Luahan: Muka Kolah & Mangkuk Tandas

Masa di SMAPL dulu, ada seorang ustaz. Dia suka berceramah antara Maghrib dan Isyak. Namanya Ustaz Zakaria. Dia memang suka bercerita. Salah satu ceritanya dalah tentang kawannya yang digelar Koja.

“Saya dulu sekolah asrama juga. Waktu solat semua wajib berjemaah, macam kamu semua. Tapi kami tak ada yang lambat. Takbir pertama dengan imam, salam dengan imam. Cuma ada seorang sahaja kawan kami yang akan lambat, Si Koja.”

“Kenapa Ustaz?”

“Sebab dia ambil wuduk lama, basah habis baju. Kalau orang pertama kali jumpa dia mesti fikir, eh, dia ni baru mandi ke?”

Ceritanya disambut gelak ketawa kami beramai-ramai.

Cerita Si Koja kembali ke fikiran saya baru-baru ini. Kerana saya resah memikirkan tentang sebuah masalah. Was-was.


Saya bertemu dengan ramai orang yang menghidap penyakit ini. Setiap kali bertemu dengan mereka, saya akan teringat dengan cerita Ustaz Zakaria tentang kawannya, Si Koja.

Kes Pertama: Wudhuk

Di tepi kolah di sebuah masjid. Seorang lelaki menceduk tangannya ke dalam kolah dan menadahnya di hadapan muka. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Tiba-tiba dia menuangkan kembali air yang ditadahnya itu sambil berkata, “Musta’mal! Musta’mal!”

Begitulah berkali-kali sehingga selesai berwudhuk.

Saya tidak tahu dari mana mereka belajar, tetapi yang saya tahu Rasulullah SAW buat macam ini:

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz sewaktu menerangkan cara wudhuk Rasulullah SAW katanya,
“Dan disapunya kepalanya dengan sisa wudhuk yang terdapat pada kedua tangannya.”

Air musta’mal yang dirisaukan selama ini, sebenarnya boleh diguna untuk berwudhuk!

Imam Bukhari berkata,
“Ahli-ahli imu tidak menyukai bila dalam memakai air wudhuk itu melebihi batas yang digunakan oleh Rasulullah SAW."

Kes Kedua: Mandi Wajib


Izzat telah mimpi basah malam tadi. Dia bangun untuk mandi junub pada jam 4 pagi. Jam 6.50 pagi baru dia selesai mandi! Kerana merisaukan ada bahagian badan yang tidak terkena air. Air tangki rumah habis hanya untuk dia seorang.

Ini lagi satu kes. Entah dari mana juga dia belajar perlu guna banyak-banyak air untuk mandi wajib. Mari dengar beberapa hadis.

Daripada Anas RA,
“Nabi biasa mandi dengan memakai satu sha’ (gantang) sampai lima mud (cupak) air, dan berwudhuk dengan satu mud.”

1 sha’ = 1 gantang = 2.75 liter
1 mud = 1 cupak = 0.7 liter

Daripada Ubaidillah bin Abi Yazid,
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Abbas RA,
“Berapa cukup air bagiku untuk berwudhuk?”
“Satu mud,” ujarnya. Dan untuk mandi?” Tanyanya lagi. “Satu Sha’,” ujarnya.
“Ah, tidak cukup untukku,” kata lelaki itu pula.
“Celakalah engkau, bahkan itu cukup bagi orang yang lebih baik daripadamu, yakni Rasulullah SAW.”
[H.R. Ahmad dan Thabrani dengan sanad terpercaya]

Hah, Rasulullah sahaja mandi menggunakan 2.75 liter air. Tak sampai 2 botol air mineral besar pun. Mengapa kita sibuk menyusahkan diri dengan mengatakan bilasan tak sah, bilasan tak sempurna dan lain-lain? Adakah kita lebih pandai berbanding Rasulullah SAW?

Kes Ketiga: Perasan Kotor

Ketika selesai solat fardhu maghrib di masjid kawasan saya, seorang pakcik menegur saya.
“Kamu orang sini?”
“Ya, saya tinggal di sini. Kenapa pakcik?”
“Kamu ini bagus, solat di masjid. Tapi lain kali pakai kain. Jangan pakai seluar. Tengok pakcik, pakai kain.”
Saya hanya mendiamkan diri. Pakcik itu dengan bersemangatnya menyambung.
“Kamu tadi mesti ada pergi tandas, kan? Lepas kamu kencing kamu simbah air, betul? Air tu dah menyebar habis kena seluar kamu sebenarnya, tapi kamu tak nampak.” Dia bercerita sambil menggerakkan tangannya menggambarkan air tersebar. Lalu menyambung,
“Jadi kamu solat ke tidak tadi?”
Saya hanya mendiamkan diri.
“Kamu tak solat sebenarnya! Kesian kamu, rajin solat, tapi tak sah. Lain kali buat macam pakcik, pakai kain.”

Dalam hati saya memang tak sabar nak jawab,
“Oh, habis tu, pakcik tak tukar baju sekali ke? Mandilah sekali. Bila air tu menyebar, sebenarnya habis satu bilik air tu air kencing terbang. Sampai kepala-kepala sekali. Kalau tak mandi, sebenarnya selama ini pakcik solat memang tak sah.”

Tapi itu dalam hati sahaja. Orang tua perlu dihormati. Tapi baru hendak saya jelaskan baik-baik, dia sudah bangkit.

Saya memang geram dengan pemahaman-pemahaman seperti ini, kerana saya jumpa sendiri dengan orang sudah terpengaruh. Dulu, setiap kali waktu solat, dia akan solat di akhir waktu. Kerana perlu mandi dahulu. Alasannya kencingnya tak bersih. Tidak cukup dengan itu, perkara pertama yang dilakukannya adalah membasuh dinding bilik air dan menuang habis air takungan! Dan orang itu adalah adik saya!

Benarlah sabda Rasulullah SAW,

Daripada Ibnu Mughaffal RA,
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Nanti akan muncul dalam kalangan umat ini satu golongan yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.”
[H.R. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah]

Berlebih-lebihan.

Punca

Berpunca daripada merasa diri lebih pandai daripada Rasulullah. Buku fiqh tak pernah baca, main percaya sahaja apa orang kata. Lebih teruk, memandai-mandai meletak peraturan-peraturan sendiri. Kalau sendiri susah tak apa, tetapi menyusahkan hidup orang lain.

Kita tidak dituntut untuk mencari-cari najis yang tidak terlihat. Jika ada air yang terpercik pada pakaian, dan kita tidak tahu apakah ia adalah najis atau bukan, biarkan sahaja. Kalau ragu-ragu, hilangkan dengan merenjisnya dengan sedikit air. Sehingga kita meyakini ia adalah suci.

Hakam bin Sufyan meriwayatkan,
“Adalah Nabi SAW apabila membuang air kecil ia berwudhuk dan melakukan pemercikan. Dan pada suatu riwayat, saya lihat Rasulullah SAW membuang air kencing kemudian memerciki kemaluannya dengan air. Dan Ibnu Umar biasa menyiram kemaluannya hingga celananya menjadi basah."

Kesimpulan: Jangan Membazir

Daripada Abdullah bin Umar RA,
“Nabi SAW melewati Sa’ad yang sedang berwudhuk. Maka Nabi pun bertanya, “Kenapa membazir wahai Sa’ad?” “Apakah terhadap air juga dikatakan membazir?” Tanya Sa’ad pula. “Memang.” Ujar Nabi lagi, “Walaupun engkau berada dalam sungai yang sedang mengalir.”
[H.R. Ahmad dan Ibnu Majah]

Bagi saya, yang Rasulullah SAW maksudkan dengan pembaziran di sini bukan sekadar air. Tetapi yang dibazirkan adalah masa yang berkualiti bagi umat islam. Masa yang boleh digunakan untuk berdakwah, menyedarkan ummah dan mempersiapkan diri untuk memerangi jahiliyah.

Jangan membazir. Baik air mahupun masa.
Kita ada banyak kerja yang lebih utama.
Bukan hanya sibuk mencuci di tepi kolah dan di tepi mangkuk tandas.
Nanti dicop Muka Kolah dan Muka Mangkuk Tandas.


~End Of Post~

0 comments:

welcome to my blog. please write some comment about this article ^_^