Luahan : Hati Yang Rapuh

"Kenapa kau suka orang komen blog kau?"

Sebuah pertanyaan yang membuatkan saya terpana seketika. Sebentar terduduk bertafakkur. Kembali memuhasabah diri. Apakah sebenarnya niat di sebalik segala perbuatan saya selama ini. Sudahkah benar-benar disucikan kerana Allah SWT semata? Ataupun masih terselit sebersit keinginan nafsu?

Seperti yang selalu dinukil dalam tulisan-tulisan, mengajak kita semua agar menjaga batas-batas pergaulan, menjaga hati, menjaga pergaulan dan segala yang sewaktu dengannya. Adakah saya benar-benar menjadi orang yang pertama-tama melakukannya dan menterjemahkannya dalam amal?


Dalam Pengisian dan Ta'lim

Seringkali saya berpesan, kita perlu korbankan seluruh kehidupan kita untuk Allah. Memperjuangkan agama Allah perlu menjadi matlamat utama kehidupan kita. Saya selalu bertanya kepada para pendengar, "Sanggupkah kita mengorbankan hidup dan mati semata-mata untuk Allah?"

Dan kini saya kembali mempertanyakan kembali soalan itu kepada diri sendiri. Semoga jawapannya benar dan baik.

Dalam Penulisan

Seringkali saya membawa tema hati dan niat dalam cerpen-cerpen dan penulisan. Pentingnya menjaga batasan pergaulan dan amal hati. Sejauh mana kita telah menjadi waro' (menjaga) dalam sehari-hari kehidupan kita. Niat dalam berinteraksi dan sebagainya.

Dan mungkin mesej yang biasa saya sampaikan adalah 'Kelemahan terbesar seorang lalaki adalah perempuan.' Dan saya rasakan ini berlaku buat semua orang. Baik saya mahupun anda semua. Kerana ini juga diungkapkan oleh Allah SWT dalam kalam sucinya :


Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita...[3:14]

Maka itulah yang paling banyak merosakkan hati manusia sekarang, secara umumnya dan para da'i, khususnya. Kesan daripada hati yang rosak terlihat pada amal. Dan kalau boleh saya katakan, Da'i adalah hati ummat. Jika umat sedang rosak, maka sebegitulah kualiti para Da'inya. Maka pertanyakan diri kita wahai penyeru agama, benarkah kita benar-benar menjaga hati kita?

Komentar Di Blog

Begitulah. Setiap perkara pasti ada puncanya. Kebakaran bermula dengan adanya pencetus ; bahan bakar dan haba dengan kehadiran oksigen. Seperti itu jugala masalah hati. Pasti ada punca-puncanya yang perlu kita selidiki agar ia tidak berkelanjutan dan membarah. Seperti juga ingin mengelakkan kebakaran, maka hilangkan punca-puncanya. Bagi maksiat hati, elakkan sesungguh-sungguhnya punca-puncanya.

Komentar di blog juga merupakan sebuah medium perhubungan. Mungkin kita menganggapnya biasa-biasa sahaja, tetapi ia juga berfungsi seperti SMS, menyampaikan mesej. Dan ini perlukan perhatian yang baik.

Mari pertanyakan diri kita, terutama ketika ingin memberi komentar pada blog-blog sesiapapun, 

"Apakah niat aku? Kenapa aku nak buat benda ni? Allah redho tak ni?"

Nabi berpesan, "Berfatwalah dengan hatimu". Jika hati tenang melakukannya kerana memang demi sebuah kebenaran, maka lakukanlah. Tetapi jika ia hanya atas dorongan keinginan yang tidak jelas asal-usulnya, maka nasihat saya, urungkanlah niat itu. Kemungkinan besar ia hasil mainan syaitan. Ia ingin agar kita ternoda, hati dan amal. Dan setiap noda kecil di hati akan menarik noda-noda kemaksiatan yang lain. Ia bersangkutan.

Kaedahnya, seorang lelaki tidak perlu menghubungi atau membuat hubungan dengan wanita lain, melainkan atas dasar-dasar yang benar-benar perlu. Kemudharatan barangkali. Begitu juga sebaliknya buat wanita-wanita. Janganlah kalian menghampiri lelaki melainkan atas urusan-urusan yang benar-benar perlu. Mungkin kita kuat, hati kita terjaga. Namun hati mereka, siapa yang tahu?

Kesimpulan

Kesimpulannya, jagalah hatimu wahai manusia. Jagalah amalmu wahai insan. Terutamanya para penyeru di jalan Ilahi. Kau kata redha Ilahi yang kau cari. Namun adakah amalmu berbicara sesuai dengan katamu? Andai amal lahirmu menyatakannya, apakah amal hatimu berjalan seiring dengannya? Marilah perbaiki diri kita. Semoga Allah redha.

Jazakallah kepada yang memberi peringatan. Kini saya kembali memberi peringatan, agar kita semua mempunyai kefahaman yang sama. Seandainya saya tersilap selepas ini, maka segera ingatkan saya kembali :

"Umair, jaga hati!"
 

Free Counter

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^