Dakwah : Menegur ; Jangan Simbah Minyak Pada Api
Nabi berpesan,
"Barangsiapa salah seorang dari kalian melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak sanggup mengubahnya dengan tangannnya, hendaklah ia mengubahnya dengan lisannya. Jika ia tidak sanggup mengubahnya dengan lisannya, hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemahnya iman."
Ramai yang termotivasi dengan ayat ini lantas bergegas untuk menjadi golongan 'kuat iman'. Lantas segala kemungkaran segera diubahnya dengan tangan. Biar sekecil apapun. Bagus. Semangat berdakwah yang sangat menepati seruan Rasulullah SAW.
Tetapi jangan terlupa. Manusia makhluk yang mempunyai perasaan. Cara manusia itu menerima teguran dan 'pengubahan' terhadap maksiat tersebut amat-amat bergantung kepada perasaannya.
Maka sedikit perkongsian yang boleh saya bawakan di sini. Cara menegur.
Tujuan
Semua perbuatan kita perlu tujuan yang jelas. Tujuan kita hidup adalah untuk mencari redha Allah. Maka semua amal kita adalah berlandaskan sebuah pertanyaan, "Apakah Allah redha dengan perbuatan aku ini."
Maka apa tujuan kita menegur dan memberi peringatan kepada orang lain?
Firman Allah:
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”.
[Al-A'raf, 7:164]
Tujuan kita menegur dan memberi peringatan ada dua:
- Melepaskan diri daripada tanggungjawab. Agar nanti menjadi alasan depan Allah SWT yang kita telah berbuat.
- Agar mereka bertakwa.
Sebab yang kedua ini mungkin ramai penegur-penegur serta pemberi ingatan sekarang terlepas pandang. Apa yang mereka buat adalah sesuatu yang tidak memikirkan adakah orang yang ditegur itu akan menerima teguran mereka. Jika fikir pun, sudut perasaan seringkali diabaikan. Sehingga orang yang ditegur tidak mahu menerima mesej yang disampaikan, walaupun mereka tahu mereka salah.
Punch n Go
Biasa dengar? Sebuah kisah yang menarik untuk dikongsi.
"Mat, kan aku dah cakap, menutup aurat tu wajib hukumnya. Lelaki wajib tutup aurat daripada pusat hingga lutut. Pakai seluar pendek macam ni tak boleh, berdosa." Kata seorang abang kepada adiknya yang berbeza umur hanya setahun."Suka hati akulah. Kau sibuk-subuk kenapa? Balik-balik suruh aku tutup aurat. Aku tahulah jaga diri sendiri. Kubur masing-masing!""Ye lah, aku nasihat ni takut nanti kubur kau sebelah kubur aku, kau meraung-raung dalam tu, aku yang tak tenang bersemadi nanti." Dengan nada yang semakin meninggi."Boleh jalanlah kau! Ingat kau baik sangat? Ingat kau tenang ke dalam kubur nanti? Kau pun banyak dosa gak!""Ah, kau tu yang memang dah teruk. Berapa banyak benda mengarut yang kau dah buat? Sedar-sedarlah diri sikit!"
Lalu perbualan yang tujuannya untuk menegur menjadi perbalahan yang tidak berkesudahan. Kenapa? Sebab Si Abang sentiasa menasihati adiknya hanya ketika adiknya membuka aurat. Di masa-masa yang lain dia hanya sibuk dengan kerjanya sendiri.
Mengapa ini berlaku? Kerana kita berfikir hanya untuk memberitahu yang dia salah. Dia sedang bersalah, jadi betulkan kesilapan itu. Kita berfikir bahawa semua orang memang perlu diberitahu secara terus yang dia salah. Sekali lagi, cara kita menyampaikan amat penting. Dari situ orang akan menerima teguran itu atau tidak.
Jika kita bertindak sedikit bijak dengan meletakkan tujuan kedua dalam menegur, makan ia akan dapat diselesaikan. Kita akan sentiasa berfikir, "Macam mana aku nak sampaikan agar dia dapat terima teguran aku, dan agar dia berubah?"
People Wont Care How Much You Know, Until They Know How Much You Care
Jangan pening dulu. Fahami ayat di atas perlahan-lahan. Dah faham?
Kita perlu terlebih dahulu meraih kepercayaan 'mad'u' kita, yang kita hadir untuk membantunya. Bukannya kita hadir hanya untuk menunjukkan yang dia salah. Sengaja mahu membuka pekungnya.
Kisah tadi, mari kita ubah sedikit.
Si Abang terlihat adiknya memakai seluar pendek di dalam bilik. Lalu pergi ke dapur untuk membancuh segelas air sirap sejuk. Lalu menyajikan kepada adiknya.Got the picture?
"Nah, aku buat air untuk kau. Minumlah."
"Aik, baiknya abang hari ni? Terima kasih." Kata Si Adik sambil tersenyum. Siap panggil 'abang' lagi tu. Biasanya ber'aku' 'engkau' je.
"Takdelah, aku sebenarnya kesian dengan kau."
"Kenapa?"
"Kau macam kepanasan je. Aku tengok pakai sikit je pakaian hari ni. Tu bagi kau air sejuk ni, biar 'cool' sikit." Sambil memuncungkan bibirnya ke arah seluar pendek si adik.
"Hahaha, taklah panas sangat, biasa-biasa je."
"Okay, kalau tak panas lain kali leh la pakai seluar panjang kan? Nabi pun suka, Allah pun sayang. Nanti syaitan mesti menangis punya tengok kita tutup aurat, tak buat dosa."
"Hehe..okay."
Kalau tak tahu bahasa 'Ayam', guna 'Ayam' lain untuk nasihat 'Ayam' kita
Jangan gelak dulu.
Maksudnya, kalau kita sendiri tidak mampu menasihati, mintalah orang yang dekat dengan mad'u kita untuk mengingatkan. Orang yang memang dihormati dan dipercayai oleh mad'u kita.
Minta ayah ibu tolong nasihatkan.
Minta kawan-kawannya tolong ingatkan.
Minta guru-gurunya tolong sampaikan.
Kalau lihat ikhwah lain buat masalah, dan kita dengan dia agak tidak mesra atau terlebih mesra sehingga dia tidak mampu menerima teguran kita, maka salurkan kepada murobbi. Insya-Allah murobbi lebih faham masalah anak halaqohnya.
Jangan Main Dengan Api
Nasihat itu berpada-pada. Jangan diteruskan kalau mad'u kelihatan tidak bersedia ditegur. Sekali disampaikan dia diam, tetap tidak berubah, jumpa kali kedua. Cari di waktu dia sedang ceria dan tidak beremosi. Kalau tetap tidak bejaya, guna kaedah 'Ayam' tadi. Mungkin hanya sesetengah orang sahaja yang mampu menegurnya.
Jangan dipaksakan. Kadang-kadang ada orang nak berubah perlukan masa. Dia diam sahaja, tetapi dalam dirinya sedang berapi-api. Dirinya besi waja yang sedang ditempa dengan api yang bersuhu tinggi. Raging Fire!
Tunggu dia sejuk dulu.
Kesimpulan: Tegur tetap tegur
Kewajiban menegur tetap tidak gugur walau kita tidak tahu cara terbaik untuk menegur. Tersilap dalam cara menegur 10 kali, ia tidak bermakna kita gagal 10 kali. Sebaliknya kita sebenarnya telah berjaya menemui 10 cara yang tidak patut diulang dalam menegur.
Mari memberi peringatan. Agar makin ramai yang bertaqwa. Insya-Allah.
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^