Perkongsian : Ia Berbeza

Sudah lama saya tidak menyampaikan ceramah umum yang melibatkan audiens ramai. Lebih-lebih lagi dari kalangan wanita. Baru-baru ini saya dijemput untuk mengisi di Kolej Kejururawatan Kota Bharu, Kelantan. Kesemua pesertanya adalah perempuan. Lebih kurang 120 orang peserta jumlahnya.

Dan tajuk perkongsian adalah: Cinta dan Kehidupan


Namun ada sesuatu yang berbeza yang berlaku pada pengisian kali ini. Apakah itu? Kalau nak tahu kena bacalah! (^_^).



Inilah kali pertama saya berceramah kepada golongan wanita setelah pernikahan. Sejak daripada 5 Februari 2011 lepas, saya cuma banyak berkongsi dalam halaqoh dan tazkirah-tazkirah umum bersama junior-junior di surau-surau.

Pada mulanya agak keberatan untuk menyampaikan, kerana merasa diri tidak bersedia dan sebagainya, namun langkahan tetap diorak dan bumi Kelantan dijejaki.

Ceramah berkisar terus tentang cinta. Ramai yang bercinta. Namun, adakah mereka bercinta dengan benar?

Saya banyak membahaskan bagaimana mencari cinta yang sebenar, yang telahpun disebutkan oleh pengerusi majlis yakni Cinta Allah. Ramai yang TAHU bahawa itu Cinta Allah itulah cinta sebenarnya, namun tidak ramai yang FAHAM bagaimana untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Saya banyak membahaskan apa yang terkandung dalam artikel saya: Cinta Itu.

Dan seperti biasa, bila muncul soal cinta, pasti ramai yang tertanya-tanya bolehkah kita ber'couple'? Dan itu juga saya bahaskan seperti yang tertulis dalam artikel sulung saya: Nak Ber'couple' Boleh Tak?

Saya memulakan dengan menanyakan sebuah soalan keramat:

"Sebenarnya ber'couple' ni boleh ke tak?"

Ramai yang tersenyum-senyum. Ada yang kelihatan selamba, tiada perubahan riak muka. Namun masih kelihatan ramai yang tidak berpuas hati dengan penjelasan saya. Mungkin kerana hati masih berat untuk menerimanya. Lalu tibalah masanya untuk saya sebagai orang yang pernah berada di 'dua alam' (pernah ber'couple' dan melepasinya, dan kini telahpun selamat mendirikan rumah tangga) untuk menyampai sedikit perkongsian.

"Saya sebenarnya dulu bukannya seorang yang baik pun. Saya pun pernah bercinta sebelum nikah, ataupun ber'couple'. Setahun setengah lamanya. Sejak awal tahun tingkatan empat sehingga pertengahan tahun di tingkatan 5. Lalu tibalah saatnya saya membuat putaran 180 darjah dalam hidup saya. Mula mengambil Islam secara keseluruhannya. Semuanya berlaku setelah saya menghadiri Kem Kecemerlangan SPM 2006."

Saya berkongsi dengan hadirin perubahan saya yang telahpun saya nukilkan dalam artikel saya: Maafkan Aku.

"Lalu saya terus mengalami perubahan, namun masih ber'couple' secara 'Islami'. Sehingga saya bertemu dengan seorang ikhwah yang menerangkan kepada saya hakikat tentang 'couple' itu. Saya dah kongsikan semuanya dalam blog saya. Tajuknya, Untukmu. Cerpen sulung saya."

"Pada mulanya memang berat saya rasakan untuk meninggalkannya. Namun saya tetap mengambil keputusan itu kerana saya risau, apakah saya akan mempunyai kekuatan untuk meninggalkanya di masa hadapan? Lalu dengan sepenuh hati, saya menaip sms terakhir itu dan mengakhirinya. Terasa seperti separuh kehidupan saya telah pergi. Namun, ternyata saya masih hidup elok hingga saat ini. Elok je. Dah nikah pun, malah bakal mempunyai seorang anak pada tahun hadapan. Mohon doanya."

Saya terus menyampaikan, dan di saat inilah saya menyedari yang ianya berbeza. Apakah ia? Sebentar lagi saya cerita.

"Dan apa yang saya boleh katakan, percintaan selepas pernikahan merupakan mempunyai sesuatu yang tidak dapat dirasakan seperti dahulu. Ketenteraman jiwa. Kalau kita bercinta dengan dia yang tidak punya apa-apa ikatan yang jelas dengan kita, apakah hubungan antara kita dengan dia? Dia masih sahaja boleh mencari orang lain. Jika dia berjumpa dengan seseorang yang lebih cantik atau kaya daripada kita, dia boleh meninggalkan kita. Tiada apa-apa jaminan.Namun bercinta dengan isteri, dia hanya untuk kita. Jaminannya sudah jelas."



"Namun ada yang berkata, orang yang bercinta inipun akan bernikah juga akhirnya. Akan mendirikan rumah tangga mereka. Ya, saya setuju. Mereka akan menikah. Tetapi akan timbul satu lagi permasalahan. Kalau dahulunya rumah tangga yang didirikan berasaskan kemurkaan Allah, larangan dan hukum Allah dilanggar berani dilanggar, dosa-dosa serta maksiat hati tidak dijaga. Berani menghantar SMS cinta dan keluar bersama. Kini setelah menikah, apakah jaminannya si dia akan terus setia kepada kita? Apakah jaminannya apabila kita berjauhan, si dia akan tetap menjaga kesucian dirinya?"

"Kalau saya, saya cukup yakin dengan isteri saya. Kalau siapa yang tidak tahu, isteri saya yang tercinta itu namanya Atifah. Dia kini sedang berada jauh di Kuala Lumpur, menghadiri program untuk aktivis-aktivis perempuan. Saya pula berada Kelantan. Tapi saya amat yakin yang dia akan menjaga dirinya. Saya tak pernah risau kalau dia berjumpa dengan mana-mana lelaki lain yang lebih handsome atau kaya daripada saya.Kerana kami bernikah kerana Allah, di jalan Dakwah dan Tarbiyah. Kami sama-sama telah melalui proses tarbiyah yang mendidik kami untuk kekal menjaga kesucian diri sejak dari dahulu lagi. Kami sama-sama ditarbiyah untuk takutkan Allah SWT dan menjaga hak-hak-Nya walau di mana kami berada.  Dan ntuk pengetahuan anda semua, dia tak pernah bercinta dengan mana-mana lelakipun sebelum ini. Saya cinta pertamanya. Sungguh Allah SWT telah menghadiahkan saya seorang kekasih yang terbaik yang tidak pernah saya impikan."

"Kesimpulan yang saya nak sampaikan, tak mati pun kalau clash. Malah insya-Allah percaturan Allah SWT itu jauh lebih baik untuk kita. Saya contoh hidup untuk anda semua."

Sepenuh hati saya menyampaikan perkongsian itu. Teringat saat-saat saya mengambil keputusan untuk mengubah hidup saya. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku jika saya tidak berani mengambil keputusan tersebut. Sungguh percaturan Allah itu sungguh indah.

Dan anda semua masih tertanya-tanya apakah yang berbezanya itu? Baiklah, yang berbeza itu adalah:

Gejolak jiwa yang saya risaukan selama ini. Ia tiada lagi. Hati saya tenang untuk berkongsi dan berhadapan dengan mana-mana perempuanpun. Tidak seperti dahulu, saya sering terganggu dengan bayangan-bayangan yang tidak sepatutnya.


Dan ketika pulang menaiki motor ke rumah sewa Akhi Lemeq, saya menghantar SMS kepada kekasih tercinta.

"Saya baru habis mengisi program Akhwat KKKB. Walaupun ada banyak bidadari di hadapan saya tadi, tak ada seorangpun yang dapat menandingi bidadari hati saya yang seorang ini."

Menikahlah, jiwamu akan tenang!



~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^