputik rasa bangga kerana dapat memandu kereta mewah.


Sampai di tempat tujuan, saya hendak meletak kenderaan atau orang kampung saya kata 'parking'. Ketika hendak parking secara ke belakang atau orang minang kata 'reverse parking', tiba-tiba saya mendengar bunyi 'krieeek' yang agak kuat dari sebelah kanan. Saya tersentak dan terus menekan pedal brek.

"Alamak, mampus aku. Apa yang aku langgar?" Kerisauan mula menjalar ke dalam sanubari. Hormon adrenalin mula merembes banyak sehingga degupan jantung per minit semakin meningkat. Dah macam cerita horor.

Saya membuka tingkap. Rupa-rupanya saya telah melanggar sebatang besi tajam yang menyebabkan bahagian depan kereta Honda City kawan saya itu mempunyai calar yang agak panjang.

“Ah, sudah! Memang mampus aku. Apa batang besi itu buat di sana?” Saya bertanya soalan entah kepada siapa. Diri sendiri agaknya. Rasa bangga di awal tadi hilang entah ke mana.

Hujung besi masih tertusuk dalam badan kereta. Hormon adrenalin semakin banyak merembes. Jantung saya seakan-akan hendak meletup. Saya segera menukar gear daripada R ke D untuk bergerak ke depan. Sambil mata saya masih tidak lepas memandang ke arah besi yang tertusuk ke bahagian depan Honda City kawan saya yang mahal itu.

Sedang saya menggerakkan kereta ke hadapan, tiba-tiba terdengar pula bunyi hentaman yang juga amat kuat dari hadapan. Baru saya sedar yang saya tidak memandang ke hadapan ketika memandu. Mulut saya terganga spontan. Mata terbeliak seperti nampak hantu. Bukan hantu yang saya lihat, tetapi sebuah Mercedes Brabus berwarna hitam yang telah remuk pintu kirinya. Dan muncung Honda City kawan saya itu sedang terbenam di pintu tersebut.

‘Tidak!!!!!!’

Saya menjerit dalam hati. Ini memang bala! Pintu Mercedes Brabus itu dibuka ke atas.

Mak aih, kereta mahal tu! Pintu naik ke atas! Sophisticated gila!

Harganya saya rasa mencecah RM2 juta. Saya lihat pemandu kereta Mercedes Brabus itu keluar dari pintu kanan keretanya yang terbuka ke atas menuju ke arah saya. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Yang saya fikir,

Berapa yang harus aku bayar? Honda City yang tercalar di bahagian kanan, remuk di bahagian depan, dan Mercedes Brabus yang remuk pintunya? RM5k? RM10k?


Tiba-tiba saya melihat suasana yang malap. Suara Mus’ab menangis dalam buaian kedengaran. Saya terduduk dan berisighfar. Saya cuba mengingat-ingat peristiwa tadi. Mimpikah? Saya melihat jam tangan. 5:20AM.

“Astaghfirullah..”

Rosak Kereta

Semua daripada kita mungkin boleh membayangkan situasi di atas. Mungkin ada di antara kita yang pernah mengalami keadaan di atas. Kereta yang dirosakkan dapat dikira berapa yang harus dibayar. Yang perlu difikir adalah harga ganti ruginya, sama ada rendah atau tinggi.

Yang penting, apabila kita merosakkan kereta orang, kita akan risau dan mula berfikir bagaimana mahu memperbaikinya. Kita mula mengingat-ingat, berapa yang ada dalam tabungan kita. Kita mula memerah otak, dari mana kita hendak mencekau wang yang diperlukan untuk membayar ganti rugi tersebut.
Yang jelas, kita akan menganggapnya serius.

Rosak Diri, Rosak Iman

Yang ini hampir tak pernah difikirkan oleh kita. Saya ingin bertanya, tubuh badan yang kita miliki ini, milik siapa? Kita punya atau kita pinjam? Bagaimana kita menggunakannya?

Ramai yang mengambil mudah dengan berfikir,

“Hidup aku, suka hati akulah!”

Orang Melaka kata, take for granted. Langsung tak fikir akibat semua perbuatan dosa dan kerosakan yang dilakukan kepada diri sebenarnya merosakkan barang pinjaman yang dipinjamkan kepada kita secara sementara.

Kesimpulan: Sedarlah, sementara masih punya waktu

Diri ini adalah pinjaman daripada Allah SWT. Bukan hak milik kekal kita. Kelak kita akan dipersoalkan untuk setiap inci yang telah dilakukan untuk tubuh ini.

Segala apa yang dilihat oleh mata.
Segala apa yang disentuh oleh tangan.
Segala apa yang masuk ke dalam perut.
Segala apa yang diperbuat oleh tubuh badan.

Jika kita tidak berhati-hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Dan bayarannya bukan murah, api neraka yang kepanasannya 70 kali api dunia.

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.
[Al-Israa’, 17:36]

Jangan sampai kita menjadi golongan yang digambarkan dalam Al-Quran:

..penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?" (8)
Mereka menjawab: "Benar ada", sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: "Allah tidak menurunkan sesuatupun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar."(9)
[Q.S. Al-Mulk, 67:8-9]

Jangan menyesal di sana, kita tidak akan mampu membayarnya!

Selamat Hari Lahir yang ke-21 buat Dr. Nurul Iman binti Zulkefli. Semoga semakin bertaqwa dan beriman. Jadilah pendakwah yang baik.


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^