Tazkirah : Connection Problem

Adalah saya menyepi dan menyendiri genap seminggu .
Sepekan berlalu dan Shoutul Ikhwah terus kelu.
Sedikit yang bertanya dan ramai yang membisu.
Walaupun tiada yang kisah saya tetap ingin memberitahu.
Hakikatnya iman yang turun naik itu.
Mempengaruhi sikap, semangat dan tingkahlaku.

Saya menghadapi 1 minggu yang agak sukar.
Sehingga tidak mampu untuk menulis serta berkongsi sesuatu yang baru.
Masalah apa yang sukarnya itu?
Masalah itu adalah Connection Problem



Connection

Connection is a relationship in which a person or thing is linked or associated with something else. (Oxford Dictionary)

Kalau Hilal Asyraf senyap hampir seminggu kerana masalah hubungan internet, saya pula tiap-tiap hari online tetapi ada masalah connection juga. Connection atau hubungan yang saya maksudkan adalah hubungan yang paling tinggi dan agung sekali dalam hidup kita. Hubungan dengan Maha Pencipta. Connection With The Creator.

Masalah Hubungan Internet (Internet Connection Problem)

Apabila internet ada masalah hubungan, talian menjadi tersangkut-sangkut. Tanpa disedari hubungan akan terputus. Antara masalah terbesar buat mereka yang terlibat dengan Halaqoh-Online. Ketika murobbi sedang menyampaikan pengisian dengan penuh bersemangat, tiba-tiba barulah disedari bahawa dia telah 'syok sendiri' selama 5 minit. Tiba-tiba anak halaqoh kata, "Afwan akh, putus tadi. Tolong ulang semula." Lalu murobbi dengan nada sedikit kecewa bertanya, "Antum semua dah dengar sampai mana?"

Ketika sedang memuat turun pengisian serta ceramah-ceramah di 4Shared atau Youtube, disangkanya proses muat turun telah selesai, rupa-rupanya terputus di tengah jalan. Terpaksa seluruh proses diulangi dari mula. Masa terbazir.

Itu masalah dengan internet. Kita tidak dapat berbuat banyak untuk memperbaikinya dengan keterbatasan kewangan dan masa.


Masalah Hubungan Makhluk dengan Maha Pencipta (The Creation & The Creator Connection Problem)

Masalah hubungan dengan Maha Pencipta ataupun Tuhan ini jauh lebih berbahaya. Walaupun ramai orang sekarang kurang memerhatikannya. Apabila seseorang itu terputus hubungannya dengan Tuhan, atau sebagai Muslim terputus hubungannya dengan Allah SWT, maka hidupnya akan huru-hara serta kucar-kacir. Walaupun pada zahirnya dia kelihatan gembira. Namun dia bukannya bahagia. Zahirnya hati kelihatan bersuka-ria namun hatinya penuh sengsara.

Apabila manusia terputus hubungan dengan Allah:

  • Sesuka hatinya hidup tanpa panduan daripada Allah.
  • Sesuka hatinya bermaksiat tanpa teringat balasan siksa daripada Allah.
  • Sesuka hatinya meninggalkan tanggungjawab tanpa menyedari semuanya akan dipertanggungjawabkan kelak oleh Allah.
  • Sesuka hatinya ajakan nafsu dipenuhi dengan melupakan kepedihan api neraka yang disediakan oleh Allah.

Semuanya akan sesuka hatinya dilakukan. Perkara ini berlaku kerana manusia itu sendiri yang menjauhi Allah. Mereka melupakan Allah. Berbeza dengan masalah perhubungan dengan talian internet, kita kurang kemampuan mengendalikannya. Namun masalah hubungan dengan Allah, kita adalah penentu hala tuju kita sendiri.



Pernahkah Berhubung?

Mari muhasabah. Berapa kali kita solat dengan solat yang sebenar-benarnya? Berapa kali ketika kita solat sebenarnya kita benar-benar berhubung dengan Allah SWT. Kita mengharap solat kita diterima. Pernahkah kita mengharap Allah meredhai hidup kita di muka bumi ini dengan solat yang kita lakukan? Atau selama ini solat kita hanya asal solat, di akhir waktu tiada masalah, tertinggal tidak pernah kisah, apatah lagi berfikir solat itu ditunaikan untuk Allah semata. Kebanyakan solat yang dilakukan sekarang hanya melepas batuk ditangga, menjadi adat dan kebiasaan. Sehingga solat tidak mampu mengawal jiwa dan tingkahlaku daripada perbuatan keji dan mungkar.

Berdoa selepas solat, pernahkah kita memahami apa yang kita pinta? Atau sekadar membaca bait-bait ayat yang indah tanpa meresapi maknanya dalam jiwa? Wirid Al-Ma'thurat yang dibaca pagi dan petang, apakah sekadar hiasan bibir ataupun menjadi penguat jiwa serta pelindung diri? Al-Quran yang dibaca, sejauh mana ia mendidik peribadi?

"Kita banyak buat amal tapi tak ada kesan. Sebab itulah ana kurangkan bacaan Al-Quran. Baca banyak-banyak selama ini tak dapat apa-apa makna. Ana nak baca sedikit, tetapi ada ruh."

Maaf, punca masalah banyaknya amalan kita tidak mendatangkan apa-apa kesan bukanlah kerana kuantiti ibadah yang dilakukan. Masalah kualiti yang ada itu adalah masalah bagaimana kita memaknai ibadah-ibadah yang dilakukan. Masalah kita selama ini adalah kita tidak pernah berhubung dengan Allah. Kita berbuat ibadah tidak murni untuk mendapatkan redha Allah. Sebab itulah ibadah kita tidak terasa nikmatnya.


Kesimpulan : Pegang Kendali Hidupmu, Berhubunglah Dengan Tuhanmu

Hubungan dengan Allah itu atas usaha kita. Allah tidak akan ubah keadaan kita selagi kita tidak mengubah keadaan kita sendri, [Q.S. 13:11]. Berhentilah daripada terus berada dalam kondisi yang tidak menjamin apa-apa kebahagian ini. Segeralah mencari sesuatu yang sudah jelas keindahan serta ganjarannya.

Antara penanda masalah hubungan dengan Allah adalah hambarnya ibadah-ibadah yang dilakukan. Tatkala gejala-gejala ini mula dirasai, segera berkata-kata dengan Allah, "Ya-Allah, tetapkan hatiku untuk sentiasa mengabdi kepada-Mu dan mentaati segala perintah-Mu. Jadikanlah seluruh hidup dan matiku untuk mencintai diri-Mu. Jangan biarkan aku menjauhi-Mu ya-Allah!"

Ayuh! Baiki hubungan dengan Allah!


p/s: Terus doakan saya. Sedang cuba menstabilkan jiwa dan raga. Masalah kecenderungan peribadi Sangunis saya yang mudah terpengaruh oleh keadaan amat-amat mendominasi. Semoga Allah berkenan mengampuni segala kelalaian serta ketelanjuran saya selama seminggu. Buat para pembaca, maaf juga kerana tidak melaksanakan tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah. Sekali lagi, teruskan doa-doa anda yang mulia. Semoga Allah redha dengan kita.

~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^