Showing posts with label Ragam. Show all posts

Perkongsian: Kereta

0 comments
“Akhi, kalau ana guna kereta Vios, ok ke berbanding Nissan Sunny?”

“Antum nak guna untuk apa?”

“Dah namanya kereta, takkan nak guna untuk menyelam. Guna untuk jalan di jalan rayalah..”

Berderai tawa antara kami. Hasif yang sedang menyedut air epal susunya hampir menyemburkan isi mulutnya.

“Memanglah, antum nak guna untuk pergi mana?”




“Kalau antara rumah ana dengan UTP je? Minyak jimat ke?”

“Sebenarnya akh, kereta ini dia ikut macam mana kita bawa. Kalau dari UTP ke rumah antum, tapi bawa macam ana bawa, sekejap je minyak habis.”

Sekali lagi berderai tawa kami. Akhi Firdaus, sememangnya terkenal dengan cara pemanduan F1. Mottonya, ‘Biar cepat, asal selamat.’ Walaupun keselamatan pemanduannya diragui oleh ramai ikhwah-ikhwah lain. Tetapi dia tetap yakin dengan cara pemanduannya.

Persoalannya bukanlah jenis kereta yang dipandu

Ya, tetapi ia  bergantung kepada siapa yang memandu.

Dan yang lebih penting, bagaimana cara dia memandu.

Begitu jugalah dengan diri kita. Untuk mencapai destinasi, ramai antara kita diberi ‘kereta’ yang hebat. Namun, berapa ramai yang menggunakan ‘kereta’ mereka dengan sebaiknya?

Masuk ke universiti sebagai ‘kereta’ untuk menambah ilmu dan menambah kenalan. Namun berapa ramai yang menggunakan ‘kereta’ itu untuk bermaksiat?

Tubuh badan yang sihat sebagai ‘kereta’ untuk beribadah kepada Allah dan menambah pahala, namun berapa ramai yang mengkufuri nikmat tersebut dan memandu ‘kereta’nya ke arah menjauhkan diri daripada Allah?

Dan yang paling hampir dengan kita, Ramdhan sebagai ‘kereta’ untuk menuju taqwa. Berapa ramai yang menggunakan ‘kereta’ ini untuk mencapainya? Atau ‘kereta’ ini hanya digunakan sebagai peluang untuk berbisnes di bazar Ramadhan, tempat berpura-pura bertaubat dan kembali bermaksiat di bulan seterusnya?

Bahkan yang lebih teruk, ‘kereta’ ini langsung tidak dipandu untuk menuju destinasinya.

Tepuk dada, tanya iman.
Ramdhan yang telah berlalu, bagaimana kita menyikapinya?
Ramdhan yang masih berbaki, apa rancangan kita untuk memaknainya?

Pandulah ‘kereta’ Ramdhanmu.
Salam sejahtera buat para pemburu Lail Al-Qadr.


p/s: Saya sudah ada fanpage. Jemput lawat: https://www.facebook.com/shotulikhwah?ref=hl


~End Of Post~

Read More »

Luahan: Muka Kolah & Mangkuk Tandas

0 comments
Masa di SMAPL dulu, ada seorang ustaz. Dia suka berceramah antara Maghrib dan Isyak. Namanya Ustaz Zakaria. Dia memang suka bercerita. Salah satu ceritanya dalah tentang kawannya yang digelar Koja.

“Saya dulu sekolah asrama juga. Waktu solat semua wajib berjemaah, macam kamu semua. Tapi kami tak ada yang lambat. Takbir pertama dengan imam, salam dengan imam. Cuma ada seorang sahaja kawan kami yang akan lambat, Si Koja.”

“Kenapa Ustaz?”

“Sebab dia ambil wuduk lama, basah habis baju. Kalau orang pertama kali jumpa dia mesti fikir, eh, dia ni baru mandi ke?”

Ceritanya disambut gelak ketawa kami beramai-ramai.

Cerita Si Koja kembali ke fikiran saya baru-baru ini. Kerana saya resah memikirkan tentang sebuah masalah. Was-was.


Saya bertemu dengan ramai orang yang menghidap penyakit ini. Setiap kali bertemu dengan mereka, saya akan teringat dengan cerita Ustaz Zakaria tentang kawannya, Si Koja.

Kes Pertama: Wudhuk

Di tepi kolah di sebuah masjid. Seorang lelaki menceduk tangannya ke dalam kolah dan menadahnya di hadapan muka. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Tiba-tiba dia menuangkan kembali air yang ditadahnya itu sambil berkata, “Musta’mal! Musta’mal!”

Begitulah berkali-kali sehingga selesai berwudhuk.

Saya tidak tahu dari mana mereka belajar, tetapi yang saya tahu Rasulullah SAW buat macam ini:

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz sewaktu menerangkan cara wudhuk Rasulullah SAW katanya,
“Dan disapunya kepalanya dengan sisa wudhuk yang terdapat pada kedua tangannya.”

Air musta’mal yang dirisaukan selama ini, sebenarnya boleh diguna untuk berwudhuk!

Imam Bukhari berkata,
“Ahli-ahli imu tidak menyukai bila dalam memakai air wudhuk itu melebihi batas yang digunakan oleh Rasulullah SAW."

Kes Kedua: Mandi Wajib


Izzat telah mimpi basah malam tadi. Dia bangun untuk mandi junub pada jam 4 pagi. Jam 6.50 pagi baru dia selesai mandi! Kerana merisaukan ada bahagian badan yang tidak terkena air. Air tangki rumah habis hanya untuk dia seorang.

Ini lagi satu kes. Entah dari mana juga dia belajar perlu guna banyak-banyak air untuk mandi wajib. Mari dengar beberapa hadis.

Daripada Anas RA,
“Nabi biasa mandi dengan memakai satu sha’ (gantang) sampai lima mud (cupak) air, dan berwudhuk dengan satu mud.”

1 sha’ = 1 gantang = 2.75 liter
1 mud = 1 cupak = 0.7 liter

Daripada Ubaidillah bin Abi Yazid,
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Abbas RA,
“Berapa cukup air bagiku untuk berwudhuk?”
“Satu mud,” ujarnya. Dan untuk mandi?” Tanyanya lagi. “Satu Sha’,” ujarnya.
“Ah, tidak cukup untukku,” kata lelaki itu pula.
“Celakalah engkau, bahkan itu cukup bagi orang yang lebih baik daripadamu, yakni Rasulullah SAW.”
[H.R. Ahmad dan Thabrani dengan sanad terpercaya]

Hah, Rasulullah sahaja mandi menggunakan 2.75 liter air. Tak sampai 2 botol air mineral besar pun. Mengapa kita sibuk menyusahkan diri dengan mengatakan bilasan tak sah, bilasan tak sempurna dan lain-lain? Adakah kita lebih pandai berbanding Rasulullah SAW?

Kes Ketiga: Perasan Kotor

Ketika selesai solat fardhu maghrib di masjid kawasan saya, seorang pakcik menegur saya.
“Kamu orang sini?”
“Ya, saya tinggal di sini. Kenapa pakcik?”
“Kamu ini bagus, solat di masjid. Tapi lain kali pakai kain. Jangan pakai seluar. Tengok pakcik, pakai kain.”
Saya hanya mendiamkan diri. Pakcik itu dengan bersemangatnya menyambung.
“Kamu tadi mesti ada pergi tandas, kan? Lepas kamu kencing kamu simbah air, betul? Air tu dah menyebar habis kena seluar kamu sebenarnya, tapi kamu tak nampak.” Dia bercerita sambil menggerakkan tangannya menggambarkan air tersebar. Lalu menyambung,
“Jadi kamu solat ke tidak tadi?”
Saya hanya mendiamkan diri.
“Kamu tak solat sebenarnya! Kesian kamu, rajin solat, tapi tak sah. Lain kali buat macam pakcik, pakai kain.”

Dalam hati saya memang tak sabar nak jawab,
“Oh, habis tu, pakcik tak tukar baju sekali ke? Mandilah sekali. Bila air tu menyebar, sebenarnya habis satu bilik air tu air kencing terbang. Sampai kepala-kepala sekali. Kalau tak mandi, sebenarnya selama ini pakcik solat memang tak sah.”

Tapi itu dalam hati sahaja. Orang tua perlu dihormati. Tapi baru hendak saya jelaskan baik-baik, dia sudah bangkit.

Saya memang geram dengan pemahaman-pemahaman seperti ini, kerana saya jumpa sendiri dengan orang sudah terpengaruh. Dulu, setiap kali waktu solat, dia akan solat di akhir waktu. Kerana perlu mandi dahulu. Alasannya kencingnya tak bersih. Tidak cukup dengan itu, perkara pertama yang dilakukannya adalah membasuh dinding bilik air dan menuang habis air takungan! Dan orang itu adalah adik saya!

Benarlah sabda Rasulullah SAW,

Daripada Ibnu Mughaffal RA,
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Nanti akan muncul dalam kalangan umat ini satu golongan yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.”
[H.R. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah]

Berlebih-lebihan.

Punca

Berpunca daripada merasa diri lebih pandai daripada Rasulullah. Buku fiqh tak pernah baca, main percaya sahaja apa orang kata. Lebih teruk, memandai-mandai meletak peraturan-peraturan sendiri. Kalau sendiri susah tak apa, tetapi menyusahkan hidup orang lain.

Kita tidak dituntut untuk mencari-cari najis yang tidak terlihat. Jika ada air yang terpercik pada pakaian, dan kita tidak tahu apakah ia adalah najis atau bukan, biarkan sahaja. Kalau ragu-ragu, hilangkan dengan merenjisnya dengan sedikit air. Sehingga kita meyakini ia adalah suci.

Hakam bin Sufyan meriwayatkan,
“Adalah Nabi SAW apabila membuang air kecil ia berwudhuk dan melakukan pemercikan. Dan pada suatu riwayat, saya lihat Rasulullah SAW membuang air kencing kemudian memerciki kemaluannya dengan air. Dan Ibnu Umar biasa menyiram kemaluannya hingga celananya menjadi basah."

Kesimpulan: Jangan Membazir

Daripada Abdullah bin Umar RA,
“Nabi SAW melewati Sa’ad yang sedang berwudhuk. Maka Nabi pun bertanya, “Kenapa membazir wahai Sa’ad?” “Apakah terhadap air juga dikatakan membazir?” Tanya Sa’ad pula. “Memang.” Ujar Nabi lagi, “Walaupun engkau berada dalam sungai yang sedang mengalir.”
[H.R. Ahmad dan Ibnu Majah]

Bagi saya, yang Rasulullah SAW maksudkan dengan pembaziran di sini bukan sekadar air. Tetapi yang dibazirkan adalah masa yang berkualiti bagi umat islam. Masa yang boleh digunakan untuk berdakwah, menyedarkan ummah dan mempersiapkan diri untuk memerangi jahiliyah.

Jangan membazir. Baik air mahupun masa.
Kita ada banyak kerja yang lebih utama.
Bukan hanya sibuk mencuci di tepi kolah dan di tepi mangkuk tandas.
Nanti dicop Muka Kolah dan Muka Mangkuk Tandas.


~End Of Post~

Read More »

Perkongsian: Bersih

0 comments
Hari ini saya ingin cerita tentang bersih.
Bila sebut tentang bersih, mungkin kita akan tergambarkan orang ramai berkumpul dengan pakaian berwarna kuning.
Namun saya ingin berbicara bukan tentang itu, tetapi sesuatu yang jauh lebih penting.

Khutbah Jumaat tadi berbicara sekitar tema kebersihan.

“Sebagai seorang Muslim, kita perlulah menjaga kebersihan diri kita.”

“Kebersihan pakaian dan tempat ibadah dapat menjamin ibadah yang lebih tenang dan khusyuk.”

“Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang berbicara tentang kebersihan. Ini menunjukkan Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan kebersihan.”

Saya mengakui kebersihan pakaian, tempat tinggal, tempat ibadah, pemakanan dan diri adalah amat penting. Namun saya lebih suka untuk membahaskan bersih ini melalui sudut yang sedikit berbeza.



Kebersihan Fizikal

“Jagalah kebersihan alam sekitar. Hapuskan pencemaran.”

“Sayangi udara kita. Jangan cemari udara dengan asap kenderaan.”

Dan pelbagai lagi slogan-slogan para pencinta dan pejuang yang menegakkan hak-hak alam sekitar. Mereka bahkan melakukan demonstrasi agar ramai orang sedar akan pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar. Mereka sangat perihatin apabila berlakunya pencemaran alam sekitar. Sungai yang tercemar, udara yang kotor, bahkan pencemaran bunyi juga diambil kira.

Namun semua itu adalah kekotoran atau pencemaran fizikal. Sesuatu yang terlihat dan kebersihannya boleh diukur dan boleh dibersihkan kerana jelas terlihat di depan mata.

Bahkan negara-negara bukan Islam jauh lebih terkehadapan dalam melaksanakan seruan kebersihan ini.


Kebersihan Rohani

“Jagalah kebersihan iman. Hapuskan pencemaran iman.”

“Jangan biarkan hati anda lalai daripada mengingat Allah. Hati yang lalai akan mudah bermaksiat.”

“Maksiat akan menncemarkan iman. Setiap perbuatan akan mengotorkan hati.”

Pernah dengar orang berdemonstrasi dan berslogan seperti di atas? Mungkin tidak pernah. Padahal pencemaran iman adalah perkara yang paling kritikal yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Kesan-kesannya cukup jelas. Pembuangan bayi yang berleluasa, sehingga kadar pembuangan mencecah 6 orang bayi setiap jam. Kes perpecahan rumah tangga yang mencatatkan perceraian secepat 15 minit satu perceraian.



Kebersihan Fizikal VS Kebersihan Rohani

Kotor di lantai, nampak bentuknya. Kotor di hati, siapa yang tahu?
Kotor di lantai boleh disapu, kotor di hati selamanya di situ.

Baju atau badan yang terkena najis, masih boleh dibersihkan. Hatta najis mughallazah sekalipun, ada cara untuk membersihkannya.

Namun bayangkan mata yang telah melihat sesuatu yang haram, tangan yang telah menyentuh sesuatu yang haram, lidah yang telah menyakiti hati manusia-manusia lain. Semua ini tidak terlihat dan sukar untuk dibersihkan. Walaupun istighfar telah dilantunkan, tetap sahaja mata kita telah tercemar. Tangan kita tetap pernah menyentuh perkara yang haram. Begitu juga anggota-anggota lainnya.

Bahkan, bahayanya jauh meninggalkan kekotoran fizikal. Kekotoran fizikal boleh dibersihkan di dunia. Namun, kekotoran rohani yang tidak sempat dibersihkan di akhirat kelak. Di neraka Allah SWT.

(Bukan demikian), yang benar: barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:81]


Kelalaian adalah Punca

Pencemaran iman akan berlaku, apabila hati kita semakin jauh daripada mengingat Allah. Kerana apabila hati lalai daripada mengingat Allah, ia akan mudah terpengaruh dengan syaitan. Sehingga maksiat dilakukan tanpa segan-silu, kerana merasakan Allah sudah tidak punya nilai dalam hidupnya.

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.
[Q.S. Al-Mujaadilah, 59:18]

Musuh-musuh Islam sangat ingin agar umat Islam terus terlalai dan tidur. Mereka tidak mahu kita terjaga serta menyedari yang kita pernah mempunyai kekuatan yang amat hebat pada masa lalu. Umat Islam yang amat digeruni di medan perang, tidak takut mati dan sentiasa merindukan syahid.



Iman Kita Dicemari

Mereka mencemarkan iman kita dengan melalaikan kita dengan pelbagai cara.

Dengan mula berjinak-jinak dengan melalaikan diri dengan permainan-permainan komputer. Seterusnya kita terasyikkan dengan filem-filem animasi dan cinta sehingga merasakan babak-babak intim merupakan perkara biasa, sehigga ramai yang akhirnya terjebak dengan pornografi. Seterusnya lahirlah masyarakat yang jauh daripada Allah, hidup dengan maksiat bahkan mencintainya.

Sehingga mereka semakin lupa akan Al-Quran. Tidak pernah sempat membaca dan memahaminya. Sehingga mereka memang sangat mudah dipengaruhi oleh syaitan.

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
[Q.S. Az-Zukhruf, 43:36]



Kesimpulan

Indikator pencemar iman yang jelas adalah apa sahaja yang boleh membuatkan diri kita melupakan Allah. Hati yang lalai, mudah untuk bermaksiat. Kerana bagi mereka, akhirat sudah tidak punya makna. Ingatlah Allah telah berfirman,

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?
[Q.S. Al-Anaam, 6:32]

Sempena minggu peperiksaan yang banyak dihadapi oleh kebanyakan pelajar IPT, pastikan kebersihan iman tetap dijaga. Jangan cuma mengejar Dean’s List, sehingga terlupa mengejar Allah’s List.


Bersihkan fizikal, bersihkan rohani.
Selamat Berjuang.


~End Of Post~

Read More »

Dakwah : Pilih, Jangan Tak Pilih

0 comments
Anda ada menyertai lebih daripada satu gerakan dakwah? Boleh ke?
Ramai yang sudah membahaskan perkara ini.
Tetapi saya suka untuk membahaskannya dengan cara saya, bercerita.
Terimalah:


Pilih, Jangan Tak Pilih






Bunyi ketukan pintu dan salam menghentikan bicara mereka. Perlahan-lahan pintu dibuka.

"Wa'alaikumussalam WBT. Abang Meor! Jemputlah masuk, kebetulan kami tengah berbual-bual ni. Dari mana bang?"

"Dari masjid, lambat sikit solat Asar tadi, jumpa pensyarah, uruskan jadual waktu."

Keempat-empat mereka bersalaman dengan pemuda yang digelar Abang Meor tersebut.

"Cantik bilik korang ye, macam-macam ada," ayat yang terselit makna tersirat di sebalik yang tersurat.

Ghaffar, tuan bilik tersengih-sengih sambil mengalihkan fail-fail yang berteraburan di atas lantai.

"Memang cantik bilik ni bang. Kalau abang tak datang, saya rasa lagi cantik." Jamil yang berbadan besar menambah perisa.

Seketika mereka tertawa bersama-sama. Mereka berbual bagai adik-beradik walau jarak usia Meor dan 4 orang juniornya itu agak jauh. Namun ukhuwah islamiyah yang cuba dipupuk tidak mengenal sempadan mahupun usia.

"Korang ni memang susah nak balas sms ye? Ana hantar dari pagi tadi sampai sekarang tak balas-balas lagi."

"Bukan tak nak balas bang, tapi susah nak balas." Karim pula bersuara.

"Lah, apa yang susahnya? Soalannya, boleh tak datang dauroh hujung minggu ni?"

"Nak jawab tu boleh, tapi soalan lepas tu yang berat nak jawab tu."

"Kenapa? Tak boleh datang ke?" Meor sudah dapat menangkap maksud Karim.

"Lebih kurang macam itulah bang. Hujung minggu ni dah ada 3 program saya kena pergi. Tak tahu nak pergi yang mana."

"Kau 3, ok lagi. Aku ada 4!" Akbar menyampuk.

"Mak ai, banyaknya? Kenapa tak tambah je lagi?" Meor bergurau.

Mereka cuma tersengih-sengih tidak bersuara.

"Jangan risau. Kes-kes macam korang semua ni memang biasa terjadi. Junior-junior yang baru berjinak-jinak dengan pergerakan Islam biasanya akan ikut banyak jemaah serta organisasi Islam. Tapi akhirnya kita tetap perlu berkomitmen dengan satu sahaja."

"Kenapa kita kena ikut satu je bang? Tak boleh ke nak join semua? Kan semuanya buat kerja dakwah? Semuanya baik? Abang pun cakap macam tu dulu?" Ghaffar menyuarakan pendapatnya.

"Mari kita fikir sama-sama. Bagaimanakah kita hendak membantu dakwah Islam? Adakah dengan mengikuti sebanyak-banyaknya jemaah dan persatuan yang ada? Untuk diri kita sendiri mungkin kita akan menerima input-input yang pelbagai daripada banyaknya pergerakan yang kita ikuti. Tetapi berdakwah bukan dengan hanya menerima, kita perlu juga memberi."

"Memberi?"

"Ya, memberi dengan mengajak seramai-ramainya orang untuk memperbaiki diri bersama-sama dengan kita. Barulah perbaikan dapat dilakukan. Tetapi misi ini tidak akan dapat kita lakukan jika kita sibuk dengan banyaknya pergerakan yang kita ikuti. Cara yang terbaik adalah kita pilih satu pergerakan yang kita yakini paling baik untuk kita memperbaiki diri dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak orang lain bersama-sama memperbaiki diri dengan apa yang kita yakini."

Keempat-empat mereka mengerutkan dahi, cuba menghadam penerangan Abang Meor mereka.

"Hai, muka seorang-seorang macam ada masalah besar. Faham ke apa yang ana terang tadi?"

"Faham bang, tapi saya nak tanya satu soalan. Macam mana kalau kita ikut satu jemaah ni, tapi untuk pengisian dan usrah kita ikut jemaah lain pula?" Jamil pula bertanya.

"Itu bergantung kepada jemaah yang yang antum ikutlah. Tapi kalau dengan ana, sampai suatu ketika, ana akan meminta anak-anak halaqoh ana membuat pilihan. Sebab kita berdakwah bukan saja-saja mengisi masa lapang. Kita ada tugas besar untuk menyelamatkan ummat. Masyarakat yang sedang rosak secara berbondong-bondong ini perlu segera dikeluarkan daripada kepompong kejahiliyahan mereka. Untuk itu, dakwah memerlukan Da'i-Da'i yang mampu membimbing mereka, bukan mereka-mereka yang hanya suka mendengar tazkirah sahaja. Dan untuk itu, kita perlu melalui proses tarbiyah secara penuh, bukan sekerat-sekerat. Barulah kita dapat mempersiapkan diri kita untuk menjadi 'doktor' yang mampu mengubati ummat."

Semuanya diam mendengarkan penjelasan Abang Meor.

"Jadi, setelah sampai ketikanya, ana akan meminta anak halaqoh ana untuk memilih jemaah mana yang dia rasakan terbaik buat dirinya, imannya serta dakwahnya. Jika dia tak memilih untuk bersama dengan ana, ana sentiasa berlapang dada. Dia senang dan ana pun senang. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berdakwah dengan cara yang diyakininya, dan ana boleh fokus untuk mentarbiyah mad'u-mad'u baru."

"Tapi bang, tak rasa bersalah ke pada jemaah yang kita dah lama ikut sebelum ni kalau kita ikut jemaah yang lain pula?"

"Tiada apa yang perlu dipersalahkan kalau kita ingin memilih sesuatu yang kita yakini. Semua orang perlu menghormati pendapat dan keyakinan orang lain. Dan jika kita berpendapat dan menyakini bahawa jalan inilah yang terbaik, maka orang lain tidak punya hak untuk melarang kita mngikutinya. Biarlah berapa lamapun kita telah bersama dengan gerakan yang lain."

"Kalau anak halaqoh abang yang ingin meninggalkan abang?"

"Kalau ana sebagai murobbi atau naqib, tiba-tiba anak halaqoh yang ana dah lama tarbiyah tiba-tiba memilih untuk ikut jemaah lain, ana tetap akan berlapang dada, insya-Allah. Kerana ana yakin bahawa tugas ana adalah membimbing mereka untuk beriman, bertaqwa dan berdakwah di jalan Allah dengan cara yang terbaik menurut ana. Apabila mereka memilih untuk keluar, maka ana menganggap itu adalah masa untuk ana bermuhasabah dan meningkatkan kualiti diri dan jalan dakwah yang ana ikuti. Barulah 'fastabiqul khairat', berlumba-lumba dalam kebaikan."

"Bang, saya dah buat keputusan, saya akan datang dauroh hujung minggu ini, insya-Allah. Terus bimbing saya ya bang." Ghaffar berkata dengan tulus.

"Insya-Allah. Yang lain-lain?"

"Kami fikir dulu, insya-Allah." Jamil menjawab.

"Haah, ingat nak iktikharah dulu." Akbar menyambung.

"Tidak mengapa. Take your time. Apapun keputusan kamu semua, kita tetap akan berukhuwah, insya-Allah."


~End Of Post~

Read More »

Perkongsian : SMS Merah Jambu

0 comments
"Tetap istiqomah Ukhti..Selamat Berjuang. Semoga Allah sentiasa bersamamu."
Sender : Akhi +6013xxxxxxx

Senyum timbul dari wajahnya. Seperti ada kehangatan menjalar di dada yang membuatkan degupan jantungnya bertambah cepat. Akal sihatnya bertanya-tanya, "Kenapa dengan aku ni?" Namun segera disangkalnya, "Tak ada apa-apalah! Aku cuma gembira sebab ada rakan seperjuangan yang mendoakan."

Dia segera mengunci pintu bilik dan berlalu ke arah motorsikalnya, ada dauroh. Dia berlari sambil membawa sekeping rasa bahagia membaca sms tadi yang sebahagian besarnya bukan kerana isinya, tetapi kerana nama pengirimnya.




"Ana tengah mengisi halaqoh ni. Doakan agar mad'u-mad'u ini semakin meningkat kefahamannya."
Sender : Akhi +6013xxxxxxx

"Kenapa dia cerita pada aku?" Nada protes bergema di benaknya. Tetapi di suatu tempat, entah di mana, terasa bagaikan ada hembusan lembut angin lalu. Tidak semena-mena dirinya merasa bangga kerana menjadi wanita terpilih menerima SMS tersebut.

Pagi itu telefon bimbit kesayangannya berbunyi,

 "Allah pasti membantu mereka yang memperjuangkan agama-Nya. Ukhti, jawab exam betul-betul! Ma'a At-Taufiq Wa An-Najah Fi Al-Imtihan!"

Hatinya melonjak-lonjak bahagia. "Mesti aku dapat jawab dengan mantap hari ni!" Dibacanya SMS dengan berbunga-bunga. Tetapi pengirimnya...

Sender : Ukhti +6013xxxxxxx

Senyumannya memudar. Tarikan nafas panjang. Kecewa. Bukan dari dia. Telefon bimbit berbunyi lagi.

"Semoga Allah membantu hamba-hambanya yang sentiasa memperjuangkan agama-Nya. Selamat Maju Jaya Dalam Peperiksaan."
Sender : Ikhwah +6013xxxxxxx

Dia! Sinaran mentari pagi itu kelihatan seperti warna spektrum yang indah memancar. Senyumannya mengambang lagi. Hatinya bagai bunga-bunga yang mengambang di musim semi. Mekar dan indah.

Biasa dengar?

Cerita di atas adalah corat-coret gerak hati seorang aktivis dakwah di negeri atas angin yang boleh jadi negeri yang sangat dekat dengan kita. Gerak hati yang mungkin pernah bersemayam di dada kebanyakan daripada kita juga. Mungkin ada yang sedang tertawa kecil atau tersenyum-senyum dan berbisik perlahan, "Macam cerita aku je ni," saat membacanya. (^_^)


Penggunaan kata akhi dan ukhti tadi bolehlah diubah kepada sahabat atau sahabiah, mana-mana kata yang biasa diguna dalam kehidupan seharian pembaca. Boleh juga pengirimnya adalah perempuan dan penerimanya adalah lelaki. Pokoknya ia SMS yang dihantar kepada lawan jenis.

Mari cermati bahagian akhir daripada cerita tadi. Kalimat SMS keduanya hampir sama, yang isinya mengucapkan dan mendoakan agar berjaya dalam peperiksaan. SMS yang sama tetapi menghasilkan perasaan yang amat jauh berbeza. Kerana baginya yang lebih utama itu siapa yang mengirimnya, bukan apa yang dikatanya.

Namun sebenarnya, apakah Allah itu membezakan doa antara lelaki dan perempuan? Mengapa menjadi bahagia saat dia yang berlawanan jantina yang mendoakan?

Perkara inilah yang perlu kita cermati dan lihat dari kaca mata yang benar. Terkadang kita tidak perasan dan membiarkan diri kita hanyut dalam alam luar sedar. Dengan berbekalkan alasan bahawa, "Itu hanya sebuah SMS,” atau “Alah, email je.”

Perangkap

Sedarlah, bahawa itulah perangkap syaitan. Ia menguji kita dengan menggunakan fitrah insani yang telah lama berada dalam jiwa. Fitrah ketertarikan terhadap lawan jenis.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).
[Q.S. Ali ‘Imran, 3:14]

da5id2112 on deviantART

Apalah gunanya kita jadi bersemangat dan semakin kuat, lantaran sumber semangat dan kekuatan itu adalah sesuatu yang tidak jelas? Malah kemungkinan ia hanyalah jelas-jelas sebuah dosa. Kerana hati berbunga-bunga, menikmati sorotan nafsu di dalam jiwa. Jadilah zina hati yang membuahkan dosa.

“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”
[Sahih Muslim, hadis ke 2282]

Nak SMS juga?

Wahai hati, apabila engkau menginginkan SMS-SMS seperti itu, maka tanyakanlah kepada hatimu. “Apa yang aku inginkan sebenarnya? Penghargaan daripada dia atau Dia?” Lalu beristighfarlah. Sungguh, kita semua mengetahui bahawa diri kita lemah. Maka kuatkanlah dengan zikrullah.

Wahai hati, apabila tanganmu gatal untuk menaip email-email yang berkemungkinan mengundang musim bunga dalam jiwa mereka, maka pertanyakan kepada dirimu, “Bukankah masih ramai ikhwah-ikhwahku yang memerlukan kata nasihat dan pemangkin semangat?”
Lalu hantarlah SMS tersebut kepada mereka. Layarkanlah email penguat semangat kepada teman-teman seperjuangan tercinta. Itu jauh lebih diredhai-Nya, insya-Allah.

Penutup : Saat Itu Pasti Tiba

Ada saatnya. Akan ada saatnya nanti telefon bimbit kita akan berdering dengan masuknya SMS-SMS romantis. SMS-SMS yang walaupun hurufnya hitam semua, tetapi tetap ber’aura’kan merah jambu. Untuk seseorang dan dari seseorang yang telah dihalalkan untuk berbagi hidup dan segala kata cinta yang ada di dalam kamus-kamus cinta. Cinta yang bermuara kepada pencipta-Nya. Cinta dalam Cinta.

Bersabarlah untuk saat indah itu.

“Salam. Abang nak mengisi dauroh ni. Kat depan ni ada lautan bidadari bertudung labuh. Tapi tak ada secantik bidadariku di istana Baiti Jannati. Tunggu abang balik ye.”

Tak percaya tanyalah Ustaz Hasrizal! (^_^)

“Salam. Jaga hati ye. Nanti saya masak sedap-sedap untuk abang.”

Ya, hanya untuk dia akan ditaip semua SMS itu. The Pinkest Short Message Services. SMS-SMS paling merah jambu!


~End Of Post~

Read More »

Tazkirah : Nak baca komik boleh?

0 comments

"Akh, ana dah baca cerpen antum yang cerita pasal perangai da'i tu. Ana musykil sket." Tanya seorang anak halaqohku.

"Yang Perbaiki Dirimu tu ke?"

"Haah."

"Apa yang antum musykilkan?"

"Susahlah kalau tak boleh baca komik, tak boleh tengok movie, tak boleh macam-macam lagi la. Takkan tak boleh sikit-sikit pun?"

"Boleh je, bacala komik Untukmu ke, komik-komik islamik lain yang ada kat internet macam Alwan Comic. Searchla. Tanya Ustaz Google. Macam-macam ada. Movie pulak, tengokla Ketika Cinta Bertasbih ke, Laskar Pelangi ke...macam-macam lagi boleh."

"Hurm...kalau Dragon Ball? Kreko? Utopia? Arena Komik? Movie-movie macam Superman, Spiderman, Starwars, Heroes, semua tu tak leh ke?" Soalan ditanya bertalu-talu.

"Wah...antum ni, tanya macam machinegun! Bak kata orang Melaka, bawak-bawak bersabau ye dik. Dalam Islam, sebenarnya kalau kita nak tengok movie, main game, baca komik, semua tu boleh je. Hukum asal kepada semua amalan adalah harus. Harus ni, wat boleh, tak buat pun tak berdosa." Aku menerangkan.

"Hah, kalau gitu boleh la tengok?"

"Haih demo! Sabau! Kawe dok abeh royak lagi nih! Ha..kan dah keluar loghat kelantan."

"Hahaha..ok-ok.."


"Gini. Semua benda harus tu boleh jadi berpahala ataupun berdosa. Tergantung kepada apa yang dilakukan. Kalau movie, bacaan dan game tu ada unsur-unsur lucah, maka haramlah ia."

"Ha, Dragonball tak lucah. Bolehlah baca kan?"

"Dia ni kan..."

"Ok-ok...terus-terus..."

"Namun, perkara-perkara yang harus ni, jika melalaikan, maka ia akan membawa kepada Haram. Kerana Allah melarang kita untuk lalai daripada mengingat Allah. Cuba baca Surah Al-Munafiqun, surah ke-63, ayat ke-9."

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
[63:9]. Em, tapi macam mana boleh sampai jadi haram pulak?"

"Mengikut kaedah usul fiqh, semua perintah di dalam Al-Quran itu hukumnya wajib dan semua larangan hukumnya haram haram. Dan dalam ayat tu Allah melarang kita untuk lalai."

"Waa...tapi..."

"Lagipun kita ni orang-orang yang nak menyeru orang ke jalan Allah, nak berdakwah, nak jadi orang beriman. Orang-orang beriman ni, dia tak buat benda-benda lagho."

"Lagho apekejadahnye pulak...."

"Aisey antum nih...hah, bukak Surah Al-Mu'minun, surah ke-23, ayat 1-3."

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,(1) (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam salatnya,(2) dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,(3)  [23:1-3]"



"Ha..orang beriman, dia tak buat benda lagho, iaitu perbuatan dan perkataan yang tidak berguna. Dan semua perkara yang tidak menaikkan keimanan tu, boleh dikategorikan sebagai perbuatan yang tidak bermanfaat dan tidak berguna. Hadith nabi pun ada. Boleh rujuk hadith Arba'in, hadith ke-12. 'Di antara ciri-ciri sempurnanya keislaman seseorang itu adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfat bagi dirinya. Cuba kita fikir, dengan tengok movie-movie yang antum sebutkan tadi tu, agak-agak iman kita bertambah tak?"

"Tak kut.."

"Ape kut-kut, memang tak pun."

"Ye la.."

"Dahla tak menambah pahala, malah mungkin boleh melalaikan, malah membawa kepada dosa."

"Waaaaaa......payahnye..banyakla komik, movie, dan game kena tinggalkan."

"Sabarlah. Sikit-sikit, lama-lama boleh punya."

"Antum cakap senanglah. Buat sikit tengok. Antum mana pernah layan benda-benda tu semua kan?"

"Hah, siapa cakap? Ana dulu kipas-susah-mati Kreko tau. Bukan tu je, Detektif Conan tu, ana ada full volume. Siap pergi order hantar ke rumah lagi. Nak order tu bukan senang, kena buat money order kat pejabat pos. Pernah haritu, bas tak muncul-muncul. Ana jalan kaki ke pejabat pos tu. Ade la dalam 2 kilometer gak."



"Pergh, semangat gile murobbi aku. Macam tak caya lak. Biar betul antum nih?"

"Betul la. Tapi lepas tu, semua ana tinggalkan. Koleksi-koleksi Conan, Kreko, Arena Komik, semuanya ana jual kat surat khabar lama je."

"Huh...macam mana antum buat? Takkan tinggal macam tu je?"

"Ada la ceritanya. Masa tu kat sekolah lagi."

"Hah, ceritalah!"

"Macam ni..."

'Hisyh mamat nih, balik-balik baca komik Kreko nih. Aku rasa tiap-tiap hari mesti dia baca punyalah. Kulit pun tak tak ada. Warna kertas dah naik kuning. Ape tak bosan ke baca tiap-tiap hari? Aku pun baca jugak kreko, tapi takdela sampai nak ulang banyak-banyak macam nih.' Rungut hatiku terhadap Kamil. (bukan nama sebenar)

Menjadi kebiasaan bagi pelajar SMAPL, akan ada tazkirah selepas solat asar. Dan kebiasaannya muzakkir (pemberi tazkirah) banyak daripada kalangan adik-adik form 1 dan form 2 sahaja, kerana hanya mereka yang diwajibkan untuk berada dalam majlis itu. Senior-senior lain sudah tidak terikat dengan peraturan Badan Dakwah & Kerohanian (BDK), cuma digalakkan sahaja. Dan kebiasaannya juga, muzakkir hanya akan membacakan Kitab Fadhail Amal. Sekadar membaca. Buat syarat. Itu yang amat aku tidak gemar. Membuatkan tazkirah menjadi hambar. Menjadi musik yang indah buat mata-mata yang terkena celak syaitan.

Suatu hari selepas solat asar, aku bangun ke depan untuk memberi tazkirah asar.

'Baik aku bagi tazkirah. Nanti budak-budak ni baca je, ramai pulak yang tido.'

Dan aku memberikan tazkirah mengenai membaca Al-Quran.

"Al-Quran ni kena teman kita. Perlu dibaca sentiasa. Kenapa sekarang kita tengok ramai orang yang perangainya teruk, akhlaqnya buruk? Padahal kita semua kat sekolah agama? Sebab kita menjadikan telah menjadikan syaitan ni sebagai teman karib. Cuba seorang bacakan Surah Az-Zukhruf, surah ke-43, ayat ke-36."

Seorang junior form 1 membacakannya:

Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Qur'an), Kami adakan baginya setan (yang menyesatkan) maka setan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.[43:36]

Tiba-tiba aku perasan Kamil berada di barisan belakang. Lalu aku berkata:

"Jadi, jangan jadikan setan kawan kita. Daripada kita baca komik, baiklah kita baca quran. Dapat pahala. Ada seorang tu ana tengok, asyik-asyik baca komik kreko yang sama. Balik-balik komik tu. Komik tu dah nazak gile, lusuh abeh. Kulit pun dah takde. Pun dia nak baca lagi. Agak-agak kalau komik tu boleh cakap, dia dah kata : Sudah-sudahlah tu..dah dekat 14 kali ko baca aku nih! Bagilah aku berehat pulak. Dahla habis bogel aku korang buat, tak puas-puas lagi ke?"Aku sedikit bercanda.

Lawakku menjadi. Agak gamat musolla itu dibuatnya. Tetapi kelihatan seseorang tidak berubah ekspresi mukanya.

Pada malamnya,

"Eh, kreko baru. Din, pinjam!" Lalu kuambil majalah kreko itu. Din baru balik outing. Kebiasaannya mereka menghabiskan bacaan dalam perjalanan pulang, di atas bas.

    'Langkah kanan aku...ape lagi..naruto-naruto...' Aku melayan kreko dengan hati yang gembira.

Tiba-tiba,

"Hah, Umair! Baca kreko! Ko dah baca Quran belum hari ni!? Baik kau baca Quran daripada baca Kreko. Mana dapat pahala!" Kamil tiba-tiba muncul di pintu bilik. Lalu dia keluar ke koridor.

"Cakap je lebih, pastu baca jugak! Poyo je. Baik tak payah bagi tazkirah!" Kamil menjerit-jerit di koridor. Seakan-akan dia ingin seluruh asrama mengetahui aku membaca komik.

'Peh, ape la mamat nih. Kreko baru ni, aku baca la. Bukan aku kata tak boleh baca langsung, tapi baca la quran dulu. Quran aku hari ni dah baca pun. Tak puas hati pasal petang tadi la tu.' Monologku. Terus hilang selera membaca. Lalu aku terduduk berfikir.

'Betul jugak cakap dia. Aku selalu bagi tazkirah, tapi ade gak buat sikit-sikit. Macam mana orang nak respect macam ni. Lagipun, komik ni bukan ade guna pun baca. Buat gelak je. Tak tahu sambungan cerita ni bukannya mati pun. Dahlah. Lepas ni aku takkan baca komik lagi'

"Sejak daripada tu, ana tak pernah sentuh kreko lagi. Kadang-kadang selak-selak la jugak, tapi cepat-cepat tinggalkan. Macam ana cerita dalam cerpen Perbaiki Dirimu, setiap yang kita pandang kecil, dipandang besar oleh orang lain. Cuba tengok kenapa dakwah nabi sangat-sangat diterima. Orang pun tak boleh nak pertikaikan peribadi baginda. Sebab baginda memang buat apa yang dia sampaikan. Bak kata orang minang, He walk his talk!"

"Minang pun minangla. Tapi betul jugak tu. Em, ana cubalah nanti. Antum kenalah selalu ingatkan ana."

"Insya-Allah."




Read More »

Cerpen : Izinkan Aku Membimbingmu

0 comments


Dakwah merupakan suatu seni.
Seni mempengaruhi fikiran.

Apabila menyentuh bab pemikiran, ia amat terkait dengan perasaan.
Manusia merasa dengan perasaan.
Manusia berinteraksi banyak terpengaruh dengan perasaan.
Kita tidak akan mampu mempengaruhi fikiran seseorang andai tidak menguasai perasaannya. Dan itulah yang dipanggil kecerdasan emosi.
Kemampuan merasa.
Kemampuan memahami perasaan seseorang.
Kemampuan memberi respon yang paling sesuai untuk masalah yang sedang dihadapi.



Namun kecerdasan emosi itu tidak berguna jika ianya dikuasai oleh mereka yang berorientasikan dunia. Mereka yang mempengaruhi orang lain hanya kerana ingin mencapai tujuan-tujuan tertentu dalam impiannya. Ia hanya akan menambahkan kehancuran demi kehancuran dalam tamadun kemanusiaan.

Apabila kecerdasan emosi dikuasai oleh mereka yang mempunyai impian hanya untuk menjadi orang terkaya, atau orang yang paling tinggi posisinya dalam kerajaan.




Namun, ia merupakan hal yang amat penting dikuasai oleh para du'at. Mereka yang ingin menyeru orang untuk kembali menjadikan Allah sebagai tuhan yang sebenar-benarnya. Tuhan yang disembah di setiap saat dan ketika. Bukan setakat tuhan yang hanya disembah di saat subuh, dan kemudiannya ditinggalkan begitu sahaja sepanjang pagi, sehinggalah tibanya zohor barulah dia kembali menyembahnya.

Allah sepatutnya menjadi tempat bergantung di setiap saat, tujuan di setiap ketika, dan matlamat di setiap masa. Kerana realitinya ramai manusia hanya beribadah sekadar ritual, tetapi hakikatnya mereka menyembah berhala-berhala dunia yang kekal menebal dalam diri mereka.
Kerana itu kita perlu meluruskan fikrah manusia agar kembali meyakini bahawa Allah adalah tuhan mereka. Gunakan segala kemampuan kita menyampaikan kebenaran, bukan hanya sekadar mahu menyampaikan, tetapi dengan output yang jelas, agar mereka juga mahu bertaqwa. Sesuai dengan firman Allah :

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa".
[7:164]

Kerana hidup Da'i adalah bertujuan memperbaiki ummat. Bukan menilai kemudian menghukum mereka dengan keadaan mereka di saat itu.

Hayati kisah ini :

*****



"Jadi kita akhiri halaqoh kita malam ini dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr," kata pengerusi majlis,  mengakhiri sesi halaqoh malam itu.

Halaqoh malam itu berakhir jam 2.30 pagi. Agak lambat. Banyak perkara yang dibincangkan. Abu Mus'ab si murobbi menjawab banyak persoalan yang diajukan oleh keempat-empat anak halaqohnya.

Setelah bersalam-salaman, mereka lalu beransur pulang. Tiba-tiba salah seorang anak halaqoh Abu Mus'ab mendekatinya.

"Akh, ana nak bincang sesuatu dengan antum. Boleh kita bercakap sekejap?" Pinta Falah.

Abu Mus'ab agak berkira-kira. Perancangan asalnya adalah terus kembali ke biliknya untuk menyiapkan assignment yang perlu diserahkan pada esok hari. Namun segera dia teringat sebuah ungkapan oleh Fathi Yakan dalam bukunya : Al-Isti'ab - Meningkatkan Kapasitas Rekrutmen Dakwah.






Fathi Yakan mengungkapkan bahawa :

Dalam membimbing manusia kepada kebenaran, kesabaran yang tinggi diperlukan. Kerana masyarakat memiliki ragam yang pelbagai. Ada yang menganggap tiada yang lebih penting daripada kepentingan peribadinya. Orang seperti ini terkadang tidak akan berpuas hati sehingga menemui si Da'i untuk menceritakan masalahnya, tanpa memperdulikan masa dan kondisi si Da'i. Mungkin dia akan menemui tatkala kita sedang makan, ataupun ketika kita sedang tidur untuk beristirehat. Semua ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk tetap terus membimbingnya dengan baik.

Kerana seorang Da'i yang sebenar adalah Da'i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri, berusaha untuk membahagiakan orang lain meskipun harus mengorbankan kebahagiaan peribadi. Semua itu dilakukan dengan sebuah keyakinan bahawa apa yang dilakukannya akan membuahkan keimanan di hati mad'unya, dan yakin bahawa apa yang diusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT pada hari hisab.

'Apalah sangat assignment aku tu nak dibandingkan dengan membimbing Falah. Mungkin masalah dia ni penting. Insya-Allah urusan itu akan dipermudahkan. Siapa yang membantu menegakkan agama Allah, nescaya Allah akan membantunya dan meneguhkan kedudukannya.' Getus hati Abu Mus'ab.

"Em, boleh je. Jom kita bincang kat bilik antum. Lagipun dah lama ana tak ziarah bilik antum."

Lalu mereka beriringan ke bilik Falah, yang terletak beberapa meter daripada surau kolej tempat mereka mengadakan halaqoh. Setibanya di bilik,

"Alah, Richard tidurla. Kita bincang dalam gelap je la, boleh akh?" Falah keberatan untuk membuka lampu kerana khuatir mengganggu roomatenya yang sedang tidur.

"Boleh je, ana tak kisah."

Lalu mereka bergerak ke arah katil dan duduk bersebelahan. Falah menuangkan air masak ke dalam cawan dan mempelawa Abu Mus'ab untuk minum. Lalu Falah membuka ceritanya.

"Sebenarnya akh, ana dah tawar hati nak ikut halaqoh lagi. Ana rasa halaqoh tak dapat membantu ana. Bukannya ana kata antum tak bagus. Ana nampak tujuan antum nak bawa ana kembali pada Allah, ajar baca quran, jaga subuh dan dirikan tahajjud. Semua tu bagus. Tapi ana rasa ana dah tak boleh berubah. Yang ana rasa mampu ubah ana hanyalah kawan ana masa di sekolah dulu. Hazim. Dia je yang faham perasaan ana. Dia yang bantu ana untuk tinggalkan zaman jahiliyah ana. Dia je yang sanggup layan semua karenah ana. Dulu ana bukannya orang baik-baik. Semua kawan-kawan benci. Sampai ana takde kawan pun. Dia seorang je yang selalu dampingi ana. Tapi sekarang dia dah takde. Jadi ana rasa ana akan kembali kepada jahiliyyah semula. Parent ana pun tak dapat tolong ana. Selama ni diorang hanya bagi ana duit untuk makan je."


Abu Mus'ab meneguk air, lalu meletakkan cawan ke atas meja.


 


"Kawan antum tu dah takde, maksud antum...?"

"Dia ada, cuma dia takde kat sini la. Dia dah fly ke oversea. Dia dapat tawaran medic kat Mesir. JPA. Bukanlah dia dah takde langsung."

"Owh, ana ingat apa-apa dah jadi pada dia. Jadi antum selama ni memang bergantung harap pada dia je ke?"

"Boleh kata macam tu lah. Ana tak kesah apa orang lain kata, asalkan dia bahagia. Kalau dia suruh ana buat apa pun ana sanggup. Boleh kata ana masih nak teruskan hidup lagipun sebab dia. Ana memang pernah terfikir taknak hidup lagi dah sebab dia nak fly ke Mesir tu. Tapi fikir-fikir balik, orang yang bunuh diri ni mati masuk neraka selama-lamanya, tak jadi fikir lagi."

'Mak aih, dahsyat betul dia nih. Nampaknya Hazim tu amat penting dalam hidup dia. Tapi sayang, dia tak meletakkan prioriti yang betul dalam hidupnya. Ya-Allah, berilah aku kekuatan untuk membantunya.' Detik hati Abu Mus'ab, sambil berharap bantuan kepada Allah.

"Dia mesti seorang yang penyabar kan? Susah nak jumpa kawan yang baik macam dia. Ana pun kagum dengan kesabaran miliknya. Harap Allah beri ana kekuatan untuk jadi penyabar dan perihatin seperti Hazim. Bila dia fly?"

"Minggu lepas."

Abu Mus'ab jadi mengerti. Falah kelihatan amat muram ketika ditemui di Cafe. Tidak ceria seperti selalunya. Dan ketika halaqoh tadi, Falah amat pasif. Tidak banyak bercakap dan mengambil bahagian dalam perbincangan.




"Mesti sedih kan kawan yang kita sayang dah tak bersama kita. Tapi antum masih boleh call dia, chat ke. Sekarang ni dunia dah canggih, senang je nak berhubung. Kalau orang dulu-dulu tu kena buat isyarat asaplah, hantar burunglah, hantar nota dalam botol lepas tu campak kat laut lah. Kesian diorang."

"Hahaha..antum ni. Ade ke orang wat macam tu dulu? Tapi akh, bukan senang nak contact lagi. Mahal pulak tu."

"Betul tu. Orang yang kita sayang, takkan selamanya berada di sisi kita. Kelak dia akan pergi juga. Kalau ditakdirkan Allah mengambil nyawanya, dia tetap akan pergi. Dan kita takkan mampu terus bertahan jika kita bergantung kepada apa-apa yang tidak kekal."

"Maksud antum?"

"Maksud ana, jika kita bergantung harap kepada makhluk, kita tidak akan mampu bertahan selamanya. Kita kena ada tempat bergantung harap yang lebih kukuh. Kepada pencipta makhluk. Al-Kholiq."

"Maksudnya kita kena bergantung kepada Allah? Tapi akh, ana tak dapat rasa yang Allah membantu ana. Selama ni yang memberi perhatian, kasih-sayang, dan segala harapan pada ana, rasanya Hazim je. Dia la manusia paling baik yang ana pernah jumpa."

Abu Mus'ab mencapai cawan di atas meja dan meneguk air masak itu. Kemudian dia menghela nafas, lalu meneruskan.

"Memang selama ni kita dapat lihat yang memberi sinar dalam hidup antum tu kelihatannya Hazim. Tapi sedar tak kita, siapa sebenarnya di sebalik ini semua?"

Falah terdiam berfikir.

"Siapa sebenarnya yang mengaturkan antum akan satu sekolah dengan Hazim?" Abu Mus'ab melontarkan persoalan.

Falah ingin menjawab itu semua suatu kebetulan. Tetapi teringat akan kata-kata Abu Mus'ab dalam halaqoh yang lepas,

"Tiada kebetulan yang berlaku di dunia ini. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Dalam berjuta-juta pelajar SPM 2007, hanya 500 orang sahaja yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini. Dan di antara 500 orang itu, hanya antum berlima sahaja yang kemudiannya terpanggil untuk hadir ke halaqoh malam ini. Kalau kita kita kebarangkalian ini akan berlaku, agak-agak berapa Falah?"

"Hurm, kalau kira-kira macam (500/1,000,000)X(5/500)=0.00005 je. Macam tak mungkin kebetulan je."

"Betul tu. Tu belum kira lagi kebarangkalian kita lahir ke dunia ni."

"Hah, tu lagi tak dapat kira. Kita adalah 1 daripada beribu juta sperma ayah kita yang bergabung dengan ovum ibu kita. Kebarangkaliannya :(1/10000000000000...) er, brapa kosong ek? Alah, senang kira 1/infiniti, kosong!" Paan mencelah.

"Tepat sekali. Pandai betul ikhwah-ikhwah halaqoh ana semester ni mengira. Ni kalau amek Probability & Statistic mesti score nih! Haa..macam Paan cakap tadi, kesimpulannya, ia bukan suatu kebetulan. Ia pasti sebuah perencanaan. Siapa lagi kalau bukan Allah yang mangaturnya. Semua itu telah tertulis di lauh mahfuz, seperti firmanNya :

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).
[6:59]

Falah lalu dengan yakin menjawab, "Allah".

"Jadi sebenarnya Allahlah yang mahukan Falah bertemu dengan Hazim. Dan kenapa Hazim yang kemudiaannya mampu membantu Falah untuk melepasi pelbagai ujian dan cabaran? Yang memberi sinar harapan untuk Falah meneruskan kehidupan? Kenapa bukan orang lain? Boleh je kalau Allah nak Idham kawan antum tu yang berperanan sebagai Hazim, kan?" Abu Mus'ab kembali bertanya

"Em, sebab Allah yang tetapkan macam tu.." Falah menjawab ringkas.

"Jadi kalau kita selidik semula, sebenarnya siapa yang mahu Falah dibantu, dibimbing, dan ditolong?"

"Allah.."

"Siapa pula sebenarnya yang mahu Falah bahagia, merasakan ada sinar harapan dalam hidup, yang membuatkan Falah merasa dihargai dan disayangi?"

"Allah.."

"Jadi ana nak tanya, selama ni siapa yang sebenarnya menyayangi, mencintai dan membuatkan antum terus hidup hingga saat ini?"

"Allah..."




"Jadi, sepatutnya selama ini antum berubah sepatutnya kerana Allah. Kerana dialah yang memberikan kita segala-galanya yang kita ada sekarang. Badan, kaki, tangan, kepala, nyawa, bahkan perasaan yang kita milikipun sebenarnya pemberian Allah kepada kita. Allah sayang sangat pada kita akh. Kita je yang terkadang melupakanNya. Kita yang menjauhiNya."

Falah menitiskan air mata sulungnya. Bukanlah bermakna itulah pertama kalinya dia menangis, tetapi pertama kali dia menangis atas tujuan yang benar. Merasakan bahawa selama ini Allah cukup baik kepadanya. Dia menyedari yang segala apa yang ada pada dirinya di saat ini bukanlah miliknya, tetapi milik Allah.

Allahlah yang menghidupinya hingga ke saat ini.

Allahlah yang membuatkan dia tertawa, menangis, gembira dan bahagia selama ini.

Allahlah yang memberikan kepadanya segala-galanya.

Dan kini dia memahami bahawa segala yang dilakukannya perlulah dilandaskan untuk Allah. Bukan kerana makhluk Allah yang bernama Hazim. Dia malu akan pengangannya selama ini.

"Jazakumullah Khair akh. Ana faham sekarang. Ana dapat rasakan apa yang perlu dilakukan sekarang. Hidup untuk Allah. Hidup untuk memenuhi tuntutan-tuntutan Allah. Ana akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi semua perintah Allah, dan berkorban untuk Allah sebagaimana ana dulu sanggup berkorban untuk Hazim." Ikrarnya.

"Jika kita cintakan bunga, bunga akan layu. Jika kita cintakan wang, wang akan habis. Jika kita cintakan manusia, manusia akan mati. Namun jika kita cintakan Allah, Allah akan kekal selama-lamanya. Dan tiada siapa yang akan merebut Allah daripada kita. Dan tiada siapa juga akan berkecil hati jika kita menjadikan Allah sebagai kekasih kita." Abu Mus'ab mengungkapkan sebuah madah.

"Betul tu akh. Semoga lepas ni Allah akan menjadi tujuan hidup ana. Doakan Akh."

"Insya-Allah"

Falah kemudiannya memeluk Abu Mus'ab sepenuh hati. Abu Mus'ab turut menjadi terharu atas kesedaran Falah. Hatinya bersyukur dan bertahmid memuji keagungan Allah. Hatinya berdoa :

'Ya-Allah, aku cintakan hambaMu ini Ya-Allah. Satukanlah hati-hati kami dalam jalan mencari redhaMu. Jadikanlah dia mujahid yang berjuang di jalanMu. Cintailah dia sebagaimana Kaumencintai para rasulmu. Jadikanlah dia mencintaiMu sebagaimana aku mencintaiMu, malah lebih lagi Ya-Allah. Ya-Allah...perkenankanlah...'




Read More »

Mahu Berdakwah atau Tidak?

0 comments
"Assalamu'alaikum...ada masa?"

"Wa'alaikumussalam...ye, kenapa?"

"Berat rasanya nak meneruskan jalan dakwah ni. Kita nak berdakwah pada orang, tapi kita sendiri masih lemah, masih perlu diperbaiki."

"Satu perkara yang perlu kita ingat, bersyahadah sahaja kita, maka kita wajib berdakwah. Tidak kiralah siapapun kita. Setiap orang wajib berdakwah, walaupun dia belum mampu berdakwah."

"Macam mana pula tu? Macam mana kita boleh berdakwah kalau kita tak mampu?"

"Makanya, mampukan dirimu. Berusaha untuk mampu. Sama sahaja dengan orang-orang yang berkata, saya masih belum mampu nak pakai tudung. Hakikatnya dia masih wajib untuk mengenakan hijab muslimah sejati, walau apapun alasannya.



".......tapi, pembinaan diri ana pun masih tak setel lagi."

"Semua orang boleh beri alasan begitu. Tetapi hakikatnya setiap orang punya kewajiban yang sama. Kita tetap perlu berdakwah walaupun kita masih terbelenggu dengan karat jahiliyah. Kita masih wajib menyeru kepada kebaikan ataupun amar ma'ruf, walaupun kita masih belum melakukan kesemuanya. Kita juga masih sahaja wajib menyeru untuk meninggalkan kemungkaran ataupun nahi mungkar, walaupun kita masih melakukannya. Itu konsep asas yang kita semua faham rasanya."

"Betul tu..ana sedar semua tu...tapi..."

"Kemudiannya yang membuatkan kita ragu-ragu, rasa tidak mampu dan tidak layak tu, hanyalah syaitan. Dia dan teman-temannya sentiasa membuatkan kita terasa lemah di jalan ini dan kemudian terdorong untuk meninggalkanya. Ataupun paling kurang, membuatkan kita rasa kita tidak perlu berbuat lebih di jalan ini. Sekarang ada 2 pilihan sahaja, mahu berdakwah atau tidak? Tiada yang ketiga."

"Cukuplah tu...dah menitis air mata ana ni.."

"Afwan...kebenaran memang pahit, namun seperti ubat yang pahit, kita kena telan juga. Meludahnya kembali tidak memperbaiki keadaan..."

"Betul tu..afwan juga mengambil masa antum. Ana beransur dulu, Assalamu'alaikum..."

"Ana pun sama. Afwan salah silap...Wa'alaikumussalam.."

Read More »