Bolehkah Tuhan Menjadi Manusia?

Seorang yang beragama Kristian bertanya kepada rakannya yang beragama Islam:
"Bukankah Tuhan itu Maha Kuasa? Maka apa susahnya Tuhan untuk menjelmakan dirinya sebagai seorang manusia?"

"Mengapa Tuhan mahu menjadi manusia? Bukankah dia sudah cukup berkuasa untuk melakukan segala-galanya?" Balas Si Muslim.

"Tuhan menjadi manusia untuk hidup bersama dengan manusia, bagi mengetahui bagaimana rasanya manusia mengalami penderitaan, kepayahan, kesenangan dan kegembiraan. Untuk mengetahui apa yang baik dan buruk bagi manusia. Itu menunjukkan salah satu sifat kasih-sayangnya tuhan kepada kita!" Jelas Si Kristian dengan yakin.

"Baik, saya beri awak satu perumpamaan. Saya mencipta sebuah televisyen. Perlukah saya menjadi sebuah televisyen untuk mengetahui apa yang buruk dan baik bagi sebuah televisyen?" Ujar Si Muslim.

Si Kristian terdiam.

"Kerana saya yang mencipta televisyen itu, sudah tentu saya tahu dengan jelas bagaimana ia berfungi. Apa yang saya perlu buat hanyalah menulis sebuah manual penggunaan untuk menceritakan bagaimana ia berfungsi."

"Begitu juga Tuhan. Kerana Dia telah menciptakan manusia, dia tidak perlu menjadi seorang manusia untuk mengetahui apa yang buruk dan baik untuk seorang manusia. Apa yang tuhan lakukan ialah, Dia memilih seseorang daripada kalangan manusia dan memberikannya wahyu sebagai panduan hidup. Manusia pilihan ini akan memberitahu kepada semua manusia tentang panduan tuhan tersebut. Dan menurut keyakinan kami sebagai muslim, manusia pilihan yang terakhir itu adalah Nabi Muhammad dan manualnya adalah Al-Quran!" Jelas Si Muslim.



Si Kristian masih tidak berpuas hati. "Tapi tuhan Maha Kuasa. Dia tentu boleh mengubah dirinya menjadi apa sahaja. Tidak mustahil untukNya menjelma sebagai manusia."

"Baik. Saya terima pendapat awak yang Tuhan Maha Kuasa dan boleh melakukan apa sahaja. Tetapi tidak mungkin Tuhan akan menjadi manusia. Tuhan dan manusia mempunyai sifat yang sangat-sangat berbeza. Tuhan adalah abadi, ada selama-lamanya. Sedangkan manusia adalah tidak abadi, akan boleh mati. Kita tidak mungkin menjumpai manusia yang boleh hidup abadi dan boleh mati pada masa yang sama."


"Tuhan tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran sedangkan manusia ada pemulaan dan pengakhirannya. Macam mana seorang manusia boleh ada pemulaan dan tidak mempunyai permulaan pada masa yang sama? Bagaimana pula ia boleh ada pengakhiran dan tidak mempunyai pengakhiran pada masa yang sama?"

"Tuhan tidak perlu makan, sedangkan manusia perlu makan."

"Tuhan tidak perlu rehat dan tidur, sedangkan manusia perlu rehat dan tidur."

"Kalau awak masih nak berpegang pada pendapat awak bahawa tuhan boleh melakukan segala-galanya, maka perlu diingat, tuhan hanya akan melakukan perkara yang bersifat ketuhanan sahaja. Jika tuhan melanggarnya, maka Dia bukanlah tuhan."

"Misalnya, tuhan mahu menipu. Tuhan Yang Maha Kuasa tidak mungkin menipu. Menipu bukanlah sifat tuhan. Jika Tuhan menipu, seperti manusia menipu, maka Ia bukanlah Tuhan."

"Tuhan juga tidak boleh melakukan kesilapan. Melakukan kesilapan bukanlah sifat tuhan. Jika tuhan melakukan kesilapan sebagaimana manusia tersilap, maka Dia bukanlah tuhan Yang Maha Kuasa."

"Tuhan juga tidak boleh terlupa. Manusia boleh terlupa. Jika tuhan terlupa, maka dia bukanlah tuhan."

"Sahabatku, Tuhan sememangnya Maha Berkuasa. Dia boleh melakukan apa sahaja yang Dia sukai. Namun Tuhan Yang Maha Berkuasa tidak mungkin melakukan sesuatu yang tidak bersifat ketuhanan. Tuhan tidak akan melakukan kesilapan, tidak akan terlupa, tidak perlu makan, dan tidak perlu menjadi manusia. Dia hanya akan melakukan sesuatu yang sesuai dengan sifat-sifat Tuhan Yang Maha Kuasa."


Si Kristian terus terdiam dan berfikir....

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^