Dakwah : Pilih, Jangan Tak Pilih

Anda ada menyertai lebih daripada satu gerakan dakwah? Boleh ke?
Ramai yang sudah membahaskan perkara ini.
Tetapi saya suka untuk membahaskannya dengan cara saya, bercerita.
Terimalah:


Pilih, Jangan Tak Pilih






Bunyi ketukan pintu dan salam menghentikan bicara mereka. Perlahan-lahan pintu dibuka.

"Wa'alaikumussalam WBT. Abang Meor! Jemputlah masuk, kebetulan kami tengah berbual-bual ni. Dari mana bang?"

"Dari masjid, lambat sikit solat Asar tadi, jumpa pensyarah, uruskan jadual waktu."

Keempat-empat mereka bersalaman dengan pemuda yang digelar Abang Meor tersebut.

"Cantik bilik korang ye, macam-macam ada," ayat yang terselit makna tersirat di sebalik yang tersurat.

Ghaffar, tuan bilik tersengih-sengih sambil mengalihkan fail-fail yang berteraburan di atas lantai.

"Memang cantik bilik ni bang. Kalau abang tak datang, saya rasa lagi cantik." Jamil yang berbadan besar menambah perisa.

Seketika mereka tertawa bersama-sama. Mereka berbual bagai adik-beradik walau jarak usia Meor dan 4 orang juniornya itu agak jauh. Namun ukhuwah islamiyah yang cuba dipupuk tidak mengenal sempadan mahupun usia.

"Korang ni memang susah nak balas sms ye? Ana hantar dari pagi tadi sampai sekarang tak balas-balas lagi."

"Bukan tak nak balas bang, tapi susah nak balas." Karim pula bersuara.

"Lah, apa yang susahnya? Soalannya, boleh tak datang dauroh hujung minggu ni?"

"Nak jawab tu boleh, tapi soalan lepas tu yang berat nak jawab tu."

"Kenapa? Tak boleh datang ke?" Meor sudah dapat menangkap maksud Karim.

"Lebih kurang macam itulah bang. Hujung minggu ni dah ada 3 program saya kena pergi. Tak tahu nak pergi yang mana."

"Kau 3, ok lagi. Aku ada 4!" Akbar menyampuk.

"Mak ai, banyaknya? Kenapa tak tambah je lagi?" Meor bergurau.

Mereka cuma tersengih-sengih tidak bersuara.

"Jangan risau. Kes-kes macam korang semua ni memang biasa terjadi. Junior-junior yang baru berjinak-jinak dengan pergerakan Islam biasanya akan ikut banyak jemaah serta organisasi Islam. Tapi akhirnya kita tetap perlu berkomitmen dengan satu sahaja."

"Kenapa kita kena ikut satu je bang? Tak boleh ke nak join semua? Kan semuanya buat kerja dakwah? Semuanya baik? Abang pun cakap macam tu dulu?" Ghaffar menyuarakan pendapatnya.

"Mari kita fikir sama-sama. Bagaimanakah kita hendak membantu dakwah Islam? Adakah dengan mengikuti sebanyak-banyaknya jemaah dan persatuan yang ada? Untuk diri kita sendiri mungkin kita akan menerima input-input yang pelbagai daripada banyaknya pergerakan yang kita ikuti. Tetapi berdakwah bukan dengan hanya menerima, kita perlu juga memberi."

"Memberi?"

"Ya, memberi dengan mengajak seramai-ramainya orang untuk memperbaiki diri bersama-sama dengan kita. Barulah perbaikan dapat dilakukan. Tetapi misi ini tidak akan dapat kita lakukan jika kita sibuk dengan banyaknya pergerakan yang kita ikuti. Cara yang terbaik adalah kita pilih satu pergerakan yang kita yakini paling baik untuk kita memperbaiki diri dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak orang lain bersama-sama memperbaiki diri dengan apa yang kita yakini."

Keempat-empat mereka mengerutkan dahi, cuba menghadam penerangan Abang Meor mereka.

"Hai, muka seorang-seorang macam ada masalah besar. Faham ke apa yang ana terang tadi?"

"Faham bang, tapi saya nak tanya satu soalan. Macam mana kalau kita ikut satu jemaah ni, tapi untuk pengisian dan usrah kita ikut jemaah lain pula?" Jamil pula bertanya.

"Itu bergantung kepada jemaah yang yang antum ikutlah. Tapi kalau dengan ana, sampai suatu ketika, ana akan meminta anak-anak halaqoh ana membuat pilihan. Sebab kita berdakwah bukan saja-saja mengisi masa lapang. Kita ada tugas besar untuk menyelamatkan ummat. Masyarakat yang sedang rosak secara berbondong-bondong ini perlu segera dikeluarkan daripada kepompong kejahiliyahan mereka. Untuk itu, dakwah memerlukan Da'i-Da'i yang mampu membimbing mereka, bukan mereka-mereka yang hanya suka mendengar tazkirah sahaja. Dan untuk itu, kita perlu melalui proses tarbiyah secara penuh, bukan sekerat-sekerat. Barulah kita dapat mempersiapkan diri kita untuk menjadi 'doktor' yang mampu mengubati ummat."

Semuanya diam mendengarkan penjelasan Abang Meor.

"Jadi, setelah sampai ketikanya, ana akan meminta anak halaqoh ana untuk memilih jemaah mana yang dia rasakan terbaik buat dirinya, imannya serta dakwahnya. Jika dia tak memilih untuk bersama dengan ana, ana sentiasa berlapang dada. Dia senang dan ana pun senang. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berdakwah dengan cara yang diyakininya, dan ana boleh fokus untuk mentarbiyah mad'u-mad'u baru."

"Tapi bang, tak rasa bersalah ke pada jemaah yang kita dah lama ikut sebelum ni kalau kita ikut jemaah yang lain pula?"

"Tiada apa yang perlu dipersalahkan kalau kita ingin memilih sesuatu yang kita yakini. Semua orang perlu menghormati pendapat dan keyakinan orang lain. Dan jika kita berpendapat dan menyakini bahawa jalan inilah yang terbaik, maka orang lain tidak punya hak untuk melarang kita mngikutinya. Biarlah berapa lamapun kita telah bersama dengan gerakan yang lain."

"Kalau anak halaqoh abang yang ingin meninggalkan abang?"

"Kalau ana sebagai murobbi atau naqib, tiba-tiba anak halaqoh yang ana dah lama tarbiyah tiba-tiba memilih untuk ikut jemaah lain, ana tetap akan berlapang dada, insya-Allah. Kerana ana yakin bahawa tugas ana adalah membimbing mereka untuk beriman, bertaqwa dan berdakwah di jalan Allah dengan cara yang terbaik menurut ana. Apabila mereka memilih untuk keluar, maka ana menganggap itu adalah masa untuk ana bermuhasabah dan meningkatkan kualiti diri dan jalan dakwah yang ana ikuti. Barulah 'fastabiqul khairat', berlumba-lumba dalam kebaikan."

"Bang, saya dah buat keputusan, saya akan datang dauroh hujung minggu ini, insya-Allah. Terus bimbing saya ya bang." Ghaffar berkata dengan tulus.

"Insya-Allah. Yang lain-lain?"

"Kami fikir dulu, insya-Allah." Jamil menjawab.

"Haah, ingat nak iktikharah dulu." Akbar menyambung.

"Tidak mengapa. Take your time. Apapun keputusan kamu semua, kita tetap akan berukhuwah, insya-Allah."


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^