Bersabarlah...

Keutamaan sabar

Allah SWT telah melukiskan orang-orang yang bersabar itu dengan pelbagai sifat. Al-Quran juga telah menyebutkan keutamaan sifat sabar ini dalam lebih daripada tujuh puluh tempat. Sebahagian terbesar daripada darjat-darjat kemuliaan dan kebajikan telah dihubungkan dengan sifat sabar , dan dijadikan sebagai balasan bagi sifat ini dan orang-orang yang bersifat dengannya. Berikut adalah firman Allah SWT yang menunjukkan keutamaan sifat sabar :

“Dan kami telah menjadikan mereka sebagai pemimpin –pemimpin yang memberikan petunjuk dengan perintah Kami, iaitu ketika mereka bersifat sabar”

(As-Sajdah :24)

“Dan Kami (Allah) telah memberikan balasan kepada orang –orang yang bersabar itu pahala mereka menurut apa yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya”

(An-Nahl :96)

“Mereka itulah yang akan diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka telah bersabar”

(Al-Qashas :54)

“Hanyasanya orang-orang yang sabar itu akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan”

(Az-Zumar:10)

Lihatlah bahawa setiap amalan yang bail itu, sentiasa ditentukan balasannya menurut kadar dan hitungan yang tertentu, kecuali sabar. Maka Allah Taala telah memberikan janji kepada orang-orang yang sabar itu, bahawa Allah sentiasa berama –sama mereka.

Ketika baginda Rasulullah SAW ditanya orang tentang perihal iman, jawabnya “Iman itu adalah sabar dan berlapang dada.”

Ubat Sabar

Untuk mengukuhkan sifat sabar terdapat dua cara :



1. Cuba menyedarkan tentang faedah-faedah mujahadah (melawan) dan hasil-hasilnya di bidang agama dan dunia. Caranya ialah dengan mengingatkan sebanyak-banyaknya tentang keutamaan sabar dan ganjaran-ganjarannya yang baik di dunia dan akhirat.



2. Hendaklah melawan pengaruh hawa nafsu itu secara beransur-ansur , sehingga akhirnya ia berjaya untuk menundukkan sifat-sifat buruk yang bersarang di dalamnya. Caranya ialah dengan melesukan pengaruh nafsu dan syahwat dan memutuskan tali-temali yang mendorong keberansangannya, seperti memalingkan pandangan terhadap perkara-perkara yang boleh menarik hati ataupun melarikan diri dari tempat-tempat yang boleh menimbulkan berahi . Cara yang lain pula ialah dengan memikat jiwa terhadap perkara-perkara yang mubah, yang sejenis atau sealiran dengan apa yang diminati oleh hati , seperti bernikah. Sebab segala yang diingini oleh diri seseorang itu dapat dipenuhi dengan melakukan apa apa yang diharuskan oleh agama dari perbuatan-perbuatan yang sejenis dengannya. Maka dengan cara ini, akan terhalanglah keinginan jiwanya untuk mendekati segala yang terlarang dalam agama.



Kesimpulanya , orang yang membiasakan dirinya menentang hawa nafsu , nescaya akan mengalahkannya pada bila-bila masa asalkan ada sahaja kemahuan.Inilah asas yang wajib bagi mengubati diri dalam segala perkara yang memerlukan sabar.


0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^