Perkongsian : Cinta Itu

Selama hampir 6 bulan ini saya jadi tertanya-tanya,
"Mengapa hati aku betul-betul tak keruan?"
Ada sahaja yang tidak selesai.
Ada sahaja yang tidak kena.
Setelah diselesaikan, muncul masalah baru.
Itu tandanya punca masalah tidak diselesaikan

Lalu semalam saya yakin saya telah jumpa punca permasalahannya.
Ketiadaan cinta.
Api cinta yang telah padam.
Cinta tentu bukan sebarang cinta.
Cinta yang tertinggi.
Cinta Ilahi.





Saya kembali meniti detik kehidupan selama ini.
Saat-saat saya kuat.
Saat-saat saya melemah.
Saat-saat saya menjadi bersungguh-sungguh.
Saat-saat saya menjadi sungguh ikhlas.

Jawapannya semuanya adalah kedekatan dengan Allah.

Mengikhlaskan niat

Ramai orang kata, betulkan niat. Kalau niat betul, insya-Allah semuanya baik. Saya tidak menafikan. Ia memang benar. Niat perlu sentiasa diperbetulkan. Tetapi niat itu terletak dalam hati. Dan hati itu sumbernya adalah cinta. Ia bukan sekadar teori dan logik akal semata-mata. Tidak semudah, "Woi hati, ikhlaslah. Buat kerana Allah!" Lalu hati tiba-tiba ikhlas.

Ikhlas itu akan lahir dengan dekatnya kita kepada Allah. Kerana Allahlah yang menciptakan kita. Jika kita tidak mencintai Allah, maka pasti sukar sekali untuk melakukan sesuatu kerana-Nya.

Bukti yang cukup mudah. Berapa ramai orang sanggup mengorbankan apa sahaja demi apa yang dicintainya? Berapa ramai yang sanggup membunuh diri apabila ditinggalkan kekasihnya? Berapa ramai yang sanggup menghabiskan ratusan bahkan ribuan ringgit demi membahagiakan sesuatu yang dicintainya? Dan dia lakukan segalanya itu tanpa mengharapkan balasan. Yang diharapkannya hanyalah : Orang yang dicintainya itu bahagia, senang dan tenang. Walaupun orang itu tidak pernah memandangnya sama sekali.

Sehingga muncullah ungkapan bahawa cinta itu buta. Tidak memerlukan sebab untuk jatuh cinta. Namun hakikatnya cinta kepada semua itu tidak akan kekal, bahkan tidak akan membuahkan kebahagiaan yang abadi.


Cinta Abadi itu Cinta kepada Allah, Cinta Ilahi

Kerana Allah itu kekal. Allah tidak akan hilang. Allah ada selama-lamanya. Jika kita mencintai Allah, maka tiada yang akan merampas Allah daripada kita. Kita tidak akan berebut cinta Allah dengan sesiapapun. Cinta Allah cukup untuk semua. Bahkan kita mengharapkan semua orang dapat mencintai Allah bersama-sama dengan kita.

Tidak pernah kita menjumpai kes yang ada seseorang itu bergaduh,
"Aku lagi Allah cintai daripada kau!"
"Aku lagi layak mendapat cinta Allah, aku selalu bangun qiamullail!"
"Aku lagi layak, aku selalu baca Al-Quran!"

Pelik kalau ada. Yang akan terjadi adalah, apabila melihat ada orang yang semakin dekat dengan Allah, kita jadi cemburu. Lantas kita semakin mendekat kepada Allah. Kita jadi lebih banyak beribadah. Kita jadi lebih banyak menangis.

Hasilnya setiap ibadah yang dilakukan sangat-sangat membahagiakan. Hati terasa hidup dengan merasakan kebersamaan Allah. Sungguh, Allah itu dekat. Dia sentiasa ada tika kita memerlukan-Nya. Bahkan Allah sentiasa mengingati kita. Mudah. Firman Allah:

Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:152]

Allah sentiasa ada apabila kita mengingatinya. Bukan macam kekasih dunia yang fana, kita sibuk-sibuk ingat dia, entah-entah dia tengah sibuk buat kerja lain atau lebih teruk, dia main kayu tiga!



Bagaimana mahu cinta Allah?

Soalan yang sebenarnya tidak perlu dipertanyakan. Sebenarnya secara fitrah kita sangat-sangat menginginkan Allah. Sangat-sangat mengharapkan bantuan Allah.

Bayangkan saat-saat kita menghadapi ujian yang sangat sukar. Terasa bagaikan tiada jalan keluar. Terasa kita amat lemah dan tidak bermaya. Rumah dirompak misalnya. Habis segala harta yang diusahakan. Segala apa yang ada semuanya hilang. Bisnes bankrup. Study sungguh-sungguh, tiba-tiba masa nak exam kemalangan. Terasa bagai segala kekuatan kita ranap sama sekali. Siapa yang mampu membantu kita?

Siapa lagi kalau bukan Allah?

Tidak cukupkah alasan itu? Mari jawab soalan-soalan ini.

Pernah merasakan kasih-sayang daripada orang yang dicintai? Kasih-sayang ibu dan ayah?
Siapa yang memberikan ibu dan ayah kepada kita?

Pernah merasakan bahagia apabila mendapat kejayaan?
Siapa yang meberikan kejayaan kepada kita?

Pernah merasa bahagia ketika disayangi dan diperlakukan dengan baik oleh teman-teman?
Siapa yang menggerakkan hati teman-teman kita untuk memperlakukan kita sedemikian rupa?

Lihatlah kepada dirimu sendiri.
Siapa yang menciptakannya?

Jantungmu, siapa yang mendegupkannya?

Ketika tidur, siapa yang senantiasa menggerakkan diafragma kita sehingga tekanan dalam ruangan toraks kita sentiasa berubah-ubah sehingga kita mampu bernafas dengan sempurna?

Lihatlah pada dirimu sendiri.
Apakah yang ada pada dirimu yang sebenarnya milikmu?
Mata, tangan, kaki, mulutmu, milik siapa?
Hartamu, milik siapa?
Keluargamu, milik siapa?
Perasaan yang kau rasa, milik siapa?
Segala yang kaumiliki, milik siapa?
Milik siapa wahai diri?
Milik siapa wahai jiwa yang kerdil?

Katakanlah milik Allah!
Aku milik Allah!
Segala yang ada dalam hidupku adalah milik Allah!

Dialah Ar-Rahman dan Ar-Rahim
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada kita. Dia yang telah memberikan segalanya kepada kita. Lantas, mengapa kita masih tidak mencintai-Nya? Mengapa kita masih berkira-kira untuk meninggalkan sesuatu yang dimurkai-Nya? Mengapa kita masih ragu-ragu untuk mengorbankan segala yang ada dalam diri kita untuk mengabdi kepada-Nya?

Jawapannya adalah kerana kita adalah hamba yang tidak bersyukur. Kita terlupa bahawa kita ini adalah milik-Nya. Kita akan kembali kepada-Nya.

Kesimpulan

Semalam saya tergerak membuka blog seorang teman. Sarah Al-Haura'. Tiada apa yang istimewa dengan pemilik blognya buat diri ini. Cuma lagu opick yang didengangkan di blognya cukup-cukup mengetuk pintu jiwa saya. Nurul Qolbi, Cahaya Hati. Semalaman saya mendengarnya. Cukup mengesan di hati. Mungkin doa  Mama dan Abah di tanah suci mula diperkenankan. Subhanallah. Sehingga kini saya masih membuka blog itu, sambil menaip sambil mendengar lagu Cahaya Hati. Boleh download lagu itu di sini.

Solusinya adalah kembali kepada Allah.
Dambailah cinta Allah.
Teringat kata-kata manis Puan Khairi di saat-saat sebelum dia menikah, : Dapat Allah Dapat Segalanya. Entah adakah kata-kata itu masih relevan dalam hidup mereka, menjadi sumber kekuatan mereka sehari-hari dalam kehidupan. Semoga.

Tetapi buat jiwa ini, ketiadaan cinta Allah itulah permasalahannya. Membuatkan saya lama sekali tidak terubat. Sehingga terlupa punca dari mana datangnya kata-kata dahsyat saya suatu ketika dahulu, yang telah diabadikan dalam cerpen sulung saya, Untukmu:

"Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredahaan ilahi..seindah manapun gubahan pertama tu, selagi tak mendapat keredahaanNya, tetap tiada gunanya.. 

Sungguh kata-kata itu datang terus daripada hati. Saya rindu saat itu. Sungguh, saya rindu saat itu. Saya mencintai Allah lebih daripada segalanya. Namun yang namanya manusia, terkadang tersilap dalam bersikap. Semoga selepas ini saya kembali menjadi umairzulkefli yang benar. Ya-Allah, perkenankanlah!

Cintailah Allah.
Dapat Allah Dapat Segalanya.

-umairzulkefli-
-1654Hrs-
-221110-
-Engineering Room, Nihon Canpack-


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^