Dakwah: Orang-Orang Pelik
"Kenapa kamu nak balik awal sangat? Cuti semester bukankah ada seminggu lagi?"
Soalan yang sering saya terima di akhir-akhir semester. Dipersoalkan oleh ibu tercinta.
“Ada program,” saya menjawab ringkas.
“Program universiti atau program usrah?”
Ibu saya memang tahu-tahu sahaja. Memang, saya ada program dakwah. Dauroh Awal Semester. Dauroh itu, buat yang tidak tahu, adalah seminar. Setiap awal semester, kami akan berkumpul untuk berbincang dan merancang apa yang akan dilakukan sepanjang semester depan. Namun bukan soalan itu yang saya ingin bahaskan. Namun kata-kata seterusnya adalah,
“Pelik kamu ini. Sungguh-sungguh betul untuk usrah kamu.”
Sungguh-sungguh untuk agama pelik?
Itu Baru Sedikit
Banyak lagi yang tidak diketahui oleh keluarga saya sebenarnya. Dulu ketika masih kuliah, setiap minggu saya ada halaqoh setiap hari Isnin. Bermula jam 9 malam dan kadang-kadang habis jam 3 hingga 4 pagi.
Ada juga malam yang saya sendiri mengelola halaqoh. Juga bermula jam 9 malam sehingga jam 2 hingga 3 pagi.
Hampir setiap malam, saya akan pergi ke bilik-bilik junior. Membina ikatan hati dengan mereka, mengajak mereka untuk mentadabbur Al-Quran bersama-sama, untuk memperkenalkan mereka kepada Islam. Bermula jam 9.30 malam hingga jam 11 malam. Kadang-kadang lebih lama, sehingga jam 12.
Bahkan, ada juga malam yang saya penuhi dengan menghadiri mesyuarat-mesyuarat dakwah atau yang biasa kami panggil syuro. Di situ kami berbincang bagaimana untuk menyusun strategi mengumpulkan lebih ramai individu untuk dapat bersama-sama kami dalam menggerakkan dakwah ini.
Tidak cukup dengan itu, ada ketikanya saya akan ke sekolah, untuk memberi peringatan kepada mereka. Ada ketikanya pada hujung minggu, saya akan ke matrikulasi untuk menghalaqohkan mereka. Dan ketika saya di tahun-tahun akhir pengajian di UTP, saya akan ke Sabah sebulan sekali untuk menyusun dakwah ikhwah-ikhwah di sana.
Pelik? Rasanya apabila mereka mengetahui hakikat ini, mereka akan kata saya ini ekstrim! Dan sebenarnya, bukan saya seorang sahaja, berpuluh-puluh ikhwah-akhwat di seluruh Malaysia, bahkan beratus-ratus lagi di seluruh dunia yang berusaha dan berkerja dengan lebih bersungguh-sungguh daripada apa yang saya ceritakan.
Kenapa Bersungguh-Sungguh Sangat?
Kerana saya amat mencintai ummah. Saya mengharapkan masa depan yang lebih indah untuk ummah. Masyarakat yang ditarbiyah dengan Al-Quran dan Sunnah. Saya ingin seramai-ramainya orang semakin dekat dengan Allah. Bukan sekadar dekat, tetapi mereka bersama-sama berusaha untuk mendekatkan manusia kepada Allah.
Saya mahu akan sampai masanya solat Subuh berjemaah di masjid, seramai orang bersolat Jumaat.
Saya mahu sehingga sampai masanya, membaca Al-Quran di setiap masa dan ketika di mana-mana itu menjadi sesuatu yang umum dalam masyarakat kita.
Saya mahu menundukkan pandangan, merupakan sesuatu yang amat dijaga dalam kalangan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan.
Masyarakat yang beriman, yakin akan dengan janji Allah. Yakin bahawa dunia ini hanya sementara, akhirat adalah tujuannya.
Bukan Sekadar Baik, Tetapi Hebat
Umat Islam yang beriman serta mencintai Allah, bukan sekadar berakhlak mulia. Tetapi, mereka yakin mereka akan menjadi yang paling tinggi darjatnya di dunia.
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.
[Q.S. Ali-Imran, 3:139]
Mereka yang ditarbiyah dengan Tarbiyah Islamiyyah ini, akan disusun untuk menguasai ekonomi, sehingga umat Islam akan menjadi umat yang paling kaya. Akan ada hospital muslim, yang mengasingkan pesakit lelaki dan perempuan. Hospital yang tidak berorientasikan keuntungan, tetapi untuk dakwah dan membantu ummah.
Dan untuk semua ini, usaha yang diperlukan tidak mungkin kecil. Pengorbanan yang perlu diletakkan perlu besar dan hebat.
Mereka Pun ‘Pelik’
Orang-orang yang mencintai dunia, mereka juga pelik sebenarnya. Demi mendapat kejayaan dunia, kekayaan, pangkat dan sebagainya, mereka berkorban dan bersungguh-sungguh juga.
Orang-orang Jepun, mereka sentiasa akan masuk kerja lebih awal daripada waktu pejabat dan mereka tidak akan pulang lebih awal daripada jam 8 malam. Sedangkan waktu pejabat mereka tamat pada jam 5 petang. Pengurus syarikatnya pula, ada yang sentiasa pulang paling awal pada jam 11 malam. Bahkan ada yang biasa tidur di pejabat sehingga berhari-hari.
Jurutera-jurutera yang bekerja dengan Syarikat Schlumberger, salah sebuah syarikat petroleum yang terkemuka di dunia, kerjanya lebih dahsyat. Jika dipanggil pada jam 3 pagi untuk terbang ke luar negara pada jam 4 pagi, dia perlu taat. Polisi syarikat adalah, ‘Masa kamu milik syarikat.’ Mereka sanggup berkorban sedemikian rupa, kerana mereka mencintakan ganjaran yang bakal diterima, gaji yang lumayan.
Begitu juga rakan-rakan yang sibuk bermain permainan komputer, menonton movie, membaca komik dan lain-lain, kisah mereka juga hebat. Ada yang sanggup bermain komputer bermula jumaat malam setelah habis kuliah secara berterusan sehingga Ahad malam. Menurutnya, dia hanya berhenti untuk makan.
Kawan saya yang minat menontot drama bersiri seperti Smallville dan Heroes yang mempunyai banyak season, mereka melakukan marathon movie. Menonton semua siri tersebut tanpa henti sehingga habis. Jika tidak habis, disambung ke hujung minggu hadapan. Bahkan ada kawan saya yang tidak ke kuliah kerana tidak mahu berhenti menonton movie.
Mereka-mereka yang di atas juga pelik. Namun mereka tidak dipandang ‘pelik’ seperti orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk berjuang demi agama Allah. Kerana mereka 'berjuang' atas dasar mencintai dunia.
Kesimpulan: Saya Bahagia Menjadi Pelik
Beriman di akhir zaman, kembali mencari cara hidup yang diredhai Allah serta mengajak manusia bersama-sama kembali kepadanya, akan dianggap pelik. Apatah lagi bila dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Namun saya bahagia.
Kerana Rasulullah SAW memang menjanjikan seperti itu.
Islam itu datang dalam keadaan yang dagang (dipandang pelik oleh masyarakat). Dan ia akan kembali sebagaimana ia bermula, pelik. Maka berbahagialah golongan-golongan yang pelik itu.
[H.R. Muslim]
Buat keluarga yang saya cintai, walau tidak banyak masa yang kita dapat luangkan bersama, insya-Allah kalian akan melihat hasilnya dalam sedikit waktu lagi. Insya-Allah, saya punya rencana untuk membawa kalian bersama-sama untuk menyertai lingkaran keimanan ini. Kerana mereka yang beriman, akan kembali berkumpul di akhirat sana. Syurga yang dirindukan.
Dan orang-oranng yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.
[Q.S. Ath-Thuur, 52:21]
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^