Bait Ad-Du'at: Persiapan Bakal Abi

Saya bakal bergelar seorang Abi.
Menyedari akan hakikat itu, banyak persediaan yang perlu dilalukan.
Lalu ketika sedang memandu di sebelah Abu Muhammad, saya teringin meminta pendapatnya tentang apa yang perlu dipersiapkan bagi menghadapi saat tersebut.

“Akhi, dalam bakal menjadi ayah ni, apa yang perlu ana sediakan ya?”


Saya menyangka beliau akan berkongsi pengalaman bagaimana beliau mula menimang cahaya mata pertama. Barang-barang yang perlu dibeli, jumlah wang yang perlu disediakan, dan sebagainya.

Beliau cuma menjawab pendek.

“Persiapan keimanan.”

Jawapannya membuatkan saya bermuhasabah panjang. Seketika saya terdiam memikirkannya. Melihatkan saya yang terdiam, beliau menerangkan,

“Mungkin kalau antum tanya kepada orang-orang lain, ramai yang akan menerangkan apa yang perlu dibeli seperti pakaian bayi, alat-alat mandi, berapa ribu ringgit yang perlu dicari dan sebagainya. Tetapi ana nak mengingatkan antum tentang sesuatu yang ramai orang sering lupa. Persiapan keimanan.

“Memang, persiapan-persiapan tadi penting. Namun berapa ramai orang yang dengan hadirnya cahaya mata dalam hidup, kemudian komitmennya kepada agama semakin mengendur? Komitmennya terhadap dakwah semakin melemah. Semuanya akibat kekurangan persiapan keimanan kepada Allah SWT.”

Seketika kami terdiam. Mendalam maksud yang cuba disampaikan.

“ Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya kehadiran seseorang anak akan menyebabkan orang tuanya menjadi kedekut, pengecut, jahil dan mudah bersedih.”
[HR Al-Hakim]

“Kalau dulu, dia boleh berdakwah dan berkorban bersungguh-sungguh. Biar susah, biar lapar, biar tak selesa, biar tak cukup duit, semuanya dia boleh tahan. Bila sudah berkahwin, hidup berdua dengan seorang isteri, masih mampu bertahan lagi. Tetapi bila mula ada anak, keyakinannya mula goyah. Mula rasa risau kalau anaknya nanti tidak cukup makan. Mula risau kalau keluarganya nanti akan hidup susah. Mula risau nanti keluarga dan masyarakat akan kata apa.

“Padahal semua rezeki milik Allah. Allah yang beri rezeki tatkala dia masih bujang, dan Allah jugalah yang akan memberi rezeki tatkala dia sudah mempunyai anak. Keyakinannya selama ini hilang begitu sahaja, sehingga takut untuk berjuang di jalan Allah, takut untuk berkorban demi Islam.”

“Dan apa yang ana cakap ini berdasarkan pengalaman nyata. Ramai sudah yang tersungkur. Ada yang tergelincir, tetapi berjaya bangkit kembali. Namun yang tidak bangun-bangun lebih ramai.”

Jadi akhi, ingat pesan ana. Allah firman dalam Al-Quran,

Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.
[Al-Anfaal, 8:28]

“Pastikan dengan hadirnya anak, hidup kita semakin subur dengan jihad. Dengan kehadiran cahaya mata, hidup kita semakin meriah dengan tarbiyah. Dengan hadirnya buah hati, hidup kita semakin imarah dengan dakwah. Bahkan semakin bertambahnya anak, semakin kuatlah komitmen kita kepada Allah, Rasul serta jihad dan dakwah.”

Dan malam ini saya kembali mengenang perbualan kami malam ini. Perlahan-lahan bibir saya mengucapkan,

Insya-Allah akhi, semoga kita semua tetap tsabat di jalan ini.



Katakanlah amin.


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^