Muhasabah : Rasanya Macam Baru Semalam

Semua daripada kita biasa melalui.
Kita kisah silam sering kita imbaui.
Kita sering mengharapkan ia akan kembali.
Namun hakikatnya ia tetap akan telah pergi.



Ketika baru masuk sekolah rendah, mak hantar masuk kelas. Mak kata, "Tak sangka anak mak dah besar, dah sekolah pun. Rasanya macam baru semalam mak kendong kamu." Dia tersenyum-senyum sahaja. Tidak faham sangat apa yang cuba disampaikan ibunya.

Lalu masa berlalu sehingga dia berada dalam darjah 6. UPSR bakal dihadapi. Malam sebelum menghadapi UPSR, ayah pula berkata , "Anak ayah dah besar. Esok dah UPSR pun. Rasanya macam baru semalam ayah hantar kamu masuk darjah satu." Dia senyum sahaja.


Tahun terus berlalu, dia masuk sekolah berasrama penuh. Sampailah hari dia akan ambil PMR. Dia telefon ibunya dan ayahnya di rumah. Ibunya berkata, "Esok buat betul-betul ya. Baca selawat banyak-banyak kalau tidak ingat apa jawapannya. Tak sangka kamu dah nak ambil PMR. Rasanya macam baru semalam mak hantar kamu masuk asrama. Cepat betul masa berlalu.

Dan masa terus berputar. Saat SPM hampir tiba. Banyak matapelajaran diambilnya. Dia curi-curi bawa telefon bimbit ke sekolah. Dia sms ibubapanya untuk mendoakannya agar berjaya. Ibunya membalas mesej, "Insya-Allah, mak akan sentiasa doakan. Mak dan abah buat puasa sunat sepanjang kamu ujian. Macam tak percaya sahaja, kamu dah nak ambil SPM. Rasanya macam baru semalam kamu ambil PMR."

Masa tidak pernah menunggu sesiapa. Kini dia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ibubapanya bahagia tidak terkata. "Bagusnya, kamu dapat berjaya sampai ke luar negara. Jangan lupa kami di sini ya. Tidak sangka, sebentar sahaja masa berlalu. Rasanya macam baru semalam mak melahirkan kamu, sekarang dah nak berpisah."

Keputusannya cemerlang sentiasa. Menghampiri tahun akhir dia mengajukan hasrat untuk menikah. Bapanya tiada sebab untuk menghalang. Dengan perantara telefon bapanya mengizinkan. "Kamu menikahlah. Kami restui. Tak sangka anak kami dah besar panjang. Sudah nak berkeluarga sendiri. Belum puas lagi kami membesarkan kamu. Rasanya macam baru semalam kami bergembira dengan kedatangan kamu."


Masa terus berlalu dan meninggalkan yang alpa. Semakin berumur si empunya diri. Anak-anak juga sudah besar panjang. Dia berkata kepada isterinya sambil tersenyum, "Anak-anak kita dah besar pun. Rasanya macam baru semalam kita bertunang."

Cerita akan terus disambung. Dan kita akan terus mengenang masa-masa silam kita. Terkadang rasanya segalanya seakan-akan baru sahaja berlaku. Rasanya macam baru semalam!

Rasanya macam baru semalam terasa diri ini perlu berubah.
Rasanya macam baru semalam bertemu murobbi pertama.
Rasanya macam baru semalam mula ditarbiyah.
Rasanya macam baru semalam berukhuwah dengan teman-teman seperjuangan.


Namun semuanya sudah berlalu.
Saya sudah punya anak halaqoh sendiri.
Saya sudah menghampiri tahun akhir.
Saya sudah kenal ramai ikhwah-ikhwah sama ada yang masih bersama ataupun tidak.
Saya sudah mendengar lagu Tragedi Oktober Awie dan 'merasainya' sendiri.
Dan tidak lama lagi ramai yang bakal menamatkan zaman kehidupan bujang bersendiri.


Hakikatnya masa akan terus berlalu dan meninggalkan kita. Terpulang kepada diri kita untuk memuhasabah setiap amal yang telah lalu. Atas kita segala usaha untuk memperbaiki diri dan menempatkan diri di tempat abadi yang diidam-idamkan. Semuanya tergantung atas diri kita. Mahu atau tidak? Masa untuk berubah itu sekarang. Masa untuk perbaiki diri itu saat ini. Jangan nanti-nanti atau tapi-tapi.

Jangan sampai nanti tiba saat kita ditanya, "Maa Robbuka!?"
Kita terkesima dan berfikir dalam ketakutan, 'Aku dah mati? Rasanya macam baru semalam aku nak berubah...'

Dan malaikat tidak perlu mendengar semua itu.

wallahua'lam...

p/s: sila baca blog Akhi Zikri mengenai ulasannya akan Tragedi Oktober yang sudah setahun berlalu.

~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^