Cerpen: Gerimis Cinta

Maaf kerana lama menyepi.
Sebagai gantinya, saya tulis satu cerpen.
Inspirasi daripada cuaca pagi yang mendung bergerimis.
Genre cerpen yang belum pernah saya tulis sebelum ini.

Terimalah:

Gerimis Cinta



Gerimis. Titisannya bagaikan jarum-jarum halus yang turun dari langit. Menambah seri sang suria mewarnai keindahan pagi. Alam ciptaan Ilahi. Tiba-tiba pandanganku gelap. Ditutup sesuatu yang lembut.

Perlahan-lahan aku mengangkat tanganku ke muka, memegang benda lembut yang menutupi mataku itu. Ternyata ianya merupakan sepasang tangan. Milik seorang wanita.

“Jauhnya termenung, teringatkan siapa tu?” Satu suara lembut lalu kedengaran menyapa gegendang telingaku. Kulihat wajahnya tersenyum manis. Sesuatu yang dingin terasa mengalir dan menitis di hati. Ah, perasaan apakah ini!

Aku menggenggam erat sepasang tangan itu.

“Kalau awak nak tahu, sebelum saya nikah, ada seorang akhwat yang saya sangat kagumi. Saya teringat pada dia tadi.”

Lalu mukanya berubah masam.

“Habis, awak menyesal ke kahwin dengan saya?”

“Amboi, marah ke?” Aku mengusik. Mukanya masih mencuka.

“Saya tak menyesal, sebab akhwat itu awaklah.”

“Hisyh! Awak ni, suka usik saya tau!”

Lalu wanita itu tersipu-sipu sambil mengukir senyuman indah. Aku rasa dia bukan wanita, tetapi bidadari. Hati terasa berbunga-bunga. Cuaca pagi yang mendung sejuk tetap dirasakan suam. Orang dilamun cinta, sukar diduga. Alangkah indahnya cinta yang dilandasi syariat. Berbuahkan pahala yang dibawa ke syurga. Bukan seperti anak-anak muda yang sibuk melayan perasaan dan nafsu semata. Mengatas namakan cinta untuk menghalalkan perbuatannya.

Aliya Yasmin binti Ahmad. Akhwat yang dahulunya cuma didengar dan disebut dalam mesyuarat dakwah, kini telah sah menjadi isteriku. Akhwat dakwah yang disegani, kini telah 6 bulan hidup bersamaku. Semuanya percaturan Ilahi. Maha Suci Allah dengan segala rencana-Nya.

*****

Dentingan jam mengejutkanku dari lamunan. Jam 8 pagi. Aku kembali terkenang akan dirinya. Hujan pagi tadi masih belum reda sepenuhnya. Rintik-rintiknya masih ada. Gerimis. Namun kurasakan hatiku seperti cuaca di luar. Mendung. Tidak keruan rasanya. Lalu telefon bimbit kucapai. Sebuah SMS ditaip.

Salam. Ukhti, kelas pukul berapa hari ni?

Salam. Pukul 10. Kenapa akhi? Rindukan ana ke?

Heh... jom Skype sekejap? =p

Okay, tunggu ana ye.

Tidak pernah-pernah aku Skype dengan perempuan. Apatah lagi akhwat. Sekarang, hampir setiap hari. Tapi dengan akhwat seorang ini sahajalah. Laptop dinyalakan. Sambil menunggu aku menyelak jadual-jadual kelasku pada hari ini. Jam 11 pagi. Statistical Process Control. Subjek tahun akhirku. Lalu skrin memaparkan sebuah tetingkap kecil. Tertulis, Aliya is calling. Butang answer diklik. Terlihatlah wajah seorang wanita. Oh silap, bidadari.

“Assalamu’alaikum Warahmatullah,”

“Wa’alaikumussalam Warahmatullah. Hai, susahnya nak cakap dengan dia. Sibuk sungguh ya.”

“Dah namanya Da’i, memanglah sibuk. Betul tak, Akhi Umar Zaqwan?”

“Betul tu. Anti memang bijak wahai Ukhti Aliya Yasmin.”

Bunyi tawa mengiringi perbualan. Sesaat lamanya mereka berbual.

“Lama dah tak jumpa awak. Asyik-asyik Skype je. Rumah ni pun sunyi je bila awak tak ada.”

“Nak buat macam mana, kita ditakdirkan belajar di universiti yang berlainan. Saya di UM, awak pula di UTP.”

“Lamanya nak tunggu hujung minggu. Minggu ni tak ada program, bolehlah saya jumpa awak. Minggu lepas ada dauroh. Dah 10 hari tak jumpa awak tau.”

“Awak, bersabarlah. Baru 10 hari. Bukan 10 tahun.”

“Ye, saya bersabarlah ni.”

“Kenapa nada frust semacam je ni. Mari saya cerita sesuatu. Pernah dengar cerita tentang Kamal Sananiri?”

“Kamal Sananiri? Siapa tu?”

“Kamal Sananiri tu adik ipar Asy-Syahid Syed Qutb Rahimahullah. Seorang Peguam dan Aktivis Ikhwanul Muslimin.”


Aliya memang suka bercerita. Dan apabila dia menceritakan, aku sering diam mendengarkannya. Terkadang aku membalas dengan mengangguk dan mengiyakan.

“Kisahnya, Kamal Sananiri ini, dia telah dipenjarakan kerana terlibat dengan Ikhwanul Muslimin. Ketika sedang dirawat di hospital penjara, dia telah berkenalan dengan Asy-Syahid Syed Qutb. Hari demi hari Syed Qutb dan Kamal Sananiri semakin akrab. Akhirnya Syed Qutb menawarkan Kamal jika dia ingin menikah. Dan Kamal pun dinikahkan kepada adiknya, Aminah Qutb. Dan akad pernikahan itu dijalankan di dalam penjara.”

“Dalam penjara?”

“Ya, dalam penjara. Dan Kamal Sananiri tidak pernah dapat bertemu dengan isterinya selama dia dipenjara. Awak tahu berapa lama dia dipenjara?”

“10 tahun?” Aku cuba meneka.

“Salah, lagi lama.”

Lagi lama? Sanggup dia bertahan tidak bertemu dengan isterinya. Aku baru 10 hari dah merungut.’ Aku mengangkat tangan tanda menyerah.

“19 tahun.”

“Wah, lamanya!”

“Cerita belum habis ni. Yang menariknya, pada hari Kamal Sananiri dibebaskan, awak tahu apa yang dia buat?”

“Jumpa isteri dia?”

“Tak. Dia terus ambil teksi dan menuju ke Ibu Pejabat Ikhwanul Muslimin. Sesampainya di sana, dia berjumpa dengan setiausaha pejabat yang ketika itu adalah Syeikh Mustafa Masyhur dan bertanya,

“Apa tugasku sekarang?”

‘Subhanallah! Sungguh aku sangat kerdil jika dibandingkan dirinya.’

“Awak jadilah macam Kamal Sananiri ya. Cintanya kepada Allah, Rasul dan dakwah melebihi cintanya kepada dunia. Cintanya kepada perjuangan melebihi cintanya kepada isterinya. Insya-Allah, tatkala kita meletakkan cinta di tempat yang benar, hati kita akan dipersatukan oleh Allah. Bukankah Allahlah yang menyatukan hati-hati?”

Lalu Aliya membacakan maksud Surah Al-Anfaal,

…Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.
[Al-Anfaal, 8:63]

“Sementara kita berjauhan ni, tinggkatkan kualiti diri kita ya? Kita sama-sama tingkatan ibadah dan tahap kecintaan kita kepada Pemilik Segala Cinta.”

Dan tanpa kusedari, pipiku telah basah. Malu aku dengan Aliya.

“Awak, terima kasih. Awak selalu buat saya tersedar. Dari dulu lagi.”

“Awak pun sama. Lain kali awak pula bagi tazkirah ya?”

“Insya-Allah.”

“Okay, saya nak bersiap. Sekejap lagi kelas. Nak tunggu bas. Jumpa lagi ye.”

“Jumpa lagi. Ingat Allah selalu ya.”

“Awak pun. Sayang awak. Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumussalam.”

Dan wajah manis bidadari itupun hilang dari pandangan.

Di luar, hujan sudah semakin reda. Renyainya semakin halus. Dan hatiku yang tadinya mendung kini telah gerimis. Gerimis dengan rasa cinta yang tinggi kepada Allah. Gerimis Cinta. Setinggi-tinggi syukur kupanjatkan kepada-Nya, Pemilik Segala Cinta.

Sungguh kini kurasakan benarnya sabda baginda Rasulullah SAW ketika berwasiat kepada para sahabat tentang ciri-ciri wanita yang sepatutnya dinikahi. Dan baginda mengakhirinya dengan kata,

“Pilihlah yang beragama, kau akan bahagia.”

Dan itulah kebahagiaannya. Habuan bagi mereka yang mengejar cinta-Nya. Mereka dikurniakan insan yang turut sama mencintai-Nya. Sehingga rumah tangga yang dibina bernaungkan ayat-ayat cinta-Nya. Cinta di dalam cinta.

…dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…
[An-Nuur, 24:26]


Dan gerimis pagi itu terus menjadi saksi akan hati-hati yang mendambakan cinta-Nya.



~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^