Tazkirah : Bersaing Cara Sihat (2)

'Eh, malam ni mereka nak buat tayangan? Nanti ramai junior-junior tiada malam ni. Aku dah rancang nak buat Al-Mulk. Kena buat sesuatu ni.'

Kelihatan beberapa orang dalam surau sedang membuat persiapan untuk mengadakan tayangan. Mereka melaraskan LCD projektor, pembesar suara dan juga komputer riba. Amir berfikir-fikir apa yang perlu dilakukannya. Lalu jemarinya pantas menekan kekunci telefon bimbit.

Gambar Hiasan

"Malam ni diorang buat tayangan. Kita kerahkan orang-orang kita untuk ajak semua junior-junior untuk ke Al-Mulk. Jangan biarkan mereka buat tayangan."

Amir menunggu di hadapan surau. Sambil itu dia tersenyum kepada mereka yang sedang membuat persiapan tayangan. Seorang daripada mereka menyalaminya dan turut menunggu di hadapan surau. Selang beberapa minit tibalah junior-junior yang diajak mereka.

"Assalamu'alaikum Abang Meor! Dah mula ke belum..."


Belum sahaja Abang Meor yang disapa itu menjawab, Amir terlebih dahulu memintas,

"Wa'alaikumussalam. Eh, enta buat apa kat sini? Jom, kita kan dah janji nak buat Al-Mulk malam ni? Jom kita ke surau blok sana."

"Eh, malam ni kan ada Tayangan Palestin bang?"

"Takpelah, jom..."

Sambil dia mengajak hampir 10 orang junior yang hadir. Abang Meor hanya melihat. Dan tayangan pada malam itu terpaksa ditunda. Hampir tiada junior yang datang. Yang datang pun, diganti dengan majlis bacaan Al-Mulk juga di surau itu oleh teman-teman Amir. Amir merasakan dia telah berjaya memastikan mereka dapat mengelakkan junior-junior mereka daripada terpengaruh.

Keesokkan harinya ketika halaqoh,

"Jadi, ada apa-apa musykilah? Apa perkembangan terbaru dakwah kita?" Sang Murobbi membuka ruang untuk berkongsi pendapat dan pengalaman.

"Alhamdulillah, semalam kami semua berjaya buat Al-Mulk. Ramai junior datang. Asalnya ramai yang nak datang ke tayangan group yang satu lagi, tapi kami suruh semua datang Al-Mulk juga."

Lalu Amir menceritakan dengan lengkap kronologi cerita semalam. Strategi yang dilaksanakannya dan hasilnya. Dia merasakan telah melakukan sesuatu yang bijak.

"Astaghfirullahal'azim...akhi, antum halang mereka berdakwah?"

"Ana bukan halang mereka. Ana cuma ajak mereka ke Al-Mulk. Beri tazkirah juga. Dakwah juga. Kan itu berlumba-lumba dalam kebaikan?" Amir cuba mempertahankan tindakannya.

"Akhi, berlumba-lumba juga. Tapi antum kenalah jaga adab sedikit dalam bertindak. Junior-junior dah datang depan-depan mereka. Antum pergi ajak mereka semua tinggalkan tempat itu depan mata group-group tu? Itukan menghalang namanya?"

"Lebih baik, daripada junior-junior terpengaruh dengan mereka."

"Terpengaruh dengan apa? Mereka kan juga berdakwah? Mereka juga mengajak orang kepada kebaikan. Kepada Islam. Bukannya mereka buat ajaran sesat. Kita pun banyak mencontohi mereka. Kalaupun nak bersaing, bersainglah cara sihat. Tak perlu dihalang-halang depan-depan sepeti itu."

Amir terdiam berfikir.

"Kalau memang kita dah rancang nak buat Majlis Al-Mulk, buat sahaja. Ajak je junior-junior yang masih ada di blok kita. Tak perlu halau-halau mad'u orang. Itu namanya menghalang-halangi. Orang kafir je yang menghalang-halangi orang lain daripada kebaikan.

Orang-orang yang kafir dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah, Allah menghapus perbuatan-perbuatan mereka. [Surah Muhammad (47):1]

Kita bersaing cara sihat. Orang nak ikut mereka, kita biar. Orang nak ikut JIM ke, Tabligh ke, PAS ke, ISMA ke, apa-apa je lah. Asalkan jemaah Islam, semua bagus. Kita tawarkan kepada mereka apa yang baik pada kita. Cukup. Tak perlu kata orang lain tak betul, orang lain salah, dan macam-macam lagi."

"Nanti mad'u kita berkurang.."

"Mad'u berkurang bukan masalah mereka rampas daripada kita. Mad'u kita berkurang kerana kita kurang berusaha. Mereka lebih proaktif bergerak, lalu mereka dapat cari orang. Jadi sekarang kita kena berusaha lebih daripada mereka. Kita kena buat halaqoh dengan lebih baik. Kita kena sampaikan ayat-ayat Al-Quran yang lebih sesuai."

Amir terdiam dan terus berfikir.

"Akhi, Yusuf Qaradhawi pun dah tulis dalam bukunya, Fiqh Ikhtilaf. Fiqh Perbezaan Pendapat. Beliau sendiri mengatakan dalam mukaddimah bukunya,

"Hati saya resah jika musuh itu datang dari dalam tubuh kebangkitan Islam itu sendiri. Satu gerakan Islam melancarkan makar terhadap gerakan Islam yang lain.

Saya pun tidak resah bila di dalam tubuh kebangkitan Islam terdapat pelbagai madrasah, kelompok, atau jemaah, yang masing-masing mempunyai manhaj yang tersindiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi, sesuai dengan sasaran, skala prioriti dan tahapan mereka.

Saya tidak termasuk orang-orang yang bermimpi menginginkan dan menyerukan kepada satu jemaah atau satu gerakan Islam yang akan menghimpun semua aktivis Islam dalam satu sistem dan di bawah satu pimpinan. Terlalu banyak masalah yang merintanginya di samping impian yang memang tidak kena pada tempatnya."

(Fiqh Ikhtilaf, Mukaddimah, m/s 10)

Tiada masalah pelbagai jemaah yang ada. Semuanya menyeru kepada kebaikan. Kita buat yang terbaik, dan biarkan mereka berbuat sesuai dengan keyakinan mereka. Yang kita lihat mereka silap, tegur. Cukup. Kalau mereka tidak mahu berubah, kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita untuk menegur. Jadilah seperti doktor yang menyintai para pesakitnya. Bayangkan sekarang ini dunia terkena wabak dan semua doktor perlu bekerjasama untuk membantu para pesakitnya. bayangkan pula jika para doktor ini sibuk bergaduh melarang para pesakitnya untuk datang ke klinik dan hospital doktor lain. Padahal pesakit yang tenat masih ramai di luar sana? Mengapa berebut pesakit yang sedikit ini? Cari dan ubati pesakit-pesakit yang masih tenat. Dan kalau pesakit kita mencari doktor lain, biarkan. Berbahagialah kerana mereka akan diubati oleh doktor-doktor yang lain. Yakinlah, dunia ini akan berubah jika semua da'inya bersikap seperti doktor ini."

"Ana rasa ana tersilap selama ni. Ana tersilap dalam memandang cara persaingan dengan jemaah yang lain. Memang betul, kalau mereka tidak ditarbiyah oleh kita, mereka akan ditarbiyah oleh orang lain. Kita pun bukan mampu tarbiyah mereka semua. Jangan nanti mereka tidak ditarbiyah langsung sudahlah. Jadi apa perlu ana buat sekarang akh?"



"Ana sarankan antum cuba minta maaf daripada Meor tu. Dan buat yang lain, ana minta sampaikan juga pemahaman ini kepada saudara-saudara kita yang lain. Semoga dakwah kita lebih berkah, insya-Allah"

Ungkapan Insya-Allah bergema di ruangan itu. Ahli halaqoh yang lain semakin faham dengan masalah perbezaan pendapat.
Berbeza bukan bermakna bermusuh. Berbeza bukan bermakna berpecah. Berbeza itu menunjukkan keindahan ciptaan Allah. Berbeza cara namun menuju ke jalan yang sama, REDHA ILAHI. Itulah dia kesatuan ummah. Bersatu di bawah naungan tauhid dan akidah yang sama.

Cinta Tarbiyah dan Dakwah!

~End Of Post~


0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^