Diari : Selepas Ini Semuanya Terakhir

Syukur dan puji hanya untuk Allah SWT atas segala kurniaan-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya yang tidak memiliki apa-apa melainkan apa yang telah diberikan-Nya kepada kita.

Selawat dan kesejahteraan ke atas rasul junjungan kita yang mulia, Muhammad bin Abdullah, yang dengan usaha kerasnya, kita diizinkan oleh Allah SWT untuk mengecapi nikmat Islam dan melalui sirahnya kita belajar untuk terus beriman dan berjuang menapaki jejak langkahnya menyebarkan serta berkongsi keindahan keimanan yang kita kecapi bersama hamba-hamba yang lain.

Selepas ini semuanya terakhir? Mungkin ramai yang telah memahami maksudnya. Namun ingin saya abadikan di sini, agar hakikatnya semakin jelas dan usaha yang benar dapat diletakkan sebaiknya.

(gambar hiasan)


Semuanya Terakhir

Bermula jam 11 pagi semalam, segalanya akan menjadi yang terakhir buat saya.

Hari Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat yang terkahir.

Jam 10:30 am tadi saya baru habis Dauroh Al-Intima' (jangan teruja dengan namanya, saja buat-buat gempak) yang menggabungkan ikhwah-ikhwah junior yang comel-comel dari UTP dan ikhwah-ikhwah yang sudah semakin matang dari Kolej Matrikulasi Perak. Dan dauroh ini mungkin dauroh terakhir yang saya uruskan.

Minggu ini, saya akan menghadiri halaqoh bersama murobbi saya juga buat kali yang terakhir. Saya juga akan menghalaqohkan anak-anak halaqoh saya untuk kali terakhir.

Mungkin minggu ini juga jika Allah SWT izinkan, saya akan mengkhatamkan Al-Quran buat kali terakhir. Dan saya bercadang untuk menulis sebuah cerpen terakhir. Kerana selepas itu saya tidak akan menulis lagi.

Apa Yang Terakhir Sebenarnya?

Shoutul Ikhwah akan ditutup? Tidak mungkin, dakwah pena ini akan terus berjalan, insya-Allah.

Saya akan berhenti berdakwah, jadi orang umum? Lebih tidak mungkin lagi, dan selama saya masih mampu menguasai diri, tidak akan saya benarkan ia berlaku.

Jadi?

Semuanya adalah kali terakhir yang saya akan lakukan sebagai seorang yang bujang.

Saya dijangkakan akan mengakhiri zaman bujang saya pada 5 Februari 2011, pada jam 11AM.

Jadi, inilah minggu terakhir saya sebagai seorang bujang.
Tulisan-tulisan terakhir saya sebagai seorang bujang.
Selepas ini saya tidak akan menulis lagi, sebagai seorang yang masih bujang.
Saat-saat terakhir saya. Solat-solat terakhir saya. Sebelum menginjak ke maratib amal seterusnya, Bait Ad-Duat.

(dah lama edit pic ni, baru sekarang nak melaluinya)

Pentutup : Mengharapkan Yang Terbaik

Saya sangat mengingin, mengharap dan mengimpikan yang saya dan bakal zaujah saya dapat mencapai tahap keimanan dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya sebelum melangkah ke alam baru ini. Semoga iringan doa daripada semua sahabat-sahabat serta ikhwah akhwat seluruhnya akan menguatkan langkahan kaki kami dalam mencapainya.

Niat akan terus dimurnikan.
Langkahan akan terus diayunkan.
Dakwah akan terus digencarkan.
Hidup akan terus dikaryakan.

p/s : Selamat Pengantin Baru kepada Akhi Rusdi & Ukhti Fatimah yang bakal melangsungkan pernikahan mereka pada 3 Februari 2011. Antum lagi 4 hari, ana pula 6 hari lagi. Bersedia ya akh!

Kad Akhi Rusdi & Ukhti Fatimah


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^