Perkongsian: Berbeza Tetapi Sama Akhirnya

Berbeza, tetapi sama?
Apa maksudnya?
Ada cerita yang saya ingin kongsikan.

Sebelumnya, maafkan kehilangan saya seminggu lebih ini.
Semoga tulisan ini tidak membiar kosong akhir November ini.


Afwan akhi ana tak dapat turun riadah bersama ikhwah-ikhwah. Ana pening kepala. Nak bangun pun tak larat.

SMS daripada anak halaqoh. Saya bertekad untuk menziarahinya selepas sesi riadah pagi itu. Lagipun sudah lama saya tidak berkunjung ke biliknya. Dan dia juga sering mengatakan yang ikhwah-ikhwah jarang menziarahinya.

Berumah di luar kampus sedikit sebanyak menghambat pergerakan saya. Masuk ke UTP hanya untuk urusan-urusan tertentu sahaja. Namun apa yang pasti itu bukan alasan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau memang tiada kemahuan, carilah macam manapun memang tidak jumpa jalan!

Lalu di akhir riadah futsal pagi itu, saya membuat pengumuman.

“Selepas ini ana akan menziarahi Akhi Abdurrahman di V2. Dia sakit kepala. Sebab itu dia tiada bersama kita pagi ini. Alangkah baiknya kalau kita beramai-ramai dapat menziarahinya.”

Saya memecut WAVE 125 S putih dengan kelajuan sederhana menuju ke V2 atau nama penuhnya Village 2. Di UTP ada 6 Village kesemuanya. Setibanya di bulatan, saya mengambil arah kanan untuk menuju ke V2. Ketika melepasi bulatan, kelihatan Akhi Zuhdi dan Akhi Awang mengambil arah kiri yang menuju ke V1, arah kolej kediaman mereka.

Mereka tidak mahu ziarah Akhi Abdurrahman? Banyak sangatkah kerja yang perlu diselesaikan? Hari inikan cuti?

Tidak sedar saya sudah mula bersangka buruk kepada ikhwah-ikhwah. Segera istighfar dilantunkan.

Biarlah, mungkin mereka ada hal yang penting.

Beberapa minit kemudian saya tiba di tempat parker motor V2. Sambil mengunci motor dan meletakkan helmet di atas motor, tiba-tiba kedengaran bunyi motor yang amat saya kenali. Lalu saya menoleh ke belakang.

Zuhdi? Awang? Bukankah mereka balik bilik tadi?

Saya terus memandang mereka dengan tanda tanya.

“Kenapa muka antum seperti sedang kekeliruan wahai Umair?”

“Ana ingat antum balik bilik tadi. Kenapa ikut V1 untuk ke sini? Kalau ambil kanan di bulatan tadi lebih dekat bukan?”

“Yakah? Kami biasa ikut jalan tadi.”

“Tapi jalan itu lebih jauh. Ikut kanan lebih dekat.”

“Tidak mengapa, asalkan sampai.” Akh Zuhdi menjawab sambil tersenyum

Dan saya turut tersenyum.


*****

Anda faham apa di sebalik cerita di atas? Saya terjumpa sesuatu untuk ditadabburi daripada perbualan bersama Akhi Zuhdi. Sesuatu yang biasa, tetapi boleh diaplikasikan dalam suasana berbeza.

Perbezaan Jemaah

Jemaah kami lebih baik, kami syumul.

Jemaah kamilah yang lebih baik, kami ikut sunnah.

Perbualan yang sering kita dengari. Perbahasan yang tidak berkesudahan sehingga kadang-kadang menimbulkan perbalahan yang tidak diingini. Padahal ia bersumberkan konsep yang sama.

Saya dan Akh Zuhdi masing-masing mahu menziarahi Akhi Abdurrahman. Walaupun jalan yang kami ambil berbeza, tetapi kerana matlamatnya sama, kami bertemu di tempat yang sama. Cuma ada yang awal dan lambat. Kerana jarak perjalanan yang diambil berbeza.

Begitu juga konsep perbezaan jemaah. Setiap gerakan pasti ada hujah dan prinsip mereka yang tersendiri. Dan sebagai seorang Muslim, kita perlu berbaik sangka yang mereka pasti punya tujuan yang baik iaitu ikhlas untuk mencari redha Allah SWT dalam berbuat. Maka destinasinya pasti sama. Dan kita akan bertemu di sana. Di mana lagi kalau bukan di Syurga?


Sikap Kita

Maka sikap kita adalah berlapang dada dan saling menasihati. Mereka yakin dengan cara mereka, kita yakin dengan cara kita. Maka aplikasikanlah firman Allah SWT,

...bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu…
[Al-Baqarah, 2:139]

Buat kerja masing-masing.

Jika terlihat ada kesilapan yang dilakukan oleh mereka, tegurlah dengan cara yang berhikmah. Bukankah kita orang yang ditarbiyah?

..saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.
[Al-Balad, 90:17]


Kesimpulan: Memang Berbeza, Tetapi Destinasinya Sama Akhirnya

Bukankan indah jika kita terus bergerak dengan bermatlamatkan destinasi yang sama? Maka kita sebenarnya bersatu, walaupun bergerak dengan cara yang berbeza. Hindarilah perdebatan-perdebatan yang sia-sia dan persaingan-persaingan yang tidak sihat.

Bayangkan jika saya dan Akh Zuhdi terus berdebat,

“Zuhdi, jalan antum panjang! Jangan ikut lagi.”

“Ikut suka analah! Ana suka jalan itu!”

Ataupun bayangkan saya mengatakan kepada ikhwah lain,

“Akhi, teruk betul Akh Zuhdi itu, dia pilih jalan yang jauh untuk ke V2. Buang masa!”

Bayangkan Akh Zuhdi juga melakukan hal yang sama,

“Tengok Akhi Umair itu, dia berlagak sungguh dengan jalan singkatnya. Macam bagus sangat!”

Bukankah buruk sungguh rupanya?

Tepuk dada tanya iman. Mari berlapang dada.

Ia memang berbeza, tetapi sama akhirnya.



~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^