Diari : Di Jalan Dakwah Aku Menikah
Dauroh Wida' Ikhwah-Akhwat UMS di Negeri Di Bawah Bayu, membawa saya kepada sebuah forum. Forum yang saya rasakan bukanlah saya selayaknya menjawab soalan-soalannya. Kerana saya tiada pengalaman. Lagikan pula, semua yang berada di hadapan adalah mereka yang sudah 'berdua', kecuali saya! Baik daripada moderator forum, panel pertama dan panel ketiga, semuanya sudah berumah tangga. Sayalah seorang yang terkontang-kanting hilang tingkah di hadapan para ikhwah serta akhwat di sana.
Oh ya, terlupa pula. Tajuk forum ini adalah : Di Jalan Dakwah Aku Menikah & Beginilah Dakwah Mengajarkan Kami. (Saya perform di tajuk kedua tu je. [^_^] )
Soalan pertama diberikan kepada Panel 1, Dr. Hj. Mohd. Hizul Azri b. Mohd. Nor. Berkenaan bagaimana beliau melalui proses pernikahan, bermula daripada lobi nikah sehingga menjejaki jinjang perkahwinan sebagai seorang Da'i. Alhamdulillah, perkongisian beliau cukup hidup dan para ikhwah serta akhwat kelihatan amat berminat. Lepas ni ramailah yang hantar resume nikah nampaknya. (^_^)
Lalu tibalah giliran saya.
"Baiklah, untuk Akhi Umair pun ada soalan juga. Kita nak dengar pendapat daripada seseorang yang belum menikah, mungkin ada sudut pandangan yang berbeza." Akhi Syafiq meneruskan bicaranya.
Aduh..Syafiq, tolonglah jangan bagi soalan yang mengarut-ngarut.
"Jadi Akh Umair, Sebagai seorang yang banyak menyampaikan bahan dan pengisian, apakah peranan seorang akhwat dalam membantu dakwah suaminya?" Semua hadirin yang ada tertawa. Termasuk semua ahli panel.
Cis, dia mula dah. Soalan apa ni? Aku belum menikahlah!
Saya terdiam seketika, memikirkan bagaimana hendak dijawab soalan ini.
"Er, soalan lain takde ke?"
Nampaknya si moderator ni masih nak meneruskan soalan mengarutnya. Apa boleh jadi, nasib badan. Bismillah jalan~
"Soalannya ialah, apakah peranan seorang akhwat dalam membantu dakwah suaminya. Terus terang ana katakan, ana memang tidak layak menjawabnya. Ana belum bernikah dan langsung tiada pengalaman yang boleh dikongsikan. Memandangkan soalan ini tetap perlu dijawab, maka ana akan menjawab berdasarkan teori-teori semata."
Nafas dihela dalam.
"Dalam menjalani jalan dakwah ini pelbagai cabaran dan dugaan yang akan dihadapi oleh seseorang da'i ini. Sebagai seorang lelaki ataupun perempuan yang remaja, perkara yang paling banyak mengganggu adalah gejolak jiwa yang tidak tenteram. Gangguan yang dihembuskan oleh syaitan terhadap fitrah semulajadi dalam diri kita. Allah berfirman:
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).
[Q.S. Ali 'Imran, 3:14]
"Dalam ayat ini Allah mengisyaratkan bahawa wanita di tempat pertama dalam tahapan kecintaan syahwat manusia. Dapat juga difahami di sini bahawa manusia itu fitrah semulajadi nafsunya akan amat tertarik kepada lawan jenisnya. Opposite Attract. Lelaki akan amat tertarik kepada wanita, dan wanita akan amat tertarik kepada lelaki. Perkara inilah yang sangat mendominasi jiwa remaja kini. Tidak terlepas juga para da'i.
Semua ikhwah akhwat diam mendengar. Saya meneguk air liur.
"Menyangkut soal pernikahan ini, Rasulullah SAW telah berpesan dengan sebuah hadis yang amat popular. Jika kita menyelak mana-mana kitab hadis seperti Sahih Muslim, Sahih Bukhori, Riyadhus Shalihin, di bawah bab nikah, pasti hadis ini akan jadi hadis yang pertama.
“Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang telah mencapai ba'ah hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…”
"Ba'ah itu adalah kemampuan untuk memberi nafkah dan melakukan hubungan suami isteri. Ini hanyalah teori.
"Ketika saat-saat melobi nikah kepada mak dan ayah, ana kemukakan hadis ini. Ana sampaikan,
"Mak, saya dah cuba dah berpuasa, tapi hati tetap payah nak jaga. Susahlah. Kena cuba cara lain ni."
Mesejnya nak minta nikahlah.
Hadirin tetawa lagi.
"Kerana sambungan daripada hadis itu adalah:
dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu baginya adalah benteng.”
"Tetapi mak ana mengatakan, "Kau jangan ingat nikah tu boleh selesaikan masalah nafsu tu. Belum tentu lagi selesai kalau bernikah."
"Dalam hati, 'Atte mak aku ni, kan ke nabi yang jamin tu.' Tapi itu dalam hati je la.
"Jadi ana tanyakan kepada ikhwah-ikhwah yang telah bernikah, sejauh manakah praktikalitinya. Kebetulan di UTP ada ikhwah-ikhwah yang telah menikah. Setelah bernikah ini bagaimanakah perasaannya? Betulkan masalah nafsu ini boleh selesai?
"Dan jawapan daripada mereka memang ya. Setelah menikah, hati dirasakan lebih tenteram. Interaksi dengan lawan jenis tidak lagi segelabah dahulu. Gejolak jiwa yang sebelum ini datang bagaikan taufan badai di lautan telah surut menjadi lautan yang tenang! (Ini saya tambah ye. Masa jawab forum biasa-biasa je metaforanya.)
"Antum faham gejolak yang dimaksudkan? Kalau antum semua manusia normal pasti antum faham.
Ikhwah-ikhwah tersengih-sengih. Saya tidak tahu bagaimana reaksi akhwat. Saya belum lagi memandang mereka langsung. Jeling-jeling sikit adalah. Bilangan akhwat kelihatan lebih ramai daripada ikhwah.
"Jadi inilah jawapan ana bagi peranan seorang akhwat dalam membantu dakwah suaminya. Menyebabkan derapan langkah seorang mujahid itu lebih tegar dan lebih mantap untuk menapak di jalan dakwah ini, insya-Allah. Begitu juga di pihak akhwat, dengan hadirnya seorang ikhwah sebagai suami, akan lebih tenteram hatinya. Akan lebih tenang dalam berjuang. Lebih terhindar daripada fitnah. Ini jawapan yang pertama.
"Yang keduanya, berdasarkan surah yang ke-24, ayat yang ke 32. Minta seorang tolong bacakan. Hah, Nasir yang kelihatan begitu bersemangat dari tadi! Tolong bacakan.
Saja saya kenakan dia. Memang sangat bersemangat pun. (^_^)
Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
[Q.S. An-Nuur, 24:32]
Syaidina Umar Al-Khattab dalam membahas ayat ini mengatakan, "Aku tidak dapat membayangkan jika ada orang yang tidak mahu bernikah dengan alasan takut miskin. Sedangkan Allah telah berjanji untuk membuatkan mereka kaya dengan pernikahan!"
"Antum semua boleh baca kisah ini dalam bukunya Mas Udik Abdullah yang bertajuk, 'Kuliah, Kerja dan Nikah. Asyik Banget!' Kisah ini juga ada diungkapkan dalam buku yang ditulis oleh Cahyadi Takriyawan, Di Jalan Dakwah Aku Menikah.
Inilah yang ana hendak bawakan. Pernikahan itu membuka pintu rezeki. Dan pengalaman ana sendiri melihat ikhwah-ikhwah yang telah bernikah, tidak lama kemudian dapat beli kereta, mudah dapat peluang bisnes dan pelbagai kemudahan lagi. Adalah juga yang dapat pakej, dapat isteri sekali dengan keretalah, motorlah. Itu dikira rezeki juga. Ada ikhwah seorang ni, senior ana 2 tahun. Lepas bernikah tak sampai 2 bulan, dia dapat beli kreta Proton Saga lama. Warnanya biru. Harganya cuma RM2000. Keadaan kereta sangat elok. Ada seorang ayah akhwat yang jual. Ana terkejut tiba-tiba je dia dah ada kereta.
"Itulah salah satu bentuk bantuan zaujah. Kehadirannya sahaja dalam hidup seorang ikhwah itu membuka pintu rezeki dengan izin Allah.
"Ana rasa setakat itu sahaja penjelasan yang dapat ana berikan. Nak cerita panjang, nanti semua teori semata. Jadi ana cukupkan di sini dahulu. Wallahua'lam."
Selesai...lega~
Jazakallah Khair kepada Akhi Umair. Kelihatannya cukup bersedia! Dari sudut teorinya, dari sudut pembacaannya, memang kita dapat lihat Akhi Umair ini cukup bersedia. Cuma mungkin belum tiba masanya.
Banyakla pulak cakap si Syafiq ni. Dahla bagi aku soalan tak kena tempat! Nasib baik memang aku banyak baca pasal nikah ni. Huhu~~
"Cuma ada lagi satu soalan untuk antum Akhi Umair."
Apa lagi lah dia ni....
"Soalan ini mungkin agak sensitif, tetapi nak tanya jugalah. Seperti yang antum katakan tadi, untuk menegarkan langkah dalam perjuangan ini memerlukan seorang teman di sisi. Jadi soalannya, apakah ciri-ciri akhwat yang diharapkan menjadi teman antum sebagai seorang ikhwah dalam memperjuangkan agama Allah SWT ini?" Sampai sahaja kepada perkataan ciri-ciri akhwat itu, semua ikhwah dah mula bising. Akhwat tak perasan pula. Mungkin tenggelam dalam kebingitan suara ikhwah.
Syafiq!! Ni apasal tanya macam ni...dahlah ada akhwat kat sini. Malulah~~
Muka saya memang memerah masa tu. Mungkin kulit yang agak gelap menyembunyikan perubahan warna tersebut. Susah nak menjawab soalan ini. Susahnya bukan pada jawapannya, tetapi kepada konsekuensinya. Lalu setelah terdiam beberapa ketika, saya menjawab.
"Harapan? Jadi, harapan ana untuk bagaimanakah ciri-ciri akhwat yang akan hadir menemani ana dalam hidup ini rasanya mudah je. Seperti yang ana nukilkan dalam blog ana. Tajuknya : Doa Seorang Akhwat. Ada kawan indonesia hantar email, tentang doa seorang akhwat tentang ikhwah idamannya. Lalu ana tulis pula doa buat pihak ikhwahnya.
Nafas dihela.
"Seorang akhwat yang ana harapkan hadir dalam hidup ini bukanlah akhwat yang memang sempurna dari segala sisi. Mutabaahnya sempurna, 7 je setiap minggu, yang tsaqofah dakwahnya tinggi melangit, yang apabila ditanya hal dakwah semua mampu dijawabnya, cantik, reti memasak, cukup 4 kriteria itu semua. Bukan itu semua. (Tapi kalau dapat siapa nak menolak kan?)
"Namun cukuplah dia seorang muslimah yang menjadikan Allah sebagai tujuan hidupnya. Yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menggapai cinta dan redha-Nya. Hadirnya pasangan hidup itu adalah untuk saling melengkapi. Jika kedua-duanya bermatlamatkan yang satu, maka semuanya sudah cukup sebenarnya. Bersungguh-sungguh mencari redha Allah. Cukup. Ana rasa itu sahaja kut."
"Terima kasih kepada Akh Umair. Jadi bagi ikhwah-ikhwah yang sedang menanti masa seperti Akh Umair ini, itulah ciri-ciri pasangan hidup yang paling utama kita cari. Tidak terlupa juga untuk akhwat. Pasangan yang benar-benar melakukan segala sesuatu demi untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sekali lagi terima kasih diucapkan kepada Akhi Umair. Jadi soalan seterusnya adalah untuk Ustaz Ihsan...."
Saya termenung. Dalam mendengar soalan untuk Ustaz Ihsan dan penjelasan daripadanya, saya jadi berfikir sendirian.
Layakkah aku mengharapkan akhwat seperti itu? Bersediakah aku menjadi imamnya? Memimpin kehidupan menuju ke syurga? Sungguh diri teramat sangatlah banyak kelemahan serta kekurangannya. Masih banyak karat jahiliyah yang tidak terkikis baik. Masih banyak yang tidak terbaiki.
Lantas layakkah aku mengharap akhwat-akhwat dakwah yang mulia? Niatku sahaja sering tersasar landasan. Mata, mulut, kaki, tangan dan semuanya, ke mana aku telah arahkan perlakuannya?
Itulah yang saya maksudkan dengan konsekuensinya. Bagaimana saya perlu mempersiapkan diri. Kerana kekasih itu akan datang sesuai dengan iman di hati. Ya-Allah, bantulah aku.
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (syurga).
[Q.S. An-Nuur, 24:26]
Kembali melayari saat-saat bermulanya tarbiyah, bagaimana mula melobi nikah, niat yang terkecundang dan pelbagai lagi salah dan silap. Sungguh, saya tidak mahu mengulangi kisah Muhammad Ibrahim bin Badiuzzaman. Langkahnya tempang kerana tersasul niat. Niat. Itu lagi.
Ya-Allah, kurniakanlah aku hati yang bersih. Bantulah aku untuk sentiasa meluruskan niat hanya untuk mencari redha-Mu. Amiin Yaa Robb...
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^