Muhasabah : Remaja Akhirat

Remaja adalah aset yang cukup berharga. Kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan. Syaidina Umar Al-Khattab pernah berkata, "Jika kamu ingin melihat kekuatan sesebuah negara, lihatlah kepada remajanya sekarang." Soalnya, bagaimanakah remaja kita? Majoritinya bagaimana?

Lihat sahaja ke mana-mana, remaja kita, terutamanya remaja melayu yang menganut agama Islam kita tercinta ini, bagaimanakah keadaannya?

Merempit
Berzina
Berkhalwat
Buang bayi

Persoalannya bagaimana semua ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak mengenal erti dosa pahala? Mereka tidak diajar di sekolah-sekolah? Tidak mungkin. Puncanya boleh saya simpulkan, kerana mereka tidak dididik dengan jati diri Remaja Akhirat.



Siapakah Remaja Akhirat itu?

Remaja Akhirat adalah mereka yang berusia belasan tahun yang hidupnya bermatlamatkan akhirat. Tutur kata serta perilakunya berorientasikan akhirat sebagai hala tuju.

"Alah, akhirat pula. Susahlah kalau nak kena jadi ustaz saja!"

Siapa kata bila fikir akhirat kena jadi orang masjid sahaja? Sebagai muslim, kita dituntut untuk mengejar kejayaan duniawi mahupun akhirat dengan bersungguh-sungguh, bukan hanya menjadi golongan ustaz sahaja. Kita boleh sahaja menjadi jurutera, juruterbang, polis, saintis, doktor dan lain-lain profesi. Tetapi mulakan dengan asas Remaja Akhirat. Matlamat yang akan menghasilkan:
  • Menjadi Jurutera yang beriman
  • Juruterbang yang menjadikan redha Allah sebagai matlamat hidup
  • Polis yang takut dengan azab Allah
  • Saintis yang sentiasa memikir dan mengagungkan kebesaran Allah
  • Doktor yang mampu mengubati hati pesakit agar semakin dekat dengan Allah
Inilah hasil daripada menjadi Remaja Akhirat. Golongan remaja ini disebutkan sebagai salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT di hari akhirat kelak. Pada hari yang tiada lagi naungan selain daripada naungan Allah SWT. Iaitu golongan remaja yang membesar dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah.


Ciri-cirinya

Remaja Akhirat akan sentiasa mempuyai daya kawalan diri. Mereka sedar bahawa setiap tindak tanduk mereka akan berbuah pahala ataupun dosa. Sehingga mereka sangat berhati-hati dalam tindak tanduk mereka.

Mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan keseronokan dunia. Mereka tidak dengan semberono sahaja melalukan perbuatan tidak bertanggungjawab. Mereka amat tahu apa yang dilakukan mereka sekarang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Remaja Akhirat tidak sesuka hati menggunakan nickname 'anonymous' lalu mengutuk orang sana sini.
Remaja Akhirat tidak selamba badak membuka laman-laman lucah dengan melupakan yang Allah sentiasa melihatnya.
Remaja Akhirat tidak sesuka hati menggunakan kebijakan tutur katanya untuk menggoda pasangan demi kepuasan nafsu.

Remaja Akhirat adalah mereka yang amat menginginkan kebahagiaan abadi di syurga Allah dan amat takut dengan siksa abadi di neraka Allah. Mereka tahu dan sentiasa berfikir bahawa setiap kali mereka penat lelah melakukan ibadah pahala, kepenatan itu akan hilang dan pahala daripada ibadah  itu akan kekal. Mereka tahu setiap kali ingin berseronok melakukan maksiat, keseronokan maksiat itu akan hilang dan dosa daripada kemaksiatan itu akan kekal selamanya.


Remaja Akhirat di zaman Rasulullah SAW

Sebuah cerita tentang sahabat Rasulullah SAW. Seorang remaja yang berusia 17 tahun yang sering menemani Rasulullah SAW ke mana sahaja Rasulullah pergi. Dia sering diminta oleh Rasulullah untuk mendapatkan barang-barang keperluan baginda. Tsa'labah ibnu Abdurrahman nama diberi.

Pada suatu hari seperti biasa Rasulullah memintanya untuk mendapatkan sesuatu. Lalu pergilah Tsa'labah untuk mendapatkan permintaan Rasulullah tersebut. Dalam perjalanannya Tsa'labah melintasi sebuah rumah. Pintu serta tingkap rumah tersebut hanya ditutupi oleh tirai yang diperbuat daripada guni. Tiba-tiba angin bertiup kencang dan tirai yang menutupi jendela rumah itupun tersingkap. 

Saat itu pandangan Tsa'labah sedang dihalakan ke arah rumah tersebut. Lalu dengan tidak sengaja terlihatlah Tsa'labah akan wanita yang sedang mandi. Tsa'labah segera mengalihkan pandangannya dan menyebut, "A'uzubillah!!" "Aku berlindung kepada Allah!"

Tsa'labah dihantui rasa bersalah yang amat sangat kerana telah terlihat aurat seorang wanita yang tidak halal baginya. Di dalam benaknya dia berfikir-fikir tentang dosanya tadi.

"Ya-Allah, aku takut kalau malaikat Jibril turun memeritahu kepada Rasulullah SAW bahawa aku telah melakukan maksiat! Aku takut kalau nanti akan turunnya ayat Al-Quran yang menyenaraikan aku sebagai salah seorang pemaksiat! Ya-Allah sungguh aku telah melihat aurat seorang wanita yang tidak halal bagiku!"

Tsa'labah terus dengan rintihannya sehingga dia terlupa akan tujuan asalnya untuk mencari keperluan Rasulullah. Dia berlari menyembunyikan diri kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah. Terus-terusan dia merintih.

"Ya-Allah, aku tak mahu masuk neraka! Ya-Allah, aku tak mahu diazab atas dosa yang aku lakukan. Ya-Allah ampunkanlah aku!"

Tsa'labah terus berlari sehingga ke kaki bukit di pinggir kota Madinah. Tsa'labah memanjat bukit itu dan bersembunyi di dalam gua di puncak bukit tersebut. Sementara Rasulullah terus menunggu Tsa'labah sehingga berhari-hari. Kerana tidak ada khabar mengenai Tsa'labah, Rasulullah meminta Umar Al-Khattab untuk mencari di manakah Tsa'labah.

Ketika Tsa'labah ditemui, Umar berkata, "Wahai Tsa'labah, marilah bertemu Rasulullah. Baginda mahu bertemu denganmu."

Tsa'labah dengan ketakutan berkata, "Mengapa Rasulullah mahu bertemu denganku? Sudahkan turun ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kemaksiatanku? Jibril sudah beritahu Rasulullah apa yang aku lakukan? Aku tidak mahu masuk neraka! Aku takut!"

Tsa'labah terus berkata-kata dalam ketakutan seperti orang gila. Oleh kerana sudah beberapa hari tidak makan, melainkan beberapa teguk susu kambing yang diberikan oleh pengembala kambing di kaki bukit tersebut, badannya menjadi sangat lemah. Lalu Umar memapah Tsa'labah ke pulang ke rumah.

Setelah mengetahui Tsa'labah telah dijumpai dan berada di rumah, Rasulullah datang menziarahinya. Rasulullah lalu meriba kepala Tsa'labah, namun Tsa'labah mengalihkan kepalanya. Rasulullah bertanya, 

"Wahai Tsa'labah, mengapa engkau mengalihkan kepalamu?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di atas ribamu yang mulia itu."

Rasulullah memandang Tsa'labah dengan wajah sayu, dan bertanya,

"Wahai Tsa'labah, apakah yang kau mahukan?"

"Aku mahukan keampunan Allah.." Suaranya semakin lemah.

"Apakah cita-citamu wahai Tsa'labah?" Rasulullah kembali bertanya.

"Cita-citaku adalah untuk menginjaki syurga..Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia mengampunkan dosaku.."

"Wahai Tsa'labah, aku menjadi penjamin di atas kemahuanmu dan cita-citamu itu. Sesungguhnya ini adalah bukti taubatmu."

Akhirnya Tsa'labah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.

Ketika pengebumian Tsa'labah, Rasulullah tiba agak terlambat. Para sahabat telah terlebih dahulu mengerumuni kuburan Tsa'labah. Apabila Rasulullah tiba, para sahabat membuka laluan kepada Rasulullah untuk melihat jenazah Tsa'labah. Namun Rasulullah SAW kelihatan berjalan susah payah bagaikan diasak-asak. Para sahabat bertanya akan keadaan baginda itu. Rasulullah menjawab,

"Sesungguhnya kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang menghantar Tsa'labah ke kuburnya."

Itulah kisah salah seorang Remaja Akhirat di zaman Rasulullah. Kita boleh mencontohinya. Remaja seperti inilah yang akan membangkitkan kembali kegemilangan tamadun Islam. Remaja-remaja yang sempurna iman dan taqwanya kepada Allah.

Soalnya bagaimana?

Usaha. Perjalanan berjarak beribu-ribu batu bermula dengan langkah yang pertama. Mulakan langkahan. Mulakan mendidik diri dengan nilai-nilai Islam yang mengakar dalam jiwa. Bentuk lingkungan tarbiyah bersama-sama dengan mereka yang sama-sama berusaha untuk menjadi Remaja Ahirat. Dengan lingkukan ini kita akan saling ingat-mengingati dan baiki-membaiki kualiti diri sesama kita. Dan pada masa yang sama kita terus menjalani kehidupan sepereti rakan-rakan yang lain.

Hidupkan halaqoh, tadarus, tadabbur, qiamullail dan pengajian-pengajian agama. Laksanakan kehidupan Islam dalam seluruh kehidupan kita. Mulakan dengan diri kita dan bimbing rakan-rakan. Insya-Allah, kita sama-sama mampu mencapainya.


Kesimpulan: Mari Tanamkan Azam dan Mulakan Langkahan

Banyak yang kita dengar dan baca, maka banyak yang perlu kita laksanakan. Marilah mulakan langkahan kita bermula saat ini. Mulakan dengan bertaubat, kemudian meningkatkan amalan serta kefahaman kepada agama. Jalan itu pasti akan kelihatan, jika kita berusaha berusungguh-sungguh untuk mendapat redha-Nya.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]

Mari jadi Remaja Akhirat! Cinta Allah, Rasul, Dakwah dan Jihad!

~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^