Novel : Sentiasa Ingat Siapa Dirimu (Part 3)

Akhirnya Part 3 bersambung juga.

Setelah hampir lebih setahun saya menangguhkannya. (sengaja atau tidak? Jangan ditanya. Baca sahajalah!)

Cerita kali ini berkitar di masalah fiqh.

Jemput baca.

Sentiasa Ingat Siapa Dirimu (Part 3)



"Bang, kami nak solat kat mana ye? Tak nampak pun surau kat sini." Tanya Ibrahim.

"Memanglah tak nampak, ni kan dewan makan. Nak pergi surau, korang keluar dewan makan ni, ikut jalan tar depan tu menuju ke laut. Sampai simpang 3 tu, ikut kiri. Jalan je terus sampai korang nampak surau. Bangunan warna hijau."

"Aik, macam jauh je bunyinya bang. Siap ade simpang lagi." Rashid menyampuk.

"Takde jauhnya. Hisap rokok sebatang pun tak sempat habis."

"Ceh, saje je abang nih. Bang, amacam bang? Bolehla. Bagi sebatang je."

Rakan-rakan yang lain tergelak kecil melihat telatah Rashid.

"Dah-dah. Awak ni tak habis-habis ye. Nanti kita bincang. Jangan risau, awak dapat punya rokok awak tu nanti. Ok, lepas ni korang leh pegi sembahyang. Lepas tu dalam pukul 2.30 kumpul dekat depan dewan kayu tu ye. Saya nak tunjukkan awak semua tempat ni."

Ibrahim berjalan menuju ke surau yang dimaksudkan. Langkahnya diikuti beberapa rakan-rakan watchnya. Dari kejauhan kelihatan surau kecil yang berwarna hijau muda. Tergantung sebuah papan tanda bertulis 'Solatlah sebelum kamu disolatkan', di sudut kanan bawahnya tertulis UTP '05. Barangkali buatan senior-seniornya dahulu. Suraunya bertangga kayu, didirikan kira-kira setengah meter dari tanah. Arah kiblat yang menghadap laut menyebabkan bayu laut yag nyaman menyapa muka tatkala jendela dibuka. Terbentang pemandangan laut yang amat indah. Suasana yang teramat indah buat mereka yang mentadabburi alam.

Para peserta segera mambasahkan anggota wudhu dan duduk menanti di atas surau, masing-masing saling tolak menolak untuk menjadi imam. Lalu mereka bertumpu kepada Ibrahim.

"Hah, budak SMAP Labu! Apa lagi ustaz, cepatlah jadi imam." Rashid bersuara. Gurauannya bernada sinis. Ibrahim hanya tersenyum.

"Kita nak solat jamak takdim ke ni?" Tiba-tiba Farhan bertanya. Masing-masing terdiam. Sekali lagi Ibrahim menjadi tumpuan.

"Kita boleh solat qasar jamak, sebab kita musafir." Ibrahim bersuara.

"Tapi kita boleh tiga hari sahajalah kan? Sebab kita seminggu di sini." Amirul bertanya.

"Sebenarnya kita bole solat qasar jamak sepanjang program kita ni. Sebabnya kita buka terus menetap di Outward Bound School ni. Kita akan ada ekspedisi ke pulau dan tempat-tempat lain."

"Aku ingat nak solat penuh je, malas fikir-fikir."

"Terpulang. Masalah fiqh ni, kita ikut mana yang menenangkan hati. Asalkan ada pendapat sahih yang kita pegang. Cuma qasar jamak ini adalah rukhsah yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang berada dalam keadaan musafir. Tawaran 'hadiah' kemudahan Allah. Kalau orang dah nak bagi hadiah, tak manislah kalau kita nak tolak kan?"

Masing-masing mengangguk dengan penjelasan Ibrahim. Lalu mereka sepakat mendirikan solat dengan Ibrahim sebagai imam. Solat Zohor didirikan dua rakaat dan disambung dengan dua rakaat Solat Asar. Beberapa orang kelihatan tidak mengikut rentak solat mereka. Cuma mengikut dua rakaat dan menyambung sendiri dua rakaat seterusnya. Barangkali yang tinggal berdekatan.



Selepas solat, Ibrahim mengambil peluang melakukan sedikit perkongsian. Majlis dibuka dengan kalimah basmallah, bacaan surah Al-Fatihah, puji-pujian ke atas Allah SWT serta selawat ke atas nabi.

"Sebenarnya Islam ini adalah agama yang mudah. Buktinya Allah telah memberikan pelbagai keringanan kepada hamba-hambaNya dalm pelbagai hal. Ketika sakit, kita boleh solat sambil duduk. Jika tidak mampu, boleh sambil mengiring, berbaring dan juga boleh dengan isyarat mata. Antara keringanan yang lain pula adalah ketika sedang bermusafir. Seseorang itu dibenarkan untuk mengqasar iaitu memendekkan serta menjamakkan atau menghimpunkan dua solat. Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Mungkin antara kita ramai yang pernah belajar mengenai solat qasar jamak ketika di sekolah dulu, kan? Berapa jarak yang dibenarkan untuk menjamak serta mengqasarkan solat?"

Suasana sepi seketika, lalu Rashid menjawab.

"Tak silap aku 2 marhalah. Lebih kurang 90 kilometer. Betul tak Ustaz Im?"

"Betul tu. Ini yang kita belajar dulu masa di sekolah. Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu: “Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu sekalian mengqasarkan sembahyang (bagi jarak perjalanan) yang kurang dari 4 barid (2 marhalah) iaitu dari Mekah ke Asfan.” Namun menurut Imam Al-Syaukani, hadith ini adalah hadith dhaif atau lemah kerana terdapat seorang perawi yang matruk, tertolak. Pendapat beliau boleh didapati daripada kitab Nailul Authar, jilid 3. Jadi, sebenarnya pendapat yang mengatakan 2 marhalah adalah jarak minima untuk melakukan jamak dan qasar ini adalah lemah."

"Jadi, berapa jarak untuk kita boleh jamak dan qasar?" Farhan bertanya.

"Sebenarnya Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meletakkan had batasan yang memperbolehkan kita mengqasarkan solat. Bahkan Rasulullah SAW akan sentiasa mengqasarkan solat apabila baginda bermusafir keluar daripada Madinah. Anas bin Malik RA meriwayatkan :

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Zuhur empat rakaat di Madinah dan bersembahyang Asar di Dzil Hulaifah dua rakaat.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Shahih Muslim. Jarak perjalanan dari Madinah ke Dzil Hulaifah itu cuma 7 mil. 7 mil itu dengan antara 12 hingga 13 kilometer sahaja. Hadis ini juga adalah sebagai bukti bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengqasarkan sembahyang walaupun jarak perjalanan tersebut adalah kurang dari dua marhalah (83 kilometer).

Menurut Syaikh Al-Syinqithi rahimahullah, pendapat yang paling kuat adalah semua jenis perjalanan yang dikategorikan sebagai safar sekalipun jaraknya tidak jauh maka diperbolehkan pelakunya untuk mengqasarkan solat, kerana menurut beliau dalam nas hanya disebutkan safar secara mutlak, tanpa dibatasi dengan ukuran jarak mahupun hari. Nas yang dimaksudkan beliau adalah dalam Surah An-Nisa', ayat ke-101:

Dan apabila kamu bepergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu men-qashar sembahyang(mu)..[Q.S. An-Nisa, 4:101]


Contohnya, sekiranya seseorang itu rumahnya di Seri Iskandar, Perak dan setiap hari dia berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana tempat kerjanya di sana, maka dia tidak dianggap sebagai musafir meskipun perjalanannya melebihi dua marhalah kerana ianya termasuk perjalanan yang berada dalam lingkungan kebiasaannya. Namun begitu bagi seseorang yang rumah dan pejabatnya di Tronoh, tetapi dia melakukan perjalanan ke Ipoh kerana menziarah keluarganya maka dia tetap dianggap sebagai musafir walaupun jarak perjalan tersebut kurang dari dua marhalah. Ini adalah kerana perjalanan tersebut di luar perjalanan yang menjadi adat kebiasaannya.


Pendapat beliau boleh dibaca daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat yang dikarang oleh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan."



"Owh, macam tu ke. Mudah rupanya. Tapi kenapa baru sekarang aku dengar pasal ni ye? Selama ni tak pernah dengar pun."

"Sebab tu kita kena banyak membaca dan berguru! Sebenarnya Islam ni mudah dan indah. Tinggal kita yang perlu menyedarinya. Tetapi, kita perlu ingat. Masalah fiqh ini masih ramai yang berbeza pedapat. Kalau kita telah mengetahui hujah dan dalil untuk sesuatu masalah fiqh, maka kita boleh beramal dengan apa yang kita tahu. Tetapi kita tidak boleh memaksa apatahlagi menyalahkan orang lain yang tidak sama pendapat dengan kita. Malah jika kita telah menerangkan dengan jelas, tetapi orang lain masih nak beramal dengan cara mereka, biarkan. Yang penting mereka solat. Nak jalan berapa kilometer baru nak solat jamak qasar itu tiada masalah. Yang jadi masalahnya ialah orang yang buat Jamak Takyah!"

"Jamak Takyah? Apa benda pula tu Im?"

"Macam namanyalah. Jalan sampai berpuluh-puluh malah beratus-ratus kilometer, tapi tak solat-solat! Tu la dia Jamak Takyah!"

Mereka yang lain tergelak kecil. Ibrahim menerangkan dengan sempurna apa yang diketahuinua mengenai solat jamak qasar.. Bibirnya melirik senyum. Bersyukur kerana Allah mengizinkannya untuk berkongsi sedikit ilmu dengan teman-temannya. Berharap dengan sedikit perkongsian itu akan membuka minda teman-temannya untuk lebih mendalami Islam.

Majlis ditutup. Suis kipas dimatikan. Jendela dirapatkan. Surau ditinggalkan. Semua berjalan menuju ke tempat yang telah ditetapkan oleh pembimbing watch masing-masing. Semua peserta kelihatan melayan perasaan masing-masing. Namun sepasang mata tertuju ke arah Ibrahim. Pandangan yang sukar ditafsirkan.

p/s: Sila baca Part 1 dan Part 2 untuk memahami jalan cerita.


~End Of Post~


0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^