Perkongsian : Muara Cinta

Cinta lagi.
Lagi-lagi cinta.
Ramai yang mungkin bosan dengan topik cinta.
Namun bagi saya, cinta tidak akan mendatangkan kebosanan.
Kerana cinta adalah bahan bakar sebuah kenderaan kehidupan.
Namun cinta yang menyemarakkan semangat kehidupan itu bukan sebarang cinta.



Mencari Cinta

"Kenapa antum mahu nikah muda?"

"Ana nak nikah segera, supaya hati tenang. Bila tenang, mudah nak cari redha Allah."

Perbualan di atas mungkin menjadi penyebab bagi ramai da'i anak muda. Jiwanya dikatakan terganggu dengan keduniaan sehingga tidak mampu menenangkan hati mencari redha Ilahi. Dan perkara yang paling merunsingkannya adalah ketertarikan kepada lawan jantinanya.

Lalu keputusan diambil.
Aku perlu nikah segera.

Benarkan selesai permasalahannya? Benarkah redha Allah dapat digapai apabila di dalam hati sudah punya tempat buat orang yang halal untuk dicintai?


Hakikat Hati

Saya antara orang yang mungkin tersilap dalam menentukan sikap. Saya merasakan dengan bernikah, kehidupan menjaga keimanan akan lebih mudah dilalui. Kerana saya beranggapan masalah terbesar dalam kehidupan adalah sukarnya menjaga hati yang mudah tertarik kepada wanita.

Namun masalah hati bukan sekadar itu. Masalah hati mencakupi ruang yang lebih besar. Hati bukan soal perasaan dan cinta semata-mata. Hati juga perlu ada dalam perkerjaan seharian kita.

Ketika menyiapkan tugasan kuliah.
Ketika menyelesaikan tugasan dakwah.
Ketika mencari rezeki untuk keluarga.
Ketika melakukan apa sahaja.

Pernah dengar ungkapan, 

Buat kerja sepenuh hati?

Hati yang kuat akan mampu untuk membuatkan diri bekerja di tahap maksimum.
Hati yang kuat akan mampu menghilangkan keletihan ketika badan lesu dimamah kepenatan.
Hati yang kuat akan mampu menenangkan fikiran yang bercelaru akibat masalah keduniaan.

Pernahkah kita terfikir mengenainya?

Meluruskan Hati

"Jadi, sebab itulah ana ingin nikah segera. Bila ada pendamping di sisi, ia akan lebih menguatkan jiwa. Ana akan lebih bersungguh-sungguh dalam kehidupan."

Benar. Anda benar.

Tetapi benarkah anda meletakkan kehadiran si dia dalam hidup HANYA sebagai 'penguat jiwa'?
Ataupun sebenarnya anda bakal meletakkannya sebagai sumber kekuatan jiwa?

Nanti bila dah nikah, insya-Allah aku jadi lebih kuat. Ada sumber cinta yang tidak akan padam!

Penyataan di atas tersilap. Sungguh-sungguh sangat tersilap.

Apa akan terjadi jika kita menghadapi masalah yang sukar diselesaikan, dan si dia tidak mampu menguatkan kita? Di kala itu, memandang wajahnya sahaja tidak mampu mendatangkan senyum. Ketika itu sukar sekali kita merasakan cintanya kita kepada si dia. Bahkan segala yang kita cintai, tidak akan mampu memberi kita kekuatan lagi untuk mengharungi kesukaran hidup ini.

Dan apa pula yang akan terjadi jika ditakdirkan dia pergi dahulu sebelum kita? Lenyapkah sumber kekuatan kita?

Ingat, pemilik cinta itu Allah.
Dialah yang mengurniakan kehidupan kepada kita.
Dialah yang memberi permasalahan kepada kita.
Dialah yang membiarkan hati kita dilanda kesukaran untuk dijaga.

Dialah yang kemudiannya akan mengambilnya semula. Kerana hanya Dialah yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.


Kesimpulan : Muara Cinta itu adalah Allah

Untuk mampu mencintai makhluk, kita perlu mencintai penciptanya dahulu.
Untuk menguatkan hati, kita perlu mencari kekuatan daripada penciptanya terlebih dahulu.
Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu mencari pemberi masalah itu kepada kita dahulu.

"Habis, tiada gunalah kita bercinta dengan pasangan hidup? Pernikahan tidak akan menguatkan kita?"

Bukan itu maksudku wahai saudara. Pernikahan itu memang akan menguatkan, apabila ianya bermuarakan cinta Allah. Apabila segala sesuatu dipergantungkan kepada Allah. Sehingga kita lebih mudah kembali kepada Allah.

Apabila si suami sedang kekusutan menghadapi masalah kehidupan, datang si isteri menguatkan:
"Sayang, jangan risau. Kita ada Allah. Yakinlah yang masalah ini akan selesai. Mari kita berusaha dengan lebih gigih."

Apabila si isteri resah dengan masalah rumah tangga, datang si suami menguatkan:
"Sayang, masalah ini datang dari Allah. Insya-Allah akan ada penyelesaiannya. Allah tidak akan membebani hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya, kan?"

Begitulah yang sepatutnya.

Barulah selesai segala permasalahannya.
Barulah terangkat segala kekusutannya.
Barulah terasa kemanisan cinta.
Barulah kalimah uhibbukafillah punya maknanya.
Barulah kalmah uhibbukifillah puya kesan di jiwa.

Kerana ia bermuarakan Dia
Allah Muara Cinta



Yang ingin sentiasa mencari redha Ilahi
0906hrs
250611
baiti jannati
menunggu kepulangan zaujah tercinta
uhibbukifillah

~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^