Perkongsian: Bersih

Hari ini saya ingin cerita tentang bersih.
Bila sebut tentang bersih, mungkin kita akan tergambarkan orang ramai berkumpul dengan pakaian berwarna kuning.
Namun saya ingin berbicara bukan tentang itu, tetapi sesuatu yang jauh lebih penting.

Khutbah Jumaat tadi berbicara sekitar tema kebersihan.

“Sebagai seorang Muslim, kita perlulah menjaga kebersihan diri kita.”

“Kebersihan pakaian dan tempat ibadah dapat menjamin ibadah yang lebih tenang dan khusyuk.”

“Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang berbicara tentang kebersihan. Ini menunjukkan Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan kebersihan.”

Saya mengakui kebersihan pakaian, tempat tinggal, tempat ibadah, pemakanan dan diri adalah amat penting. Namun saya lebih suka untuk membahaskan bersih ini melalui sudut yang sedikit berbeza.



Kebersihan Fizikal

“Jagalah kebersihan alam sekitar. Hapuskan pencemaran.”

“Sayangi udara kita. Jangan cemari udara dengan asap kenderaan.”

Dan pelbagai lagi slogan-slogan para pencinta dan pejuang yang menegakkan hak-hak alam sekitar. Mereka bahkan melakukan demonstrasi agar ramai orang sedar akan pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar. Mereka sangat perihatin apabila berlakunya pencemaran alam sekitar. Sungai yang tercemar, udara yang kotor, bahkan pencemaran bunyi juga diambil kira.

Namun semua itu adalah kekotoran atau pencemaran fizikal. Sesuatu yang terlihat dan kebersihannya boleh diukur dan boleh dibersihkan kerana jelas terlihat di depan mata.

Bahkan negara-negara bukan Islam jauh lebih terkehadapan dalam melaksanakan seruan kebersihan ini.


Kebersihan Rohani

“Jagalah kebersihan iman. Hapuskan pencemaran iman.”

“Jangan biarkan hati anda lalai daripada mengingat Allah. Hati yang lalai akan mudah bermaksiat.”

“Maksiat akan menncemarkan iman. Setiap perbuatan akan mengotorkan hati.”

Pernah dengar orang berdemonstrasi dan berslogan seperti di atas? Mungkin tidak pernah. Padahal pencemaran iman adalah perkara yang paling kritikal yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Kesan-kesannya cukup jelas. Pembuangan bayi yang berleluasa, sehingga kadar pembuangan mencecah 6 orang bayi setiap jam. Kes perpecahan rumah tangga yang mencatatkan perceraian secepat 15 minit satu perceraian.



Kebersihan Fizikal VS Kebersihan Rohani

Kotor di lantai, nampak bentuknya. Kotor di hati, siapa yang tahu?
Kotor di lantai boleh disapu, kotor di hati selamanya di situ.

Baju atau badan yang terkena najis, masih boleh dibersihkan. Hatta najis mughallazah sekalipun, ada cara untuk membersihkannya.

Namun bayangkan mata yang telah melihat sesuatu yang haram, tangan yang telah menyentuh sesuatu yang haram, lidah yang telah menyakiti hati manusia-manusia lain. Semua ini tidak terlihat dan sukar untuk dibersihkan. Walaupun istighfar telah dilantunkan, tetap sahaja mata kita telah tercemar. Tangan kita tetap pernah menyentuh perkara yang haram. Begitu juga anggota-anggota lainnya.

Bahkan, bahayanya jauh meninggalkan kekotoran fizikal. Kekotoran fizikal boleh dibersihkan di dunia. Namun, kekotoran rohani yang tidak sempat dibersihkan di akhirat kelak. Di neraka Allah SWT.

(Bukan demikian), yang benar: barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:81]


Kelalaian adalah Punca

Pencemaran iman akan berlaku, apabila hati kita semakin jauh daripada mengingat Allah. Kerana apabila hati lalai daripada mengingat Allah, ia akan mudah terpengaruh dengan syaitan. Sehingga maksiat dilakukan tanpa segan-silu, kerana merasakan Allah sudah tidak punya nilai dalam hidupnya.

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.
[Q.S. Al-Mujaadilah, 59:18]

Musuh-musuh Islam sangat ingin agar umat Islam terus terlalai dan tidur. Mereka tidak mahu kita terjaga serta menyedari yang kita pernah mempunyai kekuatan yang amat hebat pada masa lalu. Umat Islam yang amat digeruni di medan perang, tidak takut mati dan sentiasa merindukan syahid.



Iman Kita Dicemari

Mereka mencemarkan iman kita dengan melalaikan kita dengan pelbagai cara.

Dengan mula berjinak-jinak dengan melalaikan diri dengan permainan-permainan komputer. Seterusnya kita terasyikkan dengan filem-filem animasi dan cinta sehingga merasakan babak-babak intim merupakan perkara biasa, sehigga ramai yang akhirnya terjebak dengan pornografi. Seterusnya lahirlah masyarakat yang jauh daripada Allah, hidup dengan maksiat bahkan mencintainya.

Sehingga mereka semakin lupa akan Al-Quran. Tidak pernah sempat membaca dan memahaminya. Sehingga mereka memang sangat mudah dipengaruhi oleh syaitan.

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
[Q.S. Az-Zukhruf, 43:36]



Kesimpulan

Indikator pencemar iman yang jelas adalah apa sahaja yang boleh membuatkan diri kita melupakan Allah. Hati yang lalai, mudah untuk bermaksiat. Kerana bagi mereka, akhirat sudah tidak punya makna. Ingatlah Allah telah berfirman,

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?
[Q.S. Al-Anaam, 6:32]

Sempena minggu peperiksaan yang banyak dihadapi oleh kebanyakan pelajar IPT, pastikan kebersihan iman tetap dijaga. Jangan cuma mengejar Dean’s List, sehingga terlupa mengejar Allah’s List.


Bersihkan fizikal, bersihkan rohani.
Selamat Berjuang.


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^