Cerpen : Yakin Kepada-Nya

Cerpen Lagi
Bacalah, moga ada manfaatnya.
Diolah daripada kisah benar.
Selamat membaca.

Terimalah:

Yakin Kepada-Nya



"Mak Ngah nak tanya, boleh?"

Suara Mak Ngah tiba-tiba memecah suasana. Aku yang sedari tadi sibuk membaca majalah Solusi mengalih perhatian kepadanya.

"Ya Mak Ngah, kenapa?"

"Mak Ngah dengar kau nak kahwin, betul?"

"Haah, Pak Lang pun dengar, betul ke?" Pak Lang yang berada di kerusi bersebelahan Mak Ngah pula mencelah.

'Eh, semua orang dah tahu ke ni? Ummi betul-betul tak boleh simpan rahsia.' Minggu lepas baru sahaja aku menyuarakan kembali keinginan untuk menikahku kepada ummi. Permohonan yang entah kali ke berapa. Yang aku tahu, aku sudah mula memohon sejak tahun 1 di universiti. Dan tidak kusangka kali ini jawapannya,

“Baiklah. Minggu depan kamu balik untuk jamuan raya di rumah nenek kan? Bawa sekali biodata dia.”

“Jadi, ummi dah bersetujulah ni?”

“Ye.”

“Ummi betul-betul ke main-main ni?”

“Pernah ke ummi main-main?”

Aku memandang kepada saudara-mara yang berada di ruang tamu rumah opah. Kelihatan hampir semua mata yang berada di ruangan itu tertumpu ke arahku. Aku cuma terdiam.

“Ummi beritahu ke?”

Aku menjawab kembali dengan persoalan.

“Jadi betullah kamu nak kahwin ni? Mak Ngah nak tanya, kenapa? Apa isunya ni? Tiba-tiba sahaja.”

“Panjang nak cerita ni. Apa kata biar semua orang dengar? Panggilah semua orang.”

Lalu Mak Ngah menyuruh anak-anaknya mengumpulkan kesemua pakcik dan makcik yang hadir. Ruangan itu semakin memenuh. Ada yang tidak tahu menahu hujung pangkal kelihatan tertanya-tanya. Pak Long, Mak Ngah, Pak Lang, Mak Teh, Mak Cik, Pak Uda dan Pak Su serta pasangan masing-masing semuanya ada. Semuanya berkumpul dalam bulatan dan memandang ke arahku.

“Jadi Mak Ngah ulang. Betulkah kamu nak kahwin ni?”

Tak kusangka majlis jamuan hari raya di rumah nenek ini akan bertukar menjadi majlis ‘perbicaraan’. Macam di mahkamah sahaja. Mak Ngah jadi hakim, pakcik dan makcik saudara yanglain menjadi juri. Tidak dilupa juga, sepupu-sepupu yang lain mejadi hadirin-hadirin pemerhati yang membantu ‘memeriahkan’ suasana.

Aku menganggku perlahan. ‘Ya-Allah, bantulah aku menghadapi semua ini.’

“Tak ada angin, tak ada ribut, takkanlah pokok bergoyang, kan? Jadi Mak Ngah nak tanya, kenapa kamu tiba-tiba nak kahwin ni? Apa isunya? Ada apa-apa yang dah berlaku ke?”

Lalu aku mengeluarkan Al-Quran kecilku daripada saku baju melayu. Surah An-Nuur ayat ke-32 menjadi tujuanku. Aku menatap ayat itu seketika, lalu aku kembali menyimpannya ke dalam saku.

Bismillahirrohmanirrohim. Innalhamdulillah, nahmaduhu, wa nast’inuhu, wa nastaghfiruh. Wa na’uzubillah min syururi a’daina wa min sayyiaatina...” Aku memulakan sesi ‘perbicaraan’ seperti memulakan sesi tazkirah-tazkirahku, dengan pembukaan majlis. Lalu kubacakan ayat ke-32 daripada surah An-Nuur itu tadi, tanpa melihat teks.

“Ayat yang saya bacakan tadi adalah daripada Surah An-Nuur, surah ke 24, ayat yang ke 32. Maksudnya:

Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
[A-Nuur, 24:32]

“Ayat ini menceritakan tentang anjuran berkahwin oleh Allah SWT. Betul, saya memang mahu berkahwin. Dan sebenarnya dah lama, cuma baru sekarang Ummi dan Abi bersetuju.”

Aku menghela nafas. Kelihatan semua mata hanya tertumpu kepadaku. Dadaku berdebar-debar.

“Saya mengambil keputusan untuk menikah, kerana seperti yang kita semua tahu, gejala sosial yang dihadapi kita sekarang ini, masyarakat yang semakin runtuh akhlaknya, menyebabkan saya semakin sukar untuk menjaga hati dan keimanan. Semakin sukar nak menjaga diri.

“Hari-hari di universiti nampak orang buat maksiat, bukak internet pun ada banyak iklan-iklan yang tak senonoh, cerita-cerita di televisyen pun mempromosikan maksiat tanpa segan silu. Semua ini membuatkan hati dan keimanan saya semakin tidak terjaga. Dan penyelesaiannya adalah dengan pernikahan. Kerana sabda Nabi Muhammad SAW,

Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu yang telah mencapai ba’ah (sanggup memikul tanggungjawab berumah tangga), maka bernikahlah! Kerana pernikahan itu dapat menudukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Barangsiapa yag belum sanggup, hendaklah dia berpuasa, kerana berpuasa itu dapat menundukkan nafsu berahi
(H.R. Muslim)

“Kamu kan masih belajar. Macam mana nak kahwin? Mana nak cari duit?”

“Soal kewangan, insya-Allah saya bersedia. Saya ada simpanan dalam 4 ribu lebih. Bolehlah buat majlis yang sederhana. Untuk sara kehidupan lepas nikah, ada duit biasiswa RM500 sebulan, cukuplah untuk hidup sederhana. Saya juga ada buat bisnes jual Al-Quran dan majalah.”

“Mana cukup duit kamu tu. Dah kahwin nanti banyak nak pakai duit. Tak cukup. Kamu nak hidup miskin ke?”

“Itu memang apa yang ramai orang fikir. Takut nak kahwin sebab takut tak cukup duit, takut miskin. Saya yakin dengan janji Allah. Dalam ayat tadi, Allah kata Dia akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Insya-Allah semuanya akan cukup. Dan bukan saya sahaja yang yakin dengan ayat ini. Khalifah Umar Al-Khattab pun berkata dengan nada yang sama.

"Aku tidak dapat membayangkan jika ada orang yang tidak mahu bernikah dengan alasan takut miskin. Sedangkan Allah telah berjanji untuk membuatkan mereka kaya dengan pernikahan!"


“Pak Lang dan Mak Cik pasti lebih faham tentang hadis-hadis dan ayat yang saya sebutkan tadi, bukan?” Sengaja aku bertanya kepada Pak Lang dan Mak Cik. Pak Lang lulusan syariah di Mesir dan Mak Cik pula lulusan syariah di Jordan. Pasti mereka lebih memahami mengenainya.

“Kamu jangan main yakin sahaja. Perkahwinan bukan hal yang mudah. Mak Ngah dulu walaupun dah bekerja, masih banyak yang tak cukup. Nak beli barang-barang rumah, kereta banyak lagi. Nanti bila dah ada anak, lagi susah.”

‘Mak Ngah ni kenapa banyak sangat tanyanya? Macam anak dia yang nak kahwin. Ummi dah benarkan, di pula banyak tanya. Astaghfirullah, sabar..sabar..’

“Terima kasih kerana berkongsi tentang masalah yang Mak Ngah pernah hadapi. Insya-Allah saya akan bersedia menghadapinya. Macam saya cakap tadi, saya akan bersedia untuk hidup sederhana dan saya yakin, pertolongan Allah pasti ada. Kerana saya nak menikah untuk memelihara diri saya, kerana-Nya.”

Tiba-tiba nenek pun masuki ruangan itu.

‘Nenek! Alamak, macam mana nak hadapi semua ni? Ya-Allah, permudahkanlah urusan hamba-Mu ini.’

“Kenapa ramai-ramai berkumpul ni? Bincang apa?” Nenek bersuara.

“Dia ni, dah nak menikah dah mak. Belajar lagi.”

“Nak kahwin? Kan bagus tu. Aku dulu pun nikah muda. Elok je kau semua aku besarkan.”

‘Nenek sokong aku. Cayalah nenek!’

“Zaman dulu dan sekarang lainlah mak. Zaman mak dulu mudah.”

“Mak Ngah, boleh saya tanya? Kenapa Mak Ngah macam tak setuju je saya nak bernikah? Ada apa-apa ke?” Aku menyampuk. Dalam hati memang dah panas. Tetapi bersabar tetap menjadi pegangan.

“Kamu nak menikah ni, dengan siapa? Dah ada calon?” Pak Lang pula bersuara.

“Alhamdulillah, ada. Sama universiti.”

“Berapa lama bercinta?” Sampuk Pak Ngah, suami Mak Ngah.

“Saya tak pernah bercinta dengan dia. Saya cuma kenal dia sebagai orang yang sama-sama menggerakkan usrah di universiti kami. Saya beritahu naqib saya yang saya dah boleh menikah, ummi dan abi dah benarkan, lalu majlis ta’aaruf untuk kami diaturkan. Di situ kami mula saling mengenal.”

“Tak pernah bercinta? Habis, macam mana kamu nak tahu dia tu sesuai untuk kamu ke tidak?” Pak Long pula menyampuk.

Suasana semakin hangat. Lebih hangat lagi dengan nada-nada yang sudah tidak teratur ketinggiannya. Aku sedaya-upaya mengawal perasaan. Sepupu-sepupu yang lain juga turut terkejut. Pasti mereka tidak pernah mendengar apa yang aku cuba jelaskan.

“Dalam Islam, memang tiada disyariatkan untuk bercinta sebelum pernikahan. Kerana ia merupakan jalan untuk mendekati zina. Sebab itu saya tidak bercinta. Soal sesuai atau tidak, saya yakin dia adalah orang yang baik. Dia dipilih oleh naqib saya. Dia pula orang yang ditarbiyah untuk memelihara diri dan memelihara hak-hak Allah. Sama seperti saya.

“Saya berusaha untuk mejaga diri dan menjadi lelaki yang soleh dan mendalami Islam untuk mencari redha Allah. Dan saya yakin Allah akan jodohkan saya dengan orang juga sama-sama hendak menjaga diri dan menjadi wanita yang solehah. Sebab itulah yang Allah firmankan,

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[An-Nuur, 24:26]

“Saya yakin dengan janji Allah,” Aku menjawab yakin.

‘Ya-Allah, aku serahkan semuanya kepada-Mu.’

Kelihatan saudara-mara yang lain hanya terdiam dengan jawapanku. Entah apa yang difikirkan oleh mereka.

Mak Ngah hanya terdiam. Seketika kemudian dia memandang kepada Pak Ngah dan kemudian kepada Ummi di sudut ruangan. Ummi pula mengangguk.

‘Apa semua ini?’

“Sebenarnya Mak Ngah nak ‘test’ kamu je. Nak tengok kamu ni bersedia atau tidak. Mak Ngah setuju je kalau kamu nak menikah. Asalkan kamu jaga tanggungjawab-tanggungjawab kamu. Tapi Mak Ngah masih tak percaya yang kamu memang nak menikah.”

“Pak Ngah pun setuju. Menikahlah, Pak Ngah sokong.”

Riuh rendah suasana ruangan itu. Ada yang mngucapkan tahniah kepadaku. Ada yang hanya tersenyum. Ada juga yang hanya terdiam. Mungkin masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Aku juga masih tidak percaya. Namun aku yakin akan sesuatu.

Mereka yang yakin kepada-Nya pasti tidak akan kecewa.




~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^