Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Perkongsian: Kereta

0 comments
“Akhi, kalau ana guna kereta Vios, ok ke berbanding Nissan Sunny?”

“Antum nak guna untuk apa?”

“Dah namanya kereta, takkan nak guna untuk menyelam. Guna untuk jalan di jalan rayalah..”

Berderai tawa antara kami. Hasif yang sedang menyedut air epal susunya hampir menyemburkan isi mulutnya.

“Memanglah, antum nak guna untuk pergi mana?”




“Kalau antara rumah ana dengan UTP je? Minyak jimat ke?”

“Sebenarnya akh, kereta ini dia ikut macam mana kita bawa. Kalau dari UTP ke rumah antum, tapi bawa macam ana bawa, sekejap je minyak habis.”

Sekali lagi berderai tawa kami. Akhi Firdaus, sememangnya terkenal dengan cara pemanduan F1. Mottonya, ‘Biar cepat, asal selamat.’ Walaupun keselamatan pemanduannya diragui oleh ramai ikhwah-ikhwah lain. Tetapi dia tetap yakin dengan cara pemanduannya.

Persoalannya bukanlah jenis kereta yang dipandu

Ya, tetapi ia  bergantung kepada siapa yang memandu.

Dan yang lebih penting, bagaimana cara dia memandu.

Begitu jugalah dengan diri kita. Untuk mencapai destinasi, ramai antara kita diberi ‘kereta’ yang hebat. Namun, berapa ramai yang menggunakan ‘kereta’ mereka dengan sebaiknya?

Masuk ke universiti sebagai ‘kereta’ untuk menambah ilmu dan menambah kenalan. Namun berapa ramai yang menggunakan ‘kereta’ itu untuk bermaksiat?

Tubuh badan yang sihat sebagai ‘kereta’ untuk beribadah kepada Allah dan menambah pahala, namun berapa ramai yang mengkufuri nikmat tersebut dan memandu ‘kereta’nya ke arah menjauhkan diri daripada Allah?

Dan yang paling hampir dengan kita, Ramdhan sebagai ‘kereta’ untuk menuju taqwa. Berapa ramai yang menggunakan ‘kereta’ ini untuk mencapainya? Atau ‘kereta’ ini hanya digunakan sebagai peluang untuk berbisnes di bazar Ramadhan, tempat berpura-pura bertaubat dan kembali bermaksiat di bulan seterusnya?

Bahkan yang lebih teruk, ‘kereta’ ini langsung tidak dipandu untuk menuju destinasinya.

Tepuk dada, tanya iman.
Ramdhan yang telah berlalu, bagaimana kita menyikapinya?
Ramdhan yang masih berbaki, apa rancangan kita untuk memaknainya?

Pandulah ‘kereta’ Ramdhanmu.
Salam sejahtera buat para pemburu Lail Al-Qadr.


p/s: Saya sudah ada fanpage. Jemput lawat: https://www.facebook.com/shotulikhwah?ref=hl


~End Of Post~

Read More »

Luahan: Ramadhan

0 comments
“Akh, tulislah sesuatu untuk Ramadhan.”


“Akh, antum nak biarkan ramadhan ini berlalu tanpa apa-apa karya dari antum?”


“Akh, bila nak tulis cerpen lagi?”

Dan pelbagai lagi luahan yang saya terima. Diri menjadi serba salah. Dulu memang persoalannya saya tidak bersedia untuk menulis, tetapi sampai bila baru akan datang kekuatan untuk kembali menulis?




Pendahuluan: Masih Mahu Kembali

Teringat kata-kata seorang ikhwah yang membantu saya untuk meninggalkan salah satu liku gelap hidup saya,

Akh, nta kena ingat. Kekuatan itu tidak boleh ditunggu, tapi ia perlu dibina.


Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.[Q.S. Ar-Ra’du, 13:11]

Kata-kata yang menyebabkan saya mengambil langkah drastik untuk mengubah pendirian saya yang pada asalnya masih berat untuk melakukan perubahan. Maka dengan asas yang sama, saya akan mengorak langkah pada ramadhan ini.

Kembali, entah untuk kali ke berapa.

Ramadhan Kali Ini

Ramadhan datang lagi.
Saya akan cuba memastikan ramadhan kali ini membawa perubahan.
Lebih baik daripada yang lepas.
Terutama buat diri ini.
Semoga masih belum terlambat untuk berkongsi

Di awal-awal Ramadhan, ramai yang berkongsi hadis-hadis berkenaan Ramadhan.

Dibuka pintu-pintu syurga.
Ditutup pintu-pintu neraka.
Pahala dilipat gandakan.
Diampunkan dosa-dosa yang lalu.


Saya ternanti-nanti akan sebuah hadis ini disebutkan, namun tiada yang menyampaikan. Lalu saya menukilkan.

Diriwayatkan dari Ka'ab bin Ujrah RA, dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, Datanglah kamu ke mimbar". Kemudian kami datang. Maka, apabila beliau naik tangga pertama, beliau berkata, 'Amin, lalu apabila naik tangga kedua juga berkata, 'Amin'. Bila Baginda SAW melangkah naik tangga yang ketiga, Baginda SAW pun berkata, 'Amin'.
Maka, ketika beliau turun kami berkata, Wahai Rasulullah, sungguh hari ini kami telah mendengar dari engkau sesuatu yang belum pernah kami dengar".

Beliau bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'.

Lalu, ketika aku naik tangga kedua dia berkata, “Celakalah orang yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak memohon shalawat ke atasmu.” Aku berkata, 'Amin'.

Bila aku melangkah naik tangga ketiga dia berkata, “Celakalah orang yang menjumpai kedua orang tuanya telah tua atau salah satu di antara keduanya, namun mereka tidak dapat memasukkannya ke syurga'. Aku berkata, 'Amin'."
[HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban]

Pengajaran Hadis: Tinggalkan Maksiat

Mudah hadis di atas untuk difahami. Jika berlalunya Ramadhan namun kita tidak diampunkan, maka kita didoakan oleh Jibril AS sebagai celaka. Diaminkan pula oleh Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang pernah wujud di muka bumi ini. Namun, perlaksanaannya menuntut komitmen yang tinggi.

Ciri-ciri orang yang diampunkan adalah mereka yang bertaubat. Tidak mungkin seseorang yang tidak bertaubat akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT. Ciri-ciri orang yang bertaubat pula ada 3,

1. Berhenti daripada melakukan maksiat
Kenalpasti apa maksiat yang masih bersarang dalam diri. Tinggalkan semuanya. Tinggalkan.

2. Menyesali perbuatan maksiat yang dilakukan
Bagaimana hendak menyesal? Pastikan kita tahu dan sedar bahawa perbuatan itu berdosa. Ramai orang tidak mahu meninggalkan perbuatan maksiat kerana merasakan keseronokan dan kelazatan maksiat itu. Sehingga merasakan tidak perlu meninggalkannya.

Bahkan lebih teruk lagi, merasakan perbuatan itu tidak berdosa pun. Innalillah.

3. Berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat.
Maka, dengan segala kesedaran dan pengetahuan akan hakikat dosa yang masih kita lakukan, mari kita tinggalkan maksiat yang menebal dalam diri kita di bulan suci ini.


Penutup: Jangan Jadi Golongan Yang Celaka

Mungkin tidak mudah untuk meninggalkan kesemua maksiat yang tersenarai. Namun tidak mustahil untuk meninggalkan 5 yang teratas bukan? Jadi, senaraikan 5 maksiat-maksiat yang masih bersarang dalam diri. Kenalpasti bagaimana cara hendak meninggalkannya. Lalu, tinggalkan dengan bersungguh-sungguh.

Mungkin kita seorang pembuang masa yang tegar; banyak tengok movie, main game, baca komik. Baca artikel: Nak Baca Komik Boleh?
Mungkin kita terjerumus ke lembah percintaan yang tidak jelas perhubungannya. Boleh baca artikel: Untukmu, Nak Ber'couple' Boleh Tak?, Bagaimana Bercinta Dalam Islam?
Perokok tegar? Baca artikel: Sentiasa Ingat Siapa Dirimu

Antara yang ingin saya ubah adalah, konsisten menulis. Katakanlah aamiin. Mohon didoakan terus.
Mari buat perubahan. Jadilah mereka yang diampuni. Jangan jadi celaka.
Na’uzubillah min zaalik


Ramadhan Al-Mubarak
Baiti Jannati
0627
010812

p/s: Mus’ab dah 6 bulan hari ini~


~End Of Post~

Read More »

Cerpen : Ramadhankan Hidupmu!

0 comments
Ramadhan telah meninggalkan kita
Syawal yang tiba disambut bahagia
Namun apakah ramadhan kita diterima
Andai tidak bertaqwanya kita?

Sama-sama muhasabah. Mari kita baca cerpen ini. Semoga Allah redha dengan kita.
Terimalah :


Ramadhankan Hidupmu!



Subuh yang hening. Pintu bilik dikuak. Seorang yang berketayap putih masuk. Di atas katil ada seorang yang sedang tidur. 5 minit lagi masuklah waktu subuh.

"Di, bangun di. Dah nak subuh ni. Tadi aku kejut kau tahajjud kau tak bangun dah. Jom, kita pergi surau." Ramli mengejut.

Hadi hanya menggeliat-geliat kecil di atas katil. Tiada respon yang memberangsangkan. Lalu Ramli bergerak ke surau sendirian, membiarkan Hadi terus diulit mimpi.

Sepulangnya Ramli dari surau, Hadi baru sahaja bangun. Sedang mengambil wudhuk di dalam kamar mandi. Lalu menunaikan solat bersendirian. Ramli membaca Al-Ma'thurat seperti rutinnya. Tidak beberapa lama kemudian Hadi turut menyertai dan menghabiskan bacaan bersama-sama.

"Li, aku tak tahulah kenapa. Sekarang susah betul nak bangun subuh. Tahajjud apatah lagi. Masa ramadhan hari tu okay je. Tiap-tiap malam boleh bangun."

"Kau nak tahu kenapa?"

"Kenapa?"

"Sebab sekarang syaitan dah balik. Dulu dia sudah lama geram sebab kau terus-menerus buat ibadah tanpa gangguan. Sekarang dia tengah berusaha bersungguh-sungguh nak lalaikan kau semula."


"Betul juga kata kau. Habis tu, macam mana ni? Aku dah dua hari tidak dapat subuh berjemaah. Tahajjud jangan cerita la."

"Ulama'-Ulama' seperti Imam Asy-Syafie, Hassan Al-Basri dan Imam Ahmad bin Hambal mengatakan antara sebab-sebab seseorang terhalang daripada melakukan ibadah seperti bertahajjud adalah maksiat yang dilakukannya. Muhasabah diri. Daripada sekarang bertekad untuk bangun awal esok pagi. Hari ini cuba kurangkan makan, banyakkan baca Al-Quran. Sebelum tidur malam nanti, pastikan berwudhuk dan baca doa. Tidur mengiring ke kanan menghadap kiblat. Terus-menerus bayangkan yang kau akan bangun pukul 5 pagi untuk tahajjud."

"Mantap betul pesanan kau. Betul juga tu. Aku ingat pesan hadis qudsi yang dibahas dalam halaqoh hari tu, Inni 'ala zhonni 'abdi. "Sesungguhnya Aku adalah atas persangkaan hambaKu." Kalau kita fikir Allah akan bangunkan kita untuk tahajjud, insya-Allah kita akan bangun. Kan?

"Tepat sekali wahai ikhwahku yang mulia." Ramli berkata dengan senyuman melebar. Hadi turut tersenyum.

Jam menunjukkan 5:10AM. Hadi terjaga. Dia memandang ke sebelah. Kosong. Ramli telah bangkit terlebih dahulu. Tiba-tiba pintu bilik dikuak. Ramli masuk.

"Eh, kau dah bangun Di? Alhamdulillah."

"Em, alhamdulillah. Baru je. Tapi mengantuk lagilah."

"Sayang mana lebih? Allah ke tidur?"

"Mestilah Allah.." Hadi menjawab sambil menggosok-gosok matanya.

"Tahu pun. Kau pergilah bertahajjud dulu. Aku nak baca Al-Quran sekejap. Nanti kita pergi solat subuh bersama-sama."

Lalu Hadi turun bangkit daripada tilamnya menuju ke kamar mandi. Dalam hatinya bersyukur kerana Allah telah mengizinkannya untuk menjadi salah seorang yang dapat memilih untuk mencintai Allah lebih daripada tidurnya. Sesuatu yang hampir tidak dapat dipilih oleh kebanyakan remaja pada zamannya.

Surau ditujui dengan motorsikal Yamaha LC 135 milik Ramli. Surau taman itu dua tingkat. Tingkat bawah dijadikan tadika. Tingkat atas untuk jemaah menunaikan solat.


"Aik, sikitnya selipar yang ada? Semalam kau datang pun macam ni ke Li?"

"Haah, ni je la yang ada."

"Ni kita kena buat dokumentari nih. Ambil gambar tangga ni Sebelum Ramadhan vs Selepas Ramadhan. Habis semua tumpas dek syaitan nampaknya."

"Kita berbaik sangkalah. Mereka semua balik kampung agaknya. Ini baru Rari Raya ketiga."

"Habis, orang-orang sini yang anak-anak mereka pulang ke kampung ini tidak adakah?"

Ramli hanya mendiamkan diri. Ada betulnya juga kata-kata Hadi.

Solat Subuh pada pagi Ahad itu cukup sederhana. Baik bacaan imam mahupun kedatangan jemaah. Ahli jemaah cuma 7 orang. 7 orang lebih baik daripada tiada langsung. Selesai berdoa imam memberi tazkirah. Majlis dibuka dengan Surah Al-Fatihah.

"Setiap pekerjaan kita perlu ada matlamat yang jelas. Apabila telah ada matlamat, maka perlu ada cara strategi untuk mencapai matlamat tersebut. Barulah kita mampu melaksanakan sesebuah pekerjaan tersebut dengan jayanya." Imam muda itu memulakan tazkirahnya.

"Begitu juga halnya dengan ibadah. Terutamanya ibadah kita sepanjang Ramadhan yang baru sahaja berlalu. Kita berpuasa sebulan lamanya. Namun berapa ramai yang beribadah sesuai dengan matlamat benar dan strategi yang baik? Kamu, apa tujuan kita berpuasa?" Sambil memandang kepada Hadi.

"Er, nak cari redha Allah?"

"Dah namanya ibadah memanglah nak cari redha Allah. Ibadah kalau tak ada redha Allah buat apa. Sia-sia amal. Jawapan lain?"

"Er..er.." Hadi tergagap-gagap. Dia menyiku-nyiku Ramli di sebelahnya.

"Hah kamu, tolong dia." Imam memandang kepada Ramli.

Ramli lalu membacakan Surah Al-Baqarah ayat yang ke-183. Lalu dia membacakan maksudnya.

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.

"Jadi berdasarkan firman Allah SWT itu, tujuan kita berpuasa adalah untuk menjadi orang yang bertaqwa. Betul tak Imam?"

"Ahsanta! Tepat sekali. Jadi itu adalah matlamat ibadah sepanjang ramadhan kita, atau saya lebih suka menyebutnya 'Madrasah Ramadhan'. Saya nak tanya, kalau kita nak tahu sepanjang kita mengikuti sesuatu kursus motivasi atau seminar apa-apa, macam mana kita nak tahu sama ada kursus atau seminar itu berjaya atau tidak?"

"Kita lihat macam mana prestasi peserta tersebut selepas pulang daripada kursus." Hadi menjawab.

"Betul! Jadi, kalau para peserta yang pulang daripada kursus tersebut langsung tiada perubahan ataupun semakin huru-hara jadinya, apa yang boleh kita katakan tentang kursus tersebut?"

"Kursus tersebut tidak berjaya." Jawab seorang jemaah yang lain.

"Begitulah juga dengan Tarbiyah yang kita dapatkan daripada Madrasah Ramadhan. Sebulan kita melatih diri untuk berpuasa. Puasa dalam erti kata sebenar-benarnya. Tidak melakukan yang haram, melaksanakan ibadah sebanyak-banyaknya, menghidupkan malam-malam dengan qiamullail dan sebagainya. Jika objektif kita adalah untuk mewujudkan taqwa dalam diri, maka sepatutnya setelah ramadhan berlalu, semua kebaikan yang dilakukan dan keburukan yang ditinggalkan sepanjang ramadhan perlulah sama dalam bulan-bulan seterusnya. Baru tepat definisi taqwa, melakukan semua perintah, meninggalkan semua larangan."

"Macam mana kalau orang yang tidak ada apa-apa perubahan tu Imam?"

"Kasihan mereka. Mereka tergolong dalam orang-orang yang celaka!"

Diriwayatkan dari Ka'ab bin Ujrah RA, dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, Datanglah kamu ke mimbar". Kemudian kami datang. Maka, apabila beliau naik tangga pertama, beliau berkata, 'Amin, lalu apabila naik tangga kedua juga berkata, 'Amin'. Bila Baginda SAW melangkah naik tangga yang ketiga, Baginda SAW pun berkata, 'Amin'. Maka, ketika beliau turun kami berkata, Wahai Rasulullah, sungguh hari ini kami telah mendengar dari engkau sesuatu yang belum pernah kami dengar". Beliau bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'. Lalu, ketika aku naik tangga kedua dia berkata, 'Celakalah orang yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak memohon shalawat ke atasmu'. Aku berkata, 'Amin'. Bila aku melangkah naik tangga ketiga dia berkata, 'Celakalah orang yang menjumpai kedua orang tuanya telah tua atau salah satu di antara keduanya, namun mereka tidak dapat memasukkannya ke surga'. Aku berkata, 'Amin'."(HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban)

"Ciri-ciri orang yang tidak diampunkan ialah mereka yang tidak bertaubat. Dan orang yang tidak bertaubat adalah orang yang terus-menerus melakukan kemaksiatan dan tidak melakukan ibadah yang dituntut ke atasnya."

'Ya-Allah...janganlah aku menjadi yang celaka itu. Ampuni aku Ya-Allah. Bantulah aku yang lemah ini untuk memperbaiki salah silapku serta menggandakan amal-amalku.' Tanpa diminta air matanya tumpah. Hadi semakin lunak hatinya pada subuh itu.

'Aku akan cuba memperbaiki diri sehabis baik. Bantulah aku Ya-Allah!' Tekadnya membulat.

"Kesimpulannya, mari kita kembali menghidupkan amal-amal sepanjang ramadhan kita dalam bulan-bulan seterusnya. Bermula dengan bulan ini. Hari ini. Jangan tangguh-tangguh lagi. Ingat, Allah bukan hanya disembah dalam bulan ramadhan sahaja. Kalau dalam bulan ramadhan kita sibuh berkempen Hidupkan Ramadhanmu! Sekarang mari kita tukar, Ramadhankan Hidupmu!"

"Insya-Allah!" Ahli jemaah menjawab hampir serentak.



-umairzulkefli-
Baiti Jannati
Taman Mesra, Kajang
2:32AM
13 September 2010


~End Of Post~

Read More »

Istimewa : Alhamdulillah, Sungguh Bermakna

0 comments
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT saya telah selamat sampai di rumah yang terletak di kajang pada jam 7:15AM tadi. Segala puji dan syukur hanyalah milik Allah SWT. Pengalaman semalam sangat bererti buat diri ini. Mungkin ini Ramadhan terakhir saya, mungkin bukan, mungkin juga yang terakhir sebagai...aha, nanti kita sambung.

Suka saya hendak berkongsi sedikit sebanyak perjalanan yang dilalui semalam.



Perjalanan semalam dimulai dengan pembaikpulihan motor ataupun kuda perang putih saya, Honda Wave 125S. Kuda yang amat setia walaupun telah beberapa kali tercedera dalam medan perjuangan, sama ada saya yang menunggangnya ataupun ikhwah lain yang menunggangnya. Minyak hitam dan spoket yang telah haus diganti baru.

Lalu pulang ke UTP untuk mempersiapkan diri, bilik dikemas sebaik-baiknya untuk ditinggalkan buat masa lebih seminggu. Rasanya inilah keadaan bilik saya paling kemas sepanjang praktikal ini. Maklumlah, kehidupan sebagai pelajar praktikal teramatlah menyibukkan. (iye ke umair..hurm..)

Sila abaikan kawasan yang tidak terlihat

Jam 7:10PM saya dan Akh Khozafi bertolak ke rumah Akhi Zikri di Taman Maju. Kami iftar bersama buat kali terakhirnya dalam Ramadhan ini. Iftar turut disertai adik Amirul. Kerana tersalah beli tiket, basnya ke Johor akan bergerak pada jam 10:00PM malam ini, sedangkan kawan-kawannya telahpun pulang semalam lagi setelah habis Final Exam. Kenapa saya dan Akh Khozafi masih di sini? Kerana kami dan beberapa orang ikhwah baru sahaja menghabiskan program iktikaf bersama-sama di sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan pada 9 Ramadhan @ 7 September.

Ceria bersama ikhwah-ikhwah tercinta

Bergantian, adik Amirul bergambar, saya pula yang menangkap


Setelah solat Jamak Qasar Maghrib dan Isyak, saya menghantar Akh Khozafi ke perhentian bas, lalu bermulalah perjalanan sebenar yang panjang.

Persiapan di Stesen Minyak Petronas UTP

Bacaan meter sebelum memasuki lebuh raya

Kebanggaan UTP di lebuh raya


Perhentian 1 : Tapah

Gambar agar kabur, belum tukar mode


Surau R&R Tapah : Menghabiskan bacaan muka surat 542-549


Perhentian 2 : Behrang

Tiada kawasan kedai di Behrang, cuma tandas awam dan pondok solat

Pondok Solat Behrang : Menghabiskan bacaan daripada muka surat 550-557

Perhentian 3 : Lupa pula nama perhentian ni


Surau Perhentian : Menghabiskan bacaan daripada muka surat 558-565

Perhentian 4 : Restoran Jejantas Sg. Buloh Arah Selatan


Surau R&R Restoran Jejantas Sg. Buloh : Menghabiskan bacaan daripada muka surat 566-573

Perhentian 5 : Masjid Negara


Masjid Negara : Menghabiskan bacaan daripada muka surat 574-581 (Tamat Juz 29)

Perhentian Akhir : Masjid Jamek Kajang


Masjid Jamek Kajang : Menghabiskan bacaan Juz 30 (Khatam Al-Quran)

Adik tercinta, Usaid sedang beriktikaf buat kali terakhir. Dia menunggu saya di sana kerana terbaca blog saya. (Sebenarnya saya belum umumkan kepada semua tentang rencana berkendara di malam hari ini. Hanya mereka yang membaca blog saya yang mengetahui. Jazakumullah Khair kepada ikhwah-ikhwah yang mendoakan keselamatan saya sepanjang perjalanan.)

Alhamdulillah selepas subuh saya pulang ke rumah tercinta di Taman Mesra.


Begitulah pengalaman-pengalaman berharga semasa menunggang di bawah langit malam terakhir ramadhan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, Al-Quran dikhatamkan, Qiamullail disempurnakan, setiap malam terakhir saya adalah di Rumah-Rumah Allah. Alhamdulillah.

Semoga setiap daripada kita berjaya meraih sebanyak-banyaknya kebaikan serta manfaat dalam bulan yang mulia ini. Tinggal beberapa detik sahaja lagi sebelum ia meninggalkan kita. 

Dengan ini saya memohon ampun dan maaf daripada semua terutamanya yang banyak berurusan dengan saya. Yang saya marah, yang saya bangkang, yang saya sakiti hatinya, maaf, maaf, dan maaf dipinta. Doakan agar segala amal kita diterima dan diredhai. Semoga kita semua keluar menjadi insan yang lebih berjaya, dunia dan akhirat. Insya-Allah.

Apabila tibanya Aidilfitri
Jangan dilupa Ramadhan yang ditinggali
Semoga perbaikan berlaku dalam diri
Agar hidup lebih diberkati

Ilalliqo' Ya Ramadhan. Ahlan Wa Sahlan Ya Syawal.

-umairzulkefli-
Rumahku Syurgaku
Taman Mesra, Kajang5:40PM
9th Sept 2010


~End Of Post~

Read More »

Perkongisan : Memaknai Malam Terakhir Ramadhan

0 comments
Malam ini saya akan bertolak pulang ke rumah.
Saya akan iftar di rumah Akhi Zikri di Taman Maju. Berukhuwah buat kali terakhirnya buat ramadhan ini. Turut bersama Akhi Khozafi. Basnya ke kelantan akan bertolak jam 8 malam dari perhentian bas Seri Iskandar.

Soalnya malam ini malam terakhir ramadhan. Jadi saya merancang untuk memaknakan malam terakhir ini dengan melakukan sesuatu yang sedikit berlainan.

Saya akan pulang ke rumah yang terletak di Kajang, kira-kira 237 kilometer daripada Universiti Teknologi Petronas yang tercinta. Dan saya akan pulang dengan motor. Barang-barang yang perlu dibawa pulang telahpun diserahkan kepada Akhi Zainul Ariffin yang pulang dengan kereta Satria Walabinya. Jadi motor itu hanya perlu menanggung beban penunggangnya dan beg galasnya.


Bagaimana saya ingin memaknai perjalanan ini?


  1. Ini adalah malam yang terakhir jadi saya mahu seluruh perjalanan saya berada di bawah langit sambil mentadabburi malam yang terbentang luas. Semoga ia akan membuahkan pengalaman yang berharga buat saya bawa dalam bulan-bulan seterusnya.



  2. Target saya untuk 10 hari terakhir ini adalah untuk mengkhatamkan Al-Quran. Saya bermula dengan menamatkan bacaan pada malam ke-21 Ramadhan kelmarin bersamaan 1.20AM 31 Ogos 2010. Bermula dari saat itu saya cuba mengekalkan bacaan sebanyak 3 juz sehari. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT sekarang saya sudah habis 27 juz. Jadi malam ini saya akan mulakan juz yang ke 28 dalam perjalanan. Bagaimana?
    • Saya akan berhenti di 5 setiap perhentian yang bakal saya lalui.
    • Solat Sunat Tarawih akan dilaksanakan sebanyak 2 rakaat di setiap perhentian.
    • Saya akan membaca sebanyak 4 muka surat pada setiap rakaat. 1 juz = 20 muka. 2 juz yang akan dihabiskan = 40 muka.
    • Pada perhentian yang ke 5 saya akan solat witir sambil menghabiskan bacaan juz ke 29.
    • Saya akan mengkhatamkan juz 30 di Masjid Jamek Kajang, lalu solat witir 1 rakaat.

Inilah serba sedikit perencanaan saya pada malam terakhir ramadhan ini. Semoga saya mendapat pencerahan spiritual yang sebanyak-banyaknya sepanjang perjalanan ini. Mohon doa daripada semua. Semoga Allah redha dengan kita semua.

Doakan saya selamat sampai ke destinasi.
Buat yang lain, pastikan malam terakhir ini diisi sebaik-baiknya. Belum tentu kita akan menemui Ramadhan yang seterusnya.

Jadikanlah malam terakhir ramadhanmu malam yang bermakna.



-umairzulkefli-
Engineering Office
Nihon Canpack (M) Sdn. Bhd.
5:06PM
8th Sept 2010
~End Of Post~

Read More »

Ramadhan : Masih Ada Waktu

0 comments

Ramadhan semakin menyirna.
Bagaimana pula dengan kita?

Buat yang belum kembali kepada fitrah
Ingatlah bahawa masih ada waktu

Buat mereka yang tidak pernah kisah
Ingatlah bahawa masih ada waktu

Ramadhan itu masih ada
Ramadhan belum pergi
Jangan berputus asa
Teruskan perbaikan diri
Masih ada waktu..

Lupakan kisah silammu
Walau besar apapun dosamu
Walau sedikit sekali pahalamu
Ingatlah rahmat Allah masih terbuka untukmu
Masih ada waktu..

Mari kembali kepada fitrah
Menjadi hamba yang sentiasa menyerah
Bukan menyerah kepada nafsu serakah
Tetapi menyerah kepada kehendak Allah
Masih ada waktu..

Biar seburuk apapun ramadhan yang dilalui
Atas dirimu sama ada mahu perbaiki
Ingat, Ramadhan masih belum pergi
Buat jiwa yang ingin diampuni
Masih ada waktu..

Kami tidak layak untuk syurgaMu..
Tetapi kami tidak sanggup untuk ke nerakaMu..
Kurniakanlah keampunanMu..
Semoga kami bahagia dengan rahmatMu

Ampuni kami Ya-Allah..

Masih Ada Waktu
-umairzulkefli-
V2A-002
7:24 AM
8 September 2010

~End Of Post~

Read More »

Ramadhan : Sejauh Mana Kita Melangkah?

0 comments
Ramadhan merupakan saatnya melakukan perubahan. Perubahan daripada sifat-sifat mazmumah kepada sifat-sifat mahmudah. Daripada sifat-sifat negatif kepada sifat-sifat positif. Daripada diri yang lemah daya tahan melawan nafsu kepada diri yang kuat dan menjadi tuan kepada nafsu.

Soalnya, sejauh mana kita telah melangkah ke arah perubahan itu?





Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga

Ramai yang menganggap ramadhan sekadar sebuah bulan yang di dalamnya kita hanya perlu tidak makan, tidak minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa (ikut orang-orang Malaysia ni, tak korek hudung, tak korek telinga dan lainla) daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Tidak lebih daripada itu. Para peniaga bergembira kerana inilah peluangnya mencari lebih pendapatan daripada bazar ramadhan. Dan hampir semua hanya bergembira dengan kedatangan ramadhan kerana hanya tinggal 1 bulan sebelum datangnya sambutan 'Mega' yang ditunggu-tunggunya; Hari Raya Aidilfitri.

Tetapi, ini bukanlah makna ramadhan yang diajarkan oleh Allah dan Rasulnya. Ini bukanlah nilai ramadhan yang dicari. Ramadhan difirmankan oleh sebagai bulan tarbiyah. Tarbiyah diri agar menjadi lebih baik. Diri yang bertaqwa. Firman Allah :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:183]

Mengapa Ramadhan?

Ya, mengapa dalam bulan ramadhan ini dikhususkan untuk membina peribadi bertaqwa? Bukan dalam bulan-bulan yang lain?

Kerana bulan ini sememangnya disediakan dengan ciri-ciri khas agar kita mampu membina ketaqwaan kita. Penghalang utama kita untuk bertaqwa itu tiada dalam bulan ini.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA : Rasulullah SAW bersabda, "Apabila bermulanya Ramadhanm pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dirantai."
[Sahih Bukhari, Jilid 3, Bab 31, Hadis No 123]


Syaitan tiada. Sifu kepada nafsu yang menjadi penghalang kepada semua manusia untuk bertaqwa kepada Allah. Yang sentiasa mengeluarkan kita daripada landasan ketaatan kepada Allah. Maka inilah masanya untuk kita mengambil kendali. Masa untuk kita sendiri yang menunggangi nafsu, bukan kita yang ditunggangi.

Syaitan tiada, mengapa masih bermaksiat?

Persoalan yang baik. Mengapa?

Mari muhasabah. Syaitan itu bijak. 11 bulan yang ada sebelum ramadhan ini digunakan sebaik-baiknya untuk 'mentarbiyah' nafsu kita agar 'tahu' apa yang perlu dilakukan ketika tiba saat-saat yang sepatutnya.

'Kalau datang perempuan, tengok terus, jangan lepas!'


'Kalau tengah baca Al-Quran, mesti rasa mengantuk. Jangan lawan, tidur je!'


'Qiamullail tu sunat je, kau ada banyak kerja esok, tidur!'


Dan seribu satu bisikan lagi. Sehingga nafsu kita sudah seperti robot. Sentiasa memilih untuk melakukan kemaksiatan tanpa ragu-ragu. Nafsu berada dalam 'Autopilot Mode', dengan setiap frekuensi serta sistemnya telah diprogramkan oleh syaitan. Jadi, syaitan sedang berbahagia di dalam kurungan, kerana dia tahu manusia yang ditinggalkannya itu bodoh, tidak tahu mengubah keadaan dan terus ditunggangi nafsu, si anak muridnya.




Mari Melangkah!

Cukup. Sudah-sudahlah ditunggangi nafsu. Mahukah kita terus berada di dalam kejahiliahan? Terus meninggalkan ibadah dan melestarikan kemaksiatan?

Mari matikan suis 'autopilot' itu. Caranya ialah dengan mengetahui bahawa kita sekarang mampu mengubah diri kita. Dan hanya kitalah yang mampu mengubah diri sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
[Q.S. Ar-Ra'du, 13:11]

PAKSAKAN diri kita untuk MEMILIH meninggalkan maksiat setiap kali kita terfikir mengenainya.
PAKSAKAN diri kita untuk MEMILIH melakukan ibadah setiap kali kita terfikir mengenainya.
PAKSAKAN diri kita untuk MEMILIH kebaikan setiap kali mempunyai pilihan.

Selalu fikirkan yang hidup ini sementara, syurga yang kita ingin tujui dan neraka yang ingin kita jauhi.

Mari mulakan langkah. Tinggalkan kebiasaan buruk sejauh-jauhnya. Program semula nafsu kita. Biarkan si sifu syaitan pening bagaimana hendak memprogramnya semula apabila dia kembali nanti. Biarkan nanti dia menangis, kita yang bahagia dengan keimanan.



Kesimpulan: Kuncinya USAHA

1000 kali berusaha kemudian tidak berjaya bukan bermakna GAGAL. Itu bermakna kita telah menemui 1000 cara yang salah dalam berusaha. Ambil pengajaran daripada setiap kegagalan. Tanyakan pada diri mengapa masih gagal dan cari puncanya. Lalu lakukan langkah perbaikan. Kita pasti mampu mengubahnya. Kerana kita melakukannya demi mencari redha Allah. Dan Allah pasti menunjukkan jalan-jalanNya. Pasti.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]

Mari Melangkah!

~End Of Post~

Read More »