Showing posts with label Istimewa. Show all posts

Istimewa: Planner Shoutul Ikhwah 2014

0 comments
Assalamu'alaikum WBT

Alhamdulillah, tahun hadapan Planner Shoutul Ikhwah sekali lagi akan diterbitkan.

Perkenalkan Planner 2014 Shoutul Ikhwah.


Kali ini dengan lebih penambahbaikan. Dapatkan sekarang!


Disertakan juga video How To Use.


Dan testimoni kelebihan planner ini daripada sahabat baik saya, Akh Fakhrullah Mawardi.


Nantikan lebih banyak video-video testimoni daripada pengguna.


Pengedar diperlukan!

Like kami di Facebook: https://www.facebook.com/shotulikhwah


~End Of Post~

Read More »

Luahan: 2013

0 comments
2013

Tahun baru sudah bermula
Saat yang terbaik untuk memuhasabah diri dan memulakan azam baru
Sudah seberapa banyak amal kita
Apa yang akan kita persediakan untuk tahun baru ini
Ibadah apa yang masih belum kita laksanakan?
Ibadah mana yang kita perlu tingkatkan kualitinya?



Untuk diri ini, saya berazam untuk kembali konsisten menulis.
Mungkin ramai yang akan memandang sinis azam ini.
Tidak kurang yang akan ketawa sendirian.
Sambil berkata dalam hati, 'Aku nak tengok berapa lama dia akan bertahan.'
Namun, insya-Allah saya akan mencuba yang terbaik.
Biar amal yang berbicara.

Biarlah masa lalu menjadi kenangan.
Mari buka lembaran baru dengan penuh keazaman.
Semoga kita semua beraih kejayaan.
Redha Allah menjadi puncak tujuan.

Salam tahun baru daripada kami sekeluarga.
Ahmad Umair Zulkefli
Atifah Ahmad Yusoff
Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair

~End Of Post~

Read More »

Dakwah: Menata Kesibukan Dalam Kehidupan

0 comments

Lama tak kemas kini blog.
Ini post istimewa.
Artikel daripada zaujah tercinta.
Atifah Ahmad Yusoff @ Mrs. Umair
Terimalah:

MENATA KESIBUKAN DALAM KEHIDUPAN

Sibuk. Ramai di antara kita takut untuk menjadi sibuk berbanding untuk lapang. Jika ada dua pilihan antara sibuk dan lapang, tentu pilihan untuk lapang dan hidup santai yang akan kita pilih. Sekalipun kita sedia maklum, masa lapang adalah ujian pada kita yang sering kita lupakan.

Dua nikmat yang sering dilupakan manusia; sihat dan masa lapang (HR Bukhari)

Realiti Kehidupan

Kita sering memberi alasan sibuk apabila diajak kepada kebaikan. Tidak cukup masa, banyak assignment, test yang bakal menjelma dan banyak lagi alasan yang sering kita beri. Namun realitinya, berapa ramai di antara kita yang masih lagi mampu untuk melayari laman Facebook dan duduk berjam-jam di hadapan komputer. Lihatlah statistik yang dikeluarkan, seramai 10.2 juta daripada 28.9 juta rakyat Malaysia mempunyai Facebook dan telahpun disibukkan dengan 'kitab' buatan Mark Zuckerberg ini setiap masa.


Dalam pada mereka mengatasnamakan kesibukan, mereka masih boleh mengemaskini blog dan berpindah daripada blog lain ke blog lain setiap hari. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu memuat turun moviedan anime serta menontonnya berjam-jam di hadapan komputer. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan setiap episod drama di televisyen. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu membalas  setiap mesej daripada kekasih mereka dan masih ada masa untuk membuat temu janji setiap minggu atau setiap hari. Realitinya, jika tidak sibuk dengan kebaikan, kita tetap akan sibuk dengan kemaksiatan.

Sibuk Untuk Agama Allah

Rasulullah saw sibuk dengan tugasnya menjadi ketua negara, ketua perang, ketua keluarga, berdakwah dan ibadah kepada Allah. Mus’ab bin Umair sibuk dengan tugasnya berdakwah di Madinah. Abu Bakar sibuk menjadi sahabat Rasulullah saw yang paling setia. Abu Hurairah sibuk mengumpul hadith daripada Rasulullah saw dan otaknya adalah gudang pengetahuan. Khalid al Walid sibuk menjadi panglima perang yang berwibawa. Siti Khadijah sibuk menguruskan perihal Rasulullah dan menjadi pendokong setia baginda. 'Ibn Sina dan Al-Razi sibuk dengan hafalan Al-quran, kajian-kajian tentang perubatan dan penghasilan karya-karya yang masih segar dan menjadi rujukan hingga kini.

Mereka juga sibuk. Namun mereka sibuk dengan perkara-perkara yang memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Apakah sama kesibukan kita dan kesibukan mereka? Setiap sisi kehidupan mereka  adalah untuk membantu agama Allah. Begitulah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka bahkan lebih sibuk daripada kita dengan dakwah dan jihad yang mereka lalui demi menegakkan agama tercinta ini. Mereka disibukkan dengan ibadah, halaqah-halaqah ilmu, dakwah, perang, infaq dan membangunkan ekonomi untuk dijadikan harta dakwah.

Mulia. Itulah perbezaan bagi orang yang sibuk untuk agama Allah.


Orang Kafir Juga Sibuk

Siapa kata hanya dengan berkomitmen pada dakwah Islam akan sibuk? Orang kafir juga sibuk dalam mendakyahkan agama mereka kepada manusia di muka bumi. Mereka berkorban sepenuhnya untuk agama batil mereka. Bahkan mereka lebih ‘mulia’ kerana mereka sanggup untuk menginfak masa dan tenaga demi agama mereka. Mereka lebih ‘mulia’ berbanding orang Islam yang lebih rela berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa hanya kerana trauma dengan sebuah perkataan; sibuk.

Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, karena sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. 
[Q.S. An-Nisaa’, 4:76]

Tiada seorangpun yang hidup di muka bumi ini berjaya dengan diam bersantai. Latar belakang orang yang berjaya jika diselidiki, mereka sepanjang hidup berhempas pulas dengan urusan-urusan dunia mereka. Bagi orang yang bertaqwa, mereka pula berhempas pulas dengan urusan akhirat dan tidak dilupakan bahagian dunia mereka. Namun, jika kita lihat, hampir kesemuanya sibuk. Tentu golongan kedua lebih mulia kerana persiapan akhirat yang telah mereka lakukan. Sangatlah menghairankan jika ada orang yang takut sibuk dengan hal-hal akhirat, tetapi tidak pula mereka takut jika sibuk dalam hal keduniaan dan kemaksiatan.


Pengalaman Saya

Semasa zaman degree saya dahulu, mana-mana pelajar akan mengatakan dialah yang paling sibuk. Pelajar perubatan, farmasi, kejuruteraan ataupun bidang-bidang lain akan mengatakan bahawa mereka sibuk. Begitu juga pleajar tahun akhir akan mengatakan kesibukan mereka lebih besar berbanding pelajar tahun lain dan juga pelajar tahun lain mengatakan sebaliknya. Semua orang mengaku sibuk. Tidak dinafikan, pelajar master dan PhD juga sibuk. Kini, saya sebagai salah seorang pelajar master juga tidak menafikan hal ini.

Selalu bermain di telinga kami nasihat senior-senior dahulu.  “Jangan berkomitmen dengan dakwah Islam, nanti sibuk dan akibatnya, akademik terabai.”

 Itulah alasan yang selalu digunakan untuk menakut-nakutkan pelajar Muslim agar tidak menyibukkan diri dengan dakwah Islam. Pengalaman saya bersama teman-teman yang berkecimpung dalam dakwah tidak menafikan kesibukan yang kami hadapi. Dengan lambakan tugas sebagai pelajar di samping pendakwah, memaksakan kami untuk bijak mengurus masa kami sendiri. Adakalanya terpaksa mengorbankan tidur malam untuk memastikan keberhasilan kedua-dua akademik dan dakwah. Apa yang membezakan kesibukan kami dengan pelajar lain adalah dakwah Islam sedangkan ada juga yang sibuk berpersatuan dan yang lain sibuk dengan hal sendiri. Namun, segalanya berjalan dengan baik dengan izin Allah. Saya bersama teman yang lain grad seperti kawan-kawan lain. Salah seorang teman dekat saya yang juga sibuk dengan dakwah Islam menduduki 1st class degree manakala saya dan seorang lagi teman di tempat 2nd class degree. Pada saya prestasi ini sangat baik jika hendak dibandingkan dengan kesibukan berganda kami. Hasilnya, tidak jauh beza kami dengan kawan-kawan sekuliah lain yang turut berhempas pulas dalam akademik ini.


Saya dalam kesibukan master, akan memastikan tarbiyah diri saya dan anak-anak halaqah saya berjalan dengan baik. Saya dan sahabat-sahabat lain menempuh perjalanan beratus kilometer hampir setiap minggu untuk halaqah saya dan mereka, sebagai bukti komitmen kami membantu agama Allah ini. Peranan sebagai seorang isteri dan kini sebagai ibu pula menjadikan sibuk yang berkali ganda berbanding orang lain. Namun, setakat hari ini, segalanya berjalan dengan baik, sesuai dengan perancangan. Aturan Allah memang begitu, pertolonganNya diberikan kepada orang yang membantu meneguhkan agamaNya.

Saya menceritakan pengalaman saya di sini bukan untuk menguak kelebihan diri, tetapi sebagai perkongsian teladan untuk kita semua. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan hanya saya yang sibuk. Ramai lagi manusia di luar sana yang lebih layak dikatakan sibuk. Process Engineer di kilang-kilang lebih sibuk dalam memastikan operasi kilang mereka dalam keadaaan yang baik. Adakalanya pulang lewat malam dan berbagai lagi outstation. Begitu juga accountant yang perlu teliti setiap masa untuk memastikan akaunnya telly dan seimbang. Tetapi, itulah beza kesibukan yang menentukan kemuliaan seseorang pada pandangan Allah.

Double standard

Kita selalu melihat serong pada pendakwah yang setiap minggu berulang alik ke KL semata-mata untuk memastikan tarbiyah di sesebuah medan berlaku dengan baik. Buang masa, tenaga, wang ringgit di samping tohmahan gila dan tidak masuk akal keluar daripada mulut kita. Namun, kalau kita perhatikan, ramai sahaja di luar sana yang berulang alik ke KL atau lebih jauh lagi semata-mata tujuan dunia mereka.

Kawan saya, hujung minggu dihabiskan ke KL atas urusan bisnes katanya. Junior saya, kerana tertarik dengan imbalan MLM, sanggup turun naik KL sekalipun ada kuliah di esok hari. Ada juga yang sanggup skip satu dua kelas. Ada lagi yang setiap minggu traveluntuk berjumpa kekasih hati. Lebih lagi, ada ibu yang travel setiap hari menaiki trainuntuk menyusukan anak yang dijaga neneknya. Tidak pula terlalu menghairankan kita dalam hal-hal seperti ini.


Kesimpulan

Jangan takut untuk menjadi sibuk di jalan Allah. Memang itulah yang diperintahkan Allah, untuk menegakkan agamaNya, tidak dinafikan menguras tenaga dan pengorbanan masa dan wang ringgit yang tidak sedikit. Hakikat dunia ini adalah ladang akhirat, untuk kita beramal sebanyak-banyaknya dan menuai pahalanya di akhirat kelak. Apapun, persoalan yang perlu kita fikirkan, bukankah sibuk di jalan Allah lebih mulia berbanding orang yang sibuk dalam kemaksiatan? Bukankah jauh lebih mulia berbanding orang yang sibuk di lapangan kerja? Dan bukankah terlalu jauh mulianya berbanding orang yang sibuk berdakyah untuk agama batil mereka?

Atifah Ahmad Yusoff
Penulis merupakan pelajar Sarjana Pengajian Islam di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau mendapat ijazah di Universiti Teknologi Petronas dalam Kejuruteraan Kimia dan kini giat dalam bidang penulisan dakwah.
HP: 019-5206152
Email: rum.green@gmail.com



~End Of Post~

Read More »

Istimewa: Kehadiran Itu

0 comments
Sunyi betul blog ini.
Sapu habuk sikit.
(^_^)
Kali ini nak cerita tentang orang baru.
Seorang yang telah hadir ke dunia.
Anak saya yang telah ditunggu-tunggu telah tiba!

Alhamdulillah

Saya tulis full story, siap gambar lagi.
(n_n)

Kehadiran Itu




31 Januari 2012

6:00am
Air ketuban pecah. Solat subuh dilaksanakan segera dan barangan dikemas seadanya. Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang menjadi tujuan. Pasangan tersebut berdebar menanti apa yang bakal dihadapi mereka. Di dalam hati doa tidak putus-putus dipanjatkan agar Allah mempermudah segala urusan.

9:30am
Si isteri dimasukkan ke dewan bersalin untuk pemeriksaan. Bukaan cuma 3cm, memerlukan masa untuk cukup 10cm bagi kelahiran normal. Si isteri kelihatan gelisah. Si suami membisikkan, "Jangan risau, yakinlah Allah ada percaturan-Nya. Semua yang diatur-Nya pasti punya hikmah." Si isteri cuma mengangguk.

11:00am
Si isteri dimasukkan ke wad pranatal, wad ibu-ibu menanti waktu melahirkan. Bukaannya tidak bertambah, menyebabkan dia perlu menanti di wad sehingga waktunya tiba. Waktu diberi selama 24 jam. Jika melebihi waktu, bayi perlu dilahirkan segera atau bayi akan lemas di dalam rahim. Kepada Allah jualah pengharapan diberikan. Nasihat-nasihat diberikan menguatkan semangat si isteri.

"Sayang, banyakkan baca Al-Quran ya. Biar anak kita mesra dengan Al-Quran. Kurangkan buat benda-benda lagho. Tak payah tengok drama TV tu." Pesan tetap diberi, walau dia tahu isterinya memang tidak minat menonton televisyen.

"Insya-Allah sayang."

1 Februari 2012

2:32am
Nombor telefon bimbit si isteri didail.

"Sayang, macam mana?"

"Dah mula rasa sakit." Suaranya sebak, lemah dan tersekat-sekat.

"Sabar ya sayang. Doa banyak-banyak. Saya pun doakan awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita."

"Em, insya-Allah.." Suaranya masih lemah. Jiwa lelaki si suami sedikit terusik. Perlahan-lahan air mata lelakinya tumpah.

'Ya Allah, permudahkanlah urusan kami. Berikanlah yang terbaik buat kami. Selamatkanlah isteri dan bakal anakku Ya-Allah.'

Dan solat malam didirikan. Bacaan Al-Quran dialunkan buat kesekian kalinya.

6:00am
Si isteri dihantar ke wad bersalin. Bukaan cuma 4cm. Bayi perlu 'dipaksa' keluar. Si suami cuma boleh menghantar ke muka pintu. Peraturan hospital memisahkan mereka di sana.

"Tetap yakin pada Allah ya. Baca selawat dan berzikir banyak-banyak."

"Insya-Allah. Awak doakan saya ya. Saya masuk dulu. Saya minta maaf atas kesilapan saya selama ini. Minta halal makan minum." Matanya berkaca-kaca.

"Saya maafkan semuanya sayang. Saya halalkan semuanya. Kuatkan semangat ya."

Lalu tangan si suami dikucup si isteri. Dahi si isteri dikucup si suami. Kedua-duanya dilakukan dengan penuh penghayatan, seperti itulah kali terakhir mereka akan bertemu. Jururawat terus menolak si isteri masuk ke dalam dewan bersalin. Pintu lalu tertutup menghalang penglihatan. Pandangan menjadi samar, berkaca-kaca. Lalu takungan air mata tumpah entah untuk kali ke berapa.

11:00am
"Waris Atifah!"

Suara jururawat memanggil mengejutkan lamunannya. Dadanya berdebar-debar menanti khabar yang bakal didengari.
'Ya-Allah, selamatlah Ya-Allah, selamatlah!"

"Macam mana isteri saya?"

Dadanya semakin kencang degupannya.

"Dia sudah selamat melahirkan."

"Alhamdulillah, pukul berapa ya?"

"Sekejap saya tengok, 9:32am tadi encik."

"Lelaki ke perempuan?"

"Itu encik boleh tengok sendiri nanti."

"Boleh saya azankan dia?"

"Sudah tentu, tunggu di sini ya."

Hati si suami berbunga-bunga gembira. Syukur dan tahmid tidak henti-henti dipanjatkan kepada Ilahi. Kini cuma satu persoalan yang bermain di mindanya.

'Lelaki ke perempuan?'

"Encik, boleh masuk sekarang."

Perlahan-lahan kakinya melangkah. Melihat kepada satu susuk kecil yang berada di dalam bekas yang diperbuat daripada plastik lut cahaya. Berbalut dengan kain putih, hanya menampakkan bahagian kepala. Hatinya bagai disiram sesuatu yang sejuk melihat akan wajah itu. Wajah kecil yang telah lama ditungguinya.

Lalu kain balutan dibuka, lampin ditanggalkan.

'Lelaki!'

Lalu bayi itu digendong, azan dilantunkan di telinga kanan dan iqomah di telinga kiri. Azannya itu diusahakan supaya tidak menjadi ritual semata, tetapi dialunkan sepenuh hati dan penghayatan. Semoga kalimah tauhid dan seruan menegakkan solat itu mengakar umbi dalam sanubari serta minda bawah sedar si kecil itu. Perlahan-lahan kemudian anak itu diletakkan kembali di pembaringanya.

"Boleh saya jumpa isteri saya?"

"Maaf Encik Umair, Puan Atifah masih perlu rawatan dan berehat. Encik tidak boleh masuk ke dalam, jadi Encik Umair perlu tunggu sehingga dia keluar."

"Kalau begitu, baiklah. Terima kasih ya."

Sepanjang menanti di bangku di luar dewan bersalin, dia teringat akan sebuah kisah yang disampaikan oleh ibunya kepada dirinya.

23 tahun yang lalu (5 Februari 1989)

Suasana Hospital Toledo Ohio, Amerika Syarikat sibuk seperti biasa. Di satu sudut, seorang wanita sedang terbaring di atas katil. Tubuhnya dibaluti selimut hingga ke paras pinggang. Wajahnya kelihatan pucat namun tetap cuba tersenyum. Di sisinya seorang lelaki bermisai nipis dan berjambang yang berkaca mata. Di tangannya mengendong sesusuk tubuh kecil yang masih lagi merah. Anak sulung mereka yang ditunggu-tunggu.

"Apa nama anak kita ni ya?"

"Kita letak nama sahabat, macam mana?"

"Kalau begitu, kita beri nama Umair,"

"Umair?"

"Ingat nama sahabat nabi, Mus'ab bin Umair?"

"Dia mengorbankan kekayaan, harta dan kemahsyuran demi memeluk Islam."

"Bagus nama itu. Tapi itu Mus'ab, kenapa nama anak kita Umair?"

"Biar nanti anak dia diberi nama Mus'ab, barulah lahirnya Mus'ab bin Umair."

"Semoga zuriat kita menjadi pejuang-pejuang Islam yang akan membela agama Allah di akhir zaman ini."

"Em, semoga kembali kegemilangan para sahabat yang mulia itu, kan bang?"

"Insya-Allah."

Dan kedua pasangan itu tersenyum. Lalu pasangan Zulkefli bin Samat dan Nor Zailin binti Ismail menamakan anak sulung mereka dengan nama Umair bin Zulkefli.

'Doa Mama dan Abah dah terkabul nampaknya. Jadi nama anak aku ini...'

Sebuah SMS ditaip.
Alhamdulillah, seorang mujahid telah selamat dilahirkan.
Nama diberi Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair.
Doakan semoga Mus'ab bakal menjadi pejuang agama-Nya, sebagaimana Mus'ab bin Umair di zaman Rasulullah yang sanggup mengorbankan keindahan dunia demi cinta kepada Allah.

*****

Mus'ab, nanti sampai masanya kamu bacalah warkah ini ya.

Assalamu'alaikum WBT anakku, Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair. Semoga kamu akan menjadi pejuang Islam yang hebat. Pasti akan jadi. Akan Abi dan Ummi usahakan. Nama kamu seperti sahabat agung. Mus'ab bin Umair. Semoga dengan panggilan itu, menjadi sebuah doa agar kamu akan mencontohi kehebatan Mus'ab bin Umair.

Mus'ab bin Umair, asalnya tidak mengenal Allah. Hidupnya penuh kemewahan dan keindahan dunia. Minyak wanginya sahaja amat mahal, sehingga lalu sahaja beliau di pasar, semua orang tahu akan kehadirannya, kerana hanya dialah yang memakai wangian itu. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Namun apabila Islam mengetuk pintu hatinya, segala kesenangan dan kemewahan itu ditinggalkannya. Apabila keislamannya diketahui, ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya.

Anakku, kau tahu apa jawapn Mus'ab atas sumpah ibunya itu? Dengarlah jawapan Mus’ab kepada ibunya:
“Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.”

Mus'ab anakku, teguhkanlah pendirianmu sepertinya!

Mus'ab meninggalkan kemewahan, dan meneruskan kehidupan dengan menjual kayu api. Mus'ab tidak pernah terfikir untuk berganjak daripada keyakinannya. Sehingga adiknya, Ar-Rum yang sering diutus oleh ibunya untuk memujuknya kembali kepada agama nenek moyang mereka, turut mengikuti jejak langkah Mus'ab.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:,

“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah ditengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Dan anakku, Mus'ab telah syahid di medan Uhud. ketika peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan Rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

Ar-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Ar- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Ar-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:

“Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.”

Anakku, Mus'ab telah ada sejarahnya. Kini tiba masanya engkau mencoret sejarahmu. Semoga Allah mengizinkan kita mengembalikan kegemilangan Islam, bersama-sama dengan ikhwah-ikhwah seperjuangan yang sama-sama bertungkus-lumus mengusahakannya.

-Abu Mus'ab-
umairzulkefli
10:49am
07022012
Baiti Jannati

Sedikit gambar-gambar Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair untuk tatapan:

  


~End Of Post~

Read More »

Promosi : Kem Remaja Sinergi 2011 (KRS 2011)

0 comments
Kem remaja sinergi kembali lagi. Setelah berlalunya KRS2010 dengan jayanya, kini adik-adik berpeluang untuk merasai pengalaman baru yang lebih menarik diKem Remaja Sinergi 2011. Jom ramai-ramai daftarkan nama dan berpeluang menerima Hadiah Misteri bagi 50 peserta terawal. Ayuh,sinergikan potensi dirimu!


Neo Synergy Training Center adalah sebuah syarikat yang berpengalaman mengadakan program motivasi, kursus latihan dan konsultansi di pelbagai peringkat institusi pendidikan bagi melahirkan individu yang bermotivasikan iman, ilmu dan amal serta mampu mensinergi potensi diri dalam aspek rohani, jasmani, emosi dan intelektual. Objektif Program Kem Remaja Sinergi Kem Remaja Sinergi adalah sebuah program motivasi berorientasikan outdoor. Program ini sesuai disertai oleh para pelajar lepasan SPM khususnya.


Teaser KRS 2011




Untuk maklumat lanjut, sila klik sini.

~End Of Post~

Read More »

Cerpen : Bersabarlah Duhai Ukhti

0 comments
Dah lama tak tulis cerpen.
Sebenarnya dah tulis semalam lagi.
Sekarang baru sempat post.
Khas buat semua akhwat-akhwat dakwah.

Terimalah:

Bersabarlah Duhai Ukhti



"Syikin, mak dah tak tahan. Sampai bila kau nak jadi macam ni. Tebal muka mak tolak setiap orang yang datang."

"Belum jodoh mak. Nak buat macam mana."

"Belum jodoh apanya. Kau yang tolak mereka semua."

Wajah mulusnya tertunduk sepi. Sedaya upaya wajahnya diusahakan supaya tenang. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu. Malam itu dia menangis sendirian. Tak sanggup rasanya hendak menahan desakan keluarga agar menerima sahaja pinangan mereka yang datang. Namun dia ada pertimbangannya sendiri. Bukan dirinya tidak mahu menikah. Tetapi seperti yang sentiasa disampaikan olehnya, belum jodoh.

Syikin cantik, sopan, akhlaknya baik. Gadis desa berpendikan tinggi yang menjadi tambatan hati jejaka-jejaka yang mengenalinya. Cuma masalahnya..

"Kalau cantik tapi tak kahwin-kahwin juga, andartulah kau nanti!"

Malam itu sudah kesekian kalinya dia menangis. Terasa sungguh beratnya hendak menghadapi desakan keluarganya. Mahu sahaja dia mengalah. Pernah sahaja dirasakannya bahawa Allah tidak lagi mahu membantunya, namun dibuang jauh-jauh perasaannya itu. Teringat dia akan perbualannya dengan teman karibnya, Fasihah.

"Fasihah, ana dah tak tahan lagi. Semalam ada lagi orang masuk meminang. Keluarga ana asyik-asyik suruh ana segera menikah. Tak tahu sampai bila ana harus bertahan."

"Syikin ukhtiku, bersabarlah. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar,kan?"

"Memanglah, tapi sampai bila? Mana ikhwah-ikhwah kita? Kenapa bukan mereka yang masuk meminang?"

"Syikin, sabar. Masanya masih belum tiba Syikin. Ana yakin ikhwah-ikhwah kita juga sedang berusaha sedaya-upaya mereka. Realiti masyarakat di Malaysia ini, menikah awal itu suatu yang agak 'luar biasa' bagi mereka. Ana yakin, itulah yang menghambat kebanyakan daripada ikhwah-ikhwah kita. Bukannya mereka tidak berusaha."

"Kenapa kita kena susah-susah tunggu ikhwah-ikhwah kita juga? Ramai juga calon lain yang soleh, kenapa mesti mereka?"

"Ukhti, apa tujuan hidup kita?"

"Tentulah mengabdi kepada Allah."

"Dan enti tahu, untuk beristiqomah di atas jalan pengabdian kepada Allah itu, tidak mudah. Banyak ranjau dan durinya. Sebab itu kita perlu bersedia dengan persiapan yang terbaik. Dan kita bukan pengabdi semata-mata, kita da'i. Pengislah ummat. Mengabdi kepada Allah dan mendakwahi ummat ke jalan Allah. Kerana kita ummat Nabi Muhammad.

Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
[Q.S. Yusuf, 12:108]

"Untuk kekal berada dalam jalan ini sekarang, ketika kita bersendirian, yang perlu kita hadapi adalah diri kita sendiri. Namun selepas pernikahan, keputusan kita tidak lagi bersendirian. Suami kita nanti sangat akan mendominasi keputusan- keputusan kita. Jika suami kita nanti bukan seorang yang faham akan dasar-dasar perjuangan kita, sudah pasti usaha untuk kita terus bertahan akan menjadi semakin sukar."

Dia terdiam. Syikin atau nama sebenarnya Nurul Asyikin Abdullah, bukannya tidak tahu akan hakikat itu. Cuma fikirannya terganggu menyebabkan diluahkan segala permasalahannya itu kepada akhwat yang sangat dekat kepadanya. Fasihah juga sangat memahami. Tidak perlu diterangkan, ukhuwah yang terbina telah menjelaskan sedari mula. Tekanan perasaan dan masalah dalaman manusia mampu dikurangkan malah diselesaikan dengan berkongsi mengenainya.

Malam itu dia kembali menghubungi akhwatnya itu.

"Assalamu'alaikum. Fasihah Fathiyyah binti Kamaruddin ada?"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah. Tak pernah-pernah ada orang telefon ana sebut nama penuh."

"Heh, saja, nak mengusik akhwat tercinta."

"Yelah tu. Dari suara enti ana dah dapat rasa ada sesuatu yang enti fikirkan. Ada apa Nurul Asyikin binti Abdullah? Ayyu musykilah ya ukhti el kareemah?"

Lalu dikongsikannya hal yang baru dihadapinya. Dan seperti biasa juga, Fasihah akan setia mendengar dan menghibur serta menenangkannya.

"Entahlah. Ana tak tahu kenapa banyak sangat ujian yang datang. Mungkin Allah nak latih ana untuk lebih bersabar agaknya. Menunggu si dia yang entah bila akan kunjung tiba. Kena banyak berdoa lagi ni."

"Betul tu. Berdoalah dengan lebih bersungguh-sungguh ukhti. Dan ikhlaskan niat. Ramai orang cari Allah ketika hadapi masalah. Mereka berdoa semata-mata untuk memenuhi keperluan dunia mereka. Bila apa yang mereka mahu dah dicapai, mereka lupakan Allah. Dan Allah katakan mereka melampaui batas.

Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.
[Q.S. Yunus, 10:12]

"Ikhlaskan niat. Mungkin selama ini doa kita hanya untuk disegerakan menikah, bukan kerana untuk mencari redha Allah. Kalau memang kita bersungguh-sungguh untuk mencari redha-Nya, pasti jalannya akan terbuka.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]

"Jangan resah jika belum berpasangan, tetapi resahlah jika belum mendapat cinta daripada Tuhan. Ana pegang sungguh kata-kata tu. Ana pun kalau boleh nak segera menikah, tapi mungkin ada hikmahnya Allah masih menangguhkannya. Mungkin ana masih belum bersungguh-sungguh dalam mencari cinta-Nya. Mungkin jika Allah izinkan ana menikah sekarang, hala tuju cinta ana akan tersasar kepada makhluk-Nya."

Asyikin berfikir dalam. Cinta Allah. Sudah benarkah hala tuju cintanya? Sudah digapaikah cinta Allah itu? Ikhlaskan amalnya selama ini mencari redha-Nya semata?

"Terima kasih ukhti. Insya-Allah ana akan terus pegang kata-kata itu."

Perbualan ditamatkan. Namun fikirannya terus berputar. Masih bergema-gema di telinganya mendengarkan kata-kata akhwatnya itu.

'Jangan resah jika belum berpasangan, namun resahlah jika belum mendapat cinta dari Tuhan.'

Kisah lalu hidupnya kembali memenuhi ruangan fikirannya. Teringat akan saat-saat mula ditarbiyah. Bagaimana dia mula mengenali Fasihah. Bagaimana seluruh hidupnya berubah kembali mengenali Allah. Mula membaca Al-Quran, mula menjaga solat, mula menjaga pergaulan, mula berpakaian labuh dan sopan, sehingga kembali menjadi dirinya kini.

Dirasakannya Allah begitu baik kepada dirinya. Allah telah menyelamatkannya daripada jurang kejahiliyahan kepada cahaya hidayah-Nya. Memberikan dirinya peluang untuk kembali menjadi hamba-Nya yang dekat kepada-Nya. Tidak semena-mena matanya berkaca. Lalu manik-manik jernih menuruni pipi.

'Ya-Allah. Ampunkan aku. Selama ini aku khilaf. Maafkan aku jika selama ini aku tidak ikhlas mencari cinta-Mu. Maafkan aku jika selama ini aku kurang mengingatimu. Maafkan aku jika selama ini aku hanya berdoa kepada-Mu untuk memenuhi keperluan peribadiku. Ya-Allah, bantulah aku untuk kembali mencari cinta-Mu. Bantulah aku untuk kembali memperbaiki diri semata-mata untuk-Mu.' Hatinya bermunajat lirih.

Malam itu tidak dibiarnya berlalu begitu sahaja. Solat malam didirikan. Al-Quran ditadabburinya. Hatinya terubat dengan ayat-ayat yang menceritakan perihal syurga dan keindahannya. Tafsir Surah Ar-Rahman sangat menghibur hatinya.

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. [70]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [71]


(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah. [72]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [73]


Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. [74]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [75]


Mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. [76]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [77]


Maha Agung nama Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Karunia. [78]

[Q.S. Ar-Rahmaan, 55:70-78]

'Alangkah indahnya syurga. Layakkah aku untuk menghuninya?'

Lalu tekad disemat.

"Ya-Allah, hidupkalah aku dalam redha-Mu semata-mata. Jika memang jodohku bukan di dunia ini Ya-Allah, maka kurniakanlah aku jodoh di akhirat kelak. Jodoh abadi yang disediakan untuk para pencinta-Mu. Jadikan aku seperti Rabiah Al-Adawiyah yang tulus mencari redha-Mu dan cinta-Mu."

Air mata terus menjadi saksi. Keheningan malam terus dipecahi bunyi tangis dan rintih seorang Nurul Asyikin yang sudah kembali mencari cinta sejatinya. Dan Allah pasti punya rencana-Nya. Percaturan Allah siapa yang tahu?

Keesokkan paginya Sony Ericsson K800i kesayangannya berbunyi. SMS masuk. Daripada Ukhti Syuhada, murobbiyahnya. Murobbi atau murobbiyah adalah mereka yang bertanggungjawab menguruskan urusan tarbiyah seseorang ikhwah dan akhwat tarbiyah. Mereka yang mengatur perjalanan tarbiyah dan porgram-program yang perlu dilalui untuk menambahkan kefahaman dan memastikan keberlangsungan tarbiyah yang dijalani oleh seseorang ikhwah dan akhwat itu.

Lalu SMS dibaca.
Salam. Ukhti, alhamdulillah malam semalam ada ikhwah hantar resume. Kalau enti dah bersedia, nanti ana dan zauj ana akan susunkan majlis ta'aruf untuk enti dan ikhwah tu.
Terasa bagaikan hawa sejuk mengalir menyelubungi jiwa dan perasaannya. Kasih sayang Allah sungguh terasa membelai ubun-ubun. Segera sujud syukur dilakukan. Air mata syukur dan bahagia mengiringi pagi yang indah itu. Nurul Asyikin semakin yakin bahawa cinta Allah tidak pernah mengecewakan.

Bagaimana anda?

Sabarlah menanti
Usahlah ragu
Kekasih kan datang
Sesuai dengan iman di hati

Jika di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menunggu
Jika di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menanti.

Cintailah Ilahi
Cinta Sejati



-umairzulkefli-
-1152-
-Akademi Pengajian Islam-
-Universiti Malaya-
-Menunggu zaujah yang sedang diberi taklimat sarjana tinggi-


~End Of Post~

Read More »

Muhasabah : Ia Datang Dan Pergi

0 comments
Tanpa disedari, ia datang lagi.
Tanpa disedari, ia kembali menyapa diri.
Namun,
Tanpa disedari, ia bakal pergi.
Tanpa disedari, ia hanya tinggal kenangan lagi.

Maaf atas penyepian selama ini.
Seribu satu permasalahan menerjah diri,
Demi mengislah ummah yang kucintai,
Jemari ini akan terus menari.

Insya-Allah momentum Ramadhan kali ini akan saya manfaatkan sebaiknya untuk berkarya buat ummah.
Selamat Memanfaatkan Ramadhan yang masih berbaki!

Mari hayati lagu ini:


Harapan Ramadhan 




By: Raihan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua




~End Of Post~

Read More »

Promosi : Majalah Sinergi Edisi Ke-3 Kini Di Pasaran!!!

0 comments
Alhamdulillah..selepas melalui beberapa penambahbaikan dalam proses pengeluaran khususnya dalam bab percetakan..akhirnya Majalah Sinergi Edisi Ke-3 kini sedia untuk berkongsi ilmu dengan tema "Ajarkan Aku Cinta"..Banyak lagi penambahbaikan dalam edisi ke-3 kali ini..penambahan rubrik-rubrik dan slot-slot menarik..hasil komen dan cadangan pembaca sekalian juga diselitkan..semua dengan harga RM3.00 juga..mari bersama mencetak generasi Rabbani dengan usaha kita bersama..insya-Allah..



Mari dapatkannya sekarang..dapatkan dengan pengedar-pengedar dan premis-premis yang  berdaftar...juga boleh didapatkan dengan mengisi Borang Belian Individu atau terus melanggan dengan mengisi Borang Langganan Majalah Sinergi kemudian hantar ke emel synergymedia2010@gmail.com...terima kasih atas sokongan yang berterusan dari anda..



Sumber : http://synergymedia.com.my/?cat=23

~End Of Post~

Read More »

Diari : Surat Dari Mutarobbi

0 comments
Sebentar lagi saya akan pulang ke kampung.
Kajang tanah Satay yang popular.
Menjalankan tanggungjawab terhadap adik-adik.
Mereka tidak punya ayah dan ibu untuk beraya bersama kali ini.
Semoga Mama dan Abah menemui apa yang dicari Nabi Ibrahim A.S.
Cinta tertinggi, Cinta Allah SWT.

Dalam pada mengemas, tiba-tiba terjumpa surat daripada mutarobbi.
Surat yang membuatkan air mata ini mengalir.
Surat yang ditulis kerana saya terus-menerus 'membelasahnya'
Kerana dia tidak melakukan perubahan terhadap mutaba'ahnya.
Surat yang sungguh tulus dan ikhlas.



Inilah suratnya :



Kepada Murabbiku Sayang

Bawah Tangga Tepi Masjid

Ke hadapan Murabbiku, surat ini bukanlah untuk memberi alasan kenapa mutabaah tidak up-up, tapi kerana ingin memberi tahu sebab mutabaah down-down. Seorang da'i bukanlah seorang yang mencari alasan untuk kegagalan tetapi mencari solusi kepada masalah tersebut, dan ana pun masalah gak, sebab tak selesai lagi masalah tersebut..

(Lepas tu dia tulis masalah-masalah kenapa dia tdak dapat penuhi mutabaah dan solusi-solusinya. Daripada ma'thurat, subuh dan tahajjud, dhuha dan istigfar. Sedikit tentang kenapa dia selalu tertidur ketika menedengar pengisian-pengisian saya. Saya skip yang itu.)

Tentang down study, mungkin ana taklid buta-buta daripada kata-kata antum, bukan salah antum pun, tapi salah ana kerana tidak ikut sunnatullah. Waktu foundation dulu ana thiqoh pada ayat [47:7] hingga tak study dan kamikaze, dan waktu nak test hanya perlu ingat time lecture je tanpa perlu revise dan study. Tapi sekarang insya-Allah dakwah pertama dan study bukan kedua. Result pun semakin improve...insya-Allah.
(bagus anak halaqoh aku ni, sedar sendiri yang dia salah memahami corak pemikiran simplistiknya. Lalu melakukan perubahan. Sedar silapnya tidak ikut sunnatullah. Bukan kemudiannya menyalahkan murobbi yang menceritakan ayat [47:7]!)

Tentang tak ada mad'u lagi, mungkin ana kehilangan keyakinan diri untuk mengisi, sebab macam tak dapat membina mad'u-mad'u sebelum ini. Mungkin ayat-ayat ni seperti alasan untuk tak mencari mad'u, tapi sedikit sebanyak mengeffect juga gerak kerja ana.T_T. Mungkin ana takut tak dapat membina mad'u. (Progress ada insya-Allah, tapi perlahan).

Kesimpulan, jazakallhu khoiron kasiro sebab menunjukkan ana jalan dakwah dan matlamat hidup. Syukur kepada Allah sebab menemukan ana dengan antum. Mungkin kalau tak bertemu, mungkin ana masih lagi terhuyung-hayang dengan couple dan juga games dan movie. Surat ini bukannya ditulis untuk meminta maaf daripada antum, tapi adalah sebagai masukan untuk ana ini mengakui diri yang dhaif, hina dan kerdil. Kerana sepatutnya ana memohon ampun kepada Allah, sebab tak menjalankan hak sebagai hamba. Di keberadaan ana menulis surat ini mungkin ana akan menyiapkan diri untuk menjadi qiyadah dan juga kader dakwah, dan yang paling penting adalah bersedia untuk menjadi jundi. Mungkin selama ini ana takut untuk dengan beban dakwah, takut mengorbankan harta, mengorbankan jiwa dan perasaan. Di dalam hati ana ini masih lagi ada karat jahiliyah yang menjadi virus-virus untu maju ke saf hadapan. Kerana hati ini tidak lagi sepenuh hati meninggalkan couple (takde kena-mengena dengan status G-Talk dan dah tak contact lama gila dah), games dan movie..walaupun dah lama tinggalkan semua ini, tetapi hati ini masih lagi ingi terasa ingin ke sana, ingin kembali ke zaman jahiliyah. Ana sedar semua ini adalah kerana hati di dalam jiwa ini tak cukup ikhlas lagi berdakwah, ingin mencari alasan untuk berada di jalan ini. Tapi masalah akarnya adalah diri ana tidak cukup mencintai Allah, tak merindui syurga-Nya, tak takut akan neraka-Nya, tak tahu akan keredhaan-Nya...Ampunilah aku ya-Allah....Bukakanlah pintu hati ini...

Jadi murabbiku yang kucintai, ana juga mencintai jalan dakwah, tak boleh hidup tanpa dakwah yakni tarbiyah, tunjuk ajarlah kepada ana, berilah pedoman dan juga nasihat untuk mendidik jiwa ini supaya sepenuh hati berada di jalan dakwah, kerana ana tak kisah pun kena marah oleh murabbi, sebab itu memang tugas murabbi kepada mutarabbinya. Jazakallah...

Tolong doakan ana ek...ana pun akan selalu mendoakan orang-orang yang ditarbiyah ini.

Yang selalu ingin lulus mutabaah,

.............................
(XXXXXXXXXXXX)


Kemudian, ketika berlakunya Tragedi Hitam Oktober, saya menemui satu-satu anak halaqoh tercinta, menerangkan kepada mereka dengan sebaik-baiknya. Ikhwah-ikhwah lain tidak lagi bersama, dan lain-lain. Ikhwah UTP yang bersama tinggal ana murobbinya. Berpuluh-puluh yang lain. Menasihati mereka agar terus bersabar dan mengikhlaskan niat. Mutarobbi saya yang satu ini senyap sahaja. Saya memikirnya yang dia terkejut dan tidak mampu menerima hakikat. Namun setelah beberapa langkah meninggalkan kamarnya, dia menghantar SMS:

Assalamu'alaikum WBT
Akhi, walau apapun yang terjadi, ana akan tetap bersama antum. Harap antum akan terus bimbing ana untuk berdakwah dan berjuang di jalan ini.

Mesej ringkas. Sekali lagi air mata ini mengalir.

Kini kau telah dewasa mutarobbiku. Dan kini kau dibebani pelbagai tugas. Biar, dakwah ini memang berat kita tanggungi. Kerana kita adalah para pendahulu. Kelak mereka yang begenerasi setelah kita akan merasakan kemanisannya, insya-Allah.

Dan untuk ikhwah-ikhwahku yang sebahagian besarnya adalah bekas-bekas anak halaqohku, maafkan diri ana yang lemah dalam membimbing antum. Ana bukanlah yang terbaik. Ana tidak tahu menyusun dan membimbing antum dalam jalan dakwah ini. Ana cuma mencuba yang terbaik. Dan ana seringkali melemah. Biar diriku terkorban, namun semoga kalian terus menapaki jalan ini.

p/s : Di kala merasa diri berseorangan, ingatlah antum semua masih ada ikhwah-ikhwah. Ana cuma bersendirian dalam batch ana. Selalu mengenang apakah nasib diri ini. Tetapi ana sentiasa kembali bahagia, kerana ana ada antum semua. Saksikanlah ikhwah-ikhwahku, aku cinta pada kalian!

~Salam Aidil Adha~
~umairzulkefli~
~16112011~
~1637Hrs~
~v2A-002~



~End Of Post~

Read More »