Perfectionist!

Dalam dunia ini terdapat bermacam-macam jenis manusia. Ada yang sangat-sangat pemaaf, ada yang sangat-sangat pemarah, ada yang sangat pendiam, ada yang tak tahu macam mana nak diam, dan ada pula yang seperti tidak ada perasaan. Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis manusia dan terdapat jugalah pelbagai ragam yang dijumpai.

Mengapa semua jenis manusia ini ada? Allah tdak pernah menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Firman Allah:
(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.
[3:191]

Tujuan Allah menciptakan pelbagai jenis manusia dan ragamnya adalah untuk :
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
[49:13]


Ya. Tujuannya adalah supaya kita saling mengenal. Mengenal serta memahami.

Ada orang bertanya tentang kawannya:
"Kawan saya ni rasa dia je yang betul. Pendapat dia saja yang boleh diterima. Kalau saya bagi pendapat, mesti kena tolak punyalah. Semua kena ikut cara dia. Lepas tu, tak boleh silap sikit, mesti disalahkannya. Boleh ke orang macam ni dijadikan kawan?"


Jawapannya ; Boleh!

Tetapi pasti ada caranya.

Orang yang merasakan dirinya perfect atau serba sempurna ini sebenarnya telah tersilap bersikap. Apabila seseorang merasakan dirinya sempurna, maka yang terlihat di matanya hanyalah kesilapan orang lain. Dan ini adalah satu sikap yang amat tidak sihat. Mereka yang memiliki sikap ini sepatutnya dibantu agar keluar daripada kepompong sikapnya itu. Cara bersikap yang paling wajar dengan orang yang seperti ini adalah memberi perhatian kepadanya dengan perasaan kasihan dan keikhlasan untuk membantunya. Membenci dan menjauhi serta mengutuknya di belakang hanya akan memburukkan keadaan.

Beberapa cara yang boleh dilakukan apabila berhadapan dengannya:

  1. Ingatlah bahawa dia merupakan seorang yang mempunyai masalah dan sepatutnya dibantu. Dia juga seorang manusia yang berhak untuk hidup secara normal dan harmoni seperti orang lain.

  2. Setiasa cuba memberikan layanan yang terbaik ketika bersama dengannya. Dalam benak kita, sentiasalah berfikir bagaimana hendak membantunya mengubah sikapnya itu. Biarkan dia melayan kita dengan perangai yang tidak baik, namun kita tetap menunjukkan akhlaq yang terbaik kepadanya. Jangan risau, setiap usaha kesabaran kita akan dibalas dengan pahala yang banyak dari Allah. Orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan marahnya ketika dia sedang marah-(Self-control). Insya-Allah ada perubahan yang akan terlihat pada dirinya.

  3. Sentiasalah memberi salam dan tersenyum kepadanya. Senyum secara ikhlas dari hati. Biarkan dia memandang pelik kita, tapi kita tetap berusaha membantunya.

  4. Jika setelah berbulan-bulan berusaha memperbaiki keadaan, namun dia tetap seperti itu, maka jangan risau. Tetaplah berterusan menjaga hubungan baik dengannya. Di samping itu, berdoalah agar dia diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah, agar mampu mengubah sikapnya.

Akhir sekali, ingatlah, semua yang berlaku kepada kita dan di sekeliling kita adalah ujian daripada Allah untuk memantapkan diri kita menghadapi cabaran yang mendatang. Bila berhadapan dengan situasi seperti ini, cubalah untuk memperbaiki keadaan, jangan sekali-kali berfikir bahawa mereka yang muncul ini hanya saja-saja hendak mengganggu kehidupan kita.Ingat, setiap yang berlaku pasti ada sebabnya, kerana Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia. Terpulanglah kepada kita untuk mencari hikmah di sebaliknya dan memperbaikinya atau merungut menanti perubahan datang sendiri.

Jadilah unsur yang MELAKUKAN PERUBAHAN, bukan unsur yang MENUNGGU PERUBAHAN.

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^