"Mengapa ana rasa sukar untuk beri tazkirah ye? Dulu kalau ana nak bagi tazkirah, tak perlu bersedia banyak pun. Cakap je apa yang terlintas di fikiran."
"Kalau sekarang, macam mana pula?"
"Kalau sekarang, ana selalu tersangkut-sangkut dalam bercakap. Apa yang ana sampaikan selalu tak bertenaga, dan ana tak yakin dengan penyampaian ana."
"Ana tak dapat nak bantu banyak akh. Cuma yang ana boleh sampaikan, cuba tinjau kembali bagaimana hubungan antum dengan Allah. Mutaba'ah antum. Kualiti ibadah antum serta kuantitinya. Kuatnya kita adalah apabila kita dekat dengan-Nya. Kerana Dialah pemilik segala kekuatan."
"......"
Perbualan kelmarin kembali terlintas di fikiran. Saya baru pulang dari halaqoh. Zaujah tercinta sedang bertahajjud. Suara merdunya mengalunkan bacaan Al-Quran semakin mengisi jiwa. Sementara menunggu waktu untuk saya pula bertahajjud, saya ingin kembali mencoret di Shoutul Ikhwah yang sekian lama ditinggalkan ini.
Kelemahan Itu MunculSaya masih tercari-cari apakah puncanya. Sejak menikah hingga ke saat ini, kuantiti serta kualiti ibadah saya tidak lagi sebaik dahulu. Bahkan boleh dikatakan merosot dengan agak teruk. Antara yang menyedarinya adalah ikhwah sehalaqoh saya sendiri.
"Akh, ana tengok mutabaah antum ni, ana dah risau. Selalunya antum jauh lebih baik daripada ini."
Dia merujuk kepada kuantiti bacaan Al-Quran saya. Cukup-cukup makan untuk lulus sahaja. Saya hanya menjawab pendek: "Sibuk sikit urus masalah pernikahan."
Dan itulah kali terakhir dia menyuarakannya. Bukan kerana keadaan saya kembali pulih. Tetapi kerana hampir setiap minggu kemudiannya keadaan saya sama, tiada peningkatan malah sering gagal.
Pernikahan sepatutnya meningkatkan kualiti keimanan. Dan hasilnya kualiti dan kuantiti ibadah sepatutnya meningkat. Tetapi ini lain jadinya. Malah kemahiran berdakwah saya pun dirasakan tidak seperti dahulu. Saya buntu. Dan kata-kata ikhwah itu kembali terlintas di fikiran,
"Kuatnya kita adalah apabila kita dekat dengan-Nya. Kerana Dialah pemilik segala kekuatan."
Mencari PuncaKata-kata para da'i awal dahulu,
"Futur itu terjadi disebabkan langkah mulanya tidak benar."
Saya kembali menelusuri susur galur perjalanan saya. Di manakah silapnya. Hari demi hari terus berlalu, namun saya masih belum ketemu jawapannya. Pada masa yang sama, kesibukan kuliah dan kerja dakwah yang menimbun menyebabkan tumpuan untuk memuhasabah diri tidak terlaksana dengan baik.
Sehingga suatu ketika, simpanan memori M2 K800i hampir saya penuh. Saya membuka folder music untuk memadam fail-fail lagu yang tidak diperlukan. Lalu terlihatlah saya kepada fail bertajuk 'Tazkirah Atifah'.
Kenangan malam kedua bersama isteri tercinta kembali bertamu.
"Ukhti, sebelum berhenti makan di kedai ni, boleh bagi tazkirah dulu?"
Ketika itu saya masih memanggilnya 'Ukhti'.
"Kenapa ana dulu, antum?"
"Nti kan dah selalu dengar tazkirah ana." Kata saya sambil tersenyum.
Dan suasana malam itu berlalu dengan tazkirah daripada isteri yang tercinta. Dan antara bait tazkirahnya yang kembali menyedarkan saya,
"Kita menikah di jalan dakwah. Di Jalan Dakwah Aku Menikah. Bermakna kita bernikah ini adalah untuk semakin dekat dengan Allah, semakin menunaikan hak-hakNya dan memperjuangkan agamaNya. Diharapnya bukanlah menjadi Di Jalan Nikah Aku Berdakwah. Nikah yang menjadi prioriti. Bukan dakwah. Tugas utama kita masih berdakwah. Adapun dengan bernikah, ia hanya sebagai sebuah perhentian, untuk kita saling memperkuat dan memperkukuhkan kekuatan demi mencari redha-Nya."
Redha-Nya"...demi mencari redha-Nya."
Saya bermuhasabah. Di manakah silapnya. Dan titiknya seakan-akan mula kelihatan. Nikah itu bukan akhir perjuangan. Nikah itu hanya sebuah permulaan. Menuju ke medan perjuangan yang jauh lebih mencabar. Demi meraih redha-Nya.
Mungkin langkah saya pincang. Memang redha Allah menjadi destinasi, tetapi mungkin sedikit tersilap dalam meletakkan hanya dengan nikah, redha Allah itu telah tercapai. Sehingga usaha yang gigih demi memelihara keimanan itu tidak lagi segencar dahulu.
Lebih banyak santai daripada berusaha.
Lebih banyak berehat daripada berkerja.
Lebih banyak senda daripada rencana.
KembaliSaya perlu kembali. Kembali bangkit dan kembali berprestasi. Umat sedang menunggu. Kepincangan niat itu biasa. Namun terus berada dalam kepincangan itu yang binasa. Perubahan itu perlu dibina, dan Allah tidak akan mengubah selagi kita tidak mengubahnya.
Dan itulah antara sebab mengapa blog ini seaakan-akan saya biarkan bersawang. Kerana saya tidak sanggup untuk menyampaikan dalam keadaan yang tidak stabil. Namun sampai bila ia perlu diteruskan? Lalu jemari ini kembali ditarikan. Untuk meraih secebis kekuatan.
Mohon didoakan diri ini.
Saya ingin perbaiki keadaan ini.
Dan saya pasti ia masih boleh diperbaiki.
Kerana hidup ini masih berbaki.
0 comments:
welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^