Perkongsian: Mereka Yang Memenangkan
Semua daripada kita mahukan kejayaan.
Terutamanya buat gerak kerja dakwah Islam yang kita cintai.
Namun adakah kita telah berbuat sesuai dengan syarat-syarat kemenangan?
Atau kita hanya bermimpi di siang hari, mengharap bulan jatuh ke riba?
Bagaimana pendahulu-pendahulu kita memperolehinya?
Apakah yang ada pada mereka yang kita tiada?
Mari sama-sama kita telusuri penulisan ini.
Kejayaan Itu Pertolongan dan Izin Allah
Ini kunci pertama yang perlu kita ketahui dan yakini. Bahawa segala apa yang kita lakukan tidak akan bermakna dan tidak akan Berjaya melainkan dizinkan oleh Allah SWT semata. Maka yang pertama perlu diletakkan adalah pengharapan kepada Allah SWT agar menjayakan usaha kita.
Ramai orang bertawakkal kepada usaha dan kemampuan diri sendiri untuk berjaya. Hampir mereka melupakan bahawa Allah SWT di belakang ini semua. Contoh yang paling menarik adalah perbualan antara Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dengan anak halaqohnya, Abbas As-Sissy. Mari kita ikuti kisahnya.
Imam As-Syahid telah mengarahkan Abbas As-Sissy agar menyertai tentera. Dengan penyertaan itu semoga dapat membuka sayap dakwah dalam bahagian ketenteraan. Abbas As-Sissy adalah seorang yang memakai cermin mata. Dan syarat untuk menyertai tentera adalah seseorang itu tidak boleh bercermin mata.Kerana kegusaran mula bersarang di hati, Abbas As-Sissy lalu dia berjumpa dengan Imam As-Syahid.“Syeikh, aku seorang yang bercermin mata. Pasti aku tidak akan diterima untuk memasuki tentera.”“Tidak mengapa, mohon sahaja. Yakinlah kepada Allah.”“Tidak boleh syeikh, aku akan ditolak.”“Usah tunjukkan engkau berkaca mata. Jangan risau, yakinlah kepada Allah.”“Nanti aka nada ujian menembak, bagaimana aku ingin melepasinya tanpa kaca mataku?”“Tidak apa, teruskan sahaja. Ketika ujian itu, jangan bertawakkal kepada matamu. Bertawakkallah dan yakinlah kepada Allah.”Abbas As-Sissy terdiam mendengarkan nasihat Imam As-Syahid. Lalu dia meneruskan pengarahan tersebut dan memohon untuk menyertai bahagian ketenteraan. Dan dia telah lulus dalam semua ujian, termasuk ujian menembak.
Lihat, hasil tawakkal dan yakin kepada Allah.
Kedekatan Kepada Allah SWT
Ini merupakan faktor terbesar yang menjamin kemenangan. Mereka yang dekat dengan-Nya pasti akan dibantu. Kerana memang itu janji Allah:
…Dan Kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman.
[Ar-Ruum, 30:47]
Bukti-buktinya telah banyak ditunjukkan oleh para pejuang Islam terdahulu.
1. Perang Badar Al-Kubra
Ini adalah perang yang hampir semua kita tahu. 313 orang tentera Muslimin menentang 1000 orang tentera musyrikin. Namun perbezaan itu bukan sahaja dari segi bilangan, bahkan persiapan ketenteraan.
313 orang tentera Muslimin itu pada asalnya keluar daripada Madinah bukan dengan mentaliti berperang. Mereka hanya ingin menahan kafilah dagang yang dipimpin oleh Abu Sufiyan yang telah merampas dan memperdagangkan harta-harta yang ditinggalkan oleh mereka di Mekah. Tujuan mereka menahan adalah untuk mengambil kembali hak-hak mereka.
Namun Allah berkehendak lain. Abu Sufiyan mengetahui kedatangan tentera Muslimin, lalu menghantar wakil menyampaikan maklumat kepada Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah akhirnya menghantar 1000 orang tentera siap dengan kenderaan dan persenjataan.
Mentaliti mereka yang keluar hanya untuk menahan sebuah kafilah dagang, apalah sahaja yang perlu disiapkan. Ada yang hanya membawa batang kayu. Bahkan ada para sahabat yang tidak membawa apa-apa senjata. Pertembungan yang langsung tidak seimbang. Umpama kita yang hanya bersilat ingin bertarung dengan mereka yang punya pistol dan senapang! Bayangkan para tentera kita sekarang berada di tempat para sahabat. Pasti ramai yang sudah menarik diri.
Namun apabila Allah berkehendak, segala yang mustahil boleh jadi kenyataan. Para sahabat tidak ragu, mereka yakin akan pertolongan Allah. Mereka tetap berjuang dan tidak menarik diri. Lalu Allah mengirimkan bantuan tentera malaikat yang tidak terlihat.
Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[Al-Anfaal, 8:17]
Sehigga diriwayatkan, ada para sahabat yang melihat kepala musuh yang terputus dari badan walaupun pedang mereka masih belum menyentuh mereka. Ada musuh yang terpelanting jauh, walaupun mereka hanya menggunakan sedikit tenaga.
Pertolongan Allah. Lalu mereka memenangi perperangan dengan kemenangan yang besar.
Kisah yang mungkin juga kita telah biasa dengari. Kota Konstantinopel yang telah lama dijanjikan oleh Rasulullah SAW akan ditakluki oleh para Muslimin.
Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..” [HR Ahmad]
Beratus tahun sudah percubaan untuk menaklukinya tidak berjaya. Terdapat 8 percubaan diusahakan oleh para khalifah kerajaan Islam. Di antaranya, 5 percubaan pada zaman Kerajaan Umayyah, 1 percubaan pada zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 percubaan pada zaman Kerajaan Uthmaniyah. Namun ia hanya terealisasi 800 tahun setelah Rasulullah mengucapkan hadis keramatnya tersebut. Di tangan 150,000 tentera pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh ini.
Mari kita lihat apa kualiti yang dimiliki mereka.
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh.
Inilah kualiti mereka yang telah memenangkan Islam. Mereka beriman dan dekat dengan Allah. Mereka kuat kerana mereka dekat dengan yang Maha Kuat.
Jangan Bermimpi Di Siang Hari
Kita tidak ada apa yang boleh dibanggakan jika hendak dibandingkan dengan mereka. Bahkan kita jauh sekali berbanding mereka. Secebis juga tidak sama.
Bila ditanya tentang perjuangan, ramai yang mampu berkata-kata dengan bersemangat. Ramai yang mampu bersuara lantang mengutuk perbuatan keji yahudi laknatullah yang menindas saudara-saudara kita di Palestin. Namun persoalannya:
1. Sekuat apa persiapan kita?
2. Sedekat apa kita dengan Allah?
3. Sekualiti apa diri kita?
4. Seyakin apa kita akan bantuan-Nya?
Semua itu tidak perlu dibuktikan dengan kata-kata. Biar amal yang berbicara.
Usah berbicara soal perjuangan Islam, jika membuka mata menunaikan solat subuh berjemaah sahaja payah.
Usah bicara soal kasihankan saudara-saudara di palestin, jika memboikot produk yahudi dan Amerika sahaja tidak mahu.
Usah bicara soal kejayaan Islam, jika dalam diri masih banyak karat jahiliyah bersarang. Apatah lagi jika masih bermaksiat kepada-Nya.
Kemenangan Islam itu pasti berlaku, namun mereka yang akan memenangkannya perlu ditemui dahulu. Mahu menjadi salah seorang yang memenangkan atau sekadar pemerhati? Usah jawab dengan lisan. Jawab dengan amal.
Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.
[Muhammad, 47:38]
Jadilah generasi yang menggantikan mereka yang telah pergi. Jangan hanya menunggu dan kemudiannya menjadi generasi yang akan digantikan.
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^